MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Festival Filem Star Movies Kembali

Posted by admin on July 4th, 2008



Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

FILEM Little Miss Sunshine yang merupakan salah sebuah filem terbaik tahun 2006 pastinya akan mencuit hati penonton.

SALURAN filem nombor satu di negara ini, Star Movies (saluran 413, Astro) tidak pernah mengecewakan para peminat dan penontonnya dalam menyajikan santapan filem-filem hebat lagi istimewa.

Lebih meriah lagi apabila Star Movies turut menayangkan filem-filem blockbuster yang telah mencatatkan jumlah kutipan box-office sepanjang tahun lalu.

Menariknya, saluran ini memberi variasi kepada peminat filem sekalian apabila pelbagai genre filem ditampilkan sekali gus menepati selera penonton setia Star Movies.

Bermula 1 Julai lalu, menerusi slot Star Movies Fan Fest 2008 yang ditayangkan pada pukul 10.00 malam, inilah masanya buat semua peminat setia filem-filem Hollywood berkumpul bersama keluarga mahupun yang tersayang untuk menikmati filem-filem hebat yang pastinya akan memberikan seribu kepuasan buat anda.

Slot ini menyediakan 62 buah filem untuk 62 malam berturut-turut. Bukan itu sahaja, Star Movies juga menerusi slot Sunday Mega Movie yang menayangkan filem-filem yang pertama kali ditayangkan di televisyen yang mampu menceriakan malam Ahad anda.

Untuk bulan Julai, Wild Hogs menjadi filem pertama yang menghiasi Sunday Mega Movie apabila ditayangka pada 6 Julai ini.

Seterusnya diikuti dengan filem, Goal II: Living The Dream (13 Julai), Bandidas (20 Julai) dan Rocky Balboa (27 Julai).

Bandidas misalnya, pertama kali menggabungkan dua pelakon Latin iaitu Penelope Cruz dan Salma Hayek yang menjadi perompak dalam filem ini.

Peminat pelakon bertubuh sasa, Sylvester Stallone pula sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan tayangan perdana sekuel keenam filem Rocky yang berjudul Rocky Balboa.

Masih lagi berlandaskan kisah yang diadaptasi dari kisah benar seorang peninju, Rocky Balboa, filem keenam ini mengambil kisah bagaimana kehidupan peninju hebat itu selepas insiden yang telah banyak merubah hidupnya.

Mendapat sambutan yang menggalakkan sehingga mencecah kutipan tiket sebanyak AS$155 juta (RM496 juta) di seluruh dunia serta mendapat kritikan yang positif dari pihak pengkritik, tidak ada alasan yang tidak munasabah untuk anda menyaksikan filem hebat ini.

Sepanjang bulan Ogos pula, lima filem menarik telah disajikan untuk peminat filem menerusi slot ini.

Filem seram 28 Weeks Later yang merupakan filem sekuel 28 Days Later mengambil tempat pada 3 Ogos.

Kemudian ia diikuti pula dengan filem Bridge To Terabitha (10 Ogos), Code Name: The Cleaner (17 Ogos), Apocalypto (24 Ogos) dan Die Hard 4.0 (31 Ogos).

Sementara itu, istimewa buat peminat Bruce Willis apabila buat julung kalinya Star Movies menayangkan empat filem Die Hard secara maraton bermula dari yang pertama sehinggalah ke tayangan perdana filem Die Hard 4.0.

Sudah pastinya, selepas kejayaan siri televisyen Moonlighting, nama Bruce Willis terus berada di kemuncak saat dia membintangi filem Die Hard pada tahun 1988.

Bermula detik itu, namanya cukup sinonim dengan watak John McClane dan selepas kejayaan Die Hard, Bruce membintangi tiga sekuel Die Hard iaitu Die Hard 2 (1990), Die Hard With A Vengeance (1995) dan Die Hard 4.0 (2007) yang menyaksikan filem-filem berkenaan membuat kutipan lebih RM4 billion di seluruh dunia.

Bukan sekadar hiburan sahaja, Star Movies Fan Fest 2008 turut menampilkan filem-filem yang pernah dicalonkan mahupun memenangi anugerah Oscar.

Sebagai contoh, filem Little Miss Sunshine yang akan ditayangkan pada 15 Julai depan merupakan salah satu calon Filem Terbaik Oscar pada tahun 2007.

Malah, pelakon cilik filem berkenaan, Abigail Breslin turut tersenarai sebagai calon Aktres Pembantu Terbaik manakala Alan Arkin mempamerkan kecemerlangannya dengan merangkul gelaran Aktor Pembantu Terbaik menerusi filem komedi yang disifatkan berjiwa besar ini.

Begitu juga dengan filem Babel arahan Alejandro Gonzalez Inarritu yang telah menerima tujuh pencalonan pada Oscar tahun lalu termasuk Filem Terbaik.

Filem yang menyaksikan lakonan mantap oleh Brad Pitt, Cate Blanchett serta calon Oscar, Rinko Kikuchi ini mampu untuk menarik perhatian anda menontonnya tatkala filem ini sarat dengan emosi dan elemen yang cukup dramatik.

Buat peminat-peminat filem, pastikan temujanji anda setiap hari bermula pukul 10.00 malam hanya di Star Movies (saluran 413, Astro) untuk menikmati kehebatan filem-filem hebat.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>