MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Fahrin Bakal Suami Yang Baik – Rima

Posted by admin on July 15th, 2008



Oleh HARYATI KARIM

Datangnya dari seberang tambak Johor, berlandaskan bakat dan rupa parasnya, Rima Melati Adam, pelakon kelahiran Singapura ini hadir kira-kira tiga tahun yang lalu ke persada seni tempatan.

Misinya hanya satu, mengukuhkan lagi bakat lakonan yang dimiliki memandangkan kesukaran untuk dirinya melebarkan sayap di negara sendiri.

Sepanjang tiga tahun berulang-alik antara Malaysia dan Singapura demi karier sebagai seorang pelakon, malang sekali namanya sangat jarang disebut-sebut, malah ramai yang masih tidak mengenali siapakah Rima Melati.

Namun, baru-baru ini segala-galanya telah berubah buat wanita berusia 28 tahun ini. Dia bukan lagi wanita yang tidak dikenali tetapi setiap butir peribadinya kini menjadi perhatian.

Semua ini gara-gara dia dikatakan bercinta, malah ada yang mendakwa dia telah berkahwin dengan pelakon kacak Fahrin Ahmad. Lebih menggemparkan Rima dikatakan sebagai punca keretakan hubungan ‘teman tapi mesra’ antara Fahrin dan selebriti terkenal, Linda Onn.

Menjawab semua persoalan itu, Rima yang dihubungi Kosmo! menyambutnya dengan deraian hilai tawa, dan mengatakan gosip yang mengaitkan namanya adalah tidak benar sama sekali.

“Entahlah, Rima tidak tahu macam mana gosip ini boleh timbul sebab sebelum ini pun Rima memang sudah berkawan dengan Fahrin. Kami pernah sama-sama terlibat dalam satu penggambaran dulu.

“Rima memang tidak ada niat sebab apa yang terjadi bukannya dirancang, jadi bila perkara ini timbul Rima anggap seperti tiada apa-apa berlaku kerana memang benar kami berkawan tetapi sekadar kawan baik sahaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi, gosip ini mungkin timbul setelah orang ramai melihat mereka keluar makan berdua, tambahan dia juga seorang ibu tunggal dan padanya dia berhak untuk keluar dengan sesiapa sahaja dan itu bukannya satu kesalahan.

“Memang benar kami ada keluar makan bersama tetapi sebagai rakan, jadi apa masalahnya, saya pun tidak tahu kenapa orang ramai boleh berfikir yang bukan-bukan sebab persahabatan kami ikhlas,” jelas Rima lagi.

Wanita yang sudah pun mempunyai seorang anak lelaki hasil daripada perkahwinan terdahulunya menganggap Fahrin sebagai seorang rakan yang baik dan banyak membantunya saat dia mula menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Saya berterima kasih kepadanya (Fahrin) sebab dia banyak membantu saya daripada segi memberi nasihat seperti mencari rumah yang sesuai ketika saya mula-mula mahu memulakan karier di Malaysia dan macam-macam lagi,” akuinya.

Gosip satu kejutanApabila ditanya tentang perasaannya saat gosip antaranya dan Fahrin muncul di dada-dada akhbar, Rima menegaskan tiada sebarang impak terhadap dirinya kerana perkara yang diperkatakan tidak benar sama sekali.

“Memang betul saya tidak rasa apa-apa kerana kami hanya berkawan, saya rasa kelakar dan terkejut sebab entah macam mana nama saya dikaitkan dengannya (Fahrin).

“Saya bukannya orang yang suka bermain dengan api, saya hanya cakap yang benar saja. Saya telah diasuh dengan baik oleh keluarga dan saya juga menjaga nama baik diri sendiri, jadi bila gosip ini timbul saya hanya menganggap ia sekadar asam garam kehidupan saja,” tuturnya.

Rima menjelaskan lagi, dia tidak dapat untuk menghentikan apa yang difikirkan orang lain dan tidak mahu ambil peduli hal-hal remeh sebegini.

“Apa yang penting saya dan keluarga tahu perkara sebenarnya. Cuma saya kasihan pada Fahrin sebab tiba-tiba saja dia kena gosip macam itu,” ujarnya.

Bukan orang ketigaDitanya lagi benarkah dia punca keretakan hubungan Fahrin dan Linda Onn kerana sebelum ini Fahrin tidak rapat dengan mana-mana wanita selain Linda.

“Bukanlah (ketawa), saya pun sudah ada teman lelaki di luar negara, kami kenal agak lama, jadi kenapa pula saya mahu bercinta dengan Fahrin sedangkan saya sudah ada kekasih.

“Lagi pun teman lelaki saya juga tahu tentang persahabatan kami, malah dia amat risaukan Fahrin apabila gosip putus hubungan antara dia dan Linda keluar di akhbar,” luahnya.

Secara jujur Rima mengatakan dia hormat pada hubungan yang terbina antara Fahrin dan Linda, kerana mereka kelihatan serasi dan tidak menyangka perkara sebegini akan berlaku.

“Saya cuma rasa sedihlah bila cerita putus hubungan mereka keluar sebab saya rasa mereka kelihatan seperti pasangan yang secocok,” katanya lagi.

Fahrin lelaki yang baikWalaupun dilanda gosip bersama Fahrin, tetapi itu bukannya batu penghalang buatnya untuk terus berkawan dengan Fahrin atau mana-mana artis lelaki yang lain.

“Saya tidak serik sebab perkara itu tidak betul, keluar sebagai kawan tidak apa, lainlah kalau buat benda yang tidak betul. Saya masih lagi berkawan dengan Fahrin.

“Kenapa kami mesti berhenti menjadi kawan hanya kerana gosip itu, sampai hari ini dia tetap kawan baik saya, kami pun masih lagu menghubungi melalui SMS dan juga telefon untuk bertanya khabar” jelas Rima.

Namun kontroversi yang melanda dirinya dilihat mampu mendatangkan kebaikan kepada karier lakonan Rima. Ini kerana mungkinkah kerana gosip, yang melanda dirinya ini satu kelebihan buat dirinya kerana menjadikan dia popular secara tiba-tiba di Malaysia.

Dia dengan tenang mengatakan dia tidak mahu popular hanya kerana gosip sebaliknya mahu popular dengan mutu kerja yang dilakukannya.

“Memanglah sekarang ini nama saya tiba-tiba saja jadi sebutan tetapi terus terang saya cakap saya tidak senang jika popular dengan cara begini.


RIMA enggan sekadar popular disebabkan isu kontroversi.

“Biarlah lambat dikenali asalkan orang di luar sana kenal saya dengan kualiti kerjaya yang hasilkan bukannya daripada gosip yang membabitkan nama saya,” terangnya lagi tanpa selindung.

Sebagai rakan baik kepada Fahrin, pastinya Rima memahami karakter sahabatnya itu, dia terus ditebak dengan persoalan mungkinkah Fahrin bakal menjadi seorang suami dan bapa yang baik daripada kaca matanya.

Dia yang pada mulanya terdiam untuk seketika lalu menjawab: “Saya berpendapat dia ada karisma serta kebolehan untuk menjadi suami dan bapa yang baik daripada personaliti dan cara dia melayan rakan-rakannya.

“Saya tanpa ragu-ragu merasakan dia akan menjadi seorang suami yang baik dan penyayang kepada sesiapa di luar sana yang bakal menjadi jodohnya”.

Rima mengatur langkahWanita yang juga anak saudara kepada pelakon veteran terkenal Kuswadinata ini memulakan kerjaya seninya menerusi bidang modelling sejak berusia 16 tahun. Dia mula meraih perhatian apabila dia ditawarkan menjadi pengacara untuk sebuah program Hari Raya di Singapura.

Bermula dari detik itu, pada usia 23 tahun dia mula serius dalam bidang lakonan dan pernah berlakon bersama Eizlan Yusuf dalam drama EC yang ditayangkan di negara kelahirannya.

Drama pertama lakonannya di Malaysia ialah hasil arahan pengarah Rashid Sibir, kira-kira tiga tahun lalu. Kini, Rima sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Dendam dan dia terus menerus dihujani tawaran lakonan.

“Syukur rezeki ada buat saya, jika rezeki saya memang di sini saya tidak keberatan untuk terus tinggal di Malaysia, keluarga pun ramai di Kuala Lumpur, tetapi buat masa sekarang saya berulang-alik dari Singapura.

“Jika saya tidak bekerja dan ada masa terluang baru saya akan ke Singapura untuk menjenguk keluarga dan anak lelaki saya yang dijaga bekas suami,” beritahunya lagi.

Bercerita siapakah Rima yang sebenarnya, dia dengan ringkas menjawab: “Rima seorang yang berfikiran terbuka, seorang yang mendengar nasihat dan orang yang tidak keberatan untuk memberi nasihat serta bekerja kuat demi impian.”

Kosmo

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>