Baju Labuh Ekon Jatuh
Posted by admin on July 26th, 2008
Dunia kewangan sangat sensitif dengan perkembangan fesyen
OlehHanim Mohd Saleh
APAKAH kaitan prestasi ekonomi dengan dunia fesyen? Banyak sebenarnya.
Memang aneh, bahkan sukar untuk ditelan tetapi penganalisa kewangan di Paris telah mengaitkan betapa dunia kewangan sangat sensitif dengan apa yang berlaku kepada dunia fesyen di Barat.
Tentu sekali, apabila bercakap tentang fesyen, apa saja yang terbentuk di Barat, pengaruhnya berkembang dan melimpah sampai ke sini.
Menurut penganalisa ekonomi, apabila timbul trend pakaian pendek seperti hot pants dan mikro mini seperti yang sering digayakan selebriti sosial, Paris Hilton, ia menggambarkan keadaan ekonomi berada dalam paras tertinggi.
Sebaliknya, jika trend pakaian labuh menyapu lantai yang kini kembali diminati, begitulah halnya dengan keadaan ekonomi yang turut menyembah bumi.
Perkembangan yang mengaitkan dua faktor ini sejajar dengan ‘teori hemline’ bagi ekonomi yang dicetuskan ahli ekonomi Amerika Syarikat, George Taylor dalam 1920-an.
‘Hemline’ bermaksud paras ketinggian bahagian kaki didedahkan dalam berpakaian.
Kata Taylor, dalam zaman kewangan yang baik, skirt yang dipakai wanita lebih pendek kerana mereka lebih ghairah untuk bergaya dan tidak teragak-agak untuk mendedahkan stoking sutera yang mahal serta kaki yang dijaga rapi dengan kulit begitu mulus.
Sebaliknya, pada masa sukar, skirt menjadi lebih labuh untuk menutupi keadaan ‘yang tidak terurus’, termasuk stoking yang semakin lusuh atau kaki yang tidak terjaga.
Teori ini terbukti tepat sejak beberapa dekad lalu. Contohnya, ketika ekonomi begitu sihat dalam tahun 20-an, serta era kehidupan yang baik dalam 60-an selain keadaan hidup yang berlebih-lebihan dalam 80-an, trend pakaian pada zaman itu juga dilihat pendek-pendek belaka.
Tetapi ketika ekonomi meleset teruk dalam tempoh di antara zaman-zaman tersebut terutama pada 1929 apabila saham di Wall Street jatuh menjuman, paras skirt ketika itu turut jatuh melabuh.
Seorang pereka fesyen di Melbourne, Roger Grinstead, yang cukup yakin dengan teori itu telah meramalkan trend pakaian yang semakin labuh pada musim panas lalu.
‘Kita tidak akan melihat banyak mikro mini atau skirt pendek sebagaimana pakaian itu memenuhi pasaran tahun lalu. Paling pendek pun, ia mencapai paras lutut,’ kata pereka fesyen tersebut.
Grinstead bahkan berkata skirt kembang bulat dengan potongan seperti belon atau disebut ‘buble’ menjadi popular dalam musim bunga tahun ini dan ia sangat mencerminkan keadaan ekonomi masa kini.
‘Ia tergantung antara bahagian bawah paha dengan paras lutut – tidak terlalu pendek dan tidak terus labuh,’ kata Grinstead.
Trend pakaian labuh ala hipi ‘70-an yang sering menghiasi tubuh selebriti muda seperti Jessica Simpson dan penata gaya Rachel Zoe, sangat sejajar dengan zaman kemelesetan ekonomi yang berlaku pada zaman tersebut.
Mungkin anda yang meragui teori ini boleh membuat kesimpulan bahawa gaun panjang yang digunakan oleh selebriti seperti Angelina Jolie, Gwen Stefani dan Jessica Alba hanyalah setakat mencari pembaharuan, atau sekadar untuk menutup keadaan kaki yang membengkak ketika sarat mengandung.
Tetapi pandangan mudah seperti itu tidak menjelaskan mengapa trend gaun labuh kini turut melekat di kalangan wanita-wanita muda di Perancis yang secara tradisional gemarkan pakaian pendek dan ketat.
Bahkan, pakaian hamil Jolie yang menyapu lantai dihasilkan oleh pereka pakaian pasaran pertengahan, Gerard Darel, dari Perancis – bukan pereka fesyen terkenal. Ia menggambarkan permintaan pakaian seperti itu semakin tinggi hari ini.
Bagaimanapun, agak jelas, teori hemline tentunya tidak relevan dalam dunia fesyen Islam kerana hemline busana Islam, tetap melepasi buku lali biar bagaimana sihat sekalipun keadaan ekonomi.
Cyberita