Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

BERBAKAT: Erin kini membintangi drama bersiri Romeo setiap Rabu di TV3.
Minat Nur Arina terhadap dunia lakonan berputik sejak kecil
MINAT terhadap dunia lakonan sudah berputik sejak kanak-kanak lagi. Kebetulan juga bapanya seorang jurukamera bebas, maka dunia itu sudah sebati dengan bakat baru, Nur Arina Abdul Malek atau akrab disapa Erin.
Akui Erin, 14, sejak kanak-kanak lagi dia didedahkan dengan suasana di lokasi apabila ibunya, Harryzah Abu Hassan kerap membawa dia dan adik-adiknya menemani bapa mereka, Abdul Malek Marwi bekerja.
“Mungkin kerana sejak kecil lagi sudah dilatih, jadi minat itu bercambah dengan sendirinya. Tiada siapa yang memaksa cuma saya memang bercita-cita untuk dikenali seperti pelakon kegemaran saya, Erra Fazira,’ kata Erin yang dapat disaksikan lakonannya dalam drama bersiri komedi, Romeo arahan Aziz M Osman setiap Rabu di TV3.
Mungkin namanya masih belum menyinar tetapi sebenarnya pelajar yang masih menuntut di Tingkatan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah, Kuala Lumpur sudah berlakon sejak empat tahun lalu.
Antara produksi terawal lakonannya adalah Bilut, Tentang Bulan dan Congkak, selain membintangi drama bersiri seperti Dilema Wanita.
Akui Erin, pada mulanya niatnya untuk menjadi pelakon ditentang hebat bapanya.
“Dia bimbang saya tidak tahan di lokasi. Bapa kerap mengingatkan menjadi pelakon bukan kerja mudah. Banyak cabaran dan dugaannya, malah awal lagi dia sudah mengingatkan pelbagai kemungkinan yang terpaksa saya hadapi.
“Tetapi semangat saya kuat. Setiap kali berada di lokasi dan berpeluang berlakon dengan nama besar, hati saya meronta ingin menjadi sehebat mereka. Mungkin kerana itu akhirnya bapa merestui namun tetap meletakkan syarat supaya saya tidak mengabaikan pendidikan,” katanya.
Biarpun masih di peringkat bertatih, Erin bersyukur kerana perlahan-lahan dia mula meraih kepercayaan pengarah untuk membawa watak berat. Dalam Congkak misalnya, dia terpaksa melawan ketakutan apabila diminta merealisasikan watak sedang dirasuk.
“Siapa tidak takut membawa watak sebegitu, tetapi saya kuatkan hati dan berkata saya mampu melakukannya. Biarpun terpaksa berperang dengan diri sendiri, saya tetap mahu mencuba.
“Saya bernasib baik kerana kebanyakan pelakon senior dan pengarah sedia membimbing untuk memberikan lakonan terbaik. Mereka tidak lokek ilmu dan itu yang membuatkan saya selesa di lokasi,” katanya.
Hasil pergaulannya di lokasi, pemikiran Erin agak matang dan akuinya, menjadi pelakon bukan semata-mata untuk dikenali dan popular.
“Sebaliknya, saya perlu juga tonjolkan kelebihan serta bakat yang ada. Siapa tidak seronok dapat bergandingan dengan pelakon popular tetapi saya sentiasa mengingatkan diri saya juga punya tanggungjawab besar di lokasi,” katanya.
Bapa bising prestasi pelajaran merosot
TANPA berselindung, Erin tidak malu mengakui kualiti pelajarannya sedikit terjejas gara-gara terlalu sibuk berlakon.
Malah, bapanya juga sudah mula bising apabila pelajarannya mengalami kemerosotan namun kata Erin, seronok bagaimanapun di lokasi dia tetap akan berusaha mendapat keputusan yang baik.
“Saya terapkan disiplin yang tinggi kerana saya juga mahu berjaya dalam pelajaran. Mungkin keputusan peperiksaan kurang memuaskan tetapi saya tetap berusaha melakukan yang terbaik.
“Walaupun ada ketika saya terpaksa ponteng sekolah tetapi alhamdulillah, setakat ini saya belum pernah gagal dalam peperiksaan. Cuma keputusannya sederhana,” katanya.
Bagaimanapun kata Erin, kesibukan itu tetap terbatas kerana tahun depan, dia terpaksa berkorban dan mengurangkan aktiviti lakonan kerana perlu membuat persediaan untuk menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
Bercita-cita ingin menjadi juruterbang, Erin berkata, disebabkan jarang mempunyai masa terluang apabila tidak sibuk di lokasi dia lebih selesa memerap di rumah.
INFO: Erin
Berita Harian
hai sayang