Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Impak Sebuah Filem

Posted by admin on August-17-2008 Add Comments


Oleh MALIAH SURIP & SOFIATUL SHIMA WAN CHIK


OSMAN, Vee dan Rusdi melihat filem sebagai medium nyata mendidik khalayak.

MALAM Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM 21) melabuhkan tirai dengan kemenangan dan kegemilangan yang dicipta khusus buat penggiat seni perfileman tanah air.

Namun masih belum terlambat untuk membincangkan tentang seni yang dinamakan filem.

Duduk bersama pengarah yang begitu sederhana dalam perlakuan dan bicara tetapi intelektual, Osman Ali, kita dapat merasakan cintanya terhadap bidang ini.

Begitu juga dengan dua pelakon tersohor, Vanidah Imran dan Rusdi Ramli yang paksi mereka adalah untuk mengekalkan kualiti terbaik anak wayang Malaysia.

Malah Osman, Rusdi dan Vanidah sempat memberitahu bahawa mereka suka untuk bekerjasama bersama. Hanya waktu dan kesibukan sering tidak menemukan mereka untuk berjodoh.

“Tapi mudah-mudahan selepas sesi fotografi ini, badinya membawa kami berjodoh,” seloroh Vanidah yang disambut gembira oleh Osman tanda setuju.

Bagaimana kalian melihat filem pada zaman kanak-kanak?

OA: (Senyum). Masa zaman kanak-kanak, saya melihat filem sebagai satu dunia lain. Ia seperti wujud dalam satu dunia penuh misteri.

Filem membuatkan saya terfikir tentang bagaimana orang boleh berada dalam solulaid, kecantikan filem itu serta muzik-muzik yang digunakan.

Saya juga hanya melihat filem dari segi luaran, maka ia nampak kosong. Tapi sekarang saya melihat filem sebagai mempunyai nilai inspirasi yang lebih daripada sekadar hiburan.

V: Dari zaman kanak-kanak, saya percaya pada filem. Malah saya percaya semua orang akan merasakan filem itu betul. Saya tak tahu elemen filem. Tapi saya tahu filem membawa saya ingat ia realiti dan bukan lakonan.

RR: Saya gemarkan filem yang ada unsur silat. Dulu selalunya filem begini ditayang pada tengah malam di TV, saya akan dikejutkan tidur untuk menonton.

Mungkin sebab masa itu budak-budak, jadi suka layan cerita Melayu yang begitu. Dulu mana ada filem yang tunjuk kesan khas.

Orang tua selalu ada stigma kurang baik tentang dunia lakonan. Macam mana dengan keluarga kalian?

OA: (Ketawa). Mak dan bapa saya tak pernah tahu saya mengarah filem. Saya tak beritahu mereka, sebab saya bimbang mereka tak yakin dengan bakat pengarahan saya. Waktu filem pertama muncul dulu pun mereka tak tahu, sehinggalah saya banyak membuat dokumentari dan telemovie.

Kemudian muncul dengan filem Puaka Tebing Biru, baru saya berani beritahu mereka kerjaya saya.

VI: Waktu buat filem pertama, Putera, mak dan bapa saya tak tahu. Yang mereka tahu saya cuma ligat buat iklan. Tapi rupa-rupanya berlakon. Saya berlakon dulu kerana nak cari duit untuk tampung pelajaran selain dapat mengembara ke luar negara. Siapa tak nak duit dan pergi luar negara kan? (Ketawa).

Mereka tak pernah datang menyaksikan filem-filem saya sehingga ayah hadir ke malam gala filem Red Kebaya saya tahun lalu. Saya terkejut, tapi saya tahu keluarga sentiasa menyokong karier saya.

RR: Berbalik kepada darah daging seni. Saya dibesarkan dengan duit seni.

Secara kasar memang kami tiada pendapatan tetap tetapi kadangkala duit yang kami dapat untuk seminggu adalah seperti orang yang bekerja sebulan. Yang penting kita pandai uruskan kewangan.

Memang betul cintakan lakonan atau masuk sebab ada peluang? Pernah rasa kejutan budaya?

VI: Dulu, saya tak fikir pasal cinta dalam bidang ini. Akhirnya, saya bersyukur kerana Tuhan membuka jalan saya menjadi pelakon selepas saya berlakon dalam teater Megat Terawis. Saya bertuah kerana diberi bimbingan oleh semua orang yang berpengalaman.

Tentang kejutan pula, ya, masa muda, semua orang lalu, tapi kejutan saya bukannya pasal perhatian. Tapi sebab saya ringkas dan tidak berdandan.

Dunia lakonan adalah pekerjaan, tapi dalam kehidupan biasa, saya adalah saya. Saya tak mampu nak menyenangkan hati semua orang.

RR: Saya masuk ke dunia lakonan tanpa pertolongan keluarga. Individu pertama yang ambil saya berlakon adalah Datuk Jamil Sulong dan Datin Rosnani Jamil.

Pada awalnya saya rimas dengan dunia selebriti sebab saya sudah lihat dari kecil. Ibu saya jadi perhatian dan selalu kena tahan dengan peminat.

Tapi disebabkan tuntutan kewangan, saya menceburkan diri. Lama-kelamaan jadi minat dan terus sayang.


PELAKON dan pengarah memerlukan kesefahaman untuk menghasilkan sebuah cakera yang baik.

Filem mana yang banyak pengaruh kalian. Filem Barat atau filem Hindustan. Atau filem-filem Melayu zaman P. Ramlee?

OA: Sebenarnya saya tidak banyak terpengaruh dengan filem Inggeris. Saya hanya mula menonton filem Inggeris kerana diusulkan oleh teman pada usia 19 tahun. Waktu itu, saya baru sampai ke Kuala Lumpur untuk belajar pada sekitar 1992 hingga 1993.

Pada zaman saya membesar, saya banyak dipengaruhi oleh filem-filem Indonesia, tengok lakonan Rano Karno, Christine Hakim misalnya, filem Thailand dan P. Ramlee. Saya lebih bersifat Nusantara (senyum).

VI: Saya membesar dengan filem barat seperti Sounds of Music. Filem itu telah membawa saya ke tempat lain. Dulu, saya juga suka tengok filem yang ada Uji Rashid dan Sharifah Aini, sebab terpengaruh dengan nenek dan mak saya (ketawa).

Sekarang, ada beberapa pelakon baru yang saya suka tengok termasuk Sam, adik Zizie Ezzete, Fazura, Nabila Huda dan Liyana Jasmay. Mereka pelakon baru yang senang bekerja serta ada inisiatif untuk belajar.

RR: Semua. Sebab semuanya ada kelebihan. Sebagai pelakon kita kena perhatikan kerja semua pihak, tidak mengikut bangsa atau jenis. Kalau tidak digunakan untuk kerja, kita ambil sebagai ilmu pengetahuan.

Tapi filem yang memberi kesan adalah filem P. Ramlee sebab bapa saya rapat dengannya dan dia peminat nombor satu Allahyarham.

Apa yang paling kalian suka mengenai filem?

OA: Saya sukakan seni sinematografi, lakonan, penceritaan dan paksi filem itu dikemudi.

VI: Bergantung pada filem itu. Kalau bercakap dari konteks pemerhatian zaman kanak-kanak, ia mengenai segala emosi dan rasa yang jelas ditonjolkan dalam layar.

Maka saya melihat filem itu sebagai gah. Sementara sebagai pelakon, saya suka melihat aksi pelakon sama ada mereka ada aura atau karisma untuk menjayakan filem tersebut.

RR: Menghiburkan walau cerita apa pun. Dan filem mempunyai magis. Kadangkala kita tidak terfikir satu-satu filem itu akan terarah ke situ, maksudnya ada ‘twist’.

Lain daripada apa yang kita fikirkan. Begitu juga dengan segi teknik kamera. Ada magis yang mengkagumkan.

Bila ada orang kata generasi filem sekarang masih hidup dalam era filem dulu. Misalnya masih lagi aplikasi cara dan guna pakai dialog filem dulu?

VI: Benar, kalau boleh diputar waktu, saya terasa untuk hidup pada era kegemilangan filem tahun 80-an di mana nama seperti Ogy Ahmad Daud, Jamal Abdillah atau Faizal Hussien misalnya dan filem kita mendominasi pasaran tempatan. Kita masih menggunakan dialog-dialog mereka.

Tapi kita bukan hidup dalam filem dulu, sebaliknya kita komersialkan dan memodenkan ia kerana orang masih sukakannya. Orang suka benda itu. Jadi kita membawanya. Kita modenkan ia. Aplikasi pun lain. Tak dinafikan filem lama berbeza, biar alurnya sama.

OA: Tak salah kita nak nostalgiakan sesuatu yang bagus daripada dialog filem-filem lama. Asalkan kita terus pandang ke hadapan.

RR: Hollywood juga masih ingat akan Sounds Of Music dan Mary Poppins. Skrip kita ada yang kuat untuk diingati seperti dialog Deanna Yusof dalam Ringgit Kasorrga. Cuma orang tidak mengambil berat. Mungkin juga penulis skrip sekarang keliru jalan mana yang mahu diikut.

Kalau tulis macam ayat buku atau terlalu ilmiah, nampak tidak real. Realiti kita tidak bercakap begitu, sebab itu kurang melekat dalam kepala. Macam filem P. Ramlee bahasa yang digunakan adalah bahasa percakapan sehari-hari.

Berapa peratus kalian melihat bahawa filem kita sudah merdeka?

VI: Saya tak pasti perjalanan menuju kemerdekaan itu jauh lagi atau tidak. Tapi memang filem kita belum merdeka. Misalnya bajet dan dunia ini belum layak dipanggil sebagai industri. Sebab apa? Sebab kita belum menjana duit ke arah ekonomi.

Penerbit juga belum mendapat pulangan yang bagus biar filem meletup di pawagam kerana terpaksa kongsi 50-50 dengan pengusaha panggung. Apa salahnya kita bagi 70-30 supaya kita boleh hasilkan produk yang lebih berkualiti.

Saya kira penyanyi dan penulis lirik lebih bertuah kerana ada pihak seperti MACP yang memperjuangkan mereka untuk mendapatkan royalti. Tapi kami, pelakon, belum dapat.

OA: Sebenarnya kita menuju kemerdekaan. Hanya kita dibelenggu oleh sifat komersial.

Kadang-kadang kita susah nak realisasikan hal yang difikirkan bagus untuk dikupas dan diaplikasikan dalam sebuah layar hanya kerana mereka lebih melihat komersial berbanding nilai atau seni yang ingin kita tumpahkan.

Tapi sekarang saya gembira bila tengok banyak pengarah yang sudah kembali menitikberatkan nilai seni dalam filem mereka.

RR: Tak dapat nak ukur. Kita masih menuju merdeka tetapi belum betul merdeka kerana filem kita masih dipengaruhi unsur luar dari sudut budaya dan teknikal.

Mungkin ada yang sudah menunjukkan filem kita tapi kita masih mencari tanda aras yang menyatakan itu filem kita.

Tapi ramai pendatang baru sekarang jadi artis sebab nak glamor, sebab nampak mewah dan bakat tak selari dengan peribadi?

VI: Dulu masa baru-baru masuk memang sebab duit. Tapi alhamdulillah, dalam hidup saya, dah tertulis saya jadi seorang pelakon yang orang suka.

Jadi untuk pelakon-pelakon baru saya harap mereka akan jumpa laluan untuk jadi seorang pelakon yang bagus kerana ia tidak mudah.

RR: Sebenarnya golongan itu kecil sahaja tapi menonjol dan sebab itu orang perasan. Penggiat seni sebenarnya serius dan kebanyakannya mencari makan dengan lakonan. Terpulang pada pengarah dan produser. Mungkin strategi mereka tarik penonton.

Tapi apa yang saya lihat pelakon baru sudah bagus dari segi bakat dan komitmen. Makin menyenangkan hati. Mereka tidak main-main.

Macam Osman, dari arus bebas melompat ke arus perdana, bagaimana perjalanannya?

OA: (Senyum) Dulu saya akui memang susah dan saya menjadi pengarah yang terpinggir (ketawa). Masalah saya ialah tak pandai nak pasarkan diri sendiri, namun lama-lama, secara perlahan, orang menilai kerja saya.

Alhamdulillah, hari ini saya mampu juga bertanding dalam FFM – satu anugerah yang sejak kecil saya tak pernah lepas saksikan. Jadi bila masuk anugerah ini dan memenangi anugerahnya, ia macam mimpi jadi kenyataan (ketawa).

Dan lagi bila saya pernah impikan pelakon wanita saya menang, tahun ini ia jadi kenyataan. Maya memang layak menang (senyum).

Kosmo

Post a Comment

(required. But it will not be published)