Terpulang Kepada Dia – Vee
Posted by admin on August 25th, 2008
Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my

” “
SIAPA yang tidak kesunyian hidup bersendirian tanpa insan tercinta di sisi. Tidak kira sama ada golongan hawa mahupun adam, masing-masing sudah tentu mengimpikan sentiasa disayangi oleh seseorang.
Hati pelakon jelita Nur Aliah Lee atau nama ringkasnya, Vee nyata sudah terbuka mendedahkan dia sudah mempunyai teman rapat setelah rumah tangga yang dibina selama 14 tahun bersama karyawan seni terkenal Aziz M. Osman kini terlerai sudah.
Tetapi, Vee tidak mahu tergesa-gesa dalam mencari pengganti kerana terlalu banyak komitmen lain yang perlu didahulukan seperti membesar dan memberi pendidikan kepada anak-anak.
Berpisah pada awal tahun 2007, memegang status ibu tunggal sebenarnya begitu mencabar dan bukan itu sahaja, malah pahit-getir yang dilalui harus ditelan sendirian.
Bagaimanapun, siapa tahu hati Vee memberitahu, dia tidak menolak sekiranya disunting oleh seseorang yang istimewa tetapi turut risau lelaki yang mendampinginya tidak mampu untuk menerima anak-anaknya.
“Memang saya sudah ada teman rapat, tetapi terpulang kepada dia sejauh mana hubungan itu, yang paling penting si dia bukan sahaja menerima diri saya seorang tetapi turut menerima kesemua anak-anak saya.
“Sebab terus-terang saya luahkan, saya tidak boleh hidup tanpa ditemani anak-anak,” luahnya jujur saat ditemui pada sidang media drama bersiri terbaru lakonannya, Ampang Medikal baru-baru ini.
Rakan kongsi bisnes
Menyentuh hubungannya dengan bekas suami, sungguhpun sudah berpisah, Vee dan Aziz masih bersatu di bawah bumbung Ace Motion Picture Sdn. Bhd.
Malah, syarikat yang menjalankan bisnes berkaitan produksi drama dan filem itu telah menubuhkan dua anak syarikat baru.
“Pendapatan kami masih dibahagikan bersama. Kini kami sudah membuka dua anak syarikat, Padi Pictures untuk menerbitkan filem dan drama dengan khidmat pengarah lain.
Manakala, Ace Media pula bertindak sebagai syarikat rakaman serta studio pasca produksi.
“Kami juga sedang membuat perancangan untuk menerbitkan komik daripada drama-drama popular kami,” jelas Vee lagi.
Bagaimanapun dia menegaskan, perhubungan mereka kini hanya terbatas sebagai kawan yang berkongsi perniagaan serta hak penjagaan anak-anak mereka.
Soal anak-anak pula, Vee bersyukur kerana tiada sebarang masalah yang timbul terutama dari segi hak penjagaan.
Hasil perkongsian rumah tangga mereka, Vee dan Aziz dikurniakan lima orang anak iaitu Puteri Nurul Fatehah, 19, Puteri Nur Asyiqin, 14, Putera Mohd Aiman, 12, Puteri Nur Aisya, 8, Puteri Nur Ain, 6 dan Putera Mohd. Ameen, 4.
“Saya dan Aziz tidak mahu gaduh soal hak penjagaan, anak-anak tinggal dengan saya dan Aziz boleh jumpa mereka bila-bila masa sahaja. Saya tidak melarang sama sekali,” luahnya sambil tersenyum.
Beritahu Vee lagi, anak-anaknya juga senang diasuh, malah mereka menerima kenyataan perpisahan ibu bapa mereka dan tidak begitu merasakan perbezaannya.
“Walaupun kami gagal dalam perkahwinan, tetapi kami masih mempunyai tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak kami dan kami sudah tentu sering juga bincang bersama soal anak-anak,” ungkapnya.

MEMBUANG jauh-jauh perasaan negatif, Vee melihat masa hadapan penuh positif.
Pengalaman pertama diuji bakatM
enyentuh mengenai Ampang Medikal, Vee diserahkan tanggungjawab bagi menghidupkan watak sebagai Dr. Maznah, seorang pakar kardiologi yang tegas dan berwibawa di sebuah perubatan yang dikenali sebagai Ampang Medikal.
Menceritakan pengalaman menjadi seorang doktor, Vee menjelaskan watak yang dipegangnya itu merupakan perkara luar biasa sepanjang pembabitan dalam dunia lakonan.
Malah, bukan mudah untuk menjalani sesi penggambaran drama ini kerana Vee perlu mendalami istilah-istilah yang digunakan oleh para doktor.
Paling tidak dapat dilupakan Vee ialah apabila dia perlu menjalani uji bakat terlebih dahulu bersama pihak produksi sebelum berjaya memegang watak sebagai doktor.
“Terkejut juga apabila pihak produksi meminta saya menjalani uji bakat terlebih dahulu sebelum memegang watak ini.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya dalam sesi uji bakat,” katanya sambil tergelak kecil.
Namun bagi Vee, ia menjadi pengalaman yang cukup manis kerana setiap pelakon tidak perlu merasakan dirinya sentiasa diterima oleh pihak penerbitan untuk memegang sesuatu watak yang diberikan.
“Bayangkan waktu itu dialog yang diberikan memang panjang dengan pengarah ada sekali tetapi syukur bila dah berjaya dan masuk pengambaran perasaan gementar telah hilang,” ujarnya lagi.
Mendalami watak Dr. Maznah, biarpun dia seorang pakar yang berwibawa dalam bidang perubatan, namun seperti manusia biasa lain dia juga perlu melalui onak dan duri kehidupan.
Ini kerana jauh di sudut hatinya, Dr. Maznah terpaksa berperang dengan emosinya sendiri apabila berjaya menghidu kecurangan suaminya.

BERSAMA Dr. Amir, ‘kekasih baru’ dalam drama lakonannya, Ampang Medikal.
Setelah dimaklumkan mengenai penceraian Dr. Maznah, Dr. Amir (lakonan Azhar Sulaiman), seorang pakar neurologi berusaha untuk mendekati dan mencuri hati wanita tersebut.
“Jalan drama ini memang menarik. Sebelum ini kita hanya dapat tengok kehidupan pesakit bersama doktor tetapi kali ini agak berlainan apabila penonton akan dapat menyaksikan kehidupan sebenar seorang doktor.
“Dalam keadaan sibuk, sebenarnya seorang doktor turut dihujani dengan pelbagai masalah kekeluargaan,” jelas Vee yang gembira menerima watak ini.
Selain Vee dan Azhar Sulaiman, drama 13 episod ini hasil terbitan bersama Primeworks Studios Sdn. Bhd. dan Niche Films yang ditayangkan setiap Khamis, pukul 8.30 di NTV7 ini turut menampilkan lakonan Julia Ziegler, Ngasrizal Ngasri, Fadzlie Rahim, Chelsia Ng, Jag Dave Singh, Louisa Chong dan pelakon baru, Rusdiana Rusdi.
Kosmo