Skip to content

August 31, 2008

Bukan Bunga Telur, Tapi Mentol Jimat Tenaga!



Teks oleh Roslen Fadzil
Foto oleh Zulhashim

Menjadi adat biasa kalau kita ke majlis perkahwinan Melayu, kita akan membawa pulang bunga telur atau bunga rampai sebagai ole-ole daripada pasangan mempelai.

Namun keadaannya sungguh berbeza dengan Maya Karin Roeckle, 29, dan suaminya, Steven Muhammad Ali Abdullah, 38, apabila menghadiahkan mentol-mentol lampu ‘jimat tenaga’ berkotak hijau kepada setiap tetamu yang bertandang ke majlis resepsi mereka bertempat di Institut Penyelidikan Perhutan Malaysia (FRIM), Kepong, pada 29 Ogos lalu.

Itulah antara elemen simbolik majlis resepsi Maya dan Steven yang dirancang dengan begitu unik dan berkonsepkan Mesra Alam selepas mereka pulang ke Malaysia dari majlis pernikahan di Bellagio, Itali, baru-baru ini.


“Memang saya mahukan satu kelainan dan kejutan bersesuaian dengan tema majlis saya hari ini iaitu Mesra Alam. Saya mahu mentol-mentol ini (ditaja oleh Osram) menjadi kenangan dan digunakan oleh semua tetamu saya. Ia merupakan save energy bulbs yang sepatutnya lebih dipakai oleh kita semua,” kata Maya kepada murai.com.my.

Lebih menarik, pada ole-oleh itu juga terselit nota khas yang memberi tips kepada tetamu tentang cara-cara kita boleh
bersama-sama memelihara alam sekitar. Ia antara lain menyebut:

“Gunalah beg sendiri apabila keluar beli-belah, jangan membazir air ketika menggosok gigi, gunakan bateri yang dicas semula, bawa bekas sendiri apabila membeli makanan bungkus dan gunakanlah mentol lampu jimat tenaga.”

Begitulah visi menarik seorang pengantin baru yang juga duta alam sekitar di Malaysia!

Memang satu rahmat kerana acara malam itu berlangsung dalam cuaca cerah walaupun sejak akhir-akhir ini hujan turun mencurah-curah di Lembah Kelang. Setibanya di padang bola sepak yang luas itu, kelihatan khemah putih gergasi berona putih, berhiaskan barisan lampu pelita minyak tanah di sepanjang laluan. Di bawah khemah pula, kelihatan  puluhan lampu gantung berbentuk bebola putih pilihan Maya dari Ikea.

Di atas setiap meja, terhias jambangan flora yang sungguh cantik daripada dedaunan, pucuk teratai, epal hjau dan orkid.

“Hiasan ini saya lakukan sendiri dengan bantuan kawan saya, Jeslina Hashim, yang sekarang menjadi juruhias dalaman bersama suaminya. Walaupun penat menyediakan semua ini, saya puas sebab saya terbabit sendiri dalam persiapan hari perkahiwnanan saya ini.

Seperti Maya, Steven berkata dia turut mencintai alam sekitar dan tertarik prinsip perjuangan Maya.

“Saya juga sayangkan kehijauan dan alam yang bersih. Saya sentiasa menyokong tugas Maya sebagai pejuang alam sekitar,” kata Steven yang segak berbaju Melayu dan sangat ramah menegur dan bersalaman dengan tetamu.

Antara rakan selebriti yang hadir pada malam itu adalah Imuda, produser David Teo, Farid Kamil, pakar masak Chef Zam, pengarah Shuhaimi Baba, Nanu Baharuddin dan Kavita Kaur Sidhu. Semua ahli keluarga Maya turut kelihatan iaitu ayah, ibu dan adiknya, Armin, 27, (masih belajar di Mexico) dan Irina, 26, (menuntut di England).
 

Hadirin dijamu dengan juadah Melayu yang lazat dan dihiburkan dengan persembahan nyanyian unplugged oleh rakan-rakan dan saudara pengantin.  Penulis sendiri bagi pihak murai.com.my mendendangkan sebuah lagu evergreen, Nothing’s Gonna Change My Love For You khas untuk Maya dan Steven.  Selamat Pengantin Baru!

Murai

Read more from Maya Karin

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments