Kuota 90:10 Harus Dilaksana Segera – M.Nasir
[
Tonton video ]
Teks oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2008: Sudah sekian lama kita membiarkan lagu-lagu luar termasuk dari negara seberang menjajah masuk jiwa dan minda kita. Namun, tiada sebarang usaha dilakukan untuk mengekang masuk kebanjiran lagu-lagu asing hingga ia lebih banyak menguasai stesen radio swasta berbanding karya tempatan.
Sehubungan itu, satu perhimpunan penting membabitkan karyawan seni tempatan berlangsung di Bilik Johor & Kedah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam bagi mengutip petisyen untuk membantah kebanjiran lagu-lagu dan artis luar di stesen radio mahu pun acara persembahan.
Sekaligus, ia bertujuan mengutarakan dasar penyiaran kepada pihak Kementerian Tenaga Air dan Komunikasi (KTAK) supaya memberikan kuota sebanyak 90 peratus untuk siaran lagu-lagu tempatan dan 10 peratus, lagu seberang.
Perhimpunan yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu bukanlah bertujuan mencetuskan ‘konfrontasi’ sebaliknya mahu untuk memartabatkan hak pengkarya tempatan dari terus-terusan ‘dicabuli’ karya-karya dari negara luar termasuk Indonesia.
Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata kebanyakan syarikat radio swasta pula secara membuta tuli mendewa-dewakan produk luar negara dalam siaran mereka.
“Mereka agak kurang memberi perhatian kepada produk tempatan kerana wujudnya satu perasaan double standard di antara produk tempatan dan produk luar. Produk luar kononnya dilihat lebih komersial berbanding produk tempatan walhal lagu-lagu yang dicipta kebanyakan karyawan tempatan kita pun tidak kurang hebatnya.
“Jika situasi dan keadaan ini tidak ditangani dengan sebaik-baiknya, ia bukan saja akan terus-menerus mengancam punca rezeki pengkarya kita tetapi turut menghadkan jumlah kutipan royalti,” katanya.
Menurut Freddie lagi, ia selanjutnya akan membuka ruang kepada kebanjiran konsert dari seberang dan apabila keadaan ini berlaku artis tempatan kita dianaktirikan pihak penganjur serta penaja kerana mereka lebih berminat menaja artis dari seberang,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.
Sementara itu Ketua Biro Karyawan Muzik yang diketuai M Nasir, pula berkata barangkali ada pihak yang beranggapan bahawa lambakan lagu-lagu Indonesia itu satu saingan yang sihat kepada penggiat muzik tempatan.
“Hakikatnya, kita tidak bersaing dengan mereka secara sihat dan adil. Industri muzik kita adalah telalu kecil jika hendak dibandingkan dengan industri muzik di Indonesia. Kita tidak berupaya untuk menghasilkan jumlah atau volume sebanyak keupayaan indusri muzik mereka, baik dari jumlah lagu mahu pun jumlah para penggiat muzik,” katanya.
Nasir berkata lagi, disebabkan jumlah penerbitan lagu dan album mereka lebih tinggi, ia juga telah menghasilkan peratusan jumlah lagu-lagu hit yang tinggi.
“Lagu-lagu mereka yang telah mencapai tahap hits tersebut, akan dihantar untuk dieksport pula ke negara kita. Lagu-lagu tersebut kerana statusnya sebagai lagu hits, tidak memerlukan promosi yang hebat untuk berjaya di Malaysia.
“Manakala, penggiat muzik kita pula masih berada dalam industri muzik yang kecil dan sedang saling bersaing sesama sendiri untuk mencapai tahap lagu-lagu hits. Dalam keadaan lagu kita baru hendak bernyawa, lagu-lagu kita terpaksa juga bersaing dengan lagu-lagu pasti hits dari seberang,” katanya.
Sebagai rumusan, jelas Nasir, penggiat muzik tempatan mahu mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya dapat mempertimbangkan dengan segera pelaksanaan kuota 90:10 kepada syarat lesen bagi setiap stesen radio tempatan.
“Ia bermakna 90 peratus kandungan lagu-lagu yang dimainkan wajib diisi dengan lagu tempatan, manakala hanya 10 peratus saja lagu luar yang dibenar dimainkan di stesen radio berbahasa Melayu, Cina dan India.
“Perlu ditekankan bahawa tindakan ini adalah satu isu dalaman dan tidak sama sekali membabitkan isu hubungan dengan negara-negara luar. Kita juga mahu menegaskan bahawa tindakan pro-aktif ini adalah semata-mata bertujuan untuk melindungi industri muzik kita,” katanya.
Antara penyanyi serta penggiat seni tanah air yang turut kelihatan memberikan sokongan terhadap petisyen tersebut ialah Awie Wings, Yazid Search, Tam & Tony Spider, Neves Pretty Ugly, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Ning Baizura, Yazer, Maya Matahari, Alif Azfar, Diddy AF4, Shamrin Fotograf, Aidit Ailfian, AD Samad, Nikki Malaysia Idol, Farhan AF4, Datuk M Daud Kilau, Andre Goh, Johari Teh, Damien V.E serta Zul Mahat.
Klik disini untuk mengetahui isu-isu 90:10 yang dibangkitkan
Murai
Trackbacks & Pingbacks