
‘Trench coat’ iaitu kot labuh melepasi lutut tentunya sesuai untuk wanita berusia 50-an
Soalan
Saya akan menghadiri malam penghargaan kakitangan yang dianjurkan majikan tidak lama lagi. Bagaimanapun, saya keliru memilih gaya sesuai untuk wanita berusia 50-an.
Jamilah Shariff,
melalui emel.
Jawapan
Pertama sekali saya ingin mengingatkan bahawa usia tidak patut dijadikan sebagai halangan untuk berfesyen. Bagi wanita bekerjaya, saya cadangkan supaya anda mencuba gaya yang agak berbeza dan jarang menjadi pilihan wanita pada peringkat usia 50-an.
Azura Mazaruddin
Pilihan gaya yang agak muda, tersendiri dan cukup versatile dengan mengenakan ‘trench coat’ iaitu kot labuh yang melepasi lutut tentunya sesuai untuk anda. Sebagai panduan, pilih ‘trench coat’ dengan lepel yang sederhana lebar serta mempunyai perincian butang sederhana besar di bahagian tengah jaket.
Saranan saya, gayakan ‘trench coat’ berwarna ceria seperti merah, hijau pucuk pisang atau jingga bersama kemeja putih tanpa ‘collar’ bertutup rapi di bahagian dalam bersama padanan celana panjang juga berwarna putih.
Mungkin anda berada sedikit janggal mengenakan kot labuh ini tetapi percayalah sehelai ‘trench coat’ boleh melindungi kelemahan penampilan kita. Untuk aksesori pula, saya cadangkan anda memberikan tumpuan kepada aksesori seperti kasut dan tas tangan.
Pemilihan tas tangan disarankan adalah jenis kulit kerana ia akan membuatkan penampilan anda kelihatan lebih mewah dan lain dari yang lain. Kasut yang bertutup di depan (pumps shoes) memadai sebagai pelengkap gaya.
Tip:
Kita harus bijak memilih fabrik dan potongan yang sesuai dengan bentuk tubuh dan jangan sesekali menjadi hamba fesyen.
PROFIL
Azura Mazaruddin
Usia : 24 tahun
Pencapaian : Tempat pertama Anugerah Jarum Berlian 2003, Pakaian Tercantik Permaidani Merah Murai.com 2007 (Raja Farah), Pakaian Tercantik Anugerah Juara Lagu 2008 (Nora Danish), Pakaian Tercantik dan Pereka Terbaik Anugerah Bintang Popular 2008 (Nora Danish)
Antara selebriti yang pernah menggunakan khidmat Azura ialah Datuk Siti Nurhaliza, Nora Danish, Rozita Che Wan, Amber Chia, Faizal Tahir, Amy Search dan Farid Kamil
Jika ingin mendapatkan khidmat pereka berbakat yang terkenal melalui label Azura Couture ini, hubungi 019-2586309 atau emel azuracouture@yahoo.com
INFO
Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian