Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
Rap
SEBUT saja penagih dadah, pasti segala macam pandangan negatif terbayang di ruang fikiran. Selekeh, tidak terurus dan berbau busuk – itu antara gambaran luaran yang biasa kita lihat.
Tidak ramai sanggup menerima golongan ini, sekali gus membuatkan jurang yang wujud semakin besar. Hakikatnya masih ada jalan untuk mereka kembali dan jika kena caranya, mereka pasti berubah. Jangan sesekali menyisihkan golongan ini kerana mereka sangat memerlukan sokongan masyarakat.
Itu yang cuba ditonjolkan Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo menerusi produk terbaru JS Pictures Sdn Bhd. Selepas mendapat pujian ramai menerusi Sebuah Ijtihad sehingga berjaya merangkul tiga trofi utama Anugerah Skrin 2007, produksi ini mengangkat dadah dan penagih sebagai subjek dalam Hanya Aku untuk tayangan istimewa sambutan Aidilfitri nanti.
Sheila berkata, inspirasi menjadikan dadah sebagai subjek penceritaan muncul selepas Sebuah Ijtihad mendapat sambutan ramai. Daripada situ, dia dan suami yakin penonton dahagakan cerita yang mengetengahkan subjek lebih serius dan memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Ramai memandang hina penagih dadah dan mengasingkan mereka. Justeru, menjadi tanggungjawab saya sebagai penerbit dan pelakon untuk mengubah persepsi negatif masyarakat.
“Terus terang, 10 hari berkampung di Pengasih menyedarkan saya mengenai banyak perkara. Sayu hati bila melihat penghuni di sini. Mereka manusia seperti kita juga, ada hati dan perasaan. Namun hanya kerana kesilapan itu, golongan seperti mereka diketepikan.
“Diharap Hanya Aku dapat membuka minda orang ramai dan mereka yang terpedaya dengan dadah,” katanya di majlis doa selamat berakhirnya telefilem berkenaan di Pengasih.
Hanya Aku menceritakan kehidupan empat watak utama lakonan Sheila, Hattan, Que Haidar dan Nadia Nisa yang pernah terjerat dengan dadah.
Menurut Sheila, mulanya JS Pictures berminat memilih pusat serenti sebagai lokasi utama penggambaran telefilem berkenaan, tetapi disebabkan syarat yang diletakkan terlalu ketat, Pengasih menjadi pengganti.
“Selepas mendapat idea, saya memilih lokasi dan kemudian baru meminta Cik Li menulis skrip. Kalau ikutkan, ini skrip kelima Cik Li untuk JS.
“Saya dan suami bertuah kerana mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengetua Pengasih, Yunus Pati. Dengan bantuan dan kesediaannya, penggambaran ini berjalan lancar. Lebih menggembirakan, penghuni di sini sudi menjayakan produksi ini.
“Kami menggunakan sepenuhnya Pengasih, bukan saja asrama, surau dan dewan makan, tetapi juga pusat kurungan yang dikenali sebagai Detox serta bilik pengasingan. Ini produksi pertama menonjolkan semua lokasi di Pengasih. Sembilan hari kami berkampung di sini dan sehari lagi di Lorong Haji Taib,” kata Sheila yang terpanggil menghasilkan lebih banyak drama yang sarat dengan mesej.
Tambahnya, Hanya Aku menyuntik kesedaran mengenai bahaya penggunaan dadah kepada penonton yang turut diselitkan dengan elemen kasih sayang, tanggungjawab ibu bapa dan mesej jangan menyisihkan penagih dadah.
“Judul Hanya Aku merujuk kepada hakikat bahawa hanya penagih dapat mengubah diri mereka dan bukan orang lain. Ia mempunyai pengertian yang sangat mendalam, malah penceritaannya menyaksikan penggunaan empat zaman dadah iaitu ganja, morfin, ice dan ecstacy melalui empat watak utama.
“Saya memegang watak Sara yang dipaksa suaminya (lakonan Bront Palare) supaya mengambil heroin. Akibat ketagihan, suaminya memaksa Sara menjual tubuh.
“Hattan pula menagih heroin hingga menyebabkan isterinya (lakonan Wan Nor Azlin) menderita. Que membawa watak Adi yang mengambil ice hingga hampir membunuh adik kandung kerana tidak dapat mengawal diri. Nadia pula sebagai Bella yang mengambil ice kerana tertekan dengan pergaduhan ibu bapanya dan dengan rela hati masuk ke Pengasih.
“Semuanya kisah sedih yang pastinya membuatkan penonton terharu,” katanya.
Menyentuh wataknya, Sheila mengakui bukan mudah menjiwai Sara kerana tidak tahu apa yang penagih fikir dan rasa. Tambahan pula dia tiada pengalaman. Justeru, dia bergaul dan berbincang dengan penghuni Pengasih untuk merasai apa yang pernah mereka lalui.
“Paling mencabar adalah bagaimana menjiwai watak penagih dadah. Saya dan rakan dikelilingi mereka yang ada pengalaman, jika lakonan kami tidak menjadi, ia satu kegagalan besar buat kami.
“Bukan hanya cara mengambil dadah kena betul, tapi pembawaan diri sebagai penagih pun mesti kena. Jujur, bila membaca skrip, saya tidak nampak karektor Sara tetapi selepas bergaul dengan rakan di Pengasih, baru dapat menghayati situasi dan emosi seorang penagih. Daripada situ saya menghidupkan Sara,” katanya.
Harian Metro