Que Haidar Hampir Rebah Dek Kontroversi
Posted by admin on September 18th, 2008
Teks oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 18 SEPT 2008: Isu dia dikatakan ’lalok’ sewaktu muncul di atas pentas sebagai penyampai trofi dalam satu majlis anugerah tidak lama dulu, masih lagi menghantui Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 29.
Ia begitu dirasai hingga dia sendiri akui bahawa itulah kontroversi paling buruk pernah melanda dirinya sepanjang menjadi pelakon yang serius bermula 2005 selepas diperkenalkan pengarah Bade Hj Azmi ke layar perak.
“Kesannya begitu teruk sampaikan saya pernah terfikir untuk tinggalkan terus bidang seni yang saya minati ini untuk selama-lamanya.
“Saya telah dituding atas satu tuduhan yang langsung tak berasas. Tuduhan itu membuatkan saya diasak dengan pelbagai pertanyaan temasuklah dari keluarga saya sendiri. Mereka tidak suka dengan cerita-cerita yang teruk seperti itu dan mahukan penjelasan.
“Mujurlah mereka masih kenal siapa saya yang sebenarnya. Mereka tahu perangai saya dan mereka jugalah yang akhirnya memberikan semangat untuk saya terus berada dalam industri ini,” katanya sewaktu ditemui murai.com.my.
Kontroversi tersebut juga membuatkan Que seakan serik dan fobia untuk muncul lagi dalam mana-mana majlis keramaian dan anugerah.
“Hakikatnya, ada ketika saya terpaksa bekerja dari pagi sampai jauh malam. Selalu tak cukup tidur. Bila tak cukup tidur, kelopak mata kita jadi lebam-lebam, macam yang berlaku dalam majlis anugerah itu. Sebab itulah saya pakai spek mata hitam tapi akhirnya orang tuduh saya ambil dadah.
“Entahlah. Saya sendiri pun tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau tak pergi ke majlis keramaian, nanti orang ingat saya tak bercampur orang pula. Maklumlah bila sudah jadi artis, kita kena rajin buat contact dengan orang,” katanya.
Que yang berasal sekampung dengan Mawi di Felda Taib Andak, Kulai, Johor bagaimanapun memanjatkan kesyukuran kerana masih diberikan rezeki dan tawaran untuk berlakon dalam drama mahu pun filem.
“Untuk filem, saya sedang tunggu Malaikat Maut yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Ada beberapa filem lagi yang sedang menunggu tayangan iaitu Skrip 7707, Setem dan Papadom.
“Saya juga sudah berlakon dalam 2 drama untuk hari raya nanti. Satu lagi sedang disiapkan,” katanya
.
Mengenai hubungannya dengan seorang selebriti yang bernama LJ, Que berkata, dia tidak mahu memberikan sebarang komen terhadap perkara itu.
“Bukan saya serik untuk berkongsi kisah peribadi dengan semua tapi belum masanya,” kata Que.
Murai