Siti Percaya Kejujuran Suami
Posted by admin on September 18th, 2008
Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my

TENANG… Siti dan Datuk K tenang menjawab pelbagai soalan wartawan.
PELBAGAI tohmahan, kata nista dan fitnah pernah dilemparkan ke atas dirinya. Sejak mula bergelar artis sehingga kini Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, 29, yang gemar dipanggil Siti ini bagaikan sudah lali mendengarnya.
Mungkin itulah harga yang perlu dibayar oleh Siti untuk bergelar artis. Biarpun telah lebih 10 tahun menghambakan diri terhadap kerjaya nyanyian, namun dia tetap tabah biarpun sesekali melahirkan kekesalan dengan apa yang berlaku.
Kecekalan biduanita muda ini tetap utuh. Katalah apa sahaja terhadap dirinya, namun melatah tidak sekali.
Menyimpan harapan agar suatu hari nanti segala kebenaran terbukti, isteri kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 49, atau Datuk K itu berserah segalanya kepada Ilahi.
Tidak cukup dengan kisah peribadi, perihal rumah tangganya juga turut diperhatikan. Satu persatu dugaan dan fitnah yang melanda dan akhir-akhir ini, dia sekali lagi menahan rasa apabila tercetusnya khabar angin menyatakan suami yang dikasihinya itu berkahwin dengan seorang pramugari di luar negara.
Masih manis mengukir senyuman, Siti dan suaminya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan artis-artis Siti Nurhaliza Production (SNP) di Menara Yayasan Tun Abdul Razak baru-baru ini menjawab dakwaan tersebut.
“Sebenarnya semua itu adalah gosip yang tiada sebarang asas. Dari mana datangnya gosip itu dan siapa yang mengatakan semuanya tidak diketahui. Bila gosip yang tiada asas diperkatakan, ia lama kelamaan akan jadi besar.
“Saya menafikan gosip tersebut sebab ia ternyata tiada kebenaran. Saya sedar, ramai yang bercerita mengenainya, dari utara sampailah ke selatan ke mana saya pergi dan setiap kali berjumpa pasti orang akan tanya tentang kesahihannya,” kata Datuk K.
Ditanya tentang reaksi isterinya setelah membaca laporan gosip yang tertulis dalam salah sebuah akhbar tabloid beberapa minggu lalu, kata Datuk K, isterinya itu sedikitpun tidak mempercayainya bagaimanapun, pernah sekali isterinya itu bertanya akan kebenaran laporan itu.
“Macam mana saya boleh berkahwin lain sedangkan 99 peratus masa saya adalah bersama Siti. Saya memang tidak ke luar negara, kalau ke luar negara pun hanyalah untuk urusan kerja,” kata Datuk K lagi.
Sementara itu, Siti ketika diminta mengulas tentang dakwaan itu menyatakan bahawa dia mempercayai suaminya itu, malah sebesar kuman pun dia tidak berasa curiga terhadap suaminya lantaran tersebarnya gosip tersebut.
“Perkara ini memang tidak betul, jadi Siti rasa biarkan sahaja. Mungkin orang yang menyebarkan fitnah itu rasa seronok melihat agendanya berjaya. Mungkin jika selesai gosip ini akan timbul pula gosip yang lain.
“Orang yang buat fitnah sebegini mungkin nak lihat kejatuhan Siti tetapi dalam hati kecil Siti sebesar kuman pun Siti tidak percaya.
“Alhamdulillah, setakat ini kepercayaan Siti terhadap suami tidak tergugat. Apa yang penting, Siti menjadi isteri yang baik dan menjaga segala makan dan minum serta pakainya. Selebihnya terpulanglah kepada dia (suami) dan Siti harapkan kejujuran ini biarlah sampai bila-bila,” kata Siti dengan nada tenang.
Beri ruang kepada kakak dan adik
Pada majlis tersebut, Siti turut memperkenalkan barisan artis yang bernaung di bawah payung SNP iaitu Saida, Sairah dan kumpulan Coda.
Merancakkan lagi suasana majlis, Saida, Sairah dan kumpulan Coda menyanyikan single terbaru mereka yang bakal dipromosikan selepas hari raya nanti.
Siti turut memeriahkan majlis dengan menyanyikan lagu raya hitnya Sesuci Lebaran.
Bercerita tentang barisan artis SNP, kata Siti, dia seronok dapat bekerjasama dengan mereka apatah lagi dua daripadanya adalah kakak dan adiknya sendiri.
Pendedahan awal diterima oleh Sairah ialah ketika menyertai rancangan realiti One In A Million (OIAM), begitu juga dengan Saida yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim keenam (AF6).
“Orang ramai sudah melihat prestasi mereka ketika menyertai pertandingan tersebut dan orang sudah mengenali mereka serta cara penyampaian mereka tersendiri.
“Tentang Coda pula, Siti lihat mereka antara anak-anak muda yang berkebolehan dan berbakat dalam seni. Kebanyakan anggota mereka juga pernah menyertai rancangan pencarian bakat bermain muzik, Rhythm Of Champion di RTM tidak lama dahulu,” katanya.
Tidak mahu mengambil ramai artis bernaung di bawah SNP, kata Siti dia mahu melihat tiga artisnya itu berjaya terlebih dahulu.
“Insya-Allah, SNP akan menggilap bakat antara mereka yang kita lihat paling menonjol dan boleh pergi lebih jauh,” katanya.
Amalkan kesederhanaan
Tahun ini merupakan tahun kedua Siti menyambut lebaran sebagai isteri. Dan untuk ke sekian kalinya Siti menunaikan umrah bersama suaminya.
Siti menunaikan umrah bersama suami, ibu mertua dan anak bongsunya, Muhammad Aazief pada 30 Ogos lalu. Sepanjang 10 hari berada di tanah suci, kata Siti: “Menunaikan umrah di bulan Ramadan besar nikmatnya tambahan pula ganjaran pahalanya berlipat ganda.
“Ini merupakan umrah Siti yang ketiga dan tambah menyeronokkan, kali ini suami, ibu mertua dan anak bongsu kami sama-sama menunaikan umrah jadi Siti rasa seronok sangat.
“Tiap-tiap tahun doa Siti sama sahaja, mohon kesejahteraan. Alhamdulillah, sejak mula menunaikan umrah, segalanya berjalan dengan lancar dan tiada perkara pelik yang berlaku.
“Harap tahun-tahun berikutnya Siti dapat menunaikan umrah lagi sebab itu memang niat Siti,” katanya.
Menyambut lebaran secara sederhana, kata Siti tahun ini dia bakal berhari raya di rumah keluarganya di Kuala Lipis serta di Kedah.
“Bagaimanapun, siti belum tetapkan lagi nak balik Kuala Lipis ataupun Kedah pada hari raya pertama,” kata Siti sebelum mengakhiri perbualan.
Utusan Malaysia