MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

68 Panggung Tayang Filem Senario

Posted by admin on September 23rd, 2008



Oleh Zainuri Misfar


FILEM Senario The Movie Episode 1 memaparkan gelagat Mazlan, Azlee dan Wahid sebelum mereka dikenali seperti hari ini.

Catat sejarah sebagai filem paling banyak ditayang serentak

FILEM Senario the Movie Episode 1 mencatat sejarah baru dalam industri perfileman tanah air apabila bakal ditayangkan menerusi 68 salinan di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura.

Filem ini akan mula berada di pawagam di seluruh Malaysia pada Aidilfitri minggu depan.

Sebelum ini rekod pembukaan terbesar dicatatkan menerusi filem Congkak dengan jumlah 65 salinan. Sehubungan itu, jumlah 68 salinan bukan saja dianggap rekod ‘kejayaan’ awal filem Senario the Movie…Episod 1, tetapi juga membuktikan masih ada keyakinan besar daripada pihak pawagam terhadap kemampuan filem ini memikat penonton.

Beberapa pemilik pawagam utama di Malaysia turut menempah sekurang-kurangnya dua salinan di setiap lokasi bagi memastikan penonton yang datang memperolehi tiket untuk menontonnya.

Filem Senario The Movie…Episod 1 arahan Ahmad Idham, terbitan MIG dengan usaha sama Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan Golden Screen Cinemas (GSC).

Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo berkata, beliau yakin dengan pengalaman menerbitkan hampir 30 filem dan sentuhan daripada pengarahnya, Ahmad Idham serta menampilkan kumpulan pelawak nombor satu di Malaysia sejak 13 tahun, Senario The Movie Episode 1 adalah sebuah filem ‘yang lain daripada yang lain’

Ini ditambah pula dengan aplikasi Sistem Surrond Digital EX (SRD) buat julung kalinya untuk membabitkan filem-filem Senario.

“Lebih istimewa lagi, penonton akan datang melihat aksi Senario melakonkan babak-babak menarik yang diadaptasi dari filem-filem box-office seperti Jangan Pandang Belakang, Remp-It dan Impak Maksima.

“Filem ini juga memaparkan kisah tiga ahlinya iaitu Wahid, Mazlan dan Azlee sebelum mereka bergelar Senario seperti yang dikenali hari ini,” katanya.

Menelan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM1.65 juta, filem Senario The Movie Episode 1 ini menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang, Kedah dan Perak. Loksi yang dipilih khas itu adalah untuk menghidupkan jalan cerita di mana ia mengisahkan kehidupan sebenar setiap anggota Senario sebelum mereka menjadi terkenal.

Itulah yang menjadi keistimewaan filem Senario kali ini apabila ia iaitu cuba membongkar kehidupan sebenar ahli mereka

“Kita mungkin kenal mereka selepas popular tetapi apakah pekerjaan dan kehidupan sebenar mereka sebelum itu, belum pernah dipaparkan lagi di mana-mana filem atau program televisyen,” jelas David.

Filem ini mengisahkan pengembaraan 3 sahabat untuk mencapai cita-cita menjadi bintang. Mazlan, Azlee dan Wahid datang dari kampung dan negeri yang berbeza. Tujuan mereka hanya satu iaitu menghadiri uji bakat di Kuala Lumpur dan menjadi pelawak terkenal tanah air. Malangnya, pelbagai dugaan dan cabaran terpaksa mereka hadapi untuk mencapai impian tersebut.

Paling mengharukan apabila tibanya mereka di Kuala Lumpur, mereka telah ditangkap pihak polis kerana wajah mereka saling tak tumpah dengan wajah kumpulan perompak bersiri yang menjadi buruan pihak polis.

Mereka amat bimbang kerana uji bakat semakin hampir sedangkan mereka masih lagi di lokap. Persiapan persembahan masih lagi belum dilakukan. Apabila mereka dibebaskan, bermacam-macam lagi halangan menanti seperti tidak membenarkan mereka menghadiri uji bakat tersebut. Tetapi, berkat kesabaran dan ketabahan mereka mengejar cita-cita, mereka berjaya sampai ke tempat uji bakat.

Selain anggota Senario yang menjadi terasnya, penceritaan filem Senario The Movie Episode 1 dimantapkan lagi dengan penampilan khas beberapa pelakon terpilih seperti Fauziah Nawi, Piee, Zaibo, Osman Kering, Zul Huzaimi, Julia Hana, Zaidi Omar, Ropi Cecupak, Shamsul Ghau Ghau dan Eizlan

Selepas Senario The Movie Episode 1, filem lain terbitan MIG yang bakal menemui penonton penghujung tahun ini adalah Selamat Pagi Cinta arahan Norliana Sulaiman pada 20 November. Sementara itu, filem Syurga Cinta dan Brainscan: Aku Dan Topi kedua-duanya arahan Ahmad Idham akan ditayangkan penghujung tahun ini, manakala Jangan Tegur daripada Pierre Andre pada awal 2009.

Selain itu, MIG juga mengedarkan filem Tipu Kanan Tipu Kiri yang ditayangkan pada 16 Oktober, Wayang (13 November) dan Los & Faun (4 Disember).

Berita Harian

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>