Astro Dahului Stesen TV Lain
Posted by admin on September 23rd, 2008
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
ASTRO merupakan antara saluran televisyen (TV) tempatan yang paling cepat menayangkan filem-filem Melayu sejurus selepas ia ditayangkan di pawagam-pawagam, sama ada menerusi saluran Ria mahupun Kirana.
Sebagai contohnya, tidak sampai tiga bulan filem I’m Not Single ditayangkan di pawagam pada 24 Julai lalu, filem arahan Pierre Andre itu kini boleh ditonton menerusi Astro Kirana pada 2 Oktober ini pukul 9 malam.
Begitu juga dengan filem Anak lakonan Erra Fazira dan Ida Nerina bakal ditayangkan pada tarikh yang sama pukul 4 petang di saluran Ria.
Sementara filem Chermin pula ditayangkan juga pada hari yang sama di saluran Prima pukul 9 malam.
Astro turut memilih filem komedi romantik, 9 September serta filem komedi Anak Mami Kembali yang masing-masing akan menemui penonton pada 3 Oktober ini menerusi saluran Prima dan Ria.
Berdasarkan senarai filem-filem yang menjadi pilihan Astro untuk lebaran ini, ia menyaksikan stesen berkenaan memilih filem-filem Melayu yang ditayangkan di pawagam beberapa bulan lalu.
Mungkinkah senario itu akan menyebabkan peminat filem Melayu berpendapat mereka tidak perlu lagi ke pawagam ataupun terpaksa menunggu lama kerana lambat laun ia akan ditayangkan juga di kaca TV?
Mempertahankan tindakan itu, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah menafikan minat dan kecenderungan penonton filem Melayu terbantut hanya kerana Astro mendahului stesen TV lain dalam menayangkan filem-filem tempatan terbaru.
Menurut beliau, ini kerana terdapat jarak masa yang agak jauh sebelum sesebuah filem itu ditayangkan menerusi saluran-saluran Astro.
“Kita beri peluang kepada para peminat menonton sesebuah filem itu di pawagam terlebih dahulu. Kemudian barulah kita beli filem itu dan tayangkannya di Astro. Bagi saya, ini suatu kesinambungan dalam industri perfileman kita.
“Maksud saya, selepas sesebuah filem itu ditayangkan di pawagam, barulah ia ditayangkan di kaca TV pula. I’m Not Single misalnya, sudah dua bulan ditayangkan di pawagam baru kami beli,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pratonton Program-Program Raya Astro 2008 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut serta pada sidang media itu ialah Pengurus Saluran Prima, Khairul Anwar Salleh, Pengurus Astro Kirana, Sharlyza Alis Sharkawi dan Pengurus Astro Oasis, Izelan Bashar.
Pada majlis itu, Astro turut mengumumkan senarai rancangan-rancangan berbentuk filem, drama, telemovie, sitkom, nyanyian dan gaya hidup yang akan ditayangkan menerusi saluran-saluran Astro seperti Ria, Prima, Oasis, Aruna dan Kirana sempena musim perayaan ini.
Menurut Zainir juga, persepsi sedemikian bukanlah isu baru kerana hal yang sama pernah dipersoalkan sewaktu Astro memperkenalkan saluran Box-Office suatu ketika dulu yang turut menayangkan banyak filem tempatan termasuklah dari luar negara.
Katanya, tayangan filem-filem Melayu yang baru menerusi saluran Astro merupakan suatu pakej istimewa kepada pelanggan-pelanggan stesen itu selain tidak menjejaskan tayangan filem-filem Melayu dalam industri perfileman tanah air.
“Tayangan filem-filem yang baru ditayangkan di pawagam menerusi Astro tidak menjejaskan industri perfileman kita. Ini kerana, setiap filem ada peruntukan skim wajib tayangnya sendiri iaitu selama dua minggu.
“Malah, jumlah filem kita pada saban tahun juga meningkat dengan setiap tahun tidak kurang 20 filem diterbit serta ditayangkan di pawagam. Lagipun, gaya penontonan di pawagam dan kaca TV tidak sama.
“Misalnya, ada filem-filem kita yang telah pun ditayangkan di pawagam-pawagam yang tidak mendapat sambutan para penonton, tetapi mendapat perhatian ramai penonton semasa ia ditayangkan di Astro,” ujarnya.
Jelas Zainir lagi, saluran Ria dan Prima merupakan saluran yang paling banyak menayangkan rancangan sempena Hari Raya Aidilfitri ini berbanding saluran Oasis, Aruna dan Kirana.
Bagaimanapun katanya, pemilihan setiap genre rancangan yang akan ditayangkan itu turut bergantung kepada kesesuaian dan kecenderungan setiap saluran TV tersebut.
“Biasanya saluran Prima lebih banyak menayangkan drama, hiburan di Ria dan filem pula banyak ditayangkan menerusi Kirana. Kami telah membuat perancangan yang teliti supaya penonton boleh membuat pilihan.
“Dalam erti kata lain, jadual rancangan yang telah disusun di Ria, Prima, Oasis, Aruna dan Kirana tidak bercanggah satu sama lain waktu siarannya dari pagi hingga ke malam. Strategi ini kami lakukan berdasarkan pengalaman tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.
Sekuel Takbir Suci
Sama seperti stesen-stesen TV lain, Astro yang turut meriah dengan rancangan-rancangan berkonsepkan hari raya tidak ketinggalan menambahkan variasinya menerusi hasil-hasil penerbitan produksinya sendiri.
Contohnya menerusi rancangan seperti Deko Bersama Eric Raya, Gegar Gitu Apek Raya, Trek Selebriti Raya, Raja Lawak Edisi Raya Lagi, Mawi Di Bumi Anbia, Glamor Raya dan Destinasi Fantasia@Gold Coast, Australia.
Malah, pada masa sama kata Zainir, Astro turut mengadakan sekuel telemovie berjudul Takbir Suci untuk kali yang ketiga pada Hari Raya Aidilfitri ini selepas ia mendapat sambutan ramai.
Telemovie lakonan Raja Azura, Tam, Fauziah Nawi, Farish Aziz dan Norlia Ghani itu akan ditayangkan menerusi saluran Ria pada 30 September ini pukul 11 malam.
“Penerbitan sekuel Takbir Suci dibuat kerana ia mendapat sambutan hangat pada tahun lalu. Kalau ada konsep rancangan yang berjaya seperti itu, kami memang akan teruskan. Kami akan lihat lagi sambutannya, kali bagus ia akan diteruskan pada tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, tambah Zainir, Astro tidak menghadapi masalah dengan syarikat-syarikat produksi luar yang membekalkan rancangan-rancangan berkonsepkan Hari Raya untuk siaran di saluran-saluran stesen itu.
Ini kerana katanya, kebanyakan mereka sudah lama bekerjasama dengan Astro dan mereka juga memahami apakah rancangan-rancangan yang sesuai untuk ditayangkan di saluran-saluran TV tersebut.
“Kebanyakan penerbit menyediakan kertas cadangan yang bertepatan berhubung pembekalan rancangan mereka kepada kami. Malah, ia bertepatan dengan apa yang kami mahukan.
“Pembelian rancangan-rancangan itu pula mengikut kesesuaian saluran-saluran TV kami. Setakat ini terdapat lebih 20 syarikat produksi luar yang bekerjasama membekalkan rancangan-rancangan mereka untuk saluran-saluran TV Astro,” jelasnya lagi.
Rancangan-rancangan menarik di lima saluran TV Astro itu kebanyakannya akan mula ditayangkan pada 30 September hinggalah 12 Oktober ini.
Selain mengumumkan rancangan-rancangan menariknya, pada majlis itu Astro turut meraikan 20 orang anak-anak yatim dari Rumah Amal Limpahan Kasih, Puchong, Selangor serta persembahan artis seperti Datuk D.J. Dave, Devotees, Awie dan Noryn Aziz.
Utusan Malaysia