Teks oleh Ellyna Ali
KUALA LUMPUR, 23 SEPT 2008: Bermacam-macam cara digunakan oleh artis dan selebriti popular apabila melakukan kerja-kerja amal yang bertujuan mencari dana untuk mengisi tabung sesebuah badan kebajikan. Kebiasaannya, artis mengadakan persembahan amal dengan menjual meja serta mendapatkan tajaan daripada syarikat korporat.
Tapi, berlainan pula dengan penyanyi yang memiliki vokal serak lantang iaitu Dayang Nurfaizah Awang Dowty. Tahun ini, Dayang mempunyai cara tersendiri untuk melakukan amal kebajikan, lebih-lebih lagi selepas tertubuhnya Tabung Dayang Sayang Kamu.
Cara yang dilakukan Dayang ialah dengan menjual cookies bernama Dayang Sayang Kamu pada harga RM30 sepanjang bulan Ramadan ini. Hasil daripada jualan cookies tersebut akan terus disalurkan ke dalam Tabung Dayang Sayang Kamu.
“Ini kali pertama Dayang menjual cookies. Semuanya Dayang lakukan untuk Tabung Dayang Sayang Kamu. Segala hasil jualan akan terus dimasukkan ke dalam tabung ini. Dayang tak ambil satu sen pun.
“Alhamdulillah, setakat ini sudah 900 cookies yang terjual. Satu bekas kuih ada 50 cookies. Bermakna bekas kuih yang sudah terjual hingga setakat ini ialah 18 kotak. Seronok sangat apabila melihat cookies ini terjual. Dayang harap, ada lagi mereka yang berminat membeli cookies ini sambil beramal,” katanya kepada murai.com.my.
Menurut Dayang lagi, Cookies Dayang Sayang Kamu adalah antara salah satu makanan kegemarannya setiap kali menjelang raya.
“Yang buat cookies ini adalah ibu kepada pengacara Yasmin Hani. Memang sedap. Sebab rasanya macam English Shortbread dengan jem di tengah-tengah. Berbaloi sangat kalau beli dengan harga RM30. Sebelum-sebelum ini pun, Dayang selalu tempah cookies ini. Kalau raya banyak jugalah Dayang bawa balik kampung.
“Jadi, kalau sesiapa di luar sana berminat untuk membeli cookies ini sambil beramal, bolehlah hubungi pengurus Dayang menerusi talian 012-315 2185, ” katanya yang akan pulang beraya bersama keluarganya di Kuching seperti kebiasannya.
Dayang meraikan 110 kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari 3 rumah kebajikan yang berbeza iaitu Pusat Jagaan Titian Kasih, Persatuan Ehsan Wanita & Anak-Anak KL serta Persatuan Sokongan Ibu Bapa Pekerja PDK, Selayang di Restoran Bangsar Seafood, Jumaat lalu.
Dayang turut menghadiahkan Cookies Dayang Sayang Kamu kepada setiap kanak-kanak bersama pek cenderahati mereka yang turut ditaja Nestle serta Restoran Bangsar Seafood sendiri.
Murai