Skip to content

Archive for September 2008

28
Sep

Farah Asyikin, Azharina Beraya Cara Sendiri



Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Foto DJOHAN SHAHRIN SHAH

BERGELAR janda pada usia muda, tidak menghalang kedua-dua artis ini menyambut Aidilfitri dengan meriah. Kesibukan menjalani ibadat puasa di samping aktiviti seni yang tidak pernah putus, Farah Asyikin, 29 dan Azharina , 23 tidak pernah berputus asa untuk meneruskan kehidupan.

Bagi Farah, kenangan bersama suami sudah berakhir walaupun masih terkenang memori berpuasa, sembahyang terawih dan beraya bersama.

“Raya tahun ini tidak ada perbezaan kerana beraya dengan keluarga pun dah cukup manis bagi saya. Walaupun saya masih rindukan tanggungjawab sebagai isteri, saya masih melakukan persiapan raya bersama keluarga.

“Persediaan raya tahun ini agak sederhana. Pakai apa yang ada, beli apa yang tiada, cukup ringkas. Baju raya pun pakai apa yang ada.

“Selalunya saya akan tolong ibu buat kuih raya, tapi bulan puasa ini saya dah jatuh sakit dua kali, jadi tak dapatlah tolong ibu.

“Macam raya dulu-dulu, saya akan tolong ibu buat kuih tart nenas dan chocolate chip cookies,” ujarnya yang akan muncul dengan album baru terbitan Satu Music Entertainment.

Tahun ini, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai Farah bersama keluarga dan seperti kebiasaaan, Farah akan beraya di kampung bersama keluarga.

“Mula-mulanya keluarga saya ingin beraya di Kuala Lumpur. Tapi pada saat terakhir, kami tukar rancangan, jadi pada satu Syawal saya beraya di Pekan, Pahang , sebelah ayah. Dan hari kedua beraya di Negeri Sembilan, sebelah ibu,” katanya yang teringat kenangan manis beraya ketika zaman kanak-kanaknya.

Dalam kesibukan menyambut raya, Farah juga tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik.

“Saya juga membuat amal jariah bersama keluarga dan kawan-kawan, meraikan anak-anak yatim dari Puchong. Walaupun tak banyak tapi melihat mereka gembira dan bahagia di hari yang mulia ini merupakan satu kepuasan bagi diri saya,” ungkapnya.

- Azharina
Jika Farah bergembira di Aidilfitri bersama keluarga, lain pula kisah dengan penyanyi yang berasal dari Sabah ini. Azharina memberitahu, dia lebih gemar bercuti dan melancong pada hari raya.

“Sehari sebelum raya, saya pergi ke Bangkok, Thailand. Saya berada di sana selama lima hari. Setelah sebulan penat dengan kerjaya sebagai seorang artis dan menguruskan perniagaan saya, jadi saya merancang ke luar negara sambil bercuti.

“Ia adalah cara terbaik untuk membawa diri setelah penat bekerja dan menenangkan fikiran untuk berehat.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya memang ke luar negara. Sebagai wanita, sudah pastinya saya tidak ketinggalan membeli belah,” jelasnya yang belum bersedia untuk berumah tangga lagi buat masa ini.

Tambahnya, bukan dia tidak mahu pulang ke kampung untuk beraya tetapi mak dan bapanya yang sudah lama berpisah dan mempunyai kehidupan masing-masing. Kini, hanya kedua-dua adiknya yang masih di bawah tanggungannya.

“Walaupun pernah melalui kehidupan berumah tangga, sebenarnya saya lebih banyak bersendirian. Saya menerima takdir itu. Dulu walaupun saya bergelar isteri, kami jarang bersama. Kalau raya, hari yang keempat, baru kami menyambutnya bersama.

“Walaupun tahun ini beraya seorang diri, saya masih mempunyai teman-teman dan saya tetap menyambutnya penuh kesyukuran,” katanya.

Namun, dia masih lagi mempunyai hubungan baik dengan bekas suaminya tatkala terserempak di mana-mana majlis.

“Hubungan kami masih baik, Cuma tiada jodoh. Kami masih bertegur sapa. Tahun ini, istimewanya, bekas suami menghadiahkan sepasang baju raya baru untuk saya,” ujarnya yang akan keluar dengan album single barunya, Rawan yang merungkai kisah cintanya bersama bekas suami.

Seperti wanita lain, Azharina tidak ketinggalan membuat persiapan raya seperti membeli langsir baru, membuat biskut raya dan mengemas rumah. Juga memastikan tujuh ekor kucing peliharaannya sihat sebelum tiba hari raya.

Utusan Malaysia

28
Sep

Emran, Erra Dan Orang Ketiga

Oleh WANDA IDRIS
Foto FATAH SULAIMAN

MENGENALI Erra Fazira yang aktif, tidak hairanlah andai suaminya, Engku Emran selalu bimbang dengan keadaan dirinya. Malah hampir setiap masa, Ketua Pegawai Operasi Suria FM itu akan selalu mengingatkan isterinya agar berhati-hati menjaga diri dan kandungan.

Sementelah sebelum ini isterinya pernah mengalami keguguran dan pasti sahaja, pengalaman itu menjadikan Emran begitu prihatin menjaga isteri kesayangannya.

Sedangkan Erra pula tidak boleh duduk diam dan cepat bosan seandainya tidak melakukan apa-apa kerja.

Apalagi sejak berbadan dua ini, dia tidak boleh lagi meneruskan aktiviti lasak seperti menunggang motosikal berkuasa besar mahupun menyelam skuba yang menjadi minatnya.

Jadi untuk menghabiskan masa-masa terluang seandainya tidak mempunyai jadual penggambaran (Erra kini berlakon drama bersiri Mertua Vs Menantu terbitan Metrowealth International Group (MIG) untuk Astro, Erra sibuk dengan perniagaan hamper rayanya.

“Saya jenis tak boleh duduk diam. Dapat buat hamper pun, jadilah,” katanya sambil ketawa.

“Memang saya tak ada morning sickness malah lagi aktif masa mengandung. Kalau ada masa terluang saja, mulalah berfikir nak buat apa.

“Tak boleh duduk diam langsung. Kalau penat pun, saya tidur barang sepicing dan bangun semula,” kata Erra yang kini mengandung 14 minggu.

Bersama beberapa rakannya, kata Erra, dia banyak menerima tempahan hamper raya namun hanya mengehadkan menerima sebanyak 100 tempahan sahaja.

“Selalunya saya ralit buat hamper sampai pukul dua tiga pagi barulah nak masuk tidur,” tambahnya bercerita. Dia yang pakar membuat biskut raya terutama cornflakes juga berhajat untuk menyediakan biskut raya sendiri biarpun tidak banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah merancang untuk menyediakan kek coklat seperti tahun-tahun lalu.

Selain aktif, Erra memberitahu bahawa dia juga kuat makan dan berat badannya kini telah bertambah empat kilogram sejak mengandung.

“Selalunya wanita mengandung pada tiga bulan pertama badannya tak naik. Saya pula lain. Nasib baik bulan puasa, tak adalah mulut ini nak mengunyah sahaja,” ujar Erra yang masih kelihatan langsing.

Biarpun begitu, dalam sibuk menyelesaikan tempahan hamper rayanya, Erra juga sebenarnya teruja dengan sambutan Syawal kali ini.

Masakan tidak, buat pertama kalinya, dia akan pulang berhari raya ke kampung ibu mertuanya di Pulau Pinang.

Akan bercuti selama empat hari di sana, Erra memberitahu, ini julung kalinya dia bakal mengharungi suasana balik beraya di kampung.

“Selalunya bukan tak balik kampung tapi kampung saya di Sungai Choh, Rawang itu perjalanannya hanya 45 minit dari Kuala Lumpur.

“Jadi tak terasa sakan nak balik kampung. Tapi kali ini, saya tak boleh fikir nak berkemas pakaian macam mana,” katanya sambil tersenyum.

Memberitahu sudah menyediakan beberapa helai pakaian untuk sambutan Lebaran ini, Erra memberitahu kali ini dia lebih gemar mengenakan baju kurung kerana selesa dipakai waktu mengandung.

Selain pulang ke kampung, Erra juga akan ke Singapura menjayakan satu program kebajikan di sana pada pertengahan bulan ini.

Dijangka melahirkan bayi sulungnya pada Mac depan, Erra juga memberitahu, selesai bercuti raya, dia akan kembali aktif menjalani penggambaran.

Masih ada satu telefilem dan drama bersiri yang harus dilunaskannya sebelum kontraknya sebagai artis residen Astro tamat pada April depan.

Malah jika tiada aral melintang, kata Erra, dia berkemungkinan akan menjalani proses pembikinan album terbarunya. Bagaimanapun semua itu semua bergantung kepada tahap kesihatan dirinya.

Merancang untuk bersalin di pusat perubatan berdekatan kediamannya di Damansara namun kata Erra, Emran pula mahukan dia bersalin di sebuah hospital swasta pilihannya.

“Dia ada doktor yang dia suka dan saya tak kisah di mana-mana pun. Lagipun masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Apa yang pasti, niat saya nak kejutkan dia dengan berita kehamilan ini tak menjadi kerana terjumpa kit ujian kehamilan di rumah ketika saya bercuti bersama staf di Tioman,” kata Erra yang disahkan mengandung pada Julai lalu.

Utusan Malaysia

27
Sep

Saluran Syawal Astro


filem Anak Halal ditayangkan di Saluran Syawal Astro untuk mereka yang melanggan saluran 188, Astro.

Empat filem yang dijadual untuk berentap di Saluran Syawal Astro juga merupakan filem-filem yang pernah membawa pulang anugerah-anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21

DALAM usaha untuk meneruskan kegemilangan serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sempena kedatangan Syawal ini, Astro memperkenalkan saluran Syawal (saluran 188, Astro).

Saluran yang hanya beroperasi selama sebulan bermula 1 Oktober ini bakal menayangkan tujuh judul program hiburan menarik yang pastinya akan menghangatkan lagi sambutan Syawal anda.

Saluran Syawal Astro merupakan saluran perayaan yang menawarkan rakyat Malaysia lebih variasi kandungan sempena lebaran ini.

Para pelanggan bakal disaji dengan tujuh buah program yang meliputi lima filem baru, satu acara muzikal dan satu acara anugerah yang terkemuka dengan hanya melanggan pada harga RM7!

Para pelanggan Astro boleh mula melanggan Saluran Syawal Astro mulai 27 September ini (esok).

Filem-filem yang dipilih untuk mewarnai Saluran Syawal Astro ini bukan sahaja pernah mendominasi tayangan untuk filem-filem tempatan tetapi juga membawa pulang beberapa anugerah di Festival Filem Malaysia baru-baru ini.

Dan sudah tentu, tayangan paling eksklusif di Saluran Syawal Astro ialah pementasan P. Ramlee The Musical iaitu sebuah teater muzikal yang hebat diperkatakan bakal menemui penonton.

Bukan itu sahaja, bagi pengikut setia perkembangan dunia Bollywood, Film Fare Awards bakal ke udara bergilir-gilir bersama lima lagi filem-filem hebat di saluran istimewa ini.

Empat filem yang dijadual untuk berentap di Saluran Syawal Astro juga merupakan filem-filem yang pernah membawa pulang anugerah-anugerah di Festival Filem Malaysia ke-21 baru-baru ini.

Filem-filem tersebut ialah penerima bagi Anugerah Sinematografi Terbaik; Evolusi KL Drift, penerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Erynne Erynna); Congkak, penerima Anugerah Khas Juri (Filem Box Office); Duyung, penerima Anugerah Anugerah Pelakon Terbaik (Maya Karin) dan Anugerah Cerita Asal Terbaik; Anak Halal.

Jadi, pastikan anda tidak ketinggalan melanggan Saluran Syawal (saluran 188, Astro).

Utusan Malaysia

27
Sep

Rawatan ‘Herba’ Di D’Lugano Spa

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my


SUASANA spa seperti di kampung menenangkan jiwa.

Pelbagai kaedah menggunakan bahan semula jadi kembalikan kesejahteraan diri

ALANGKAH nikmatnya memanjakan diri di spa selepas menempuh hari yang memenatkan terutama selepas melalui minggu yang sibuk. Justeru, apa kata, berhujung minggu dengan memanjakan diri di pusat kecantikan atau spa yang menyediakan pelbagai rawatan istimewa.

Keindahan dekorasi dalaman ala kampung yang lazim menghiasi spa selain menghayati alunan muzik tradisional mencipta seribu ketenangan. Seperti di spa kecantikan D’Lugano milik artis, Diana Rafar, konsep tradisional kampung adalah elemen terbaik bagi mempromosi dan menghargai ramuan herba semula jadi.

Diana berkata, di D’Lugano hampir semua produk sama ada krim sapu, minyak urut, lulur, pupur atau apa saja yang digunakan dalam rawatan dihasilkan sendiri menggunakan herba dan rempah asli semula jadi.

“Saya lebih gemar membuat sendiri produk itu kerana hanya menggunakan herba, bunga, rempah asli yang dibancuh mengikut sukatan. Tanpa memerlukan bahan kimia seperti produk kecantikan lain, bahan semula jadi itu lebih sesuai kerana ia seakan sebati dalam masyarakat Asia.

“Malah, saya kini dalam proses membuat minyak lavender aroma terapi dengan menggunakan campuran serai wangi. Saya gemar menggunakan herba seperti itu kerana ia bukan saja menyedap dan mewangikan sajian makanan, tetapi turut memberi kebaikan pada mental dan rohani. Perancangan saya juga akan membuat minyak urutan aroma terapi sendiri menggunakan herba sama untuk kebaikan kulit,” katanya ketika ditemui di salunnya, baru-baru ini.


KONSEP dan susun letak ala tradisional mengingatkan kita di kampung halaman.

Antara rawatan istimewa yang ada di D’Lugano ialah perkhidmatan spa rambut atau mandian krim dan bekam. Rawatan spa rambut adalah yang paling istimewa D’Lugano kerana menggunakan ramuan limau purut, serai dan halia yang dibancuh sendiri untuk dijadikan krim rambut. Ramuan berkenaan bertujuan untuk mengharum, membaiki dan menyihatkan rambut supaya lebih bersinar.

Diana berkata, rawatan kecantikan yang ditawarkan di D’Lugano membabitkan rawatan kuku, rambut, badan dan wajah.

Paling menarik ialah pakej rawatan pengantin iaitu Putera&Puteri Sehari. Dengan pakej itu, kedua mempelai berpeluang membuat rawatan wajah, mandi wap, lulur badan, mandi susu, bunga atau rempah, rawatan kuku kaki dan tangan, rawatan rambut serta satu jam urutan badan.

“Selain itu, kita juga ada pakej rawatan lain iaitu Seri Bidadari, Gebu Berseri dan Manja Diri yang berharga antara RM160 hingga RM250. Banyak lagi rawatan lain yang boleh dinikmati iaitu rawatan kuku tangan dan kaki. Jika di salun kuku, bahan yang digunakan lebih kepada kimia, tetapi rawatan kuku di D’Lugano lebih ke arah tradisional, malah turut menyental bahagian kaki dengan lulur halia yang dihasilkan sendiri.


Rawatan kuku kaki atau tangan akan diberi lulur herba percuma pada bahagian berkenaan.

“Saya percaya ramai wanita dan lelaki kini gemar ke spa, malah ia bagaikan satu kemestian dalam kehidupan. Harga yang ditawarkan di D’Lugano berpatutan kerana mahu semua lapisan orang tidak kira bekerja atau belajar, kaya atau tidak mencuba rawatan spa kampung di D’Lugano,” katanya.

Sehubungan itu, Diana merancang untuk memperkenalkan kad keahlian VIP D’Lugano dengan harga pendaftaran RM400 dan mendapat tiga rawatan percuma. Selepas ahli mendapatkan tiga rawatan percuma itu, mereka boleh mendapatkan 25 peratus diskaun bagi setiap rawatan seterusnya dan bagi 10 kali rawatan akan menikmati rawatan percuma sekali.

Diana berkata, salun kecantikan D’Lugano dibuka sejak tujuh bulan lalu di Seksyen 13, Shah Alam. Beliau membuka spa berkenaan kerana sering mendambakan khidmat urutan selepas penat bekerja, sekali gus memberi inspirasi kepada Diana untuk membuka D’Lugano.

Berdasarkan pengalamannya itu, setiap kekurangan dan kelebihan yang dialami ketika melakukan rawatan di spa dibawa ke D’Lugano supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

INFO: Pusat kecantikan D’Lugano

Alamat: No 58, jalan renang 13/26, Seksyen 13, Shah Alam.

Telefon: 03 55111336

Kad keahlian VIP D’Lugano : RM400 (daftar) percuma tiga rawatan dan 25 peratus diskaun rawatan seterusnya. 10 kali rawatan + satu kali percuma

Rawatan:

Mandi bunga dan mandi susu (RM70)

Seri Bidadari – mandi wap, lulur, mandi susu/rempah (RM165)

Gebu Berseri – lulur susu, mandi susu, pupur badan, mandi bunga (RM220)

Manja Diri – mandi wap, lulur, mandi susu, urutan badan (RM230)

Puteri/Putera Sehari – rawatan wajah, mandi wap, lulur, mandi susu/bunga/rempah/, rawatan kuku tangan dan kaki, mandian krim dan sejak rawatan badan (RM500).

Bekam (RM15 satu cawan)

Berita Harian

27
Sep

Saman: Amy Anggap Dugaan Ramadan


AMY Search dan isteri, Nor Hasniza melihat keratan akhbar Kosmo pada sidang media mengenai isu saman terhadap beliau di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Sept. – Penyanyi rock terkenal, Amy Search menganggap kes saman seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ke atasnya merupakan dugaan di bulan Ramadan.

Menurutnya, meskipun terkejut dengan tindakan saman itu, dia dan isterinya, Nor Hasniza Hassan mengharapkan tindakan undang-undang yang diambil itu dapat diselesaikan secara baik.

“Selepas perkara itu dilaporkan di media, kami telah berusaha mencari keluarga kanak-kanak terbabit melalui bantuan media juga tetapi tiada jawapan.

“Bagi saya, perkara sebegini boleh dibawa berbincang. Tindakan mereka memfailkan saman itu amat mengejutkan kami,” katanya pada sidang akhbar di restorannya di Wangsa Maju, di sini hari ini.

Pada 24 September lalu, kanak-kanak berusia tiga tahun, Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir menyaman Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman selaku pemilik Restoran Laksamana Cheng Ho kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badannya melecur akibat terkena tumpahan kuah tomyam panas.

Nik Muhammad Zakwan memfailkan saman itu melalui bapanya, Nik Zahir Nik Mohd. Idris, 31, dan menuntut ganti rugi sebanyak RM300,000.

Kes tersebut dijangka disebut pada 26 November ini dan Amy diwakili oleh peguamnya iaitu Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Amy memberitahu, pada masa ini dia menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguamnya.

Ditanya apakah imej dan perniagaannya akan terjejas berikutan kes tersebut, Amy berkata : “Perkara ini baru berlaku jadi saya masih belum tahu bagaimana kesannya terhadap perniagaan saya. Tapi setakat hari ini peminat-peminat nampaknya memberi sokongan moral kepada saya.”

Sementara itu, Ahmad Zaharil berkata, pihaknya akan sedaya upaya mempertahankan hak anak guamnya serta merancang untuk membuat tuntutan balas kepada pihak tersebut.

“Kita akan cuba buat tuntutan balas sebab mahu mempertahankan maruah dan reputasi Amy. Semuanya akan kami lakukan dalam masa terdekat ini,” jelasnya.

Utusan Malaysia