Dengarnya… Ashraf Sinclair Masih Berteka-Teki
Posted by admin on October 9th, 2008
Oleh Normah Becok
TAHNIAH kepada Catriona Ross yang baru melangsungkan pertunangannya pada hari raya keempat di rumahnya di Kota Bharu, Kelantan. Iyerlah, dalam sibuk orang saling ziarah menziarahi, Catriona atau Cat pula ambil kesempatan untuk membuat majlis yang bersejarah dalam hidupnya. Tak sangka pula ketika sama-sama di Astro, si Shaharuddin Mokhtaruddin sempat main mata dengan Cat sehinggalah membawa kepada pertunangan dan InsyaAllah, disusuli dengan pernikahan tidak lama lagi.
Baguslah Cat. Kalau hati sudah sama suka, sudah ada keserasian, buat apa nak tunggu lama-lama. Lagipun, hajat yang baik dan mulia usahlah bertangguh-tangguh. Nanti takut tak jadi. Akhirnya, orang akan cakap ‘propa’ saja. Bercinta heboh satu dunia, tapi kesudahannya habuk pun tak ada.
etakat ini, yang sudah pasti tarikh majlis pernikahan ialah Nabila Huda dan pasangannya Edy pada 2 Disember ini. Yang masih lagi berteka-teki ialah Mawi dan Ikin serta Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari. Kalau majlis kahwin Mawi dicanang pada Disember ini, Ashraf pula dikatakan akan berkahwin pada bulan depan.
Ada satu sumber memberitahu Cik Normah yang Ashraf dan Bunga memilih 8 November sebagai hari bahagia mereka. Tetapi hingga saat ini, Ashraf masih berteka-teki dan diam seribu bahasa mengenai pengesahan tarikh itu.
Sewaktu Cik Normah menonton saluran Astro Awani melalui program Gala TV yang dihoskan Syazwan Zakaria beberapa hari sebelum nak raya, Ashraf masih tidak mengesahkan tarikh perkahwinan itu. Ketika dihubungi pihak Gala TV, Ashraf berada di Indonesia.
Tapi Cik Normah dapat tahu, majlis perkahwinan itu akan dilangsungkan di Indonesia. Ketika ini, Ashraf dan Bunga sedang membuat persiapan apa yang patut termasuk menempah penyanyi yang akan menghiburkan majlis mereka. Huyoo… sudah terang lagi bersuluh tapi tetap nak berselindung. Oklah Cik Normah nak jamah lemang dan rendang lagi ni walaupun kebaya ketat pilihan suami Cik Normah semakin sendat.
Berita Harian