Monumen Cinta Di Bali
Posted by admin on October 19th, 2008

ASHRAF dan Bunga bakal bernikah tiga minggu lagi.
ROMAN Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari bukan hanya mitos. Sebaliknya ia adalah sebuah romantika yang sedang mekar dan mewangi.
Dan loceng pun terus berdenting. Lewat cinta pandang pertama sekitar 2007 lalu yang datang tidak diduga, hubungan cinta dua negara ini kini akan disimpul dengan sebuah rencana besar. Pernikahan. Ya, Bunga dan Ashraf telah pun mengesahkan tarikh pernikahan mereka yang selama ini menjadi spekulasi.
Ahad minggu lalu, mereka dalam sebuah majlis di Jakarta, yang bukan diadakan khusus untuk membuat pengumuman tersebut akhirnya akur untuk menyatakan khabar gembira bahawa mereka akan bernikah pada 8 November depan.
Itu pun selepas penyanyi dan pelakon manis kelahiran Jakarta, Indonesia, Bunga atau juga mesra digelar BCL, 25, ini didakwa telah hamil terlebih dahulu. Justeru, hos juga pelakon kacukan dari Malaysia, Ashraf, si sang kekasih pun melamar untuk menikahi cinta hatinya itu.
Bunga dan Ashraf menafikan sekerasnya tuduhan melulu tersebut. Sebaliknya pasangan yang didakwa sudah bertunang pada Jun lalu ini memberitahu segala persiapan rapi telah dijalankan sejak tiga bulan lalu.
Hanya mereka belum bersedia untuk berkongsi berita gembira itu dengan khalayak kerana berasa terlalu awal, sehinggalah ia diumumkan pada minggu lalu.
“Bukan sebab hamil. Boleh lihat buktinya nanti. Tapi kerana kami saling mencintai dan bernikah itukan satu ibadat,” tegas Bunga dan Ashraf tentang perkahwinan yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia dan Kuala Lumpur kelak.
Sementara itu, sebelum pengumuman tidak sengaja itu diluahkan, jauh di Pulau Bali, pulau yang menyaksikan mereka pernah menimbulkan kontroversi dengan adegan bercium di pantai tidak lama dulu ini, Bunga dan Ashraf yang terlibat dalam filem perdana mereka, Saos Kacang, bercakap tentang romantika mereka berdua.
Asmara mereka juga jelas dipertontonkan di khalayak. Mereka juga tidak canggung untuk berpeluk, saling memandang dengan tatapan penuh cinta, saling membisikkan kata-kata ‘love you’, serta saling curi-curi cium pipi.
“Kami memang seperti ini. Tapi kami santai saja. Tapi tidak selalu harus mesra. Kadang-kadang, di lokasi, kami juga tidak selalu bersama. Tapi memang tidak pernah jauh. Paling jauh ya, lima meter,” kata Bunga sambil tertawa.
Penyanyi yang mendadak popular lewat hitnya Sunny (Cinta Pertama) ini mengaku sudah sangat serius dengan Ashraf sejak mereka bersetuju memateri hubungan sebagai kekasih pada Mei 2007. Jadi tiada sebab untuk dia menolak saat diajak bernikah dengan lelaki itu.

PASANGAN kekasih ini menghabiskan masa sebulan di Bali, Ogos lalu kerana penggambaran filem.
Ashraf pada mata Bunga merupakan seorang lelaki yang sangat tepat untuk dirinya.
“Hidup saya berubah secara total, malah jauh lebih baik sejak hadirnya Ashraf. Dia membawa cahaya dalam hidup saya. Kebiasaan saya jika menghadapi masalah adalah mengeluh.
“Namun ketika bersama Ashraf, dia selalu mengingatkan untuk bangkit dan jangan lari daripada masalah. Sejak itulah, saya merasa Ashraf begitu penting dalam hidup saya,” katanya serius.
Bunga pada Ashraf pula adalah seorang pemarah. Sifat itu kata Ashraf dikutip hasil sering bersama Bunga selama sebulan di pulau Bali gara-gara berlakon bersama.
“Kadang-kadang saya fikir, kenapa dia selalu marah dan ambil tidak endah dengan apa yang saya cakap kepadanya. Tapi lama-lama saya faham, itu memang Bunga,” katanya ketawa sebelum Bunga menafikan sifatnya itu.
Dia yang begitu manja di sisi Ashraf mendakwa gadis jika sedang tidak dalam mood memang mudah marah. Dia juga mengatakan kalau Ashraf juga sering melupakannya jika sedang bermain PSP (Playstation Portable).
“Namun mungkin perasaan saling memerlukan dan bergantung antara satu sama lain inilah yang membuat kita tidak terpisahkan sekarang,” tambah Bunga lagi.
Mengintai Vila di Bali
Kepulauan Bali telah menjadi saksi cinta mereka berdua. Sebulan sekali, Bunga dan Ashraf akan terbang ke pulau ini untuk bercuti.
Kerana terpesona dengan keindahan Bali, Bunga dan Ashraf memasang angan untuk memiliki sebuah vila di sini sebagai sarang cinta mereka selepas berumah tangga kelak.
“Saya dan Ashraf sudah lihat-lihat vila di sini. Kalau punya vila, kami kan bisa setiap saat ke Bali. Tapi ini baru sekadar angan dan cakap kosong saja,” kata Bunga sambil tertawa kecil.
Justeru begitu menyukai Bali, itu juga alasan yang membuatkan mereka berdua menerima tawaran SinemArt Pictures untuk terlibat dalam filem yang dijangka akan ditayangkan di Malaysia juga Indonesia sekitar awal 2009 nanti.
Bagi mereka, filem Saos Kacang ini menjadi sebuah kenangan bagi perjalanan cinta mereka. “Katakanlah kalau filem ini tidak jadi tayang pun, tidak mengapa buat saya. Kerana yang penting, filem ini bakal menjadi monumen cinta kami berdua yang akan dikenang selalu.
“Misalnya nanti kalau ada VCD atau DVDnya, akan kami simpan, untuk kenangan kami untuk masa 10 tahun mendatang,” kata Ashraf sambil menolak untuk berasa diri dan cinta mereka dimanipulasi untuk filem ini.

Dia kemudian menambah, kesempatan berlakon dalam filem yang menjalani penggambaran di Pura Jro, sekitar Nusa Dua, Pantai Gerobokan, Tanah Lot, Desa Penglin, Bagli, Pantai Geger, serta Lapangan Terbang Ngurah Rai ini memberi ruang buat mereka mengenali peribadi masing-masing dengan lebih dalam lagi.
“Dengan bermain dalam filem ini, saya mengenal Unge dengan lebih dekat. Saya juga ingin dia mengenal saya lebih dalam lagi. Kadang-kadang penat, tegang, senang, dan tertekan.
“Itu semua dalam waktu satu bulan ini. Tetapi memori ini akan di bawa terus ke kehidupan kami mendatang,” tambah Ashraf yang berada di Bali sepanjang Ogos lalu untuk menyudahkan filem ini.
Kosmo