Brad Pitt Dicekup
Posted by admin on November 13th, 2008

LOS ANGELES – Aktor terkenal, Brad Pitt (gambar) dicekup dan hampir tidak dibenarkan memasuki lokasi tayangan perdana filem terbarunya, lapor sebuah akhbar semalam.
Semuanya berlaku gara-gara seorang pengawal keselamatan gagal mengenali Pitt yang cuba menyelinap untuk menyaksikan tayangan filem The Curious Case of Benjamin Button di sebuah teater di Los Angeles pada Isnin lalu.
Beberapa saksi menyatakan seorang pengawal keselamatan menyangka aktor berkenaan ialah seorang jurugambar paparazi kerana dia memakai topi dan memiliki misai palsu.
Keadaan itu menyebabkan pengawal keselamatan tersebut menyambar tangan dan memusingkan badan Pitt sebelum cuba menolaknya ke sebuah dinding.
“Kami semua menyangka bahawa pengawal keselamatan itu menganggap bahawa Pitt ialah seorang jurugambar kerana dia mencekup aktor itu dengan agresif,” kata seorang jurugambar yang menyaksikan kejadian tersebut.
Pitt yang merupakan kekasih aktres jelita Angelina Jolie bagaimanapun, masih mampu ketawa selepas insiden tersebut dan menyatakan dia tidak menyimpan dendam terhadap pengawal keselamatan itu.
“Walaupun mereka (paparazzi) kini lebih agresif daripada biasa, menyelinap dan membolosi kawalan keselamatan untuk memasuki kawasan persendirian, merupakan tugas harian mereka,” kata Pitt. – Agensi
Kosmo