Tegar Menelan Kritikan
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

KRITIKAN yang diterima bukan menjadikan dirinya seorang yang kalah. Dia sebaliknya bangkit menelan kritikan yang sering dilontarkan terhadapnya.
Dia seorang yang cantik, berbakat dan sanggup bekerja keras. Itu antara faktor yang berjaya melonjakkan dirinya muncul sebagai salah seorang pelakon drama yang dikenali ramai sekarang ini.
Mula muncul dengan drama berjudul Dilema Wanita pada tahun 2005, selangkah demi selangkah Ayu Raudhah Che Wan mula mengasah bakatnya melalui drama-drama tempatan sehingga membuatkan dia kini menjadi buruan penerbit mahupun pengarah.
Apatah lagi bila watak gadis lemah-lembut dan baik terlalu sinonim dengan dirinya di layar kaca, Ayu tampak kukuh dengan identiti tersendiri.

Sudah suratan dirinya apabila menceburi bidang yang juga diterokai kakaknya, Rozita Che Wan yang tidak dinafikan kejelitaannya, dan kelebihan Rozita ialah dia terlebih dahulu menempa populariti berbanding Ayu.
Namun, Ayu tidak menjadikan kritikan tersebut sebagai suatu elemen negatif yang mampu melemahkan semangatnya dalam dunia lakonan.
Sebaliknya, Ayu menjadikan kritikan itu sebagai suatu kekuatan buat membina dan mengembangkan lagi karier lakonannya.
Dan kerana kritikan itu jugalah timbul semangat dalam dirinya untuk menolak segala kritikan tersebut untuk menceburi dunia sama dengan Rozita.

MIOR HASHIM MANAP
Inilah medan yang boleh dijadikan peminat mereka untuk menilai sendiri perbezaan bakat lakonan yang ada pada dirinya dan Rozita.
Bagaimanapun, ini tidak bermakna Ayu sengaja mahu menunjuk-nunjuk perbezaan sebenar antaranya dan Rozita.
Cuma, dia sebenarnya begitu teringin mendapatkan watak adik-beradik bersama Rozita. Dengan itu, Ayu dapat merasakan kerjanya pasti seronok bila sentiasa didampingi oleh kakak tersayang yang dipanggil dengan nama ringkas, Kak Ita.
Mengulas mengenai perkara itu, beritahu Ayu, “Memang orang sering membandingkan bakat saya dan Kak Ita. Itu tidak salah. Cuma saya bersyukur Kak Ita sering menjadi pembimbing dalam membina kerjaya saya.

DARI MATA ARISA sarat dengan kisah cinta, keluarga dan kasih sayang.
“Walau apa pun saya selalu berangan-angan yang suatu hari nanti kami dapat berlakon bersama sebagai adik dan kakak. Mesti seronok kalau impian itu jadi kenyataan. Maklumlah, bila dah adik-beradik berjumpa, perangai gila-gila mulalah keluar.
“Dan saya rasa, inilah masanya untuk kami lebih bermesra. Biasalah kalau dah masing-masing sibuk, susah kami nak berjumpa walaupun sekejap,” katanya meluahkan keinginan tersendiri.
Berlakon dengan diri sendiri
Namun peluang untuk Ayu bergandingan dengan Rozita nampaknya belum menjelma. Biarpun begitu Ayu berpeluang berlakon dengan dirinya sendiri menerusi drama rantaian arahan Mior Hashim Manap dalam produksi terbaru terbitan Bright Network Sdn. Bhd., Dari Mata Arisa.
Tidak melihatnya sekadar suatu tawaran lakonan biasa, ia ternyata memberi sedikit cabaran kepadanya, apatah lagi apabila terpaksa menghayati dua watak yang berbeza.Satu pendedahan baru buatnya kerana inilah saat dan ketika buat Ayu bagi membuktikan bakat yang dimilikinya.
“Pada mulanya, agak sukar untuk saya membawakan dua watak yang berlainan kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan penghayatan yang berbeza.

PELAKON-pelakon yang mendapat kepercayaan Raja Alawiyah dan Mior bagi menjayakan drama rantaian ini.
“Namun, dengan bantuan pelakon-pelakon lain serta pengarahnya, abang Mior, saya dapat membawakan watak ini seperti yang dikehendakinya.
“Elok juga belajar dari dia. Banyak ilmu boleh dapat. Ditambah pula dengan pengalamannya sepanjang berada di bidang ini, banyak yang diajar olehnya,” ujarnya.
Persepsi skeptikal masyarakat
Menyelami Dari Mata Arisa yang diadaptasi daripada novel karya Bikash Nur Idris, Kau Sayangku, ia mempunyai mesej tersendiri dalam mengubah persepsi skeptikal segelintir masyarakat tentang wanita yang sering diperlekehkan.
Drama 40 episod yang telah pun ke udara setiap Isnin, pukul 9 malam di RTM1 sejak 3 November lalu bagaimanapun masih kelihatan klise kerana mengangkat elemen yang telah biasa ditonjolkan sebelum ini.
“Saya tahu drama-drama saya kebanyakannya cerita yang ditonjolkan lebih kurang sama sahaja iaitu mengangkat martabat wanita,” akui penerbit Dari Mata Arisa, Raja Alawiyah Raja Lop Idris.

RAJA ALAWIYAH penerbit wanita prolifik yang berhati waja.
Namun dia mempunya hujah tersendiri kenapa dan mengapa sering menjadikan wanita sebagai medium bercerita dalam karya terbitannya.
“Cuba fikirkan, jika saya sebagai penerbit wanita tidak buat cerita macam ini, siapa yang akan buat? Menerusi drama ini saya lebih tonjolkan watak Arisa sebagai wanita sopan santun yang tahu membawa diri dan tidak mudah dikaburi dengan kekayaan lelaki yang cuba mengejar cintanya.
“Apa yang diperlukannya bukanlah harta, tetapi sebuah cinta sejati yang mampu memberi kebahagiaan kepadanya hingga akhir hayat,” beritahu penerbit yang sememangnya cukup terkenal dalam melahirkan drama berunsur feminisme ini.
Apa yang menarik, karya ini mengembalikan semula Mior Hashim Manap sebagai pengarah drama selepas sekian lama mendiamkan diri.
Selain Ayu, Dari Mata Arisa mempertaruhkan nama-nama yang sudah dikenali seperti Ashraf Muslim yang melakonkan watak Eddy, Syed Aiman (Akif), Maizurah Hamzah (Maliah), Kenchana Devi (Shamala) dan Mahmud Ali Basha (Muhammad).
Mengulas soal tanggungjawab, menurut Mior dia terpaksa menyesuaikan diri dengan konsep dan gaya pengarahan terkini drama tempatan kerana hampir tiga tahun dia tidak mengarah.

AYU RAUDHAH kepingin berlakon bersama kakaknya, Rozita Che Wan.
“Saya merasakan ia lebih sofistikated. Sekarang ini, cara penyampaian drama perlu lebih cepat seperti mana kita menghasilkan klip video muzik. Itu satu cabaran yang perlu saya hadapi.
“Bagaimanapun, istilah puas hati tidak pernah ada dalam diri saya kerana saya tahu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi untuk drama rantaian ini, saya sudah melakukan yang terbaik dan saya harap penonton puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.
Kosmo