Skip to content

Archive for November 2008

24
Nov

Bertuah Dengan Si Dia



Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Diana Rafar sentiasa mengharap hubungannya bersama Zamarul Hisyam berakhir dengan kebahagiaan berkekalan

KISAH cinta antara Diana Rafar dengan Zamarul Hisyam bukanlah perkara rahsia lagi. Cerita itu juga bukanlah baru, tetapi sudah berputik sejak enam tahun lalu.

Pada tahun 2006, hubungan Diana, 26 dan Zamarul bergoncang seketika apabila dia dikaitkan dengan Bintang Paling Popular, Mawi.

Gosip antara Diana dan Mawi pada waktu itu memang memberi kesan dan hampir menggugat hubungannya dengan Zamarul.

Zamarul ketika menerima trofi Pelakon Drama Terbaik di Anugerah Skrin 2008 sempat mengucapkan terima kasih kepada ‘si dia’ yang kemudian menimbulkan tanda tanya kepada banyak pihak.

Ketika majlis meraikan tetamu selepas selesainya Anugerah Skrin 2008, Zamarul ditanya Hip, siapakah ‘si dia’ yang dimaksudkannya. Sambil tersenyum, dia berpaling ke arah Diana sebagai tanda ‘jawapan’ siapakah si dia itu. Hakikatnya, di majlis itu, Zamarul datang tidak keseorangan. ‘Si dia’ inilah yang menemaninya selain Linda Rafar dan suaminya, Syed Aiman.

Dalam pertemuan dengan Hip, Diana mengakui, dia dan Zamarul memang pernah merancang untuk berkahwin pada penghujung tahun 2006, namun gosip liar yang menghambat dirinya pada tahun yang sama sudah membantutkan niat mereka.

Justeru, pada saat ini baik Diana mahupun Zamarul, mereka hanya berserah dan berharap impian untuk hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri menjadi kenyataan.

Menurut Diana, sejak mengenai Zamarul pada tahun 2002, dia sudah lali diajukan pertanyaan mengenai perkahwinannya dengan pelakon itu.

Bahkan, ada juga yang mengandaikan hubungan mereka sudah terputus di tengah jalan sedangkan hakikatnya cinta mereka masih lancar.


Diana dan Zamarul.

Buktinya, Zamarul sendiri sendiri muncul sewaktu sesi fotografi ini dijalankan.

“Semuanya saya serahkan kepada soal jodoh dan takdir. Insya-Allah, kalau sampai jodoh kami berdua, kami pasti kahwin. Bukan apa takut pula kalau merancang, bimbang tak menjadi pula. Kami sudah melalui fasa bercinta dalam tempoh yang agak lama dan ada kalanya kesibukan masing-masing membuatkan kami tidak berjumpa.

“Tengoklah sendiri tadi, kalau kami berjumpa depan mata sekalipun, tidak sempat berborak.

“Tapi selalunya masa terluang kami termasuk ahli keluarga saya yang lain banyak dihabiskan di sini (Shah Alam). Tapi saya bertuah kerana dia (Zamarul) seorang yang sangat mengambil berat,” kata Diana yang terbabit mengikat kontrak hingga tahun depan sebagai model iklan produk syampu bersama Fouziah Gous.

Kata Diana, kalau Zamarul ada masa terluang, dia memang akan singgah ke premis pusat kecantikan D’Lugano miliknya di Seksyen 13, Shah Alam

Menariknya, bukan Diana saja menjalankan perniagaannya di situ, anak saudaranya membuka butik The Closet, manakala kakaknya, Linda berniaga di Jom Lepak Cafe menjadikan hampir sederet rumah kedai ini seperti ‘ditakluki’ keluarga Rafar.

Dan, bagi Diana sendiri, rezeki datang tanpa diduga apabila dia kini mengikat kontrak untuk menjadi duta produk kesihatan Al Jabbar bersama Zamarul.

Menunggu tawaran berlakon filem

Mula berlakon sejak di usia lima tahun, Diana juga pernah mencatat profil seninya sebagai penyanyi dengan menubuhkan kumpulan GIM (Girls In Music) pada 1999 dan kemudiannya melahirkan album duet bersama Linda.

Ketika itu Linda dan Diana meledak dengan lagu Hak Milik Kekal. Aktif berlakon drama tetapi Susuk adalah filem pertama yang dibintanginya sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan.

Kemunculan Diana Rafar sebagai antara pelakon utama dalam filem Susuk yang ditayangkan pada 7 Ogos lalu, mendapat pujian ramai.

Malahan selepas filem itu, dia disebut-sebut sebagai antara pelakon yang mempunyai potensi besar untuk melebarkan bakatnya di layar perak. Bahkan, Diana juga mengaku beraksi untuk filem memberi kepuasan tidak terkira berbanding dengan aksinya dalam drama.

“Sejak berlakon filem, baru saya faham erti sebenar dunia lakonan. Melalui filem itu, saya mendapat pendedahan yang sangat besar mengenai pelbagai aspek seni. Bayangkan untuk berlakon filem, sesi latihannya mengambil masa yang berbulan-bulan. Untuk watak saya saja, saya turut diajar cara pergerakan berjalan.

“Saya ada menerima tawaran berlakon filem sebelum Aidilfitri lalu, tapi disebabkan sibuk membuat persiapan raya dan pihak yang terbabit itu diam, akhirnya tawaran itu hilang begitu saja. Saya harap andai ada rezeki untuk berlakon filem lagi pada masa mendatang, biarlah filem itu lebih baik daripada Susuk dan bukan hanya ala kadar saja,” kata Diana yang baru saja selesai penggambaran telefilem berjudul Kasihnya Yang Kian Pudar bersama produksi Grand Brilliance Sdn Bhd.

Tidak lagi mengharap 100 peratus kepada bidang lakonan, Diana kini sudah bergelar usahawan berjaya menguruskan spa D’Lugano yang sudah beroperasi sejak 10 bulan lalu. Impiannya kini untuk membuka cawangan D’Lugano dan ingin terus komited meneruskan perniagaan yang diminatinya ini.

Paling istimewa, segala susunan dan hiasan dalaman di premisnya ini diilhamkan sendiri oleh Zamarul.

Menurut Diana, sebelum Zamarul berlakon, dia pernah menjadi pereka hiasan dalaman dan bakat yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencantikkan spa Diana. Seperkara yang membanggakan Diana kerana dia mempunyai rangkaian produk sendiri seperti minyak lulur, minyak aroma terapi dan jamu Mak Dara yang mendapat sambutan di kalangan selebriti.

“Alhamdulillah maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Tambahan pula, di sebelah spa saya terdapat sebuah kedai yang menjual peralatan sukan golf dan secara tidak langsung, pelanggan yang ke situ akan singgah ke spa saya, termasuklah mereka daripada kalangan VIP. Pembabitan saya ini antara satu jaminan pada masa depan yang tidak boleh bergantung sangat kepada industri seni yang tidak menentu, turun naiknya.

“Lihat saja contoh terdekat, ada di antara pelakon veteran di negara kita yang tidak dihargai di saat usia mereka semakin lanjut. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur masih ada tuah dan tidak pernah dipinggirkan di dalam industri. Namun, sebagai persediaan tumpuan saya kini juga beralih kepada perniagaan ini dan berharap supaya rezeki itu akan terus berpanjangan,” katanya.

Sepintas Diana Rafar

Spa: Ramai rakan artis yang datang ke spanya seperti Dynas, Raja Azura, Fazura, Mila, Ziana Zain, Fouziah Gous dan ramai lagi. Menurut Diana, dia sangat menghargai sokongan mereka.

Zamarul: Seorang lelaki yang terlalu mengambil berat mengenai dirinya hingga kadang-kadang boleh merimaskan dirinya. Menurut Diana, Zamarul selalu menasihati dirinya berkaitan soal kehidupan, suka dan duka. Dia pandai mengambil hati dan selalu memberikan hadiah kepada Diana. Tambah Diana lagi, ada kalanya orang mula salah sangka dan syok sendiri dengan sikap peramah Zamarul.

Minyak aromaterapi: Dijual dengan harga RM16.90 dan mempunyai dua bauan. Yang pertama, bauan untuk menenangkan suasana dan bauan kedua bagi mengatasi masalah kekeluargaan dan hubungan intim.

Gosip: Ia secara tidak langsung akan mempopularkan seorang artis itu dan ada kalanya mampu menjatuhkan nama artis itu. Terpulang kepada bagaimana pendekatan gosip itu diterima.

Dunia lakonan: Ibarat jiwa dan cintanya tapi kini lakonan sangat mematangkan dirinya.

Nyanyian: Bidang yang menarik dan senang dapat duit dalam waktu yang singkat membuat persembahan dan tidak panjang durasi masanya seperti berlakon.

Profil

NAMA PENUH: Adiana Abd Rafar

NAMA KOMERSIAL: Diana Rafar

TARIKH LAHIR: 9 Mei 1982

ASAL: Kampung Pandan, Kuala Lumpur

BINTANG: Taurus

HOBI: Mendengar muzik, memerap dalam bilik dan melakukan perawatan spa

DRAMA: Mencari Ibu (waktu itu usianya baru mencecah 5 tahun), Diari, Mimpi, Sempadan Kasih, Ezora

FILEM: Susuk

INFO

Pusat kecantikan D’Lugano

Idea menamakan perniagaan spanya sebagai D’Lugano terbit ketika mendapat cadangan daripada seorang pakar motivasi. Ia diambil bersempena dengan nama sebuah tasik di Switzerland yang sangat cantik dan tenang. Sebagai simbolik kepada hal itu, Diana menjelmakan ia kepada perniagaan yang diusahakannya kini.

Solekan: E’Sham (012-2869864)

Tajaan Busana: The Closet, No 76, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13, 40100 Shah Alam (016-2269404) atau (03-55199989)

Berita Harian

24
Nov

Lagu Etnik Kreatif Semakin Susut

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Sebanyak 34 lagu dari tiga kategori mula berentap di peringkat separuh akhir untuk merebut slot Anugerah Juara Lagu TV3

KEKURANGAN lagu ciptaan terbaru akibat kesuraman pasaran muzik memberi kesan ketara terhadap jumlah lagu yang menyertai program Muzik Muzik terbitan TV3.

Penutupan dan penggabungan syarikat rakaman selain kecenderungan menerbitkan single berbanding album penuh turut menyumbang kepada kemerosotan lagu-lagu ciptaan terbaru.

Paling ketara ialah lagu-lagu terbaru untuk genre Etnik Kreatif yang semakin hari semakin berkurangan. Selain faktor kelembapan pasaran muzik dan penghasilan single, langkah stesen radio popular yang terlalu memilih dan enggan menyiarkan lagu bercorak Etnik Kreatif ini dipercayai turut menjadi penyumbang sampingan kepada kekurangan lagu ciptaan terbaru.

Betapa besarnya kesan kekurangan lagu Etnik Kreatif ini diakui sendiri oleh Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studio, Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria.

Menurutnya, daripada 300 lagu yang menyertai program ini, hanya 34 saja daripadanya adalah lagu-lagu dalam kategori Etnik Kreatif.

“Kekurangan penyertaan kali ini mungkin bertitik tolak kepada keadaan industri hiburan semasa yang suram dan daripada label syarikat rakaman yang ada daripadanya sudah tutup dan bergabung dengan syarikat lain. Penerbitan album juga lebih terarah kepada menghasilkan lagu single.

“Jika tahun sebelum ini, industri meriah dengan kehadiran dua tiga album sekali gus, namun dengan pasaran sekarang tidak menentu maka strategi merakamkan lagu single lebih diutamakan.

“Bagaimanapun, keadaan ini tidak memberi kesan sangat kepada penerbitan Muzik-Muzik kerana masih ada lagu yang daripada kategori Pop Rock dan Balada masih mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Cuma daripada kategori Etnik Kreatif, ia semakin berkurangan kerana tidak ramai artis yang ingin membikin album sedemikian. Kita menerima lebih 300 buah lagu, namun hanya lebih 180 hingga 200 lagu saja layak untuk memasuki Muzik – Muzik,” katanya dalam sidang media mengumumkan senarai lagi yang berjaya ke peringkat separuh akhir bagi semua kategori di Sri Pentas TV3, baru-baru ini.

Peringkat akhir Anugerah Juara Lagu TV3 kali ini akan diadakan pada 18 Januari tahun depan.

Antara pencipta dan penulis lirik yang karya mereka tersenarai ke peringkat separuh akhir Ajai dan Allahyarham Loloq menerusi lagu Doa Dalam Lagu, M Nasir dan Seth dengan lagu Jarak Rindu; Adnan Abu Hassan dan penulis lirik, Faris dengan lagu Puteri Tarian Kasih; Radeen Sri/Hairul Anuar Harun (Pujangga Merindu), Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya (Lambaian).

Antara komposer dan penulis lirik kategori Balada Azalea dengan lagu Teman Terulung, Aubrey Suwito/Habsah Hassan (Hanya Di Mercu), Audi Mok/Faizal Tahir (Sampai Syurga), Azlan Abu Hassan/Azalea (Dingin), Edry Abd Halim (Bila Terasa Rindu), Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya (Sejauh Ini) dan Zetty/Abie Abdullah (Ada Untukmu).

Bagi kategori Pop Rock pula, antara lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir ialah Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan lirik oleh Ad Samad, Cinta Si Rama Rama (Edrie Hashim), Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq), Lagu Untukmu (Taja, Tass, Lan), Mabuk (Tam/Loloq) dan Separuh Masa (Edry Abd Halim).

Seperti tahun lagu, hampir semua lagu yang dipertandingkan ke peringkat separuh akhir dinyanyikan oleh penyanyi dari program realiti televisyen seperti One In A Million (OIAM), Akademi Fantasia (AF), Malaysian Idol, Gang Starz dan Akademi Nasyid.

Antara mereka ialah Mawi, Heliza, Dafi, Aizat, Nubhan, Dina, Faizal Tahir, Aiman, Azfar, Stacy, Fazli Zainal, Ayu, Mila dan The Lima. Begitu juga dengan kumpulan Estranged yang mana vokalisnya, Rich pernah menyertai Akademi Fantasia musim keempat. Estranged juga mencatat sejarah pada AJL 22 apabila menjuarai kategori Pop Rock dan keseluruhan (Juara Lagu) menerusi lagu Itu Kamu.

“Penguasaan penyanyi dari program realiti ini bukanlah bukan sesuatu yang perlu dijadikan isu. Ini kerana AJL bukan mempertandingkan penyanyi sebaliknya karya lagu itu sendiri.

“Kehadiran penyanyi baru ini patut digalakkan kerana mereka penyambung warisan penyanyi sedia ada,” kata Fadzlinina yang menekankan corak penjurian masih dikekalkan formatnya seperti tahun terdahulu.

Menurutnya, ada beberapa lagu yang pada mulanya tersenarai di bawah kategori tertentu sama ada Etnik Kreatif, Balada atau Pop Rock dan akhirnya ditukar kategorinya. Ia menjawab persoalan kepada beberapa lagu yang berubah kategori pada saat akhir sebelum berlangsungnya separuh akhir.

“Sebelum separuh akhir, pihak kami mendengar kembali lagu yang tersenarai dan kadang kala berlaku perubahan. Panel yang terbabit akan memutuskan kategori yang mana sesebuah lagu itu patut diletakkan mengikut keserasian,” katanya ketika ditemui selepas sidang media ini di perkarangan Sri Pentas.

Info Muzik- Muzik Separuh Akhir

Tahun ini juga menyaksikan lima pencalonan lagu membabitkan Allahyarham Loloq atau Rosli Khamis menerusi lirik lagu Doa Dalam Lagu, Bila Nak Saksi, Bukti, Mabuk, Aku Lebih Tahu.

Faizal Tahir, Mila dan kumpulan Spider masing-masing dicalonkan untuk dua buah lagu. Spider (Bila Nak Saksi dan Mabuk), Mila unggul di kategori Pop Rock menerusi lagu Mila Bila Cinta dan Aku Lebih Tahu mana kala Faizal Tahir mempertaruhkan lagu Sampai Syurga dan Cuba dalam kategori Balada.

Masih mengekalkan gandingan serasi Cheryl Samad dan Faizal Ismail sebagai pengacara.

Dipancarkan secara langsung di TV3 dan Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral jam 9 hingga 10.30 malam.

Dimulakan dengan kategori Etnik Kreatif pada 28 November, Balada (5 Disember) dan Pop Rock (12 Disember)

Tiket percuma boleh diperoleh di Balai Pengawal Sri Pentas Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2 mulai 24 November ini.

Sidang produksi Muzik-Muzik terdiri daripada Khalijah Mohamed (Penerbit Eksekutif), Roslina Abd Rahman (Penerbit), Nor Shafina Ahmad (Penolong Penerbit), Intan Suraya A Kadir (Pengarah Etnik Kreatif), Annie Safinas Hassan (Pengarah kategori Balada) dan Farina Pahruddin (Pengarah kategori Pop Rock)

Sepintas Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu

Mula disiarkan pada 2 Mac 1986 jam 8.30 malam.

Dulu undian dilakukan melalui akhbar dan bukannya SMS.

Tahun 1992, Carta 20 mula diperkenalkan sebelum disaring ke peringkat separuh akhir.

Penampilan band dalam peringkat AJL sememangnya meriah lebih-lebih lagi ketika era 90-an. Mungkin ramai masih ingat dengan kumpulan seperti Freedom, Steps, Gersang, Medicine, Illusi, Blackrose, Damasutra dan Dinamik.

Senarai lagu dan penyanyi mengikut turutan persembahan

Senarai Lagu Kategori Etnik Kreatif

1) Doa Dalam Lagu (Komposer: Ajai/Lirik: Loloq) Penyanyi – Mawi dan Heliza

2) Jarak Rindu (M Nasir/Seth) – Azfar

3) Puteri Tarian Kasih (Adnan Abu Hassan/Faris) – Anis Aneesa

4) Pujangga Merindu (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun) – Syura

5) Songo (Edrie Hashim/Ahmad Farid) Amy Search

6) Persoalan Cinta (Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley) – Farawahida

7) Panas (Cat Farish/Adeeb) – Ifa Raziah

8) Dusta Berkalang (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya) – Aiman

9) Mengharap Sinar (Dior/Khairafik) – Dior

10) Lambaian (Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya) – Fazli Zainal

Senarai Lagu Kategori Balada

1) Teman Terulung (Azalea) – Anuar Zain

2) Hanya Di Mercu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan) – Ayu

3) Lagu Kita (Aizat) – Aizat

4) Sampai Syurga (Audi Mok/Faizal Tahir) – Faizal Tahir

5) Tanpa (Gjie/Wan) – 6ixth Sense

6) Bila Nak Saksi (Tam/Loloq) – Spider

7) Dingin (Azlan Abu Hassan/Azalea) – Ziana Zain

8) Cuba (Audi Mok/Faizal Tahir) – Faizal Tahir

9) Bila Terasa Rindu (Edry Abd Halim) – Dafi

10) Cinta Terhalang (Sharon Paul/Shimy) – Bob

11) Ada Untukmu (Zetty/Abie Abdullah) – Nubhan

12) Sejauh Ini (Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya) – Dina

Senarai Lagu Kategori Pop Rock

1) Separuh Masa (Edry Abd Halim) – The Lima

2) Aku Stacy (Intan Norul Azlin/Layla Ismail) – Stacy

3) Kalis Rindu (Aidit Alfian/Ad Samad) – Elyana

4) Mila Bila Cinta (Audi Mok/Ad Samad) – Mila

5) Cinta Si Rama-Rama (Edrie Hashim) – Hattan

6) Ku Merindu (Datuk Syed Elias/Syed Ahmad) – Ella & Shah

7) Aku Lebih Tahu (Ajai/Loloq) – Mila

8) Bukti (Tony Iskandar/Loloq) – Fiq

9) Rimas (Cat Farish/Roxy Tail) – The Fabulous Cats

10) Yang Pernah ( Estranged) – Estranged

11) Lagu Untukmu (Taja, Tass, Lan) – Meet Uncle Hussain

12) Mabuk (Tam/Loloq) – Spider

Berita Harian

23
Nov

Pak Engku Jaga Amanah Pelanggan

Oleh NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my

MEMPUNYAI hati ‘besar’ dan berani menanggung risiko adalah kunci kejayaan Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku, 48, dalam membangunkan perniagaan Kuzie Catering & Wedding yang sering menjadi pilihan ramai.

Kejayaan yang dikecapi hari ini bukan diperolehi dengan jalan mudah, sebaliknya didampingi usaha gigih dan minat mendalam dalam bidang yang dilakukan.

Pak Engku begitu mementingkan kualiti dan menjaga ‘amanah’ yang diberi pelanggan sebaik mungkin. Ia juga faktor yang menjadi aset penting untuk perkhidmatan beliau terus dipercayai dan bertahan sebagai satu jenama penyedia katering yang mempunyai reputasi membanggakan.

Kuzie Catering yang ditubuhkan 15 tahun lalu terus unggul biarpun banyak penyedia katering tumbuh macam cendawan selepas hujan. Ia menjadi pilihan bagi acara besar anjuran sektor korporat dan kerajaan, selebriti dan orang kenamaan.

Pak Engku yang digelar chef selebriti pernah mengendalikan majlis perkahwinan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura dan kini, Mawi dan Ekin. Biarpun sudah dikenali dan mempunyai nama besar dalam bidang itu, Pak Engku tetap mengambil tempahan untuk acara kecil serta majlis amal.

“Saya tidak tetapkan harga dan mudah bertolak ansur mengikut kemampuan pelanggan termasuk bagi majlis amal. Inilah satu-satunya katering yang tidak ada pemasaran kerana pelanggan boleh terus menghubungi saya untuk tempahan,” katanya.

Menelusuri jejak hidupnya, lima belas tahun lalu, Pak Engku hanyalah seorang budak kampung yang bekerja sambilan sebagai pelayan pejabat di sebuah kementerian selepas selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurutnya, beliau jenis yang tidak suka menganggur walaupun sehari dan kerana itu, cuti dua bulan ketika menunggu keputusan peperiksaan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman kerja.

Anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak mahu menyusahkan ibunya yang bergelar ibu tunggal selepas kematian bapa ketika beliau berusia empat tahun. Ibunya, Raja Halimah Raja Bagus, (meninggal dunia empat tahun lalu) bekerja sebagai tukang masak istana bagi menyara mereka sekeluarga.

Pak Engku meneruskan pekerjaan sebagai pelayan pejabat selama dua tahun dan pada masa sama, bekerja sambilan sebagai pelayan hotel di Petaling Jaya bagi menikmati kehidupan lebih selesa.

“Gaji RM135 pada 1987 sebagai pelayan pejabat tidak dapat menampung kehidupan selesa, cuma lepas untuk makan. Ini menyebabkan saya melakukan dua pekerjaan pada satu masa dan dalam sebulan, mampu memperolehi RM600 hingga RM700,” katanya.

Beliau kemudian mendapat tawaran kerja sebagai kerani di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Di sana, beliau belajar bersikap ramah, bekerja dengan jujur dan amanah. Pak Engku memberi perkhidmatan yang baik dan disenangi ramai.

Waktu di pejabat Exco Selangor itu, Pak Engku sudah mula berniaga kecil-kecilan dengan mengambil tempahan katering dari pejabat serta pihak luar.

Beliau kemudian mendapat tender kantin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sejak itu mula dikenali dalam dunia katering.

Dua tahun mengusahakan kantin UiTM, Pak Engku mendapat katering pertama yang besar daripada Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang ketika itu menjadi menteri besar Selangor.

Sejak itu, namanya lebih dikenali, ditambah dengan pengiklanan cara mudah dan berkesan yang dilakukannya iaitu mengedarkan 10,000 hingga 12,000 tisu ketika majlis berlangsung.

Kuzie Catering terus mendapat kepercayaan mengendalikan acara besar pada zaman menteri besar Selangor seterusnya iaitu Tan Sri Abu Hassan Omar dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo sehinggalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau tidak menyangka biarpun pemerintahan kerajaan Selangor bertukar pucuk pimpinan parti, khidmat katering beliau terus mendapat kepercayaan mengendalikan acara, misalnya majlis rumah terbuka Aidilfitri pada Hari Raya pertama anjuran kerajaan negeri, baru-baru ini.

“Saya fikir balik, orang pilih Kuzie Catering bukan sebab politik, tetapi atas dasar profesionalisme saya dalam bidang ini.

“Saya tidak menyangka, daripada seorang budak kampung, saya kini dapat berkenalan dan bertemu pemimpin tertinggi, selebriti, bintang filem dan ahli sukan luar negara kerana mengendalikan perkhidmatan ini.

“Kejayaan yang dikecapi bukan dengan jalan mudah, tetapi disebabkan usaha gigih dan kesungguhan,” katanya yang turut mendapat tempahan katering daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Menurutnya, beliau tidak mengambil katering banyak dalam satu masa bagi menumpukan sepenuh perhatian pada tempahan yang diterima pada waktu itu.

“Jika ada pihak yang minta pada waktu yang sama, saya akan tolak cara baik,” katanya.

Ditanya pengalaman pahit yang pernah ditempuh sepanjang mengendalikan katering, Pak Engku berkata, beliau terlupa yang pahit sebab jika diingat akan membuatkannya marah dan disebabkan itu, beliau hanya menyimpan kenangan manis.

“Alhamdulillah, pelanggan yang cerewet jadi tak cerewet apabila berurusan dengan saya. Mana yang ada masalah lambat bayar, tidak ada masalah pula bila berurusan dengan saya.

“Saya ni pandang orang setengah jam atau satu jam, tahulah macam mana saya hendak ambil hati dia. Kalau yang tak ramah, akan jadi ramah. Biasanya saya akan buat ‘homework’ sebelum jumpa seseorang,” katanya.

Disebabkan kehilangan bapa pada usia masih kecil, Pak Engku begitu menghargai nilai kasih sayang, mudah menyayangi dan seorang yang cepat mesra.

Walaupun sudah berjaya, Pak Engku tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dilakukannya dan sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatannya.

“Saya akan meninjau pasar malam untuk mencari makanan yang istimewa dan sedap rasanya. Saya redah semua pasar malam mencari makanan yang menjadi kegemaran ramai serta orang yang pakar dalam sesuatu masakan.

“Cara ini juga dapat membantu peniaga kecil seperti penjual apam balik, kuih tradisional, putu piring, kuih dangai, sotong bakar atau kuetiau goreng.

“Seperkara yang saya ambil kira ialah dekorasi kerana ini mampu membangkitkan selera,” katanya.

Beliau melebarkan perniagaan kepada pengendali pakej perkahwinan sejak lima tahun lalu merangkumi pakej awal hingga akhir seperti pakaian pengantin, pelamin, kanopi, katering, kugiran, gamelan, juruiring tradisional, pembaca doa, kompang, jurugambar, juruvideo dan kek kahwin.

Kuzie Katering turut mempunyai dewan sendiri di Grand Cattleya Ballroom di Tingkat 4, Wisma PKPS, Shah Alam yang boleh menampung 700 orang.

Profil

NAMA: Raja Rosly Raja Mazlan.

UMUR: 48 tahun.

ASAL: Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.

KERJAYA: Pengarah Urusan Kuzie Catering & Wedding.

ISTERI: Ramziah Samah, 42.

ANAK: Raja Muhammad Danial, 12; Raja Putri Zarith Sania, 10 dan Raja Muhammad Harith Irfan, 9.

Harian Metro

23
Nov

Kenali Gaya: Pengantin Gempal Elak Warna Terang

bminggu@bharian.com.my


Gaun renda sesuai konsep Inggeris dipadan bersama sut labuh untuk majlis sanding.

Soalan

Saya berumur 21 tahun dan akan melangsungkan perkahwinan tahun hadapan. Saya mempunyai ketinggian 162 sentimeter dengan berat badan 75 kilogram dan berkulit cerah.

Saya mengimpikan majlis perkahwinan bertemakan moden Inggeris serta mengenakan gaun sepadan kot dengan pasangan namun tidak mahu kelihatan seperti berada di dalam acara memotong kek. Cukup jika gaun itu sederhana tapi menarik untuk dipakai sepanjang majlis. Saya juga ingin contoh lakaran untuk majlis akad nikah serta panduan warna sesuai supaya saya kelihatan ramping pada hari bahagian.

Nuur Azfareema Muzaffar Shah

Jawapan

Fizikal tubuh anda boleh dikategorikan sebagai berisi tapi jika anda berhati-hati ketika memilih fabrik, kekurangan itu boleh ditangani dengan mudah.


Busana tradisional diberi kelainan melalui rekaan eksklusif.

Kali ini, saya lakarkan rekaan gaun bercirikan moden Inggeris yang sederhana potongannya menggunakan gabungan renda Perancis kuning dan sifon putih gading.

Sebagai panduan, ketika memilih fabrik, anda dinasihatkan meneliti jenis fabrik, corak dan warna yang sepadan supaya di majlis itu anda tidak kelihatan tambah gempal.

Disebabkan putih itu suci dan sinonim majlis pernikahan, saya sarankan anda menggunakan warna itu sebagai warna asas. Elakkan memilih tona terlalu putih sebaiknya pilih tona putih gading atau nuansa kelabu kusam kerana ia mampu membiaskan aura mewah.

Anda beruntung dikurniakan kulit cerah, jadi tiada masalah mengenakan apa juga warna. Cuma wanita bertubuh gempal lebih sesuai menggunakan tona lembut bertujuan menutup kekurangan pada tubuh daripada kelihatan terlalu jelas berbanding penggunaan warna terang yang boleh menarik perhatian banyak mata sehingga kekurangan badan jelas terlihat.


Ijul

Motif pada fabrik perlu diberikan perhatian kerana biasanya penggunaan fabrik renda pastinya mempunyai motif siap yang sedia tersulam. Pastikan anda memilih motif bungaan kecil atau motif bungaan yang terletak berjarak di antara satu sama lain.

Seeloknya, untuk baju pengantin, pilih fabrik renda kosong tanpa sulaman manik kerana cara itu akan memudahkan pereka fesyen meletak sulaman di bahagian yang dirasakan perlu bagi menampakkan ilusi tubuh kurus.

Perhatikan rekaan gaun di mana penggunaan lace di bahagian atas baju tidak terlalu dominan (dipotong singkat). Hasilnya, badan anda kelihatan lebih kecil.

Walaupun ingin majlis perkahwinan berkonsepkan gaya Inggeris, rasanya tidak salah jika anda selitkan unsur kemelayuan pada busana indah anda itu. Caranya tidak sukar, hanya tambahkan butang bungkus yang dibuat lurus di belakang badan atau depan baju bagi menampakkan rekaan baju kebaya pada gaun Inggeris anda.

Kot dan sut adalah dua gaya berbeza kerana kot adalah jaket labuh manakala sut pula berpotongan pendek sepadan ketinggian lelaki Asia. Bagaimanapun, saya setuju pilihan anda yang mahukan pasangan mengenakan kot labuh jika dia bertubuh tinggi lampai (175 sentimeter ke atas).

Tapi elakkan mengenakan kot jika pengantin lelaki bertubuh rendah. Memadai jika dia menyarung sut yang dipadankan kemeja kuning bersama ikatan tie yang disemat kerongsang.

Busana akad nikah

Manakala bagi majlis pernikahan, saya lakarkan busana sopan berpotongan kurung moden tapi dibuat sedikit longgar.

Memandangkan baju persandingan anda dibuat ringkas, ia boleh diseimbangkan melalui potongan baju nikah yang diberikan penekanan melalui pilihan warna dan jenis kain menampilkan ciri mewah.

Guna fabrik renda berona lebih terang sama ada tona keemasan atau champagne supaya antara dua acara yang berlangsung tetap ada cerita yang selari temanya digambarkan melalui rekaan busana.

Berinspirasikan kurung moden, baju kurung itu dipotong A-line dan sedikit longgar di bahagian pinggul supaya ketika majlis akad nikah anda tetap selesa walau sedang duduk bersimpuh.

Leher baju dibuat bulat manakala bahagian dalamnya dipakaikan baju berleher tinggi kerana biasanya pengantin inginkan gaya sopan ketika majlis akad nikah. Ikatan tudung boleh dipelbagaikan dan untuk kelainan, ikatan tudung ala gipsi pasti mampu menyerlahkan keanggunan gaya anda waktu berbusana.

PROFIL

Zulkarnain Mohd Ghandi @ Ijul

Usia: 31 tahun

Profesyen: Pereka fesyen dan pemilik Puri Pesona

Asal: Jakarta, Indonesia

Kelulusan: Sarjana Ekonomi Universitas Islam Jogjakarta, Indonesia

Ijul antara pereka fesyen yang menjadi pilihan ramai selebriti antaranya Nabila Huda, Sheila Rusli, Atilia, Fara Asyikin, Emelda, Umie Aida dan Que Haidar.

Jika berminat mendapatkan khidmat pereka berbakat ini, kunjungi Puri Pesona di LG-09 Emerald Plaza North, Jalan PJU 8/3A, Bandar Damansara Perdana atau hubungi 03-77132189.

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

21
Nov

Saling Memuji, Tidak Janggal

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

PADAHAL mereka tidak sebaya tetapi masuk ke dunia lakonan, drama TV khususnya, si jelitawan Siti Shahrizah Saifuddin dan jejaka tampan bergaya, Fahrin Ahmad ini sering digandingkan bersama.

Ternyata usia tidak menghalang dua nama yang sedang indah di bibir ramai untuk mencapai penghayatan maksimum ketika di lokasi penggambaran.

Siti Shahrizah yang akrab disapa Eja ini sudah menginjak usia 36 tahun manakala, Fahrin pula jejaka 29 tahun yang semakin menjadi rebutan, walaupun pernah dihangatkan dengan kontroversi ‘putus kasih’ bersama pengacara dan penyampai radio popular, Linda Onn.

“Sering juga saya ditawarkan untuk bergandingan dengan pelakon-pelakon baru, tapi entahlah, saya sedikit canggung tapi bukan kerana usia.

“Puas pihak penerbit pujuk, kata saya tak nampak tua atau tak jauh berbeza daripada segi fizikal dengan pelakon-pelakon baru itu. Tapi saya tolak juga sebab secara natural, rasanya saya tak mampu nak tenggelam dalam emosi lakonan jika digandingkan pelakon baru.”

“Dengan Fahrin lain, walaupun dia lebih muda daripada saya tapi kami boleh bergandingan,” kata Eja sambil memuji Encik Johan (watak lakonan Fahrin dalam Seputeh Kasih Ramadan) yang tersengih di sisinya.

Tambah Eja sedikit berseloroh: “Sepatutnya dia (Fahrin) hero saya dalam drama terbaru, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima, tapi dia sibuk sangat, jadi terpaksa penerbit ambil pelakon lain.”

Memperihalkan topik yang sama, cepat-cepat pengacara program realiti Sehati Berdansa ini mengangguk mengiakan pendapat wanita yang dibahasakan sebagai Kak Eja ini secara spontan.


PADA usia 36 tahun, Eja masih sesuai membawakan watak perempuan muda.

“Bukan sebab pelakon baru tak boleh berlakon tapi rasa janggal tetap timbul. Macam saya yang selalu dipasangkan dengan pelakon-pelakon generasi terdahulu sikit, Umie Aida dan Eja contohnya, soal janggal tak wujud lagi.

“Jadi, bila digandingkan dengan pelakon generasi baru, bukan tak boleh buat. Boleh, cuma rasanya lain sikit. Tapi bila tengok mereka berlakon sesama mereka, nampak macam tak ada masalah pula,” jelas Fahrin yang kini popular dengan drama Fara di TV3.

Sebenarnya, persoalan usia dan siapa pasangan serasi bagi Eja dah Fahrin ini bukanlah tujuan asal fotografi bertempat di hotel Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur ini diadakan.

Ini semua gara-gara idea kreatif daripada Bill Bora, pengatur acara yang sering terlibat dengan majlis-majlis glamor di sekitar KL. Lantaran Eja dan Fahrin ini menjadi pasangan pilihan ramai penerbit drama dan disukai ramai peminat, mereka digandingkan sekali lagi.

Jadi duta kek coklat

Kali ini, bukan menerusi drama, filem atau program TV tetapi menjadi duta kek coklat mewakili hotel Crowne Plaza Mutiara menjayakan Selebrity Cake Sales bagi mengutip dana untuk disumbangkan kepada projek kebajikan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik anjuran Great Eastern.

Selain Fahrin dan Eja, seramai 28 selebriti lain seperti Erra Fazira dan suaminya, Engku Emran, sertai ramai lagi yang mewakili 14 buah hotel bertaraf lima bintang akan berkumpul di Great Eastern Mall, Jalan Ampang bagi menjayakan jualan amal berkenaan. Acara ini akan berlangsung dari pukul 3 hingga 5 petang esok.

Nampak seperti manipulasi pihak korporat untuk menggunakan populariti para artis, tapi bagi Eja ini satu penghargaan buatnya.

“Mungkin ramai yang tak perasan, sebenarnya tak ramai masyarakat KL yang menonton dan pandai menilai kerja kami, kerja produksi drama Melayu. Apabila kami diundang sebegini, ini satu petanda bahawa hasil kerja kami selama ini memberi impak walaupun ia berlaku secara tidak langsung.


ASYIK bergurau, tak ada yang marah ke Fahrin dan Eja?

“Saya juga anggap penglibatan sebegini bukan semata-mata atas dasar publisiti tetapi sumbangan kami sendiri terhadap insan yang kurang bernasib baik.

“Walaupun bukan secara material tapi sebagai artis, inilah sumbangan yang mampu kami lakukan,” katanya yang pernah sama-sama menjayakan kutipan dana RM1 juta untuk membantu anak-anak yatim Sabah menerusi Mount Kinabalu Charity Club 2008, Mei lalu.

Menyeru para peminat agar datang memeriahkan acara jualan kek coklat berkenaan, Fahrin pula tidak sabar untuk menjual sebanyak mungkin kek coklat yang diberi nama Innovation of Chocolates dari hotel yang diwakilinya.

“Saya fikir ini satu aktiviti positif, apabila kami dipanggil sebagai duta untuk mempromosikan apa juga acara, contohnya kebajikan seperti ini menunjukkan kami bukan setakat selebriti atau pelakon semata-mata. Kami juga ada tanggungjawab sosial,”kata Fahrin.

Penggambaran di Mekah

Seronok bersembang sambil menikmati keenakan kek coklat yang dihidangkan. Bicara kami terarah menyelinap kerja seni yang sedang dijalani Eja dan Fahrin.

Kata Eja, dia baru sahaja kembali dari Mekah, Madinah dan Taif kerana terlibat dengan drama bersiri Tasbih Cinta yang menjalani penggambaran selama 3 minggu di sana.

Disebabkan Fahrin tidak berpeluang beraksi bersamanya untuk drama berkenaan, Eja yang melakonkan watak Fatin menerusi Tasbih Cinta dipasangkan bersama pelakon yang tidak kurang hebatnya, Shahronizam Noor.

Selama penggambaran, bukan komitmen terhadap lakonan sahaja yang berjaya dilunaskan Eja, dia bahkan berpeluang menunaikan ibadah umrah yang menjadi sebahagian daripada agenda wajib umat Islam yang menjejakkan kaki di Bumi Ambiya.


FAHRIN, Eja dan Chef Raimi Ahmad (tengah) mewakili Hotel Crown Plaza Mutiara untuk menjayakan Selebrity Cake For Sale membantu si kecil yang bernasib malang.

“Itu kelebihan drama berkenaan, selaku pengarah dan penerbit Erma Fatima tidak pernah menyekat malah memberi kelonggaran kepada kami untuk mengerjakan ibadat umrah dan solat lima kali sehari. Saya sendiri sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali.

“Cuma saya kurang selesa dengan cuaca panas yang melebihi 40 darjah celcius. Selain itu makanan di sana juga agak kurang sesuai dengan selera Eja, tak tahan dengan makanan, berat badan turun 2 kilogram,” cerita Eja tentang pengalamannya.

Selain drama arahan Erma berkenaan, Eja kini terbabit dengan drama bersiri Spa Q yang kini masuk musim kedua.

Tanpa Eja dan Tasbih Cinta, rezeki Fahrin untuk berlakon di Tanah Suci tidak terhakis begitu sahaja. Sebaliknya, hero TV ini menerima lamaran pengarah yang sama untuk membintangi dan terlibat dengan penggambaran empat telemovie serentak juga di Tanah Suci, awal bulan lalu.

Telemovie berkenaan termasuklah Tetamu Allah yang menggandingkan Fahrin dengan Ziana Zain, Nur Kasih Di Jabar Rahmah (juga dengan Ziana Zain), Qasidah Buat Laila (Fifi) dan Kau Mencipta Lalu (Norish Karman).


KERJA sosial begini beri kepuasan buat Fahrin sebagai sumbangan buat masyarakat.

“Sebagai pelakon saya anggap jadual penggambaran sebegitu sebagai cabaran. Hampir tiga minggu juga saya ke sana kemudian bergegas kembali ke KL kerana komitmen lain.

“Bayangkan, 11 jam dalam penerbangan, tiba di lapangan terbang terus bergegas ke Astro untuk program Sehati Berdansa, penatnya buka main, tapi dah jadualnya begitu,” ucap Fahrin yang kini hangat digosipkan bercinta dengan pendatang baru, Scha.

Kosmo