SOSEH SOSEH: Penonton Bengang Pelakon ‘Over’
Rap
BUKAN sekali dua penghasilan drama atau filem daripada produksi tempatan yang mengetengahkan loghat daerah negeri tertentu menjadi tumpuan. Kebanyakan yang dihasilkan pasti mempunyai tarikan sama ada pertuturan, gaya dan corak persembahan pelakonnya.
SS perhatikan drama sebegini sentiasa mendapat perhatian sama ada penonton dari negeri berkenaan atau sebaliknya. Malah, perkembangan positif juga dapat dilihat selepas ditayangkan di layar perak atau televisyen menerusi drama bersiri.
Perkara sama turut dilalui drama terbitan JS Pictures, Ta’in yang mengetengahkan loghat negeri Perak dalam siri yang disiarkan di TV3, setiap malam Ahad.
SS difahamkan, ada penonton dari negeri itu marah dan tidak puas hati dengan lakonan teraju utamanya yang disifatkan menampilkan gaya yang agak melampau.
Mereka yang mengakui peminat setia siri itu memuji tindakan produksi milik Sheila Rusly menggunakan lokasi penggambaran di Parit, Perak dan tidak kurang juga apabila memaklumkan siri berkenaan mempunyai pengikutnya tersendiri.
Tapi katanya, dia kecewa melihat gelagat dan watak Kak Bab yang dilakonkan Shiela. Gaya percakapan dengan gerak mulut yang herut-berut (kata orang perak) seperti dibuat-buat.
Peminat itu juga menyatakan kekeliruannya dengan loghat perak yang ditampilkan Fauziah Nawi, Kaza dan Wahid Senario sebagai Tain.
Malah, dalam surat yang dikirimkan peminat itu berharap mana-mana penerbit atau produksi tempatan yang ingin mengetengahkan loghat dari mana-mana negeri sekali pun, biarlah berpada-pada.
Dia turut mencadangkan supaya penerbit atau produksi tempatan membuat kajian dan bertanya kepada masyarakat tempatan supaya tidak nanti orang tidak getik (benci) menontonnya.
Pada SS, apa saja drama atau filem yang diketengahkan produksi tempatan pasti mempunyai mesej dan pengajaran tersendiri. Begitupun cara, penyampaiannya berbeza bergantung kepada pengarah, pelakon dan produksi itu sendiri.
Harian Metro
Kehilangan Mereka Ditangisi
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
Rap
LUMRAH kehidupan, setiap yang bernyawa pasti akan rasai kematian, cuma yang membezakannya sama ada cepat atau lambat. Tidak terkecuali kalendar 2008 mencatat peristiwa sedih dengan kematian beberapa artis dan penggiat seni tanah air akibat pelbagai penyakit dan ada yang mati mengejut.
Awal 2008, kita dikejutkan dengan pemergian bekas Pengarah Radio RTM, Mohamed Safian Abdul Ghani, 70, yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada 2 Januari lalu jam 9.45 pagi.
Kemudian, pada 30 Januari, penulis lirik dan pelakon, Rosli Khamis atau Loloq meninggal dunia jam 1.37 tengah hari di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur selepas koma beberapa hari akibat pendarahan otak.
Ketika menghembuskan nafas terakhir, isteri Allahyarham, Hariyah Yaacob, 36, berada di sisinya. Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu Krsty Nur, 10; Jaevn Nur, 7 dan Yasha Nur, 5. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh.
Selang 19 hari selepas kematian Loloq, kita kehilangan pula penulis lirik dan lagu, Salamah Basiron yang menemui ajal di Jurong West, Singapura pada 18 Februari, jam 3.15 petang pada usia 65 tahun akibat barah pangkal rahim. Allahyarham dikurniakan tiga anak; Ersin Diana, 37, Firdaus Ilham; 34, dan Ennie Mulyani Mohd Yunos, 31.
Allahyarham yang juga popular menerusi nama pena Hanimasra menghasilkan lebih 100 lagu dan lirik untuk penyanyi angkatan pop yeh yeh seperti Jefrydin, Karim Jais, Datin Rafeah Buang, Zam Zam, S Anida, Salim I dan Ida & The Zurah.
Selepas 15 tahun menderita penyakit kencing manis, pelakon veteran, Maimunah Abdullah, 72, akhirnya menghembus nafas terakhir di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur, Khamis pada jam 6.30 pagi, 28 Februari lalu. Jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Melayu, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham pernah membintangi drama, Pahit-Pahit Manis selain beberapa drama disiarkan RTM sekitar 1980-an di bawah arahan pengarah Rosli Jalil, di samping menjayakan watak ibu bersama pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hasan dan Azean Irdawaty.
Paling menyedihkan, pemergian pelakon Yazid Sobrani atau nama sebenarnya Abd Yaziz Sobrani, 44, yang meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi 17 Mac di Hospital Melaka selepas sekian lama mengalami komplikasi termasuk penyakit jantung dan paru-paru berair.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Norashah Mohd Rashid, 43, dan lima anak iaitu Nurul Hazwani, 23, Mohd Shafik, 22, Nurul Intan Shafinaz, 16, Mohd Amirul Shafuan, 14, dan Muhamad Salehan, 13. Jenazah Yazid yang dilahirkan 17 Januari 1964 di Kuala Perlis dibawa ke kampungnya untuk dikebumikan di sana.
Sehari kemudian, Pengarah Kreatif dan Penata Bunyi, Abdul Jalil Ngah, 51, yang juga abang komposer Manan Ngah menghadap Ilahi kira-kira jam 6.30 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat sakit jantung.
Arwah yang dilahirkan di Kuala Terengganu meninggalkan seorang balu, Jalina Mustafa, 34, dan dua anak iaitu Adham, 11, dan Afrina, 8. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Siti Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Meninggal pada hari sama, pelakon veteran era studio Jalan Ampas, Singapura, Mohd Ali Abd Rahman, 82, menghembuskan nafas terakhir jam 11.15 malam di kediaman adik perempuannya di Kampung Pasir, Changkat Jering, Perak akibat sakit tua.
Allahyarham yang lebih dikenali dengan nama Ali Rahman dilahirkan di Terong, Changkat Jering, Perak pada 1926 dan meninggalkan lima anak, manakala isterinya sudah meninggal dunia.
Pada 1 April pula, pelakon dan pelawak, Yusni Jaafar Siddik, 62, meninggal dunia jam 2.30 pagi di Hospital Selayang akibat penyakit hati dan pendarahan dalam perut. Allahyarham meninggalkan lima anak iaitu Raja Iskandar, 41, Raja Ema, 39, Raja Izat, 37, Raja Emey, 30, dan Raja Erna, 23.
Sehari selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, penerbit dan pengarah, Datuk Meswan Dol, 51, atau Yuzwan Wahid meninggal dunia jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di sana selama tiga minggu.
Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim; anak, Zariyatul Akma, Mohd Helmi, dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.
Bekas anggota kumpulan A To Z, Affendey Zainon, 39, atau Fendi meninggal dunia kira-kira jam 9.30 pagi 23 April akibat diserang strok selepas menjalani rawatan tiga hari di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi ibunya, Siti Norma Md Akhir, 58, dan bapanya, Zainon Cha, 58.
Penyanyi popular era 60-an, Salim Ifi atau dikenali sebagai Salim I pula meninggal dunia jam 7.15 pagi 24 April di Hospital Universiti Nasional, Singapura akibat komplikasi paru-paru yang dihidapi.
Bintang Pop Yeh Yeh itu meninggalkan balu, Timah Osman, 66, dan lima anak, Zainuddin, 48, Zubaidah, 47, Jamal, Titin Suriati, 39, dan Rudy, 29, serta sembilan cucu. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Pusara Abadi, Jalan Chua Chu Kang, Singapura.
Penyampai radio yang popular dengan panggilan Riqbal atau nama sebenarnya, Ahmad Alwani Amir Hamzah, 40, menemui ajal akibat angin ahmar di Hospital Putrajaya, jam 2.15 pagi pada 11 Mei. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang.
Kemudian pemuzik dan komposer terkenal, Rahim Hamzah, 53, meninggal dunia kira-kira jam 10.15 pagi pada 17 Jun di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur akibat barah usus di hadapan isteri, Siti Aishah, 50, saudara- mara dan sahabat handai.
Allahyarham adalah anak kepada penggesek biola terkenal tanah air, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pernah menganggotai kumpulan The Stroller, The Falcon, Headwind dan Free Birds selain pernah mengiringi kumpulan Blues Gang pada penghujung 70-an dan awal 80-an. Allahyarham juga meninggalkan dua anak, Aryzam, 27, dan Aryzea Dora, 22, hasil perkahwinan pertama bersama bekas isteri, Endon Rani, 48.
Penulis lirik dan Pengarah Urusan Toba Records, Abdul Rahman Yusuf, 55 atau lebih dikenali sebagai Man Toba pula meninggal dunia jam 5.05 petang 27 Jun lalu akibat serangan jantung di kampung kelahirannya di Slim River, Perak. Allahyarham meninggalkan isteri, Norehan Ismail serta lima anak, Noor Izzudin, 27, Noor Nissa, 26, Noor Nadia, 22, Noor Nabila, 20 dan Noor Iman Aiman, 15.
Seniman veteran, Datuk Ahmad Mahmud, 85, yang popular dengan watak Dr Ismadi dalam filem Ibu Mertuaku pula menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Tunku, Petaling Jaya kira-kira jam 10 malam, 28 Ogos.
Allahyarham yang dilahirkan pada 3 Januari 1923 di Rembau, Negeri Sembilan meninggalkan seorang balu, Datin Khatijah Mohammad, 80, serta tiga anak iaitu Rogayah, 56; Siti Fatimah, 54, dan Mohd Ariffin, 52. Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Ar-Rahman, Kampung Tunku, Petaling Jaya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, dunia seni kehilangan penulis lirik, Haron Abdul Majid, 59, yang meninggal dunia akibat penyakit barah otak dan kanser usus pada jam 8.48 pagi ketika umat Islam di Singapura selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Oktober.
Pelakon popular era 1970-an, Mokhtaruddin Mohd Said (Mokhtaruddin), 59, pula kehilangan isteri, Sharifah Tahiyah Syed Mahmud, 51, yang kembali ke rahmatullah pada 29 Oktober lalu. Sharifah Tahiyah meninggal dunia di Hospital Tawakal, Kuala Lumpur akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Pelakon dan usahawan, Raffi Hussain atau nama sebenarnya, Mohd Rofi Che Hussain pula menemui Ilahi sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-49 pada 14 Oktober kerana sesak nafas akibat serangan jantung di rumah ibunya, di rumah ibunya di Batu Caves, Gombak. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zawinunie Mohd Ramly, 34, serta empat anak iaitu Mohd Warith Iqbal Putra, 6, Mohd Razafiq Putra, 11, Puteri Ratna Sari, 14, dan Mohd Indraputra, 15. Jenazah kemudian dibawa pulang ke Kelantan untuk dikebumikan di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah.
Pemegang watak Tapa yang popular menerusi drama bersiri Rumah Kedai era 90-an, Sudiro Sukiman, 49, menyahut panggilan Ilahi kira-kira jam 12.15 tengah hari 17 Oktober disebabkan saluran injap jantungnya gagal berfungsi dengan baik. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang.
Bekas pemain gitar kumpulan rock terkenal, Lefthanded, Abdul Samat Mian, 45, pula meninggal dunia selepas terjatuh di pejabatnya di Taman Cahaya, Ampang kira-kira jam 12.40 tengah hari 23 Oktober. Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia jam 1.05 tengah hari akibat masalah jantung.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jami’il Huda, Hulu Langat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 13, Hulu Langat. Allahyarham yang dilahirkan pada 26 September 1963 di Johor Bahru, Johor meninggalkan seorang balu, Norliza Sumairi, 41, serta empat cahaya iaitu Alif Asyraf Syafiq, 18, Amad Ayunda Syaqim, 17, Alis Suhayana, 15, dan Amad Syafry, 6.
Pada 26 Oktober lalu, kita dikejutkan dengan pemergian ke rahmatullah anak angkat Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sabarudin Ramli atau Badim yang pernah muncul dalam filem Ahmad Albab ketika masih bayi. Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi di Hospital Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Desa Kaloi, Hulu Yam Baru. Allahyarham yang berusia 42 tahun meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair dan sebelum ini pernah menghidap penyakit batuk kering.
Pelakon dan aktivitis teater, Mohamad Nasir Ali, 55, pula meninggal dunia di rumahnya, di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, jam 3.45 pagi 31 Oktober lalu. Allahyarham yang menghidap penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu tidak sedarkan diri ketika tidur.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Kadariyah Yup, 55, dan empat anak, Darmawar Shahienas, 30, Nurulely Shafienas, 28, Nurul Ilya Shazannas, 25, dan Lelliyana Rus Shatznas, 18.
Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan, 78, yang meninggal dunia pada 30 November di kediamannya di Jalan Sungai Kerai, Kuang, mengejutkan ramai pihak apabila dipercayai menjadi mangsa rompakan.
Namun, siasatan polis dan bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah. Rekod perubatan lampau menunjukkan Allahyarham pernah mendapat rawatan di hospital berikutan diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu selain sakit tua. Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Tanggal 17 Disember, pewaris tunggal Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nasir P Ramlee menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5.10 petang di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kuala Lumpur berhampiran pusara bapa dan ibu tirinya, Saloma.
Allahyarham meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16. Manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar, mereka dikurnikan dua anak, Natasya, 23, dan Najua (Nadia), 22.
Walaupun pemergian mereka masih lagi berbekas di hati namun sumbangan insan berkenaan dalam memartabatkan industri seni tanah air akan terus dikenang. Sekalung takziah buat semua keluarga mereka bersama iringan doa dihulurkan buat yang tercinta. Semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah. Al-Fatihah.
Harian Metro
Berita Cerai Gemparkan Peminat
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
MELIHAT senario artis bercerai sepanjang 2008 cukup menakutkan. Dihitung secara keseluruhan hampir 18 artis tidak kira pelakon, penyanyi mahupun pengacara televisyen disahkan berpisah dengan pasangan masing-masing atau permohonan mereka masih dibicarakan di mahkamah syariah.
Lebih menyedihkan perkahwinan pasangan artis ini ada antaranya tidak sampai setahun pun usianya. Hal ini menimbulkan persoalan apakah benar hidup bersama orang popular tidak akan menjanjikan kebahagiaan atau perceraian mereka ini menjadi gambaran kepada masalah semakin meruncing dalam institusi kekeluargaan di kalangan masyarakat tempatan sekarang?
Untuk menyenaraikan satu persatu perceraian artis yang berlaku dalam ruangan ini sepanjang 2008 mungkin tidak mencukupi kerana jumlah mereka terbabit terlalu ramai.
Untuk itu Rap menyenaraikan 10 perceraian artis mengikut susunan berdasarkan peristiwa yang dianggap mampu memberikan pengajaran kepada semua. Malah ada kes perceraian membabitkan artis ini agak pelik dan tidak kurang kontroversinya, terutama membabitkan punca ia berlaku.
Pastinya sepanjang 2008, perceraian antara dua pelakon popular Mohamed Norhakim Zaidon, 32, atau
Norman Hakim dan Arbaiyah Abdul Manan, 30, atau Abby Abadi paling menjadi perhatian kerana ia berlaku penuh drama dan puncanya pula agak mengaibkan.
Segalanya bermula apabila Norman ditangkap basah bersama pelakon muda, Memey Suhaiza, 20, yang juga anak saudara dramatis Darling Ngasri.
Bagaimanapun, kes itu belum dibicarakan di mahkamah.
Dalam diam masalah rumah tangga Norman dan Abby sebenarnya sudah berlanjutan sebelum ini apabila pelakon utama filem dan drama Pasrah itu dilaporkan tidak pulang ke rumah hampir lapan bulan. Malah sewaktu Abby melahirkan anak ketiga mereka, Norman tiada di sisi.
Norman turut dikatakan sudah lama menjalinkan hubungan dengan Memey tanpa pengetahuan Abby dan beberapa hari selepas mereka ditangkap basah, Abby mohon cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Ia disahkan 18 Disember lalu selepas Norman melafazkan cerai terhadap Abby di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammed.
Isu perpisahan atau perceraian Aziz M Osman, 44, dengan isteri barunya, iaitu seorang ustazah dari Kuala Terengganu, Nor Radhiah Ramli, 22, yang dinikahinya pada 16 Ogos lalu membuatkan ramai pihak terkejut.
Sebelum ini, tanpa diketahui pihak media mereka dikatakan bahagia selepas mendirikan rumah tangga dan pernikahan itu atas restu keluarga kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun, tidak sampai tiga bulan hidup berumah tangga, mereka diberitakan sudah bercerai.
Punca perceraian ini dikatakan kerana Nor Radhiah masih dalam edah selepas bercerai dengan suami terdahulu, sementara guru agama itu tampil memberitahu Harian Metro dan menyatakan perkahwinannya dengan suami terdahulu tidak sah.
Selain masalah yang agak rumit dalam perkahwinan kedua Aziz ini, ada pihak mendakwa pengarah terkenal itu berasa tertipu oleh isterinya kerana tidak tahu yang Nor Radhiah pernah berkahwin sebelum ini hingga bekas suami ustazah itu sendiri memberitahunya.
Perceraian berlaku antara pelakon muda semakin mencipta nama, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dan bekas isterinya, Intan Shahira Mohd Shahru, 27, cukup panas apabila persengketaan antara mereka turut dibawa ketika kes dibicarakan.
Sebelum itu Intan memfailkan permohonan cerai kerana berasakan suaminya tidak bertanggungjawab, panas baran dan terlalu mengongkong serta disebabkan perkahwinan itu dia berhutang dengan bank, selain wang simpanannya habis.
Pelbagai tuduhan yang memburukkan kedua-dua belah pihak dilemparkan di mahkamah sehingga menjadi perhatian wakil media dan peminat. Dalam kenyataannya Intan berkata dia bimbang untuk berkahwin dengan Beego sebelum perkahwinan itu dilangsungkan tetapi ia terpaksa diteruskan kerana tidak mahu menanggung malu.
Intan mendedahkan Beego dianggap tidak bertanggungjawab sehingga dia terpaksa menggunakan wang sendiri, selain berhutang dengan bank untuk majlis perkahwinan mereka.
Beego yang didakwa suka berfoya-foya selepas berkahwin dan tidak mahu berubah dikatakan menjadi punca utama perceraian mereka.
Pertengahan Ogos lalu Mahkamah Rendah Syariah mengesahkan lafaz cerai diucapkan suami pelakon sitkom komedi Puteri, Nora Mohd Danish Hanif, 26, atau Nora Danish pada Februari dan Jun lalu sebagai sah dan memutuskan pasangan itu bercerai dengan talak dua.
Hakim Syarie, Ahmad Irwan Ismail membuat keputusan itu selepas mengesahkan dua lafaz talak oleh suami Nora, Rizal Ashram Ramli, 32, berbunyi ‘I ceraikan you’ pada Februari dan ‘Saya ceraikan awak’ pada Jun lalu sebagai sah.
Menariknya perceraian ini berlaku sewaktu Nora disahkan mengandung tiga bulan dan kerana itu talak hanya jatuh apabila bayi dalam kandungan dilahirkan.
Usia perkahwinan Nora juga tidak panjang, hanya dalam beberapa bulan dan pelakon terkenal Fasha Sandha dikatakan menjadi punca apabila sebelum itu didakwa cuba bermain mata dengan Rizal.
Bagaimanapun, apabila bercerai, kedua-dua pihak menafikan wujudnya orang ketiga dalam perceraian mereka.
Perceraian menerusi SMS yang sering berlaku kebelakangan ini turut terjadi kepada pelakon Nasrizal Ngasri, 28, atau Bell apabila lafaz yang dinyatakan kepada bekas isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri atau Sasha disahkan Mahkamah Rendah Syariah.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Bell berkata SMS dihantar pada jam 3 petang, 22 Oktober lalu, dengan berkata: ‘Aku ceraikan kau. Thank You (terima kasih). Selamat berjaya.’ dibuat tanpa niat. Namun, ibarat kata pepatah terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata bawa binasa.
Desas-desus mengenai krisis rumah tangga pelakon Norish Karman atau nama sebenarnya Nor’ Ashikin Karman dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, terjawab apabila kes permohonan cerai mereka dikesan media apabila ia tersenarai di Dewan Sulh Mahkamah Rendah Syariah.
Pelbagai dakwaan dan cerita panas turut timbul sepanjang kontroversi perceraian Norish dan bekas suaminya. Ada pihak mendakwa Norish menuntut cerai kerana suaminya tidak lagi ‘berduit’ seperti dulu dan tidak kurang hubungan rapatnya dengan abang kepada penyanyi dan pelakon popular, Faradhiya menjadi faktor penyumbang. Bagaimanapun, kes perceraian mereka akhirnya berjalan dengan baik dan aman.
Tahun lalu gempar apabila penyanyi Azharina dikatakan bernikah dengan seorang ahli perniagaan berasal dari Kelantan yang hanya dikenali dengan nama Datuk S. Hanya sekeping gambar mereka diijabkabulkan di dalam bilik hotel dan diedarkan di Internet menjadi bukti.
Pertengahan tahun ini Azharina mengakui sudah berpisah dengan suaminya tetapi enggan komen lanjut mengenai puncanya. Penyanyi berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu juga menegaskan hubungannya dengan bekas suami masih baik hingga kini.
Teka-teki mengenai status perkahwinan pelakon drama popular, Jasmin Hamid dengan Ian Rashid Macquistan, 35, terlerai apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini, mengesahkan perceraian pasangan itu pada 4 Februari lalu. Menurut sumber, Jasmin atau nama sebenarnya, Jasmiah Abd Rashid, 33, memfailkan cerai taklik ke atas suaminya di mahkamah itu pada 25 Januari lalu.
Selepas setahun dua minggu mendirikan rumah tangga penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 28 disahkan bercerai dengan bekas suaminya, seorang pakar respiratori, Dr Fariz Yahya, 30, dengan alasan sudah tidak lagi mempunyai persefahaman antara mereka. Bagaimanapun, perceraian mereka berlaku dengan cara baik
Penyanyi popular 1980-an, Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Siti Fairuz disahkan bercerai dengan suaminya Mohamad Zainuddin Kordi, 45 pada 30 Mac lalu selepas Hakim Syarie, Jamil Ahmad mendapati kenyataan diberikan Zainuddin ‘kalau you nyanyi lagi, jatuh talak’ pada 1993 mempunyai niat untuk menceraikan isterinya. Namun punca sebenar perceraian ini adalah bekas suami Siti Fairus dikatakan mahu mengahwini wanita lain.
Harian Metro
Konsep Jawa Pilihan Mawi
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Helikopter dan kereta mewah memeriahkan lagi persandingan di pihak pengantin lelaki
PENUH adat istiadat, majlis menyambut menantu di kampung halaman, Bintang Paling Popular Berita Harian tiga tahun berturut-turut, Mawi, 27, dengan isterinya, Ekin, 29, di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, berjalan lancar dengan bertemakan sentuhan Jawa kontemporari.
Ia adalah permintaan dan impian Mawi sendiri yang ingin mengalami rasa bergelar raja sehari dengan persalinan Jawa.
Berkat keinginan jurusolek selebriti popular, Zulfazli Suhadi yang menawarkan khidmat sebagai perancang perkahwinan dan tajaan majlis persandingan kepada Mawi, semuanya sudah membuatkan Mawi tersenyum puas.
Gandingan kreatif Zulfazli dengan butik Dzuldeclassique, Arma Abdul Rahman dan Adli Bridal Johor Bahru menghasilkan apa yang diharapkan oleh Mawi. Melengkapkan lagi, tetamu yang datang turut disajikan dengan hidangan Jawa Sunda tajaan LC Catering seperti ayam penyek, sup soto dan ulam-ulaman.
Sehari sebelum majlis persandingan ini, timbul tanda tanya di kalangan pihak media apabila ada kain rentang yang menyebut bahawa majlis itu adalah anjuran Maestro dan penduduk kampung Felda Taik Andak, sama sekali tidak terbabit.
Ini kerana ada ura-ura mengatakan persembahan khas meraikan perkahwinannya dikatakan tidak disenangi penduduk kampung kelahiran Mawi.
Menyangkakan majlis persandingan ini akan tercemar dek peristiwa yang tidak diingini seperti yang pernah digembar-gemburkan pada 20 Disember lalu (sewaktu majlis pernikahan mereka), semuanya mengikut atur cara seperti yang dirancang pihak Maestro dan Astro.
Bagaimanapun, hujan lebat sekitar jam 4 petang yang kemudiannya bertukar menjadi renyai memberikan kesejukan kepada 300 orang tetamu yang agak kepanasan sewaktu berada di Dewan Serbaguna Felda Taib Andak.
Menariknya, Mawi mengaku agak pening sejurus tiba di sebuah dewan untuk sesi bersama media. Jurusolek, Tona turut mengurut kepala Mawi yang pening itu.
“Saya tak mengulas lanjut mengenai isu ini kerana hakikatnya pihak saya dan Maestro mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung dan hanya segelintir daripada mereka saja yang mungkin tidak mahu bekerjasama.
“Isu kain rentang itu hanyalah hal kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Paling penting saya bersyukur majlis kali ini berjalan lancar dan perkara itu (kain rentang) sudah tidak timbul lagi. Penduduk kampung dan Ketua Kampung, Felda Taib Andak, Haji Hanafiah Haji Hussin sudah menjelaskan perkara ini dan mereka memberikan kerjasama yang jitu,” katanya.
Persandingan Mawi dan Ekin kali ini turut mencipta sejarah tersendiri di dalam kalendar dunia artis apabila mereka menaiki helikopter yang dipandu Kapten Halim Abdul Rahman dan dibantu Kapten Zuraidi Muhamad (selaku Pengurus Operasi Penerbangan Redland) pada sebelah tengah hari dari Hotel Sofitel, Senai, Johor.
Helikopter berkenaan mendarat di padang Sekolah Rendah Sinar Bahagia, Felda Taib Anda jam 1.30 tengah hari. Seterusnya mempelai diarak menaiki kereta Mercedes CLK 350 yang dipandu Ekin sendiri menuju ke Padang Awam Felda Taib Andak dan tiba kira-kira jam 2 petang.
Kereta mewah itu turut diiringi motosikal berkuasa tinggi dan kereta antik.
Mereka kemudiannya, bersanding di pelamin terbuka di atas pentas lokasi yang sama di depan lebih 20,000 orang tetamu sebagaimana jumlah yang dimaklumkan pihak Maestro. Hadiah menaiki helikopter dan menaiki kereta mewah itu adalah tajaan rakan baik Mawi sendiri iaitu Mohd Salleh Mohamed atau Pak Leh.
Itu adalah kali keempat Mawi menaiki helikopter, lalu kegusaran dan gementarnya sudah mula berkurangan. Manakala, Ekin pula baru dua kali menaiki helikopter, cuma kali ini ia sedikit berbeza apabila Ekin naik kenderaan udara itu dengan busana perkahwinan.
“Lainnya kali ini Ekin kena menaiki helikopter dengan busana pengantin hinggakan Mawi terpaksa memegang gaun Ekin yang labuh ini. Apa-apapun Ekin sangat teruja dan gembira apabila dapat bersanding dengan gaya lain yang tak pernah Ekin impikan.
“Kami sudah tidak sabar untuk berjumpa tetamu lagi pada majlis resepsi berkonsepkan Arab di Palace Of The Golden Horses 11 Januari depan. Insya-Allah selepas itu, kami besar kemungkinan akan berbulan madu di Korea menerusi tajaan Pelancongan Korea ,” kata Ekin.
Melihat kepada kehidupan Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, ternyata dia sedang melalui fasa bahagia yang amat indah. Raut wajah Mawi kini sudah dapat membayangkan betapa bahagia dirinya setelah bergelar isteri kepada Ekin.
Biarpun sudah seminggu bernikah, seolah-olah ada perubahan dalam diri Mawi. Penyanyi itu sempat diusik mengenai perutnya yang kelihatan agak buncit. Sambil diperhatikan Ekin, Mawi menjawab dengan selamba dengan menyalahkan bajunya yang besar.
“Lega semuanya sudah berakhir dan harapnya tiada lagi fitnah yang mengaitkan saya dengan Ekin. Doakan rumah tangga kami akan berkekalan dan bahagia hingga ke akhir hayat. Semoga laluan kami lepas ini akan lebih indah dan sempurna hendaknya,” kata Mawi.
INFO: Persandingan Mawi dan Ekin
Majlis persandingan berkonsepkan Jawa kontemporari atau moden yang diuruskan jurusolek artis tersohor, Zulfazli Suhadi menerusi syarikatnya Dewa Dewi Beauty House. Membabitkan 20 orang yang dipecahkan kepada tiga kumpulan. Zulfazli juga menyolek Ekin, manakala Mawi disolek Tona.
Kostum Jawa termasuk aksesori untuk mempelai mencecah RM50,000. Bagi pelamin dan dekorasi pula dianggarkan sekitar RM200,000.
Konsep pelamin adalah inspirasi istana lama Jawa yang mana perabot di Dewan Serbaguna ditaja Grandteak Puchong, Selangor.
Kos bunga yang digunakan hamper RM 10,000.
Hiasan dalaman dan dekorasi dewan, pelamin di rumah Mawi (Teratak Bonda), kamar pengantin dan pelamin Padang Awam ditaja Adli Bridal Johor Bahru.
Untuk dewan persandingan utama, lebih 30 meja ditempatkan untuk tetamu.
Dijangka lebih 15,000 orang membanjiri Padang Awam Felda Taib Andak untuk acara persandingan terbuka, namun pada hari persandingan itu 20,000 tetamu yang hadir untuk menyaksikan Mawi dan Ekin secara dekat. Mereka turut bersalaman dengan pasangan mempelai ini.
Menurut Zulfazli, dia yang menawarkan diri kepada Mawi untuk membuat persiapan pelamin dan busana kahwin kerana selalu berjumpa Mawi di pertunjukan Gempak Selebriti Astro. Katanya, Mawi sendiri yang mengimpikan konsep Jawa sedari awal lagi.
Pemilihan Bob KU2 dan Yasin sebagai pengacara majlis persandingan di Dewan Serbaguna juga dilihat tidak bersesuaian dengan upacara majlis itu yang dianggap berprestij. Mungkin jika dipilih pengacara yang lebih serius dan bijak mengawal keadaan, majlis Mawi tempoh hari mungkin lebih sempurna.
Hak penyiaran perkahwinan Mawi dan Ekin adalah hak sepenuhnya bagi Astro, tetapi pada masa yang sama Astro turut bersifat terbuka untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Stesen itu memberi peluang kepada bukan pelanggan Astro untuk sama-sama meraikan kemeriahan majlis perkahwinan Mawi dan Ekin.
Malah, Astro memberi kelonggaran kepada TV3 menerusi program Nona dan Buletin Utama untuk membuat liputan majlis yang sama namun pada durasi yang terhad.
Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar turut hadir biarpun syarikat fabrik terkenal ini tidak menaja majlis persandingan Mawi dan Ekin di Felda Taib Andak. Jakel hanya menaja kain persalinan mereka sewaktu bernikah dan resepsi 11 Januari nanti bekerjasama dengan Rizalman termasuk pelamin.
Berita Harian
Kareena Selebriti Paling Popular 2008
KAREENA meraih 40 peratus sokongan dalam tinjauan selebriti paling popular di India.
Ungguli senarai aktres pujaan Bollywood
MUMBAI: Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor, menduduki senarai teratas tinjauan selebriti paling popular di India diikuti Katrina Kaif, Priyanka Chopra, Deepike Padukone dan Bipasha Basu, menurut laporan, kelmarin.
Dalam tinjauan itu, Kareena meraih 40 peratus sokongan diikuti Katrina (38 peratus), Priyanka (10 peratus), Deepike (tujuh peratus) dan Bipasha (lima peratus), lapor akhbar.
Kareena yang mendapat tumpuan ketika ini kerana tinggal sebumbung dengan aktor Saif Ali Khan, dianggap layak berada di singgahsana paling popular selepas filemnya Jab We Met bersama Shahid Kapoor dan arahan Imtiaz Ali mendapat sambutan hangat.
Popularitinya dijangka meningkat apabila filem Kambakkht Ishq disiarkan turut dibintangi Akshay Kumar serta aktor terkenal Hollywood, Sylvester Stallone, Brandon Routh dan Denise Richards.
Katrina Kaif pula mencuri tumpuan menerusi filem Yuvvraaj, walaupun ia tidak meletup dari segi kutipan tiket. Sekurang-kurangnya, beliau berganding dengan teman lelakinya, Salman Khan buat kali pertama.
Katrina juga diundi sebagai wanita Asia paling seksi pada 2008 serta nama paling kerap dicari dalam senarai Zeitgeist oleh Google.
Priyanka pula tidak memulakan 2008 dengan baik apabila filem lakonannya, Love Story 2050, Chamku, God Tussi Great Ho dan Drona mendapat sambutan dingin.
Tetapi, beliau kembali menyinar dalam filem Fashion arahan Madhur Bhandarkar dan semakin hangat menerusi filem arahan Karan Johar, Dostana selepas beraksi seksi memakai bikini.
Sementara itu, Deepike menyaksikan reputasinya melonjak selepas filem kedua, Bachna Ae Haseeno mendapat sambutan. – Agensi
Berita Harian