Skip to content

December 12, 2008

1

Leia Mencari Yang Hilang



Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SEJAK kecil, penyanyi bernama Leia Az Zahra Justin Abdullah terdedah dengan muzik. Barangkali tidak ramai yang mengetahui bapa penyanyi ini, Justin Lusah seorang komposer dan penyanyi popular di Sabah. Justin dikenali menerusi lagu Jambatan Tamparuli yang popular sekitar pertengahan 70-an. Malah ibunya, Clarice Boinsin juga penyanyi popular di kalangan masyarakat Kadazan.

Mewarisi bakat ibu bapanya, kini Leia menceburi bidang nyanyian secara serius selepas bernaung di bawah label Hijjaz Records. Berbeza dengan nasib penyanyi lain meraih peluang mudah sebagai artis, usaha Leia untuk menempatkan diri dalam bidang seni dilakukan sendirian tanpa mengharapkan simpati orang lain.

Katanya, dia sanggup bertemu dengan kumpulan artis popular seperti Rabbani dan Hijjaz untuk menyatakan minat menyanyikan lagu nasyid. Leia berhasrat mencari syarikat pengurusan artis yang dapat mengendalikan aktiviti seninya.

Akhirnya impian Leia menjadi kenyataan selepas Hijjaz mempercayai bakatnya dan kini Leia hadir dengan single Mencari Yang Hilang.

“Masa kecil saya sering ikut ibu bapa saya pergi buat persembahan di pentas mahupun kenduri kahwin. Di rumah, kami juga kerap karaoke. Dari situ, minat saya terhadap muzik dan nyanyian bertambah.

“Hingga di sekolah menengah, saya aktif menyanyi dan mempunyai kumpulan sendiri iaitu Tanak Nabalu (anak Kota Kinabalu) yang mempunyai enam anggota. Selepas melanjutkan pelajaran di kolej, saya masih aktif menyanyi di pentas.

“Pada saya, menyanyi boleh melepaskan tekanan dalam diri dan matlamat saya kini sebenarnya mahu berdakwah menerusi lagu. Saya percaya lagu membawa mesej dekat dengan masyarakat dan jika boleh, saya ingin mengajak sesiapa saja mendekati Islam,” katanya.

Mengenai single barunya itu, Leia berkata, ia ciptaan sendiri yang mengisahkan pengalaman hidupnya ketika mempunyai jiwa kosong. Ketika itu, Leia yang pernah menganut Kristian Katolik mencari arah hidup yang sempurna hingga menemui hidayah untuk memeluk Islam pada Oktober tahun lalu. Akui Leia, 28, perasaannya kini makin tenang selain memahami cara kehidupan dalam Islam.

“Sejak kecil hingga besar, saya mencari kasih sayang selepas ibu bapa berpisah dan saya kemudian menumpang kasih dengan nenek. Selepas tamat tingkatan lima, saya hidup berdikari. Saya berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Sains Komputer di Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan (PTPL).

“Dulu saya hidup keseorangan, sunyi dan merintih hingga saya tertanya apakah saya hidup seorang diri di dunia ini? Suatu hari, saya terdengar azan subuh dalam mimpi dan apabila terjaga, memang azan subuh berkumandang.

“Sejak peristiwa itu, hati saya tertarik untuk mendekati Islam dan saya juga berdikari belajar menerusi Internet dan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Saya seronok dengan kehidupan yang dilalui kini dan berhasrat terus berdakwah menerusi nyanyian,” katanya.

Selain single Mencari Yang Hilang, Leia turut tampil menerusi Taubat dan Syukur. Sebanyak 10 lagu baru dimuatkan dalam album debut ini yang menampilkan pop nasyid dan dijangka berada di pasaran pada awal tahun depan. Leia yakin dakwah menerusi lagu salah satu cara berkesan untuk menarik perhatian masyarakat termasuk bukan Islam.

Sebelum ini, single berkenaan dimuatkan dalam album kompilasi Nasyid Terhebat! terbitan Nova Music yang berada di pasaran sejak Aidilfitri lalu. Album itu turut menggabungkan ramai penyanyi nasyid antaranya Rabbani, Hijjaz dan Nowseeheart.

Harian Metro

Read more from Hijjaz
1 Comment Post a comment
  1. Tj Tinah
    Jun 17 2012

    Teruskan perjuangan semoga menjadi muslimah yang sejati….

    Reply

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments