20,000 Tetamu Hadir Persandingan Mawi-Ekin
Oleh AZIMI MUSTAPHA
azimi.mustapha@kosmo.com.my

ORANG ramai tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Mawi dan isterinya, Ekin pada majlis persandingan mereka
di Padang Awam Felda Taib Andak, Kulai semalam.

MACAM ANAK RAJA JAWA… Mawi dan Ekin begitu angun dengan pakaian pengantin ala Jawa.
KULAI – Majlis persandingan pengantin popular Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi dengan Ekin yang diadakan di Felda Taib Andak di sini semalam mendapat perhatian ramai dengan dihadiri kira-kira 20,000 tetamu.
Orang ramai yang datang dari jauh dan dekat berpusu-pusu ke Padang Awam Felda Taib Andak di sini untuk melihat dengan lebih dekat persandingan artis pujaan mereka.
Pasangan pengantin tiba dengan menaiki helikopter yang mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Sri Bahagia di Felda tersebut kira-kira pukul 1.30 petang.
Mereka kemudian diiringi dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dan beberapa kereta antik ke padang awam tersebut.
Program yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Prima itu dikendalikan oleh pengacara Zizan dan Johan.
Mawi dan Ekin kelihatan anggun dengan memakai baju pengantin berwarna kelabu berkonsepkan ala Jawa.
Kosmo
David Beckham & Posh Malaysia?
TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
ent_editor@kosmo.com.my

SEORANG popular di dunia seni dan seorang lagi cukup ternama di dunia sukan. Apakah pasangan ini bakal digelar David Beckham dan Victoria Beckham (Posh) Malaysia?
Ada kebarangkaliannya. Kisah cinta, pernikahan dan kontroversi yang membabitkan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak hampir menyamai episod kehidupan bintang bola sepak kelab AC Milan dan anggota kumpulan Spice Girls itu.
Aidil yang menjadi ‘ayam tambatan’ skuad bola sepak kebangsaan juga merupakan antara ahli sukan yang digilai ramai gadis manis di luar sana, sama seperti Beckham.
Justeru, banyak yang kata ‘bertuahnya’ Rita dilamar Aidil, jejaka baru berusia 21 tahun, ternama dan menjadi pujaan ramai pula, sama sebagaimana orang berkata bertuahnya Posh dipuja David.
Pun itu tuah Rita. Tuah Aidil pula tak kurang hebatnya apabila aktres sejelita Rita secara rasmi sudah berada dalam genggamannya. Tuah yang sama dikecapi Beckham apabila Posh sudi menerima lamarannya suatu ketika dulu.
Rita sebagaimana yang sedia diketahui adalah antara pelakon drama yang berada di kelas A dalam dunia penerbitan drama tempatan.
Malah, Rita bukan sahaja diminati dek gaya lakonan yang hebat dan bersahaja, tetapi dia merupakan seorang artis yang cukup dikenali dengan sifat lemah lembut, bersopan santun dan pandai bermanja.
Meskipun sesekali ada kontroversi hangat menghimpit dirinya, Rita lebih dikenali sebagai pelakon berbakat dibandingkan dengan cerita-cerita panas.
Pada 25 Februari 2008 pasangan ini mengakhiri cinta penuh ranjau dan duri mereka dengan ikatan mulia pernikahan.
Walaupun majlis pernikahan berlangsung di negara jiran, Thailand, apa yang penting kepada pasangan ini ialah mereka melayari kehidupan atas landasan sebagai suami isteri yang ‘halal’.
Tidak kira bagaimana ‘hanyir’ susuh perjalanannya, mereka dalam destinasi mencari reda Illahi menyahut seruan Nabi bagi mengkayakan lagi umat Islam sejati.
“Selepas berkahwin, hidup saya mula berubah. Saya dapat merasakan perkahwinan telah memberikan semangat baru dalam hidup saya sebagai seorang lelaki.
“Cinta kami bertambah kuat selepas isteri saya disahkan mengandung bulan lepas,” kata Aidil menceritakan perasaan bahagianya bergelar suami kepada Rita.

PASANGAN David dan Victoria Beckham.
Mengakui kehidupannya kini semakin bererti dengan status terkini mereka sebagai suami isteri, menurut Aidil dia yakin mampu mengemudi bahtera cintanya dengan sebaik mungkin meskipun banyak yang ‘curiga’ akan tahap kematangannya jika dilihat kepada usia mudanya.
Kepadanya, membuat keputusan berkahwin padai usia muda bukan sesuatu yang perlu dihairankan terutama apabila seorang lelaki itu sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab.
“Tuhan permudahkan jalan kami untuk berkahwin. Jadi, kami perlu bersyukur dan jaga ikatan ini dengan sebaik mungkin.
“Soal kenapa kami memilih berkahwin di Siam itu adalah kerana saya sudah betul-betul sedia ambil Rita jadi isteri,” kata Aidil pada sidang akhbar di Hotel Crown Princess Kuala Lumpur, kelmarin.
Ia merupakan sidang akhbar pertama jaguh bola sepak itu kepada media setelah perkahwinan ‘rahsianya’ terdedah di dada media. Pendedahan itu dibuat oleh ahli keluarganya sendiri
Kagum keberanian suami
Melihat kesungguhan Aidil yang sanggup memperisterikannya, Rita pula tidak dapat menyembunyikan rasa kagum.
Kata Rita, dia cukup terharu dengan keberanian Aidil yang sanggup mempertahankan cinta mereka sehingga ke jinjang pelamin.

PEGANGAN erat tangan Rita dan Aidil membuktikan cinta mereka tidak dapat dipisahkan lagi
Kepada wanita berusia 32 tahun ini, awalnya dia kurang yakin apabila Aidil meluahkan hasrat untuk melamar kira-kira dua minggu sebelum tarikh pernikahan mereka.
“Bagaimanapun, selepas tengok Aidil begitu bersungguh-sungguh, saya bersedia bersama dengannya. Keluarga saya pun awalnya tidak memberi restu sebab tak mahu orang salah anggap.
“Setelah Aidil datang dan berbincang dengan elok, akhirnya mereka reda dan sedia memberikan restu untuk kami bernikah,” kata pelakon jelita ini.
Menurut Rita, selepas berkahwin dia tidak mahu memandang ke belakang lagi. Apa yang penting, dia mahu menjaga hubungan bersama suami dengan baik, selain menjaga kesihatan demi anak dalam kandungan.
“Lain-lain hal Rita tak mahu fikir dulu. Apa yang penting kandungan Rita sihat, fikiran tidak terganggu dan kami bahagia bersama. Doa Rita semoga kasih sayang kami tidak berubah sampai bila-bila pun,” katanya.
Nafi keluarga tak restu
Dalam sidang media yang sama, Aidil turut menafikan pendapat yang mengatakan bahawa keluarganya membantah keras hubungannya dengan Rita.
Dalam erti kata lain, keluarga Aidil dikatakan menghalang cinta antara mereka ekoran status ‘janda’ dan perbezaan usia antara kedua-duanya yang bersilang 11 tahun.
Menurut Aidil, soal tiada restu yang diberikan oleh keluarganya tidak pernah timbul sama sekali.
“Dalam sidang akhbar baru-baru ini pun keluarga saya bagi tahu mereka terkilan sebab kami kahwin tak bagi tahu. Mereka tak cakap pula tak beri restu kepada hubungan kami. Jadi, soal tak beri restu itu langsung tak timbul,” kata Aidil lagi yang sudah membawa Rita bertemu dengan keluarganya di Seremban bulan lalu.
Tiada majlis resepsi
Pasangan ini memberitahu, buat masa sekarang mereka tidak merancang untuk menganjurkan sebarang majlis bagi meraikan sahabat handai sempena pernikahan mereka.
Sebaliknya mereka memilih untuk menyelesaikan beberapa perkara penting terlebih dahulu, antaranya proses mendaftarkan semula perkahwinan dalam negara.
“Biarlah kami selesaikan satu persatu dulu. Sekarang kami sedang dalam proses mendaftar pernikahan.
“Kami sudah buat sidang akhbar dan selepas ini kami mahu jalani kehidupan sama macam orang lain dan bahagia berdua,” kata Aidil.
Rita pernah minta cinta diputuskan
APAKAH yang buat kalian saling jatuh hati?
AIDIL: Memang semua orang akan pertikaikan umur saya. Kepada saya, saya tak pentingkan umur. Apa yang penting, apa yang saya suka ada pada diri. Dia tak kongkong hidup saya. Susah senang saya dia sentiasa ada di sebelah saya, sokong saya. Semua apa yang saya hendak ada pada diri dia. Susah saya hendak cari pengganti dia. She’s the best.
RITA: Aidil bukan macam kawan-kawan yang sebaya dengannya. Dia suka duduk rumah, sangat bertanggungjawab dengan keluarga dan bukan jenis berpoya-poya. Memanglah dia cemburu, tetapi bukan cemburu buta.

RITA cukup terharu dengan keberanian Aidil mempertahankan cinta mereka.
Sekarang okeylah, Aidil 20, Rita 30 tahun. Nanti bila Aidil 30, Rita sudah 40 tahun, bersedia ke?
AIDIL: Hal ini bergantung kepada keikhlasan kita juga. Apa yang ada dalam hati kita, itu yang utama. Umur sama pun, kalau tak ikhlas jadi kucar kacir.
RITA: Dulu memang saya ingat dia masih budak-budak. Tetapi sebenarnya dia ni cukup matang. Lama-kelamaan dia jadi makin serius dan tahu apa dia nak.
Dari mana dapat kekuatan untuk umumkan kisah nikah?
AIDIL: Lepas tahu isteri saya mengandung. Masa tu rasanya tak nak rahsiakan lagi. Bila isteri sudah mengandung, saya rasa kena bagi tahu dan tak kisah lagi apa hendak jadi. Walaupun keluarga terkejut ke, apa ke, saya sanggup terima kesannya. Kami bincang dulu dengan Kak Long (kakak sulung Aidil) dan kemudian baru jumpa abah dan emak.
RITA: Rita sudah lama sedia. Cuma tunggu Aidil benar-benar bersedia. Kalau boleh lepas kahwin kita nak bagi tahu semua orang. Tetapi keadaan membuatkan kami terpaksa merahsiakannya dulu.

SELESAI kontroversi, pasangan ini meniti kebahagiaan dalam menanti kelahiran sulung buah cinta mereka.
Bagaimana dengan tanggapan sesetengah pihak yang mengaitkan Aidil seolah-olah ‘anak durhaka’, kahwin tanpa restu keluarga?
AIDIL: Apa pun kenyataannya hanya saya dan keluarga yang tahu. Sebenarnya hubungan saya dan keluarga macam biasa, tak bermusuh atau bergaduh. Cuma biasalah, ini soal hati dan perasaan. Mungkin mereka kena ambil masa untuk terima semua benda ini. Tetapi saya percaya keadaan akan jadi okey.
RITA: Keluarga Rita pun tak suka sangat awalnya. Mereka suruh kami fikir betul-betul. Tapi bila sudah tengok Aidil serius, mereka tak boleh halang. Keluarga pun risau juga kalau-kalau jadi benda yang tak elok, lagi susah. Lebih baik kahwin saja.
Perasaan selepas kahwin?
AIDIL: Saya lega sangat. Masalah saya selama tiga tahun sudah selesai bila kami kahwin. Akhirnya ini jawapan kepada segala masalah dalam hubungan kami. Saya jadi semakin bersemangat di padang. Yalah, tiga tahun bercinta macam-macam masalah iaitu kami. Alhamdulillah rasa serabut, masalah dalaman semua sudah hilang.
RITA: Dulu masa macam-macam masalah datang, Rita pernah minta ‘putus’. Paksa diri supaya buang saja, jangan berkawan lagi. Yalah, nampak macam saya ni beri banyak sangat masalah pada dia, baik putus. Tapi kami memang tak boleh berpisah. Itu yang buat kami nekad, teruskan juga. Sanggup buat apa saja sebab kami saling menyayangi. Kalau pasal kami berdua, lepas berkahwin tentulah gembira sangat. Perkahwinan ini buat kami rasa istimewa.
Kosmo
CAK: Noniswara Beli Pakaian Pengantin
Rap
SEBELUM ini kita pernah digemparkan dengan gosip dramatis jelita, Noniswara Baharudin berkahwin dengan ahli korporat dikenali sebagai Datuk R.
Bahkan Noniswara dilihat hadir bersama Datuk R yang bertugas di sebuah syarikat telekomunikasi ke majlis Anugerah Skrin 2008.
Bagaimanapun ibu kepada Naveer Mihshon Zakaria, 14, Nur Erysha Emyra, 9, dan Nazeer Danish, 2, ini menegaskan dia belum berkahwin tetapi mengakui memang rapat dengan jejaka yang diperkatakan itu.
Beberapa hari lalu seorang teman menyampaikan perkembangan terbaru anak jati Pasir Mas, Kelantan ini. Katanya, Noniswara dan Datuk R berkunjung ke sebuah gedung tekstil terkenal ibu kota untuk membeli kain yang bakal digayakan pada hari perkahwinan mereka.
Nampak gayanya, tak lama lagi industri kita bakal dimeriahkan dengan satu lagi majlis perkahwinan dan diharap Noniswara tidak lupa mengundang rakan media bagi sama-sama meraikan hari bahagianya dan bakal suami.
Harian Metro
Artis Malaysia Cemerlang Di Luar Negara
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
MENYOROTI kejayaan sepanjang tahun ini, persada hiburan tempatan masih menunjukkan peningkatan pada pencapaian anugerah artis tempatan walaupun pasaran muzik belum menunjukkan perubahan positif pada jualan album. Berbeza dengan muzik, filem tempatan terus rancak ditayangkan di pawagam.
Tahun ini sebanyak 26 filem tempatan menemui penonton bermula dengan filem Jarum Halus arahan Mark Tan sekadar mencatat pulangan RM8,197 diikuti Kala Malam Bulan Mengambang (RM554,000), Cuci (RM2.04 juta), Dunia Baru The Movie (RM2.29 juta), Anak (RM1.2 juta) hingga terbaru Cicakman 2: Planet Hitam sebanyak RM2.7 juta. Bersama Cicakman 2: Planet Hitam yang masih ditayangkan, filem baru arahan James Lee, Histeria mula menemui penonton pada 18 Disember lalu manakala Brainscan: Aku & Topi Ajaib arahan Ahmad Idham pada 25 Disember lalu.
Melihat pencapaian bidang hiburan secara terperinci, tiga bidang dijadikan contoh terbaik untuk mengukur kecemerlangan iaitu pencapaian artis di peringkat antarabangsa, majlis anugerah dan pengiktirafan darjah kebesaran daripada kerajaan.
Naib juara program realiti One In A Million musim kedua, Nurshahila Amir Amzah atau Shila mencatat sejarah selepas memenangi anugerah emas pada Penang Shanghai World Star Quest (PSWSQ) yang diadakan di Pulau Pinang, hujung April lalu.
Shila, 18, yang menyampaikan lagu Memori Tercipta dinilai tujuh juri profesional.
Bermula dari situ, Shila menerima lamaran produksi antarabangsa, Disney Channel untuk merakam lagu dan video klip duet bersama pelakon popular Hannah Montana, Miley Cyrus.
Penyanyi Nur Nadia Fadila Abu Bakar atau Dia Fadila, 24, pula merakam kenangan manis menerusi penyertaan di Festival Melodi Emas Asean 2008 yang berlangsung di Bandaraya Ho Chin Minh, Vietnam selama lima hari bermula 16 Oktober lalu.
Menerusi pertandingan itu, Dia mengungguli juara kategori pop dengan membawakan lagu I’m Telling You yang pernah dipopularkan Jennifer Hudson dalam filem Dream Girls.
Dia juga berjaya mendapat tempat kedua kategori tradisional untuk Joget Kenangan Manis yang pernah dipopularkan Allahyarham Sudirman Arshad.
Penyertaan kali keempat pada Pertandingan Seni Persembahan Dunia (WCOPA) ke-12 yang berlangsung 17
hingga 29 Julai lalu di Los Angeles, Amerika, sekali lagi mencatatkan kenangan manis buat delegasi negara.
Dari penyertaan 39 kategori dan bersaing dengan 41 negara dari seluruh dunia, delegasi negara meraih 27 pingat emas, tujuh perak, dua gangsa dan 15 gelaran Champions Of The World.
Dua penyanyi tempatan, Norazmahwati Abd Aziz atau Noryn Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal) berjaya di peringkat antarabangsa.
Noryn meraih lima pingat emas, satu perak dan satu gelaran Champions Of The World manakala Iqwal mendapat empat emas dan satu perak.
Atas tiket kemenangan di WCOPA, Noryn dan Iqwal dijemput penganjur menyertai Pertandingan Anugerah Bakat Baru yang diadakan selama empat hari bermula 7 Ogos lalu. Namun, rezeki memihak pada Iqwal yag menang pada pertandingan kedua itu.
Iqwal berjaya mengalahkan lebih 2,000 penyanyi yang menyertai pertandingan itu sebelum enam penyanyi layak ke peringkat akhir.
Untuk majlis anugerah, Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22) membuka tirai pada tahun ini sebaik diadakan pada 27 Januari lalu di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mempertandingkan tiga kategori iaitu pop rock, balada dan etnik kreatif, AJL 22 kali ini mengumumkan lagu Itu Kamu nyanyian kumpulan Estranged sebagai juara lagu. Sebelum itu, mereka menang kategori pop rock manakala balada dimenangi lagu Izinku Pergi yang disampaikan Sahri menggantikan penyanyi asal, Kaer Azami.
Kategori Etnik Kreatif memihak pada Nora yang menyanyikan lagu Samudera.
Penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi yang mempertaruhkan lagu Angan Dan Sedar tetap menang anugerah persembahan terbaik. Mawi juga mengulangi kejayaan di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) yang diadakan dua bulan selepas itu.
Buat kali ketiga berturut-turut, Mawi mempertahankan gelaran Artis Paling Popular pilihan peminat yang mengundinya menerusi borang undian.
Mawi berjaya mengenepikan pemenang sebelum ini, Datuk Siti Nurhaliza. ABPBH 2007 yang diadakan di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Mac lalu menjadi anugerah berprestij yang mengiktiraf artis tempatan berdasarkan keputusan undian peminat.
Mawi yang melangsungkan pernikahan dengan Norashikin Rahmat (Ekin) pada 20 Disember lalu mengalahkan Anuar Zain, Hazami, Adam dan Faizal Tahir untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.
Siti juga mempertahankan gelaran Penyanyi Wanita Popular yang dimenangi sejak 1996.
Kejutan pada malam itu memihak pada Dynaz yang meraih Anugerah Pelakon TV Wanita Popular manakala kategori lelaki menjadi milik Rosyam Nor.
Untuk ABPBH 2007 edisi ke-21 ini, tidak lupa mengiktiraf komposer M Nasir sebagai penerima Anugerah Khas Pencapaian Seumur Hidup.
Dua penyampai Hot FM iaitu Faizal Ismail dan Fara Fauzana digandingkan memenangi anugerah Penyampai Radio Popular.
Fara juga membawa pulang anugerah Pengacara TV Wanita Popular manakala kategori lelaki dimenangi Aznil Nawawi.
Majlis Anugerah Planet Muzik 2008 pada 20 April pula menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah mencipta sejarah dengan kemenangan lapan anugerah dari 12 anugerah yang dipertandingkan.
Penyanyi popular, Siti Nurhaliza membuktikan kecemerlangan mempertahankan anugerah Penyanyi Wanita Paling Popular untuk kali kelapan berturut-turut meskipun tewas pada Krisdayanti untuk kategori Artis Wanita Terbaik.
Kejayaan manis artis tempatan turut dicatatkan menerusi KRU memenangi anugerah Cipta Planet Muzik, kumpulan Search (Anugerah Khas Planet Muzik), Anuar Zain (Artis Lelaki Terbaik), Farah Asyikin (Artis Wanita Baru Terbaik), Meet Uncle Hussain (Duo/Kumpulan Baru Terbaik) dan Estranged untuk Duo/Kumpulan Paling Popular dan Lagu Paling Popular menerusi Itu Kamu.
Penyanyi yang pernah mencipta kontroversi membuka baju dalam satu konsert, Faizal Tahir bangkit dari penggantungan tiga bulan apabila berjaya membawa pulang dua anugerah iaitu Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular.
Faizal Tahir sekali lagi mencuri perhatian khalayak selepas menang besar pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (AIM15) yang dipertandingkan pada 3 Mei lalu.
Faizal yang tercalon menerusi album Aku.Muzik.Kamu berjaya meraih empat anugerah iaitu Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Rock Terbaik.
Siti Nurhaliza pula yang tampil dengan album Hadiah Daripada Hati memenangi dua anugerah untuk Album Pop Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik kategori bahasa Malaysia.
Anugerah Lagu Terbaik untuk AIM15 menjadi milik Kaer Azami untuk lagu Izinku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan.
Pada 2 Ogos lalu, Malaysia diberi penghormatan sebagai tuan rumah Anugerah MTV Asia 2008 yang dilangsungkan dari Arena Of Stars, Genting Highlands, Pahang. Hanya satu anugerah dibawa pulang iaitu Artis Pilihan Malaysia yang dimenangi Nicholas Teo yang turut popular di Taiwan.
Nicholas berjaya mengenepi pemenang dulu iaitu Mawi yang pernah menang dua tahun lalu dan Siti Nurhaliza untuk empat tahun berturut-turut sejak 2002. Ternyata kemenangan Nicholas bukan hanya kejutan pada Mawi dan Siti tetapi calon lain seperti Faizal Tahir dan Pop Shuvit.
Bagi karyawan filem pula, Mamat Khalid mencipta sejarah pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 9 Ogos lalu menerusi filem berkonsepkan hitam putih, Kala Malam Bulan Mengambang.
Filem arahan Mamat itu menang lima anugerah iaitu Pengarah Filem Terbaik, Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Rosyam Nor), Penataan Seni Terbaik (Nazrul Ashraff) dan Pereka Kostum/Busana (Nasirah Ramlan).
Pengarah Yasmin Ahmad yang pernah mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa diangkat sebagai penerima Anugerah Khas Juri pada Anugerah Skrin 2008 yang diadakan pada 7 November lalu.
Yasmin sebelum ini dikenali menerusi filem Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan iklan Petronas di TV.
Anugerah Oskar 7 yang berlangsung pada 15 November lalu menyaksikan Shuhaimi Baba menguasai lima anugerah. Selain anugerah Direktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi untuk tiga tahun berturut-turut, filem arahannya 1957: Hati Malaya berjaya meraih anugerah Aktor Filem 2008 Pilihan Juri menerusi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008, Sinematografi Filem 2008 dan Melodi Filem 2008 Pilihan Juri (lagu Hati
nyanyian Siti Nurhaliza).
Menutup tirai majlis anugerah tahun ini adalah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff2008) yang adakan pada 29 November lalu. Ternyata penganjuran kali kedua ini terus meraih perhatian karyawan antarabangsa apabila Malaysia sebagai tuan rumah.
Sebanyak 191 penyertaan filem cereka diterima dari lima benua, tetapi hanya 22 filem bertanding untuk merebut 16 kategori anugerah.
Wakil tunggal negara, filem Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan hanya memenangi Anugerah Khas Juri manakala karya Saw Tiong Guan bertajuk, G16 G17 mengungguli kategori filem pendek mengatasi saingan enam peserta dari Iran, Australia dan Sepanyol.
Tahun ini, bidang hiburan juga berbangga dengan artis tempatan yang menerima darjah kebesaran daripada kerajaan.
Antara penerima tahun ini adalah Datuk Sheila Majid, Datuk Shuhaimi Baba dan David Arumugam.
Perjuangan seni ratu jazz, Sheila selama 23 tahun lalu dihargai apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah Ke-78 pada 24 Oktober lalu.
Sheila, 43, juga adalah isteri pada bekas pemain keyboard kumpulan Gersang, Hashridz Murshim Hassim atau Acis.
Dalam bercerita soal artis tempatan terima darjah kebesaran, bidang hiburan kecoh seketika selepas aktor Bollywood, Shah Rukh Khan menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub pada penghujung bulan lalu.
Bagaimanapun, pengarah filem terkenal, Shuhaimi menerima Darjah Kebesaran Datuk Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) membawa gelaran Datin Paduka.
Shuhaimi, 58, yang pernah mengarah filem Pontianak Harum Sundal Malam antara 95 penerima darjah dan pingat kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Disember lalu.
Terbaru, pada 18 Disember lalu, anggota kumpulan Alleycats, David Arumugam atau nama sebenar Thiagarajan K R Arumugam menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM) dari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Harian Metro
‘Saya Tidak Minat Cakap Pasal Norman’

KUALA LUMPUR – Jika Norman Hakim yang tampil berimej botak setelah bercerai mengeluarkan kenyataan tidak berdendam dengan Abby Abadi, lain pula hal dengan bekas isterinya itu.
Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan (gambar), 30, mulanya langsung tiada hati untuk bercakap walaupun sepatah perkataan mengenai imej dan azam baru bekas suaminya.
“Saya tidak berminat nak bercakap tentang dia lagi,” hanya itu jawapan Abby kepada Kosmo! yang sejak dua hari lepas cuba mendapatkan maklum balas daripadanya.
Bagaimanapun, setelah dipujuk Abby menjelaskan, apa yang terpendam dalam hatinya tidak terluah dengan kata-kata.
“Berdendam atau tidak terhadap Norman, biarlah saya dan Tuhan sahaja yang tahu. Fokus saya sekarang ialah terhadap karier dan anak-anak. Harapan saya, biarlah tahun 2009 nanti memberi lebih makna.
Kosmo