Skip to content

Archive for December 2008

16
Dec

Masih Mencari Identiti Diri



Pengkid, lesbian dan yang seangkatannya memang jelas haram di sisi Islam. Namun, mengapa ia masih berlaku walaupun pihak-pihak yang berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah?


GEJALA pengkid yang semakin menular dalam kalangan remaja boleh menjejaskan keamanan dan kesejahteraan negara. – Gambar hiasan

ISU pengkid, lesbian, gay, pondan dan sebagainya sudah lama membelenggu masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi banyak lagi negara di seluruh dunia.

Walaupun ada sesetengah pihak berpendapat ia bukanlah satu isu yang besar, tetapi hakikatnya perkara ini mampu mengganggu gugat keamanan dan kesejahteraan sesebuah negara. Apatah lagi jika negara itu mempunyai populasi penduduk yang ramai menganut agama Islam.

Kesemua perkara yang disebut di atas memang jelas haram di sisi Islam. Namun, mengapa ia masih berlaku walaupun pihak-pihak yang berkaitan telah mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah?

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini telah pun mengharamkan perbuatan pengkid setelah melihat gejala itu di kalangan remaja perempuan Islam semakin membimbangkan.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, bukan sahaja gerak laku, berpakaian, penampilan, percakapan dan rupa seolah-olah lelaki, malah golongan pengkid juga tidak berminat kepada lelaki tetapi berminat kepada kaum sejenis.

Malangnya, fatwa yang dikeluarkan itu langsung tidak dihiraukan golongan berkenaan. Malah, mereka seolah-olah menganggap ia hanyalah perbuatan sia-sia belaka hingga sanggup memperlekehkan fatwa tersebut kerana mereka tetap tidak mahu berubah.

Pelakon dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki mempunyai pandangan tersendiri mengenai perkara ini. Menurutnya pengkid, lesbian dan yang seangkatan dengannya adalah satu peringkat dalam kehidupan manusia yang mencari-cari identiti sendiri.

“Jadi, dalam pencarian kehidupan itu, mereka sebenarnya telah tersasar dan tersalah memilih jalan yang tidak sepatutnya dilalui. Bagi saya, mereka juga sama seperti insan lain di dunia ini. Cuma jalan yang dipilih berbeza dengan kebanyakan manusia lain.


AFDLIN SHAUKI

“Seharusnya semua orang patut percaya bahawa bukan semua yang berlaku akan berkekalan seperti yang kita kehendaki. Mungkin untuk seketika kita akan bahagia, tetapi dalam lembaran kehidupan yang lain, sebaliknya akan berlaku.

“Justeru apa yang penting, jika tahap keimanan kita begitu kuat pada Yang Maha Pencipta, saya yakin seseorang manusia akan bertemu dengan apa yang dicari dalam kehidupannya. Dalam pencarian siapa diri kita sebenarnya, manusia sepatutnya mendekatkan diri dengan agama kerana melalui cara itu kita boleh mengenal diri,” ungkap Afdlin penuh makna.

Di samping itu, Afdlin berkata, keputusan untuk menjadi pengkid dan sebagainya adalah pilihan peribadi mereka. Oleh itu, pilihan peribadi itulah yang harus dikaji semula sedalam-dalamnya.

“Dalam hal ini, individu yang berada di sekeliling merekalah yang boleh membantu dan mengajak mereka kembali ke pangkal jalan. Tetapi ia bukan satu tugas mudah dan sebagai artis yang menjadi perhatian umum, adalah menjadi tanggungjawab saya menjadi contoh terbaik dan tidak melakukan perkara negatif yang boleh menjadi ikutan masyarakat.”

Sementara itu, pendakwah bebas dan pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali berkata, dalam usaha menarik golongan sedemikian berubah ke arah kebaikan, ia perlu dilakukan secara berhemah dan beransur-ansur.

“Sebagaimana perubahan ke arah menjadi pengkid juga secara beransur-ansur, maka begitu juga sebaliknya. Sebagai masyarakat yang berilmu, kita perlu menggunakan pendekatan berhikmah dalam membimbing individu sebegini.

“Tidak dinafikan ibu bapa dan keluarga memainkan peranan penting ke arah pembentukan peribadi diri anak-anak. Jadi, mulakan didikan sedari kecil dan jangan bersikap sambil lewa dalam mendidik anak-anak,” kata beliau ketika diminta mengulas mengenai isu ini.


PROF. MD. IZUDDIN ALI

Prof Izudin menyatakan peluang untuk berubah sentiasa ada.

“Jangan sesekali berputus asa terhadap rahmat Allah s.w.t kerana ia terlalu luas. Walau sebesar mana pun dosa seseorang anak Adam itu, tetapi jika mereka telah bertaubat sepenuh hati, nescaya akan diampunkan oleh Allah s.w.t.

“Kedua, cuba dapatkan persekitaran yang positif untuk menggalakkan perubahan dalam diri. Selain itu, untuk berubah sepenuhnya ia mungkin tidak dapat dilakukan seratus peratus, tetapi cuba perlahan-lahan.

“Paling utama, kawal naluri dan nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan. Jangan mencari jalan penyelesaian dengan cara bermasalah seperti membunuh diri dan sebagainya. Tetapi berbincang dan luahkan perasaan pada insan tertentu yang boleh memahaminya,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, apabila menyentuh aspek perubahan yang diharapkan di kalangan pengkid, tiada apa yang boleh dilakukan kerana pokok pangkalnya bermula daripada hati masing-masing.

Mungkin sesetengah pihak boleh berdakwah dengan cara berhikmah, tetapi jika tiada kesedaran sendiri di hati mereka, tiada maknanya semua itu. Oleh itu, tepuk dada tanyalah iman, bukan tanya selera. – KHADIJAH MOHAMAD NOR

Kosmo

15
Dec

Ziela Jalil Puas Garap Drama Berkualiti

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

KEJAYAAN drama Suara Solehah pada Anugerah Skrin 2008 yang berlangsung 8 November lalu membuktikan kesungguhan produser Ziela Jalil menerusi produksinya, Pena Creative Pictures Sdn Bhd untuk menghasilkan karya terbaik.

Drama arahan Murali Abdullah itu bukan saja menang drama terbaik, malah pengarah terbaik manakala pelakon utamanya, Fauziah Ahmad Daud diangkat pelakon wanita terbaik.

Ini juga bukan kali pertama drama terbitannya menang drama terbaik di Anugerah Skrin anjuran TV3, malah pada Anugerah Skrin 2006, drama Lebih Bisa Dari Jelatang menang empat daripada tujuh anugerah dipertandingkan iaitu drama terbaik, skrip terbaik (Mazlan Abdul Manan), pengarah terbaik (Kabir Bhatia) dan pelakon pembantu wanita terbaik (Elza Erdalynna).

Drama Anak Angkat dan Kembali juga berjaya mendapat pengiktirafan di Anugerah Skrin TV3.

Pastinya, kejayaan ini sungguh bermakna bagi Ziela.

Jumaat lalu, Ziela mengadakan majlis kesyukuran sempena meraikan kejayaan itu serentak dengan pelancaran drama terbarunya.

Katanya, dia ingin berkongsi kejayaan itu dengan semua pihak yang membantu menjayakan Suara Solehah.

“Kejayaan ini juga memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkan drama berkualiti untuk kepuasan diri. Alhamdulillah, juri turut mengakui kualiti drama terbitan saya apabila menang drama terbaik di Anugerah Skrin,” katanya.

Balu bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub yang meninggal dunia pada 24 Januari lalu terus berusaha mempertingkatkan kualiti drama yang dihasilkan.

Menjelang 22 Disember ini menerusi slot Lagenda di TV3, setiap Khamis jam 4.30 petang, Ziela akan tampil dengan drama baru terbitannya, Laila Majnun.

Lebih sekadar hiburan, drama ini turut menyelitkan mesej dan pengajaran kepada penonton.

Menggandingkan Nabila Huda dan Zizan Nin sebagai pendukung utama, drama ini menyelami kehidupan watak utama iaitu Laila lakonan Nabila yang hidup miskin, tetapi berusaha untuk berjaya dalam hidup.

Laila terpaksa berhenti sekolah pada usia 12 tahun dan bekerja selepas kematian ibu bapa.

Mempunyai rakan karib iaitu Majnun, Laila pernah melalui satu peristiwa hitam dirogol.

Akibat peristiwa itu, Laila berhijrah ke bandar untuk memulakan kehidupan baru.

“Cerita sebegini bukan hanya menyampaikan nasihat kepada penonton, tetapi pada diri saya sendiri untuk memahami nasib remaja seperti dirogol mahupun hilang dari rumah. “Sebolehnya, saya mahu paparkan realiti dalam masyarakat dan ia bergantung pada penonton untuk terima secara positif atau negatif.

“Walaupun ini kali pertama Nabila dan Zizan bekerja dalam drama saya, saya yakin dengan kemampuan dua pelakon muda ini berdasarkan lakonan mereka dalam drama lain sebelum ini,” katanya.

Drama sebanyak 20 episod ini diarah Emi Suffian dan dijayakan pelakon berpengalaman seperti Fauzi Nawawi, Wan Hanafi Su, Wan Maimunah, Aida Radzwill, Mahmud Ali Bashah, Liza Othman dan Kanchana Dewi.

Pada majlis doa selamat drama itu yang diadakan di Restoran Sri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini turut meraikan 40 anak yatim dari Persatuan Ehsan Wanita & Anak-AnakWilayah Persekutuan (Perwanida).

Ziela sebelum ini dikenali sebagai pelakon menerusi beberapa filem antaranya Mr Os pada 1987, Perawan Malam, Kembar Siam, Ujang, Rentak Desa, Driving School, Harry Boy, Konstabel Mamat (1992) dan Kayangan pada tahun lalu. Meskipun aktif kerja produksi, minat terhadap lakonan masih kuat.

Ibu dua anak, Puteri Julia Nabilah, 16, dan Megat Jufri Nasrullah, 13, hasil perkahwinan dengan Tan Sri Megat Junid Megat Ayob berkata, dia juga kini terbabit dengan penggambaran filem baru arahan Prof Madya A Razak Mohaideen, Dua Hati Satu Jiwa.

Katanya, dalam filem lakonan ke-16 ini, Ziela bergandingan bersama Fouziah Ghous, Yasmin Hani dan Fahrin Ahmad sebagai pelakon utama.

“Memang seronok apabila kembali berlakon filem semula, tetapi keseronokan sekarang berbeza dengan dulu apabila kini saya lebih memikirkan anak. Bekerja dengan Razak, ada kelainan kerana doa dibacakan sebelum penggambaran bermula agar mendapat berkat.

“Sebenarnya, saya lebih berminat untuk berlakon dengan produksi sendiri atas faktor keselesaan pada saya sendiri. Jika difikirkan saya juga mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem sendiri, tetapi buat masa ini saya ingin kutip pengalaman daripada pengarah lain dulu.

“Saya mempunyai keberanian untuk buat filem, tetapi mungkin saya akan bekerjasama dengan penerbit lain untuk filem pertama saya nanti.

“Dalam pada itu, saya mempunyai beberapa drama baru lain yang akan diterbitkan selepas ini antaranya Matahari, Puteri Gunung Ledang, Puteri Mayang Mengurai dan Dendam Pontianak,” katanya.

Harian Metro

13
Dec

Rahsia Kuza

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my

Rap
SIKAPNYA yang merendah diri menjadikan Tengku Sariza Tengku Muzani atau lebih dikenali sebagai Kuza mudah didekati.

Meskipun boleh dikategorikan sebagai pelakon yang ada nama atau kelas tersendiri, aktres kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu tidak menunjuk-nunjuk, jauh sekali membangga diri.

Tidak hairan nama Kuza mampu bertahan hampir 18 tahun dalam industri seni, malah rezekinya sentiasa murah dengan pelbagai tawaran berlakon drama atau filem.

Bukan mudah bagi pelakon bermata bundar itu bertahan, apatah lagi saban hari ramai pelakon baru tumbuh bagai cendawan. Namun, sikapnya yang menyenangkan sesiapa sudah cukup membuka rahsia ibu tiga anak itu terus menjadi pilihan penerbit dan pengarah.

“Saya sentiasa amalkan sikap seperti orang baru belajar, merendah diri dan pandai bawa diri serta paling penting, jaga hati semua orang.

“Glamor? Saya tidak mencarinya tetapi lebih suka tonjolkan bakat. Jika kita berikan kerja terbaik, pasti ada pengarah atau penerbit ambil berlakon,” luahnya.

Selain itu, kata Kuza, dia tidak suka menonjolkan diri, selain berpegang teguh dengan disiplin sepanjang bekerja dengan sesiapa saja.

“Saya lebih suka bersederhana daripada menonjolkan diri, terutama di lokasi penggambaran, selain jaga disiplin. Kita bekerja dengan ramai orang, jadi sikap perlu dijaga kerana ramai memerhati,” katanya.

Kuza pernah dinobatkan sebagai pelakon pembantu wanita filem selama dua tahun berturut-turut dalam Anugerah Bintang Popular pada 1991 dan 1992. Dia juga pernah dicalonkan pelakon wanita terbaik dalam Anugerah Skrin.

Sejak membabitkan diri dalam dunia seni pada usia 17 tahun, puluhan drama dan filem dibintanginya seperti Tentang Bulan, Kamasutra, Sari Maya dan Dari Kuala Lumpur ke Queenstown.

Terbaru, dia terpilih membintangi telefilem Kekasihku Seru yang akan menjalani penggambaran, Februari depan. Dia juga berlakon dalam drama sama sebagai Mas Ayu yang dirasuk makhluk halus.

Kuza kini semakin laris menerima tawaran berlakon dan menyifatkan ia rezeki anak. Selain tawaran berlakon, terbaru dia turut dipilih sebagai duta bagi produk keluaran Dunia Herbs Sales & Marketing yang terkenal dengan losyen pati halia.

“Saya terkejut dengan pemilihan sebagai duta syarikat ini. Mungkin kerana saya penggunanya, sebab itu Pengarah Urusannya, Rusdi Abdullah, memilih saya sebagai duta untuk tempoh setahun sehingga Disember tahun depan,” katanya.

Menurutnya, sebelum bersetuju menjadi duta syarikat itu, dia mengambil kapsul Pati Halia Nightriem selama 20 hari dan terbukti berjaya mengurangkan berat badannya daripada 64 kilogram (kg) ke 58 kg.

“Selain berat badan turun, badan terasa ringan, malah jika sebelum ini kaki terasa bisa apabila berjalan di lantai, selepas mengambilnya, bisa itu tiada lagi. Pati Halia Nightriem juga membantu membersihkan usus, menghancurkan lemak di perut, merawat sembelit dan membuang angin,” katanya yang kini menjadi pengguna setia produk berkenaan.

Selain Pati Halia Nightriem, syarikat terbabit memasarkan Losyen Mustajab Pati Limau Nipis dan Halia; Mustajab Perawan dan produk paling mendapat sambutan, Losyen Mustajab Pati Halia.

“Mustajab Perawan membantu memulihkan tenaga dan kesihatan wanita selain melangsingkan badan, menegangkan payu dara serta merawat masalah berkaitan rahim atau peranakan.

“Losyen pati limau nipis dan halia pula membantu merawat sakit otot dan sendi, menghilangkan rekahan pada perut dan punggung serta mengurangkan selulit,” katanya.

Bercerita tugas barunya, Kuza berkata, selama setahun dia bertanggungjawab mempromosi produk itu ke seluruh negara.

Sementara itu, Rusdi berkata, pemilihan Kuza dibuat kerana dia pelakon yang ada nama dalam industri seni serta memiliki pengikut sendiri.

“Kuza orang lama dalam industri seni, cantik, anggun dan senang untuk bekerjasama. Dia mudah diajak berbincang, malah pertama kali saya mempelawanya menjadi duta kami, dia tiada masalah,” katanya.

Harian Metro

13
Dec

Semangat Diya

Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN
shakilawati@hmetro.com.my

Rap

SEBELUM menyertai Akademi Fantasia musim kelima, gadis ini terlebih dulu mengasah bakat sebagai pelakon. Pada 2005 bakatnya dikesan oleh pengarah muda, Ahmad Idham, yang menawarkan watak pembantu dalam filem Tipah Tertipu.

Dia kemudian menjayakan drama Akademi Cinta dan diberi kepercayaan sekali lagi oleh Idham membintangi Impak Maksima dua tahun lalu.

Sebulan selepas penggambaran filem itu, Diya Kholid terpilih sebagai pelajar Akademi Fantasia musim kelima dan di pentas program realiti tv itulah namanya mula dikenali umum.

Meskipun menjadi pelajar pertama tersingkir musim itu, Diya tidak pernah patah semangat. Dia yakin masih ada ruang untuknya terus bernyawa dalam industri seni tanah air.

Tidak perlu menunggu lama, sejurus tersungkur di pentas AF, dia dilamar membintangi drama Durani, sekali gus memikul watak mencabar sebagai gadis yang sering berendam air mata bernama Sibil.

Dari situlah minatnya terhadap dunia lakonan semakin mekar. Walaupun sukar menzahirkan perasaan sedih menerusi karektor yang dibawa, Diya bertuah kerana banyak mendapat dorongan dan bimbingan artis senior serta tenaga produksi siri berkenaan.

“Saya terharu apabila pengarah drama ini memberitahu dia tetap mahu ambil saya berlakon walaupun saya peserta AF paling awal tersingkir.

“Alhamdulillah, bertitik tolak daripada drama ini rezeki saya semakin murah, malah setiap bulan ada saja tawaran menyusul. Saya tidak pernah ralat meskipun peluang berlakon lebih terbuka luas berbanding nyanyian.

“Setidak-tidaknya saya lebih bernasib baik jika dibandingkan dengan rakan AF lain yang tidak dapat merealisasikan impian muncul sebagai penyanyi atau pelakon.

“Selepas Durani, saya menjayakan siri Pria, Selembut Muhasabah, Mega Sekeping Hati, Sofea Zahra dan terbaru telefilem Setitik Budi Segunung Intan. Watak yang diberi juga semakin berkembang.

“Kalau dulu bermula dengan watak sampingan, kini saya berpeluang muncul sebagai pelakon pembantu dan utama,” kata pemilik nama sebenar Adyana Kholid ini.

Berkongsi pengalaman menjayakan drama Sofea Zahra yang kini hangat bersiaran di saluran Astro Ria, watak sebagai Zahra yang penuh hasad dengki, bengis dan kuat cemburu cukup menguji kemampuan Diya.

Akuinya, bukan mudah menjiwai karektor antagonis kerana ia bukan bersandar pada memek muka, gerak tubuh dan solekan semata-mata, tapi juga luahan emosi dari dalam diri.

“Saya bertuah dapat bekerja di bawah arahan Jurey Rusley. Dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan dalam masa sama menggalakkan saya meneroka watak yang dibawa.

“Sariyanti yang melakonkan watak Sofea juga banyak membantu. Dia tidak lokek ilmu, malah sangat penyayang orangnya. Saya selesa berkawan dengannya, malah menganggap dia seperti kakak sendiri,” katanya sambil memberitahu, babak di wad sakit jiwa paling sukar dilakonkan.

Laluan gadis ini meneroka layak perak semakin mudah apabila dilamar membintangi filem seram komedi yang akan memulakan penggambaran sedikit masa lagi.

Bagaimanapun gadis cantik ini enggan mengulas lanjut perkembangan itu kerana belum menerima hitam putih daripada produksi berkenaan. Yang pasti, watak yang bakal dipikul lebih besar berbanding dua filem terdahulu.

Pertama kali melihat wajahnya dari dekat, terdetik di hati saling tak tumpah pelakon cantik, Intan Azura. Bagi Diya, itu bukan perkara asing baginya kerana ke mana saja dia pergi pasti ada suara mengatakan wajahnya seiras pelakon idolanya.

Pujian itu bagaimanapun tidak pernah melalaikan anak jati Kuala Lumpur ini, sebaliknya dia diselubungi perasaan segan.

“Memang dari dulu saya minat Intan Azura dan teringin berlakon di sampingnya. Ramai cakap wajah kami sama sampaikan saya rasa malu. Kadangkala saya tertanya-tanya bahagian mana yang sama dan menyifatkan pujian itu sebagai gurauan.

“Harapnya satu hari nanti saya berpeluang bertemu dengannya di lokasi penggambaran. Selain itu saya teringin bekerjasama dengan Elly Suriati dan Sheila Rusly. Sebagai pelakon baru yang masih bertatih, banyak yang ingin saya belajar daripada mereka,” katanya penuh mengharap.

Meskipun lebih menyerlah dalam dunia lakonan, minat anak bongsu daripada empat beradik ini terhadap bidang nyanyian tidak pernah pudar. Jauh di sudut hati, dia menyimpan hasrat menzahirkan single tetapi bukan dalam waktu terdekat.

“Saya akan mengumpul modal untuk menghasilkan single. Teringin juga mengikut jejak langkah Aizat yang sudah ada single dan berjaya masuk ke peringkat akhir Muzik-Muzik 2008.

“Sebagai rakan, saya tumpang gembira dengan kejayaannya dan berdoa dia terus maju ke depan,” kata Diya yang tidak merahsiakan hubungan cinta dengan pengurusnya, Hamdan, yang terjalin sebelum menyertai AF.

Harian Metro

13
Dec

Jarum Emas: Sejarah Bukit Elit

Oleh Adam Salleh

Rap
BUKAN ‘seorang dua’ artis kita tinggal di Bukit Antarabangsa. Sebaik bencana tanah runtuh berlaku di kawasan elit itu minggu lalu, seorang demi seorang artis kita tampil beri komen, yang ‘bestnya’ baru kita tahu Cico anak ‘jantan’ penyanyi Uji Rashid bakal menjadi ayah. Bila pula Cico kahwin?

Itu hak peribadi dia, tetapi yang pasti Bukit Antarabangsa tidak sunyi daripada tragedi. Ada saja bencana alam berlaku di kawasan elit di pinggir ibu kota ini, yang kian menjadi pilihan selebriti.

Sekadar berkongsi info, di Kuala Lumpur, sebelum muncul Bukit Antarabangsa, ramai artis menetap di Kampung Klang Gate Baru, kemudian sebaik Taman Melawati mulai berpenghuni, artis kita tertarik membeli atau menyewa di situ. Antaranya, Datuk Ahmad Daud dan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Sekitar 1970-an dan 1980-an Kampung Klang Gate Baru dan Taman Melawati digelar Beverly Hills. Jika tidak percaya, setiap kali lebaran tinjaulah ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, kita dapat melihat berduyun-duyun artis menziarahi pusara ahli keluarga mereka yang dikebumikan di situ.

Sebab musabab kediaman artis tertumpu di kedua-dua kawasan itu kerana ia berdekatan Studio Merdeka, iaitu satu-satunya studio filem di ibu kota tempat mereka mencari rezeki dulu.

Studio itu kini menjadi Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional atau Finas. Tidak terlintas mencetuskan polimik atau mistik, tetapi saya ingin mengimbau nostalgia silam keadaan Bukit Antarabangsa dan Taman Melawati sebelum dimajukan seperti yang kita lihat sekarang.

Sejak era 1960-an, laluan jalan utama di bawah Bukit Antarabangsa itu menghala ke Ampang tidak asing bagi arwah ayah saya. Orang lama cuma tahu di Bukit Antarabangsa ada jirat Cina.

Namun usahkan orang biasa, orang filem generasi baru pun barangkali tidak tahu betapa di situlah dikebumikan jenazah pengasas Cathay Kris Film, iaitu mendiang Datuk Loke Wan Tho.

Beliau anak mendiang Loke Yew dilahirkan pada 1915 dan terkorban dalam nahas kapal terbang ketika menghadiri Festival Filem Asia di Taiwan pada 1964.

Sekitar 1962 hingga 1965, selepas meninggalkan studio Cathay Keris Film di Singapura, ayah saya menjadi pengarah filem di Studio Merdeka. Status pengarah ketika itu memang hebat, tauke studio menempatkan ayah saya di Lucky Garden, Bangsar, yang ketika itu dianggap kawasan elit oleh orang KL. Berjiran pula dengan Tun Haniff Omar, yang kemudian menjawat Ketua Polis Negara.

Kampung Klang Gate Baru ketika itu belum dibangunkan lagi, tetapi sudah dibina empangan. Kerja filem pula tidak menentu, lalu bukan sekali dua petugas di studio balik lewat pagi.

Untuk ke Bangsar dari Hulu Klang, cuma ada dua jalan iaitu melalui Kampung Klang Gate Baru menempuh Kampung Pasir, menghala ke Setapak lalu ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Laluan lagi satu pula dari Hulu Klang menghala ke Ampang, dulu mana ada Bukit Antarabangsa, yang glamor adalah Ampang.

Petugas studio, termasuk ayah saya, jika habis penggambaran hingga lewat pagi sebenarnya lebih selamat memilih jalan ke Ampang, berbanding menempuh Setapak untuk ke Bangsar.

Sebabnya, satu ketika ayah saya bercerita, usahkan dia, malah askar pun berfikir dua tiga kali mahu melalui jalan di mana sekarang ini terletak Taman Bunga Raya menghala Kem Wardieburn.

Kawasan sekitarnya hutan tebal dan di laluan itu acapkali mereka terserempak binatang buas dan paling menakutkan ular besar melingkar di jalan raya. Trak askar pernah terbalik melanggar ular itu.

Bagi mengelak risiko itu, ramai memilih jalan lebih selamat iaitu dari Hulu Klang menempuh laluan di bawah Bukit Antarabangsa, seterusnya ke Ampang. Laluan ini tiada ular atau binatang buas, namun iman harus tebal kerana misteri di kawasan itu membuatkan bulu tengkuk mudah meremang.

Ini cerita orang lama, bukan diada-adakan. Apa yang diberitahu kepada saya, satu keganjilan setiap kali melalui sepanjang jalan Bukit Antarabangsa ke Ampang itu harumannya semerbak mewangi.

Masing-masing faham sendiri melalui jalan itu, cuma satu hal yang terjadi apabila pemandu lori studio dipanggil Pak Aziz (pak long kepada Azwan Ali) beberapa kali terserempak wanita misteri berpaut pada lorinya.

Versi ibu saya pula, seorang ayah saudara saya pegawai polis di Ampang. Jadi, selalulah ibu saya bertandang ke rumahnya dan pastinya melalui laluan hutan belantara di Bukit Antarabangsa itu.

Bila kejadian tanah runtuh terjadi di sana Sabtu lalu, ibu saya bertanyakan kolam mata air. Hairan juga, mata air disebut kolam tetapi orang lama sedia maklum di kawasan itu pada era 1960-an menjadi tumpuan lori balak untuk merendamkan berpuluh kayu balak dalam kolam besar di sana.

Mata air menjadi kolam, menarik juga cerita orang lama. Namun lebih menarik bila orang lama tertanya-tanya ke mana perginya kolam mata air yang merendamkan berpuluh kayu balak di situ?

Buat mangsa tanah runtuh, hanya cekal dan sabar diharapkan menerima ujian Allah. Namun apa yang terjadi di Bukit Antarabangsa membuatkan saya terfikir betapa peribahasa lama eloklah diberi nafas baru.

Jika dulu, orang tua berpesan andai takut dilambung ombak, usah diri rumah di tepi pantai, kini lebih sesuai, “jika takut tanah runtuh, usah bina rumah di lereng bukit.”

ADAM: Moga panjang umur dan selamat ulang tahun ke-76 buat bonda tercinta, Raja Hamidah Raja Saat.

Harian Metro

13
Dec

Program Pemutihan

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan melaksanakan program pemutihan terhadap lebih 15,000 ahli songsang, termasuk pemimpin berpangkat Abang Long dan Ayahanda yang dikenal pasti terpesong daripada matlamat serta perjuangan asal pertubuhan itu.

Pemutihan secara berperingkat dalam tempoh terdekat itu turut membabitkan Awie yang kini dikatakan menyimpang daripada asas perjuangan Pekida.

Presiden Pekida, Jamaludin Yusof, berkata program pemutihan itu bertujuan membersihkan Pekida daripada ahli yang terbabit kegiatan negatif membabitkan lebih 15,000 ahli itu, dengan sebahagian besarnya di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Pemutihan yang dilakukan bukan bermaksud terus membuang ahli yang songsang, tetapi kita cuba pulihkan mereka terlebih dulu. Jika tidak berjaya, kita lucutkan keahlian mereka,” katanya dalam pertemuan dengan Metro Ahad yang turut dihadiri dua lagi Ahli Majlis Tertinggi iaitu Setiausaha Agung, Mohd Zain Ghazali dan Pengerusi Badan Bertindak Hal Ehwal Khas dan Semasa, Mohd Syahrir Abdul Aziz, di sini, baru-baru ini.

Jamaludin mendedahkan, antara ahli yang menyimpang ialah Awie yang bergerak sebagai ahli seumur hidup Pekida serta mempunyai kumpulannya sendiri.

“Awie itu kumpulan Naga. Follower (pengikut) dia, kalau nak bai’ah (angkat sumpah), kena bayar RM3,600.

“Kita ambil dia jadi ahli, dia daftar sebagai ahli seumur hidup. Kita bukan menidakkan dia, tapi kita tengok amalan dia (tidak betul),” katanya.

Menurut Jamaludin, Awie bagai diagung-agungkan pengikutnya, sedangkan mengagungkan pemimpin bukan amalan dalam Pekida.

Jamaludin berkata, Awie juga seperti diagungkan ahlinya apabila maklumat diperoleh mendapati ketika kumpulannya bermesyuarat, Awie akan duduk di kerusi khas, manakala yang lain perlu berdiri.

“Pernah juga dalam satu majlis, dia hadir dengan memakai baju lambang naga, diikuti ahlinya yang turut memakai pakaian sama, berjalan di permaidani merah,” katanya.

Jamaludin berkata, Awie juga pernah membuat permintaan untuk hadir sebagai ayahanda di Perhimpunan Agung Pekida ke-15 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 Jun lalu, tetapi permintaannya tidak dilayan, menyebabkan dia tidak hadir ke perhimpunan itu.

Menurut Jamaludin, sebagai ahli Pekida, mereka terikat dengan perlembagaan dan keahlian mereka boleh dilucutkan jika melanggar perlembagaan.

“Majlis tertinggi ada hak melucutkan keahlian, sebab ahli ada membuat pengisytiharan (patuh pada perlembagaan). Kalau kita terima ahli yang terbabit kegiatan negatif seperti kaki minum, kaki ‘pau’ (peras ugut), kutip wang keahlian ahli baru, kaki gaduh, kita boleh lucut (keahlian).

“Cuma kita tak mahu buat dengan cara provokatif. Kita tidak terus tolak, sebaliknya pulihkan terlebih dulu,” katanya.

Jamaludin berkata, pihaknya mengakui ada ahli Pekida terbabit dengan kegiatan negatif, tetapi ada juga yang bukan ahli tetapi menggunakan nama Pekida.

“Ada ahli yang hanya pakai nama Pekida, walhal bukan ahli. Mereka gunakan nama Pekida sebagai tiket untuk buat perkara tak elok, sekali gus memburukkan Pekida.

“Ramai juga yang lakukan jenayah menggunakan nama Pekida sebagai perlindungan dengan harapan mereka boleh terlindung,” katanya.

Menurut Jamaludin, ada ‘ahli songsang’ menggunakan pelbagai lambang yang digunakan sebagai pengenalan dan identiti kumpulan masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, ada yang guna lambang harimau, pedang, kapal dan simbol nombor bagi pengenalan kumpulan mereka seperti Geng 36 dan Geng 77.

“Pekida cuma ada satu lambang. Selain (lambang Pekida) itu, ia logo songsang. Kami anggap logo ini sebagai haram.

“Sebab itu kami hendak beritahu masyarakat, apa Pekida dan siapa yang perguna nama Pekida. Amalan songsang yang bercanggah dengan perlembagaan Pekida banyak berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia sampai tahap kritikal,” katanya.

Jamaludin berkata, Pekida yang kini mempunyai keahlian mencecah 100,000 orang adalah pertubuhan yang memperjuangkan ketuanan Melayu, mementingkan ikatan persaudaraan sesama Islam dan berdakwah.

“Pekida bukan tiket untuk bergaduh, memeras ugut, berlagak samseng dan mengamalkan gengsterisme. Tanggapan begini yang hendak kita buang dalam fikiran masyarakat,” katanya.

Jamaludin memberi contoh Pekida Putrajaya antara kumpulan yang tidak diiktiraf pihaknya dan laman webnya yang mendapat sambutan hangat di Internet bukan laman rasmi Pekida.

“Ada yang gunakan gelaran Yang Mulia dan sebagainya dalam laman web berkenaan. Kita (ahli Pekida) tidak mengamalkan mengagungkan pemimpin, apa lagi dengan cara melampau dan berlebihan.

“Bukan setakat itu, ada ahli majlis tertinggi yang kami pecat, satu ketika dulu dalam majlis tertentu berlagak seperti raja, memakai tengkolok dan pakaian kuning. Kita cuba mengelak kumpulan begini wujud dalam Pekida,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pekida Putrajaya, Datuk Seri Jaafar Shaari dan Pengerusi Pekida Wangsa Maju, Datuk Malek Ranting yang sebelum ini dipecat daripada Ahli Majlis Tertinggi Pekida berlainan pendapat dan pandangan mengenai soal pemutihan yang kini dilaksanakan.

Jaafar berkata, dia bersetuju dengan program pemutihan yang dicadangkan, tetapi mempersoalkan kaedah dan pelaksanaan polisi yang bakal dilaksanakan jika cuba menyisihkan ahli sedia ada, sekalipun ahli itu didapati terbabit dengan gejala negatif dalam pertubuhan itu.

“Adakah cara yang bakal digunakan kena dengan mereka yang hendak diputihkan? Kenalah tahu sempadan dan gunakan cara halus. Jika mereka salah sekalipun, jangan sisih mereka.

“Tidak kena batang hidung sendiri tidak mengapa, tapi kalau anak sendiri terbabit misalnya, takkan hendak campak begitu saja. Kena ambil balik juga, bukan sisihkan mereka daripada pertubuhan ini. Ini tugas yang perlu digalas Pekida,” katanya.

Menurut Jaafar, pihaknya menyedari persepsi negatif masyarakat terhadap Pekida yang lebih terkenal di kalangan masyarakat sebagai pertubuhan samseng.

Bagaimanapun, katanya, walaupun sudah dipecat, dia dan ahli yang setia kepadanya akan terus berusaha memulihkan ahli Pekida yang terpesong daripada matlamat.

“Kita guna cara kita. Kita dekati golongan yang dikatakan songsang dan cuba memberi kesedaran, tetapi secara psikologi songsang dan perlahan-perlahan.

“Jika ada ahli terbabit dengan jenayah pula, kita akan laksanakan tanggungjawab dengan menyerahkannya pada polis. Pekida bukan pertubuhan untuk simpan penjenayah,” katanya.

Berkenaan logo Pekida Putrajaya yang menggunakan lambang harimau menggigit keris, Jaafar mempersoalkan tindakan ahli majlis tertinggi Pekida itu kerana ia hanya imej dan tidak mempunyai unsur negatif.

“Negara kita pun pakai lambang harimau. Mengenai cogan kata yang digunakan, itu identiti dan kami hayati. Kalau itu salah, susahlah. Begitu juga penggunaan laman web, apa yang tidak kena dengan itu. Sekurang-kurangnya kami (Pekida Putrajaya) ada sediakan (laman web) sendiri.

“Kami masih pakai lambang Pekida sebagai keutamaan. Logo (harimau) itu cuma lambang kerana ia tiada kaitan dengan Pekida. Ia hanya pengenalan, bukan untuk tujuan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Malik berkata, dia mempersoalkan ketelusan ahli majlis tertinggi sedia ada mengenai pemutihan ahli dalam Pekida.

“Saya dan Jaafar (Ayah Pa) dikategorikan mereka (ahli majlis tertinggi) sebagai kumpulan songsang. Sebabnya, kami tidak mengikut telunjuk mereka.

“Ini yang kami kata sebagai penyisihan dalam Pekida. Ini tidak patut,” katanya.

Malik turut menyanggah tindakan majlis tertinggi yang melucutkan jawatan ahli majlis tertinggi sebelum ini kerana ia tidak mendapat persetujuan ahli Pekida lain.

“Mereka tidak boleh melucutkan ahli majlis sesuka hati, kecuali ada persetujuan dua pertiga daripada ahli tetapi ia tidak dilakukan.

“Bahkan, sejak Presiden sebelum ini (Allahyarham Senator Datuk Mohd Fuad Ahmad) meninggal dunia, sudah tiga tahun mesyuarat agung tidak dijalankan ibarat layang-layang putus tali.

“Sampai Pendaftar Pertubuhan (ROS) mahu membatalkan pendaftaran pertubuhan ini. Sehingga hari ini, kita tak tahu apa status Pekida,” katanya.

Harian Metro

13
Dec

Nilai Himpunan Klasik

Oleh SHAMRAN SARAHAN
shamss@hmetro.com.my

“PAKAIAN (terpakai) yang dijual di sini hebat, tapi harganya minta ampun (mahal sangat),” demikian kata ketua kumpulan muzik popular Indonesia, Dewa 19, Ahmad Dhani Abdul Manaf atau Dhani Ahmad Prasetyo ketika terserempak dengan penulis di Butik Buntil D Genuine Collection (Buntil), BB Plaza, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sambil menyelak satu persatu deretan baju kumpulan rock vintaj (klasik), vokalis, pemain keyboard dan gitaris kumpulan rock popular itu sempat bertanya Pengurus Buntil, Adnan Khalid, 44: “Ada enggak (tak) baju kumpulan Queen?”

Adnan yang mengenali Ahmad Dhani sejak 2005 menggeleng kepala. “Buat masa sekarang, tidak ada,” katanya yang mengakui selebriti itu antara pengunjung tetap butiknya.

Itu antara pengalaman menarik penulis ketika berkunjung ke Buntil, dan jika bernasib baik anda juga boleh bertemu sebilangan artis terkenal dari negara jiran seperti Melly Goeslaw, Ari Lasso serta anggota Kumpulan Ada Band, Samsons dan Cokelat.

Mungkin menjadi tanda tanya, apa tarikan di Buntil sehingga ada selebriti terkenal dari Indonesia, serta artis tempatan seperti penyanyi rock terkenal, Amy Search dan rakannya, Din Search kerap datang ke situ untuk membeli barang lama terpakai, terutama baju dan kasut.

Sebabnya, kata Adnan, butiknya menjual aneka ‘barangan eksklusif’ yang lama atau vintaj dan tidak mungkin ditemui di mana-mana premis jualan dan kedai.

Antaranya aneka pakaian, kasut, beg dan aksesori terpakai berjenama seperti Nike, Adidas, Puma, Don Ed Hardy, Levi’s, Fred Perry, Ben Sherman, Evisu, Converse dan Benti 8, termasuk jenama sofistikated seperti Bally, Gucci, CD, DKNY, Paul Smith, Furla, Marcecko dan Ralph Lauren.

Ahmad Dhani berkata: “Saya minat membeli baju di sini, terutama baju rock band (kumpulan). Tidak sama seperti tempat lain, di sini (barang) bagus, tersendiri serta klasik,” katanya yang kerap datang ke Buntil setiap kali datang ke Malaysia.

Lebih lanjut mengenai Buntil, Adnan memberitahu, butiknya memiliki aneka koleksi vintaj dari era hippies, retro dan rock, bahkan turut menyimpan barangan era 1920-an hingga era Perang Dunia Kedua yang memang sukar ditemui ketika ini.

“Lagi lama usia barang itu, sudah tentu harganya melambung tinggi. Saya menjual jeans Levi’s rendem 501, Button No 6, buatan Amerika Syarikat (AS) pada harga RM2,222. Ia dikeluarkan pada 1920-an.

“Pernah saya menjual jeans Levi’s Big E, 501, 1930, kepada pelancong daripada Jepun berharga RM15,000. Itu harga paling mahal pernah saya peroleh. Namun, tidak semua barang vintaj di sini saya jual, sebaliknya sekadar disimpan sebagai koleksi butik,” katanya.

Sedikit mengenai koleksi ‘berharga’ di situ, kata Adnan, Buntil turut menyimpan koleksi pakaian tentera dari Itali dan Jerman serta kasut berjenama yang sudah tidak ada sekarang seperti Gola (buatan England) dan Quicks (buatan Jerman).

“Saya juga menyimpan koleksi kasut Bata dan Power buatan AS. Kasut ini saya tidak jual kerana ia sangat bernilai. Ia edisi pertama daripada kilang. Ada banyak lagi koleksi yang tidak dijual seperti beg tentera yang digunakan askar Nazi di Jerman.

“Saya turut menyimpan pelbagai jenis kasut getah jenama Bricksherman. Ia buatan Jerman dan tidak dijual di tempat lain. Di sana, ia digunakan oleh chef dan tukang masak saja,” katanya.

Menceritakan mengenai peminat fanatik pakaian lama dan vintaj ini, Adnan memberitahu, ketaksuban mereka (peminat vintaj) sukar digambarkan kerana masing-masing ada cita rasa dan minat berbeza.

“Ada yang sanggup berusaha mencari produk terbabit hingga ke serata tempat dan negara, sama ada pakaian, kasut atau aksesori.

“Mereka juga mengumpul pelbagai maklumat, termasuk tarikh pengeluaran dan sejarah mengenai barangan itu. Golongan (fanatik) seperti ini biasanya tidak kisah membayar pada harga tinggi kerana mereka hanya mengejar kepuasan diri,” katanya.

Sebagai contoh, Adnan memberitahu, Ahmad Dhani antara pengunjung tetap butiknya yang berbuat demikian.

“Dia (Ahmad Dhani) gemar mencari pakaian tentera lama dari pelbagai negara seperti AS, Itali, Perancis dan Jerman.

“Ada kala dia mencari pakaian yang saya sendiri tidak pernah ketahui, malah dia juga cerewet apabila saya perkenalkan apa-apa pakaian tentera yang ada di butik saya. Dia cukup tahu mengenainya,” katanya.

Adnan berkata, pernah juga dia didatangi warga Amerika yang terkejut melihat satu koleksi but jenama, Lacoste, yang didakwa tidak dikeluarkan lagi pengeluarnya.

“Saya diberitahu, warga Amerika itu bekerja di kilang Lacoste di negaranya. Dia terkejut kerana butik saya menjual kasut terbabit,” katanya.

Paling menarik, di butik berkenaan Adnan menyimpan sepasang kasut jenama, Aliph, yang pernah dipopularkan kumpulan rock tersohor tanah air, Search. Pada kasut berkenaan, ada tertera nama kumpulan terbabit, ia digunakan pada penghujung 1980-an.

“Ramai pengunjung menawarkan harga tinggi untuk membeli kasut berkenaan, tapi ia bukan untuk dijual. Jika Amy (Search) ingin membelinya sekalipun, saya tidak akan jual,” katanya.

Mengenai harga barang yang dijual di butiknya, Adnan mengakui ia dijual pada harga tinggi, misalnya bagi barangan berjenama seperti Paul Smith dijual antara RM400 hingga RM780 (kasut dan jeans), manakala bagi Ralph Lauren dijual antara RM89 hingga RM1,000 (baju, jeans, kasut dan beg).

“Bagi yang tidak mengetahui nilai barang itu, mereka mungkin menganggapnya terlalu mahal. Sebenarnya, harga itu jauh lebih murah daripada harga asal.

“Lagi pula, bukan semua orang mampu membeli barang itu di butik asal, sebagai alternatif mereka boleh dapatkannya di sini.

“Sebab itu bagi penggemar fanatik, mereka tidak peduli pada harga. Ada yang membeli barang bernilai lebih RM500 dibutik saya sehingga empat kali sebulan.

“Bayangkan, betapa gila mereka ini. Tidak keterlaluan jika saya kata mereka sama dengan kaki kereta yang sanggup berhabis duit demi mengejar kepuasan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ramai juga beranggapan membeli koleksi vintaj dan bundle tidak berbaloi, terutama jika harga ditawarkan terlalu tinggi berbanding membeli barang baru.

“Sebenarnya harga tinggi yang saya kenakan itu bersebab. Pertama, kepayahan kami mendapatkannya. Kami mencari barang berkenaan hingga ke luar negara.

“Ia bukan senang seperti disangka, bahkan ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk memperoleh satu barang.

“Kedua, kami sebenarnya tidak mahu menjual barang berkenaan. Sebab itu kami letak harga yang ‘melampau’. Itu juga menunjukkan prestij butik kami, lagi mahal barang yang ada di sini, bererti barang itu lagi vintaj dan boleh dikategorikan ‘rare’,” katanya.

Harian Metro

12
Dec

Leia Mencari Yang Hilang

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SEJAK kecil, penyanyi bernama Leia Az Zahra Justin Abdullah terdedah dengan muzik. Barangkali tidak ramai yang mengetahui bapa penyanyi ini, Justin Lusah seorang komposer dan penyanyi popular di Sabah. Justin dikenali menerusi lagu Jambatan Tamparuli yang popular sekitar pertengahan 70-an. Malah ibunya, Clarice Boinsin juga penyanyi popular di kalangan masyarakat Kadazan.

Mewarisi bakat ibu bapanya, kini Leia menceburi bidang nyanyian secara serius selepas bernaung di bawah label Hijjaz Records. Berbeza dengan nasib penyanyi lain meraih peluang mudah sebagai artis, usaha Leia untuk menempatkan diri dalam bidang seni dilakukan sendirian tanpa mengharapkan simpati orang lain.

Katanya, dia sanggup bertemu dengan kumpulan artis popular seperti Rabbani dan Hijjaz untuk menyatakan minat menyanyikan lagu nasyid. Leia berhasrat mencari syarikat pengurusan artis yang dapat mengendalikan aktiviti seninya.

Akhirnya impian Leia menjadi kenyataan selepas Hijjaz mempercayai bakatnya dan kini Leia hadir dengan single Mencari Yang Hilang.

“Masa kecil saya sering ikut ibu bapa saya pergi buat persembahan di pentas mahupun kenduri kahwin. Di rumah, kami juga kerap karaoke. Dari situ, minat saya terhadap muzik dan nyanyian bertambah.

“Hingga di sekolah menengah, saya aktif menyanyi dan mempunyai kumpulan sendiri iaitu Tanak Nabalu (anak Kota Kinabalu) yang mempunyai enam anggota. Selepas melanjutkan pelajaran di kolej, saya masih aktif menyanyi di pentas.

“Pada saya, menyanyi boleh melepaskan tekanan dalam diri dan matlamat saya kini sebenarnya mahu berdakwah menerusi lagu. Saya percaya lagu membawa mesej dekat dengan masyarakat dan jika boleh, saya ingin mengajak sesiapa saja mendekati Islam,” katanya.

Mengenai single barunya itu, Leia berkata, ia ciptaan sendiri yang mengisahkan pengalaman hidupnya ketika mempunyai jiwa kosong. Ketika itu, Leia yang pernah menganut Kristian Katolik mencari arah hidup yang sempurna hingga menemui hidayah untuk memeluk Islam pada Oktober tahun lalu. Akui Leia, 28, perasaannya kini makin tenang selain memahami cara kehidupan dalam Islam.

“Sejak kecil hingga besar, saya mencari kasih sayang selepas ibu bapa berpisah dan saya kemudian menumpang kasih dengan nenek. Selepas tamat tingkatan lima, saya hidup berdikari. Saya berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Sains Komputer di Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan (PTPL).

“Dulu saya hidup keseorangan, sunyi dan merintih hingga saya tertanya apakah saya hidup seorang diri di dunia ini? Suatu hari, saya terdengar azan subuh dalam mimpi dan apabila terjaga, memang azan subuh berkumandang.

“Sejak peristiwa itu, hati saya tertarik untuk mendekati Islam dan saya juga berdikari belajar menerusi Internet dan pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim). Saya seronok dengan kehidupan yang dilalui kini dan berhasrat terus berdakwah menerusi nyanyian,” katanya.

Selain single Mencari Yang Hilang, Leia turut tampil menerusi Taubat dan Syukur. Sebanyak 10 lagu baru dimuatkan dalam album debut ini yang menampilkan pop nasyid dan dijangka berada di pasaran pada awal tahun depan. Leia yakin dakwah menerusi lagu salah satu cara berkesan untuk menarik perhatian masyarakat termasuk bukan Islam.

Sebelum ini, single berkenaan dimuatkan dalam album kompilasi Nasyid Terhebat! terbitan Nova Music yang berada di pasaran sejak Aidilfitri lalu. Album itu turut menggabungkan ramai penyanyi nasyid antaranya Rabbani, Hijjaz dan Nowseeheart.

Harian Metro

12
Dec

Pasrah Digelar Artis Seksi

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

WAJAH pelakon ini, Lana Nordin sekadar sekejap-sekejap singgah di kaca TV dan layar perak, namun publisiti diterima wanita ini bagaikan berlebihan setelah diberi jolokan Pamela Anderson Malaysia.

Barangkali kalau ada sesiapa yang mendapat gelaran ini, pasti akan terasa bangga.

Cuma daripada skop berlainan, panggilan ini seolah menjatuhkan martabat kaum wanita kerana pelakon antarabangsa itu tidak sunyi dihimpit kontroversi memualkan.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nordin berkata, secara jujurnya dia malas mengambil peduli kata-kata nakal yang dilemparkan masyarakat terhadap diri yang baru mahu melebar sayap dalam dunia lakonan.

“Kalau orang sekeliling yang beri jolokan ini, saya tidak boleh hendak cakap apa-apa. Hendak marah pun tidak boleh sebab saya sudah bergelar artis, jadi saya terima saja anggapan ini tanpa melenting tidak tentu pasal.

“Bukan istilah saya kisah ataupun tidak kisah, sebaliknya saya berpendapat gelaran Pamela Anderson Malaysia ini sekadar cakap-cakap nakal orang luar sana,” katanya telus semasa majlis beramah mesra bersama artis Aquila Emas di Saloma Bistro, Jalan Ampang baru-baru ini.


SELAGI tidak menggangu diri, keluarga dan rakan-rakan terdekat, Lana sekadar membiarkan cakap-cakap tentang dirinya umpama Pamela Anderson Malaysia.

Antara artis Aquila Emas yang hadir adalah Betty Benafe, Zizan Nin, Yasmin Hani, Tony Eusoff, Airis Yasmin, Nazim Othman, Chelsia Ng dan Tania Zara.

Sambung wanita berusia 29 tahun ini, selagi gelaran ini tidak menganggu diri, keluarga serta rakan-rakan terdekat, Lana hanya membiarkan sahaja peminat memberi gelaran kepadanya.

“Saya menerima saja jolokan ini walaupun sewaktu awal diberitahu , saya terus tergelak besar gara-gara mengenang saya yang kononnya mirip selebriti seksi luar itu.

“Paling penting, saya dan orang-orang yang terdekat di hati saya tahu siapa sebenarnya Lana Nordin. Itu sudah memadai kepada saya.

“Lagipun, susah untuk saya menutup mulut orang yang suka buat penilaian sendiri. Perkara ini tidak memberikan kesan buruk kepada saya. Jadi mengapa saya perlu lihat jolokan diberikan ini sebagai negatif?”soal Lana terus tersenyum.


ZIZAN NIN dan Tony Eusoff antara pelakon yang bernaung dengan Aquila Emas.

Ditanya bagaimanakah gelaran ini mula melekat kepada diri, pantas sahaja jawapan si Lana: “Barangkali sebelum ini saya tidak mendapat liputan meluas sangat daripada pihak media cetak dan elektronik.

“Awal kemunculan saya sedikit berisi, namun lama-kelamaan berat badan saya makin susut sekali gus membuatkan badan saya nampak kurus, cuma ada bahagian yang tidak berubah.

“Sedangkan aset yang saya miliki sekarang kelihatannya sama saja dengan perempuan lain, malah tiada beza jika ingin diimbas kembali semasa badan saya besar.

“Saya juga mengakui tidak menjalankan pembesaran di mana-mana bahagian badan. Kalau tidak, sudah tentulah emak dan adik beradik perempuan saya yang lain akan perasan dengan situasi ini.

“Kalau orang ramai terus hendak berbuat bising, saya tidak boleh menjelaskan apa-apa lagi. Adik beradik saya yang lain pun punya ukuran saiz badan sama dengan saya juga.

“Istilah saya buat pembedahan membesarkan payu dara hingga digelar Pamela Anderson Malaysia memang tidak wujud sama sekali,” jelas Lana yang pernah kehilangan kira-kira lima kilogram hingga menjadikan tubuh yang dimiliki kini menjadi susut.


DARI kiri: Lana, Airis Yasmin dan Tania Zara.

Sampuk wanita yang pernah muncul menerusi filem Remp-It dan Main-Main Cinta, meskipun gelaran itu ada waktu disalah anggap sesetengah pihak, namun Lana mengakui bertuah dek diri makin dikenali di laman seni.

“Satu yang saya perasan apabila munculnya cerita macam itu, khalayak mulai sedar kehadiran saya dalam dunia lakonan ini.

“Kalau ada yang pandang serta cakap saya ini dan itu, perkara berkenaan bermaksud orang ramai mula mengenali mana satu Lana Nordin.

“Maknanya saya wujud di hati masyarakat walaupun diberi gelaran Pamela Anderson Malaysia yang dilihat banyakkan keburukan berbanding kebaikan.

“Paling utama, saya tidak pernah sesekali mengacau orang lain, malah tidak juga mencipta isu Pamela Anderson untuk menaikkan populariti saya dalam industri ini.

“Kalau betul-betul saya inginkan glamor yang cepat, sudah tentu sudah lama saya buat perkara ini, cuma saya bukanlah artis gemar mencipta publisiti murahan,” jelas Lana dalam suara cukup tegas.

Ingin tonjol bakat lakonan

Sambung wanita peramah ini lagi, dia merupakan artis yang punya strategi sendiri untuk mengenengah diri dalam karier lakonan, tanpa perlu bergantung harap cerita sensasi.

“Saya enggan berjumpa wartawan kalau tidak ada sebarang drama atau filem yang hendak diuar-uar. Sebaliknya, macam hari ini saya bertemu pihak media dalam upacara berhubung kait dengan lakonan.

“Kalau boleh saya mahu orang kenal saya menerusi hasil kerja dan mutu lakonan, bukan dengan kisah yang tiada kepentingan dalam seni.

“Saya akan berusaha dengan sehabis baik untuk muncul di khalayak bermula tahun 2009 kerana waktu itu filem saya Gentayangan akan menjengah di pawagam.

“Sekarang kalau setakat jadi pelakon sampingan atau watak pembantu dengan mana-mana produksi, saya agak malu untuk bertemu wartawan.

“Biarlah saya mencipta nama dulu dan baiki gaya lakonan, kemudian barulah saya akan mempromosikan diri,” tutur wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini sepenuh keyakinan.


TANIA ZARA (kiri) dan Airis Yasmin.

Dipalit gelaran Pamela Anderson Malaysia barangkali menyebabkan keluarga Lana turut menanggung malu kerana bukan calang-calang jolokan yang diberi. Memalukan dek selebriti luar itu sering dilabel pelbagai kisah kurang elok.

Beritahu Lana, keluarga sekadar tertawa besar mengenang cerita kelakar yang dilempar kepada anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh selama ini.

“Famili saya amat memahami dengan gelaran yang diberi. Lagipun saya sudah menerangkan segala-galanya kepada mereka tentang asam-garam dunia seni.

“Saya menerangkan kepada mereka, apabila menjadi artis, kita diibarat duduk di bawah mikroskop. Orang lain nampak sahaja setiap pergerakan kita tidak kira masa serta waktu.

“Ada ketika kita tidak melakukan perbuatan yang tidak elok itu, namun kita tetap dikeji dengan pelbagai tohmahan yang tidak baik.

“Bayangkan, kalau ada artis lain yang buat pembedahan payu dara, tidak menjadi isu langsung. Sedangkan saya yang tidak bersalah ini, dituduh bermacam-macam melakukan ubah suai pada payu dara.

“Alhamdulillah, keluarga mengerti keadaan yang saya hadapi ketika ini apatah lagi setelah menjadi individu dikenali ramai,” sahut Lana sambil menghela nafas lega.

Sekadar hubungan teman biasa

Bukan setakat digelar Pamela Anderson Malaysia, Lana juga dikatakan mempunyai hubungan dengan anak kepada seorang golongan kenamaan terkenal di negara ini. Lelaki berkenaan sebelum ini pernah dikaitkan bercinta dengan seorang artis jelita ternama dan seorang personaliti TV.

Dengan cukup professional, Lana tidak sesekali menyembunyikan perkara itu, namun dia sekadar mengatakan hubungan yang terjalin dengan lelaki itu, hanya teman biasa.

“Saya dan si dia sekadar bersahabat saja. Lagipun kami sudah saling mengenali sejak tujuh hingga lapan tahun lalu. Waktu itu umur saya adalah 21 tahun.

“Kami memang tiada sebarang perhubungan istimewa, sebaliknya sekadar kawan baik saja setelah diperkenal oleh seorang rakan lain.

“Daripada situ, bermulalah detik kami berkawan dan dia menjadi sebahagian daripada rakan baik saya. Kami selalu lepak dan minum-minum saja, tanpa membabitkan soal hati dan kasih-sayang,” terang Lana tanpa berselindung.

Melafaz cinta bersama Aquila Emas

Bagi menempatkan kedudukan di lapangan seni yang sentiasa meranum ini, Lana mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Aquila Emas (AE), sebuah syarikat menguruskan dan melayar bahtera anak seni tanah air sejak tiga tahun lalu.

Kehadiran Lana dalam organisasi itu, sebagai individu ketiga setelah kemasukan Zizan Nin dan Carrie Lee Sze Kei, nyata memberi impak besar dan perubahan dalam kerjayanya.

Menurut Lana, dia mendapat nasihat daripada Zizan yang beria-ria mahukan dia menyertai AE, bagi memudahkan segala kerjanya sebagai insan seni.

“Saya amat teruja dengan syarikat ini kerana dia bersungguh mengurus dan mempromosikan semua artis jagaannya dengan cukup baik.

“Semua urusan kerja saya bersangkutan dengan AE termasuk berkaitan kontrak dan setiap perjanjian untuk melibatkan diri dalam mana-mana projek terbaru.

“Ada banyak faedah yang saya dan artis lain nikmati dengan melibatkan diri bersama AE. Segala hak dan kebajikan kami dijaga dengan baik sekali, tanpa ada kekurangan,” akui Lana teruja.

Kosmo

12
Dec

Trilogi Kisah Lanun

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


KAPTEN Jack Sparrow lakonan Johnny Depp (kiri) dalam Pirates of the Carribbean.

Saksikan kerenah Kapten Jack Sparrow mulai Ahad ini di Star Movies

DISEMBER ini serta buat pertama kalinya di Asia, Star Movies mempersembahkan filem Pirates of The Caribbean dan tayangannya akan diadakan secara berturut-turut, menjelangnya petang sambutan tahun baru.

Bersedialah! Lanun kini kembali bermaharajalela. Menjelangnya tahun baru 2009, Star Movies (Astro CH 413) memberi penghormatan terhadap filem trilogi Pirates of the Caribbean. Buat pertama kalinya di Asia, tiga filem lanun ini akan ditayangkan berturut-turut secara maraton, mulai hari Rabu, 31 Disember dari jam 6.30 petang.

Star Movies memulakan pelayaran filem blokbuster menerusi kisah yang berkisar kepada lanun dan ia dimulakan dengan Pirates of the Caribbean: Curse of the Black Pearl pada jam 6.30 petang.

Filem sekuel serta pemenang anugerah Oskar, Pirates of the Caribbean: Dead Man’s Chest akan melabuhkan sauhnya pada jam 9 malam. Trilogi lanun ini ditamatkan dengan filem yang diberi judul Pirates of the Caribbean: At World’s End, yang dijangka akan memulakan tayangan pada jam 11.30 malam.

PIRATES OF THE CARIBBEAN: THE CURSE OF THE BLACK PEARL
Ahad, 14 Disember jam 10 malam & Rabu, 31 Disember jam 6.30 petang.


Davy Jones, kapten kepada kapal lanun, Flying Dutchman yang berhantu.

Dibintangi Johnny Depp, Keira Knightley & Orlando Bloom

SI nakal, Kapten Jack Sparrow (Depp) mempunyai reputasi sebagai seorang penipu dan juga penjahat. Tetapi apabila anak gadis kesayangan Gabenor yang cantik, Elizabeth (Knightley), diculik pemain pakau yang licik iaitu Kapten Barbossa (Pemenang anugerah Oskar Rush, bakal suaminya, Will Turner (Bloom), bergabung tenaga dengan Jack untuk menyelamatkan kekasihnya itu. Bagaimanapun, Jack mempunyai alasan tersendiri untuk memburu Barbossa dan anak kapalnya – mereka ini telah mencuri kapal kesayangannya, The Black Pearl, dan dia ingin mendapatkannya kembali.

PIRATES OF THE CARIBBEAN: DEAD MAN’S CHEST
Ahad, 21 Disember jam 10 malam & Rabu, 31 Disember jam 9 malam.

KAPTEN Jack Sparrow kembali dalam filem blokbuster yang menduduki senarai ketiga tertinggi menerusi filem yang berjaya dalam sejarah Hollywood. Ketika Will (Bloom) dan Elizabeth (Keira Knightley) bercadang untuk melangsungkan perkahwinan, tiba-tiba semua perancangan mereka itu musnah apabila mereka ditangkap kerana didapati bersubahat membantu Kapten Sparrow (Depp) melarikan diri. Sementara itu, Jack berdepan dengan hukuman penjara dalam air kerana dia memungkiri perjanjian dengan Davy Jones (Bill Nighy), kapten kepada kapal lanun, Flying Dutchman yang berhantu. Dalam keadaan terdesak untuk menyelamatkan nyawanya, Jack bergabung bersama Will dan Elizabeth dan turut meminta bantuan daripada bekas musuhnya dulu, Kapten Barbossa (Pemenang Oskar Geoffrey Rush)

PIRATES OF THE CARIBBEAN: AT WORLD’S END
Ahad, 28 Disember jam 10 malam & Rabu, 31 Disember jam 11.30 malam.

DALAM bahagian terakhir filem trilogi lanun ini, Will (Bloom), Elizabeth (Knightley) serta Kapten Barbossa (Rush) begitu terdesak mengambil keputusan untuk menyelamatkan Jack Sparrow (Depp) dari tahanan makhluk laut yang ganas, Davy Jones (Nighy). Untuk melengkapkan misi, mereka bertiga terpaksa mengembara sehingga ke Singapura untuk bersemuka dengan lanun berbangsa Cina iaitu Kapten Sao Feng (Chow Yun-Fat) dan berlayar di lautan berbahaya semata-mata untuk menenggelamkan kapal berhantu yang dikenali sebagai The Flying Dutchman.

Sementara itu, the East India Trading Co, diketuai Lord Beckett (Tom Hollander) berusaha untuk menghapuskan lanun ini sehingga mengakibatkan sembilan kumpulan lanun terhebat di dunia bergabung tenaga dalam satu pertempuran semata-mata untuk mengawal perairan.

Berita Harian