Skip to content

Archive for January 2009

31
Jan

Uji Bakat Jadi Pelakon



Rap
PROGRAM Hari Terbuka Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang berlangsung hari ini dan esok (31 Januari dan 1 Februari), jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Finas, Hulu Klang, menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata, hari terbuka itu diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan Finas dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

“Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan Finas sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan Finas dengan industri serta orang ramai,” katanya.

Antara aktiviti Hari Terbuka Finas, pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman. Pengunjung juga dibawa melawat peralatan dan kemudahan perfileman yang terdapat di Finaspost, pusat pasca produksi.

Orang ramai juga berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan memasukkan suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor antaranya Ahmad Idham dan Pierre Andre. Ia dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Elie Suriaty, Vanida Imran, Nanu Baharudin dan Fauziah Ahmad Daud.

“Peserta sesi lakonan yang terpilih juga akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan Finas dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

“Sesi uji bakat ini peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam dunia lakonan. Finas turut mengundang beberapa produser yang aktif untuk bersama menilai sesi peserta uji bakat itu.

“Malah lebih penting peserta lakonan yang berjaya di senarai pendek akan berpeluang berlakon dalam filem kenegaraan terbitan Finas.

“Warganegara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario disediakan Finas menggunakan dialog atau skrip sendiri.

“Turut diadakan taklimat dan pameran kerjaya perfileman yang dikendalikan persatuan perfileman. Gafim (Gabungan Karyawan Filem Malaysia) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) membuka gerai yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk.

“Persatuan terbabit juga memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri daripada pelajar perfileman,” katanya.

Kata Fazli, pameran jentera motor filem Evolusi KL Drift 2 termasuk sebuah Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan sutradara, Shamsul Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka Finas, sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hashime, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi. Peminat boleh bergambar dan beramah mesra dengan mereka.

Filem Histeria, Los and Faun dan Cicak Man – Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan Finas (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P Ramlee.

Finas juga akan mengadakan program menandatangani perjanjian kerjasama penerbitan dengan Histrory Channel bagi menggalakkan pertukaran kepakaran penghasilan dokumentari bertaraf dunia.

Majlis dijangka dihadiri Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini, jam 3 petang di Studio Sound Stage Finas.

Acara kemuncak Hari Terbuka Finas ialah perasmian Studio Digital Mix Stage, pusat adunan bunyi bernilai RM53 juta yang dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 8 malam esok.

Studio yang mendapat pengiktirafan Dolby adalah mercu tanda kemajuan industri.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka Finas.

” Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kami menyediakan kaunter khas bagi tujuan itu sepanjang tempoh program berlangsung”, katanya.

Harian Metro

29
Jan

Epilog: Filem Pahlawan Mat Kilau Wajar Cetus Kejutan

Oleh Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my

PADA pertengahan bulan depan, projek filem epik sejarah patriotik berjudul Pahlawan Mat Kilau dijadualkan dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Perpaduan Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Hebahan awal mengenai perancangan filem ini tidak dibuat lagi kerana produsernya masih bersikap ‘merendah diri’ kerana sibuk menjalankan proses praproduksi.

Seperti dimaklumkan kepada akhbar ini, syarikat Lagenda Studios Sdn Bhd menerusi Pengurus Perhubungan Awamnya, Julia Mohamad,

pihaknya masih dalam peringkat awal praproduksi dan berasakan mungkin terlalu awal bagi mereka untuk menggembar-gemburkan rancangan itu, tambahan pula, pengarah dan penerbit masih sibuk membuat tinjauan lokasi di luar negara.

Dalam kenyataannya, dimaklumkan juga selain filem itu bakal ditangani pengarah Rodzee A Razak, filem berkenaan dijangka membabitkan kos sebanyak RM10 Juta.

“Tujuan Lagenda Studios mahu menghasilkan penerbitan filem itu adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara. Ia juga boleh dijadikan teladan kepada generasi masa kini, bagaimana gigihnya perjuangan nenek moyang kita menentang penjajahan.

“Untuk pengetahuan, Lagenda Studios akan mengadakan acara pelancaran dan sidang media mengenainya pada pertengahan Februari sebelum memulakan penggambaran filem pada penghujung Mac 2009,” kata Julia dalam satu kenyataan sambil memohon maaf kerana lambat menghebahkan projek Pahlawan Mat Kilau kepada media massa.

Projek filem ini menjadi sesuatu yang menarik kerana banyak sebab. Pertamanya tentulah kerana berkaitan dengan seorang tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar, Pahang bangkit untuk menentang penjajahan British pada era penghujung abad ke-19 hingga dia menjadi buruan dan menghilangkan diri hinggalah akhirnya muncul semula memperkenalkan dirinya pada awal 1970-an ketika berusia 123 tahun. Keberaniannya dulu yang turut mengkritik golongan bangsawan kerana berbaik dengan penjajah menyebabkan Mat Kilau menjadi sasaran untuk ditangkap dan dihukum tetapi berjaya melarikan diri.

Keberanian Mat Kilau menjadi sebutan ramai dari dulu dan terus dikenang hingga kini. Keberaniannya itu terserlah dengan pelbagai peristiwa termasuklah ketika pada 14 Jun – Pada 1894, tokoh itu bersama pahlawan Melayu Pahang yang lain termasuk Tok Gajah, Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Jeram Ampai.

Lebih menarik bagi Mat Kilau ialah sepanjang kehilangannya selepas menjadi buruan, apa yang dilakukannya. Ini menarik untuk dibongkar dan diceritakan menerusi filem berkenaan. Penyelidikan terhadap susur galur perjuangan, pengembaraan dan persembunyian Mat Kilau harus dipaparkan supaya masyarakat akan lebih jelas untuk mengenai aspirasi dan patriotisme Mat Kilau sebenarnya selain sudah tentu sebagai sebuah filem cereka patriotik, akan ada elemen tokoh tambah yang disesuaikan mengikut mood sebuah filem epik.

Kita berharap menerusi filem Pahlawan Mat Kilau, akan dipaparkan juga bagaimana strategi perang dan ciri keberanian yang menjelma dalam diri tokoh itu. Sudah tentu pihak produksi dari Lagenda Studios sudah membuat kajian terperinci mengenai peribadi dan fizikal Mat Kilau, selain melihat bagaimana gayanya bercakap, cara berjalan, aksinya berpencak silat dan beberapa ciri kehebatannya yang luar biasa. Kajian juga tentunya sudah dibuat untuk melihat bagaimana bentuk khazanah Mat Kilau yang lain seperti pedang, keris, pakaian, kitab, barang persilatan, rumah dan sebagainya yang relevan dengan diri Mat Kilau. Ini semua harus diambil kira dalam menghasilkan epik Pahlawan Mat Kilau.

Sebab kedua yang mengejutkan industri ialah kerana projek filem ini bakal membabitkan bajet RM10 juta, iaitu filem cereka tempatan kedua termahal setakat ini selepas filem cereka Puteri Gunung Ledang terbitan Enfiniti Productions yang membabitkan kos produksi lebih RM16 juta.

Kita berharap Lagenda Studios juga teliti dalam casting atau pemilihan pelakon untuk filem itu kerana kesilapan casting selalunya akan menyebabkan persembahan filem menjadi hambar kerana lakonan tidak meyakinkan serta tidak disertai mutu persembahan yang boleh menggerakkan naratif serta feel filem itu sebagai sebuah cereka yang bermain dengan manusia zaman silam.

Kita berharap pelakon yang membawa watak Kilau akan benar-benar dapat membawa watak tokoh perwira itu dengan berkesan, sesuai dengan lagak fizikal, cara bermain air muka dan mampu menjelmakan ketokohan. Kita bimbang jika tersilap pilih pelakon, ia akan memberi kesan seperti berlaku dalam beberapa filem sejarah seperti Puteri Gunung Ledang apabila M Nasir tidak menyerlah membawa imej hebat Hang Tuah, begitu juga filem Leftenan Adnan yang memperlihatkan Hairie Othman tidak menyerlah sebagai perajurit hebat itu.

Dalam filem Raja Melewar dulu, watak Raja Melewar yang dilakonkan Eizlan Yusof juga tidak memenuhi ciri berkesan dan boleh dianggap sebagai casting yang gagal. Ini menyebabkan ketokohan perwira kita dulu tidak menyerlah dalam filem dan lebih menyedihkan apabila cerita dalam filem itu sendiri tidak begitu berkesan, gagal memberi feel dan semangat kepada penonton dan tidak menggambarkan dengan berkesan milieu zaman yang dibawa dalam skrin.

Filem Pahlawan Mat Kilau wajar mencetuskan kejutan yang bukan saja membanggakan industri filem dan menarik perhatian ramai untuk menonton cereka ini, sebaliknya harus boleh memberi kebanggaan kepada anak Pahang sendiri khususnya serta bangsa kita umumnya. Filem ini kelak harus bertanggungjawab untuk mengangkat imej sebenar Mat Kilau sebagai sebuah naskhah yang bukan sekadar ‘janji ada’ tetapi harus memenuhi agenda sebuah filem cereka patriotik seperti kata pihak produksi Lagenda Studios – ‘menjadikan medium filem sebagai satu alat untuk meniupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat untuk mempertahankan kedaulatan negara’. Jika benar ia untuk meniupkan rasa patriotisme, wajarlah ia ditangani dengan baik supaya ia mampu memberi kekaguman dan kebanggaan apabila ia ditayangkan kelak. Pahlawan Mat Kilau akan menjadi perhatian untuk warga filem dan pengkritik yang kini sedang menanti dengan suspen untuk menilai sejauh mana hasil kerja Rodzee. Kita tunggu dan lihat saja nanti.

Kata orang, mati ikan kerana umpan, mati manusia kerana budi…

Berita Harian

24
Jan

Puisi Perjuangan Untuk Palestin

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


ABDELAZIZ memakaikan kefiyah simbol perjuangan Palestin ke leher Shafie sambil disaksikan Mohamed Hashim.

KUALA LUMPUR – Menteri, ahli politik, tokoh korporat, penyanyi, pelakon, pengacara, pemuda Palestin dan kanak-kanak Malaysia bergabung menyuarakan kesedihan terhadap nasib rakyat Palestin dalam Malam Puisi Utusan Demimu Palestin yang diadakan di sini malam tadi.

Dikendalikan oleh pengacara terkenal, Aznil Nawawi, orang ramai membanjiri Laman Santai di pekarangan Istana Budaya di sini bagi menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin yang ditindas rejim Yahudi.

Acara itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan.

Hadirin diperdengarkan bait-bait puisi dan lagu-lagu yang sarat dengan emosi simpati ke atas nasib rakyat Palestin selain kebencian terhadap kezaliman Zionis.

Selain puisi, Malam Puisi Demimu Palestin turut diserikan dengan persembahan pantomin daripada lebih 20 penggiat sastera dan budaya, artis-artis popular tempatan dan karyawan seni negara.

Antara yang mendeklamasikan puisi ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, penerbit filem, Datuk Yusof Haslam dan anaknya, Shamsul, produser filem, David Teo, Presiden Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez, tokoh sastera, Dr. Lim Swee Tin, komposer M. Nasir, Seniman Negara, Tan Sri Jins Shamsudin dan ramai lagi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin

Penyanyi Sohaimi Meor Hassan pula mendendangkan lagu Demokrasi manakala lagu Gadis Kecil dan Surat Saya Kepada Clinton, Bush dan Obama dinyanyikan Zubir Ali bersama Kumpulan Harmoni.

Terdahulu Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, penganjuran Malam Puisi Demimu Palestin adalah sumbangan Utusan dalam menzahirkan sokongan mendalam rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh hadir pada majlis itu bersama anak lelakinya yang turut dijemput mendeklamasikan sajak hasil karya penyair Palestin.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Abdul Aziz Ishak.


KUMPULAN Meet Uncle Hussein turut menghiburkan penonton.

SOHAIMI MEOR HASSAN mempersembahkan lagu pada
Malam Puisi Demimu Palestin di Kuala Lumpur malam tadi.

PENGACARA Aznil Nawawi begitu bersemangat ketika
mengendalikan acara Malam Puisi Demimu Palestin.

Kosmo

24
Jan

Stailo: 2009 Era Rambut Klasik

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my


ANTARA gaya rambut lelaki masakini.

Potongan rambut konvensional serlah kematangan lelaki

KAITAN gaya rambut dan karektor diri usah sesekali dipandang ringan. Seperti cita rasa bergaya, potongan rambut mencermin pembawaan diri. Apa yang nyata, rambut membawa pengaruh besar terutama bagi individu yang sering menjadi tumpuan ramai.

Tidak hairanlah individu berpengaruh seperti selebriti, model dan golongan kenamaan amat menitik berat gaya rambut. Golongan ini akan memastikan rambut senada dengan imej dan penampilan diri.

Menyentuh potongan rambut lelaki, ada pihak masih berfikiran sempit. Bagi mereka, rambut lelaki hanya sesuai pendek dan tidak boleh diragamkan seperti rambut wanita. Padahal, jika diberi sedikit pembaharuan serta disesuaikan pula dengan gaya tertentu, rambut lelaki boleh dipelbagaikan gayanya.

Misalnya, potongan rambut pendek boleh dipelbagaikan melalui belahan alur rambut. Dengan bantuan teknologi terkini yang menyaksikan produk berasaskan gel, wax, clay dan rubber dicipta, semua produk ini boleh digunakan untuk membentuk karisma dan kesan dramatik pada gaya rambut.

Bagi lelaki yang cenderung berimej metroseksual, variasi gaya rambut disesuaikan pula dengan pilihan warna berbeza. Jika selama ini, warna rambut kekal hitam, mungkin 2009 memberi isyarat untuk membuat perubahan drastik dengan memilih warna coklat dan kemerahan demi mencipta kelainan.

Apa yang penting, tidak perlu malu untuk berubah andai mampu meningkatkan ‘saham’, sekali gus mengundang perhatian gadis!

XY – Stailo minggu ini berkongsi idea buat jejaka yang bercadang memilih gaya rambut terbaru serta tip potongan rambut sesuai mengikut bentuk wajah. Sepanjang tahun ini, gaya rambut lelaki banyak dipengaruhi elemen klasik di mana potongan konvensional menyerlahkan kematangan lelaki.

Biarpun potongan rambut klasik tidak menyuntik banyak perubahan dalam penampilan individu, kreativitinya lebih melakar pada teknik belahan alur rambut.

Jika suatu ketika dulu, imej rambut terpacak mencetus evolusi gaya jejaka, imej potongan rambut klasik meletakkan pula gaya sederhana tetapi menyerlahkan ciri-ciri maskulin lelaki. Tidak percaya, imej rambut klasik menjadi teras gaya selebriti terkenal dunia dalam acara berprestij termasuk di Anugerah Golden Globe, baru-baru ini.

Pada majlis gilang-gemilang itu, aktor hebat, Brad Pitt tampil penuh karisma dengan gaya rambut klasik. Aktor lain yang mencuri perhatian ialah Pierce Brosnan, Tom Cruise dan Leonardo Dicaprio. Nyata potongan rambut klasik mereka memukau hadirin sebaik menjejak kaki di karpet merah.

Potongan rambut klasik bagaimanapun lebih sesuai digayakan mereka yang berambut lurus. Bagi yang berhasrat tampil dengan gaya rambut klasik, apa kata dapatkan pandangan pakar dandanan rambut supaya jenis rambut dan bentuk wajah sesuai dapat ditentukan.

Nyata pengaruh gaya rambut abad ke-20 menyaksikan dua cara berbeza dalam gaya rambut klasik sama ada belahan tepi dan di tengah kepala.

Bukan saja memberi pengaruh besar dalam dunia hiburan dan fesyen, potongan rambut klasik menjadi pilihan jejaka yang menduduki jawatan eksekutif, ahli perniagaan dan golongan profesional.

Ciri-ciri konvensional pada gaya rambut klasik bukan saja menyerlah kematangan lelaki, malah menonjolkan kebersihan diri dan lebih sopan.

Menjurus gaya sebegini, ramai bintang Hollywood era awal sudah pun mencorak identiti mereka dengan gaya potongan rambut klasik seperti yang ditampilkan aktor James Dean, Rochard Burton, Sean Connery dan Elvis Presley.

Mungkin, idea dan paparan contoh gaya rambut klasik mampu memberi pilihan kepada jejaka untuk mencubanya! Tunggu apa lagi, serlahkan kreativiti anda!

INFO: Tip potongan rambut mengikut bentuk wajah

Wajah bujur.Seseorang yang memiliki wajah bujur mampu mempelbagaikan jenis potongan rambut daripada pendek hinggalah panjang mengurai. Mereka yang berwajah begini bebas menggunakan kreativiti untuk bergaya.

Wajah bersegi.Tidak ramai jejaka memiliki bentuk wajah begini mampu memberi gaya rambut sesuai. Biar apapun gaya yang ditampilkan, biarlah sederhana dan usah ketepikan faktor wajah bersegi menonjolkan ciri kelakian sebenar.

Wajah empat segi panjang.Ramai berpendapat, pemilik bentuk wajah seperti ini membiarkan rambut lebih panjang dan dipotong berlapis. Malah, jika dibiarkan mengurai, pesona seksi mampu tercetus selain menyerlahkan ciri-ciri metroseksual dalam diri lelaki.

Wajah tiga segi.
Penyanyi terkenal, Justin Timberlake sebagai contoh memiliki bentuk wajah tiga segi. Bentuk wajah sebegini sesuai berambut pendek pendek dan tidak terpacak. Imej

kemas dan tidak berserabut menampakkan diri anda cukup comel dan kebudak-budakan.

Wajah bulat.Mereka yang berwajah bulat disarankan tidak menyimpan rambut panjang. Sebaiknya, rambut harus kemas dan pendek. Kedudukan sisi rambut haruslah sama rata di

bawah paras mata. Ini bagi memastikan keseimbangan bentuk wajah. Disebabkan itulah, ramai yang berwajah bulat memilih membotakkan kepala atau crew cut.

Ramalan rambut hangat 2009!

Inspirasi potongan rambut 1950-an hingga 1960-an.

Rambut sedikit panjang, berombak mahupun lurus.

Rambut sihat yang mampu menyerlahkan kilauan.

Pergerakan rambut beralun secarasemula jadi.

Rambut yang diwarnakan dengan rona sesuai tampak lebih semula jadi apabila terkena pancaran matahari.

Berita Harian

24
Jan

Eva Mendes Teratas Senarai Impian Lelaki



Eva Mendes (kiri) dan Megan Fox

Aktres kelahiran Cuba pilihan lelaki, Megan Fox tempat kedua diikuti model Marisa Miller

LONDON: Bintang filem The Spirit yang seksi, Eva Mendes mengejutkan hampir semua pihak selepas beliau mengungguli tangga teratas senarai ‘wanita paling diimpikan’ berdasarkan kajian pendapat majalah online, AskMen.

Aktres kelahiran Cuba berusia 34 tahun itu menduduki tempat pertama dalam undian yang meminta lelaki menamakan wanita ideal yang memiliki ciri kelakar, pintar dan berkarektor selain mempunyai tarikan seks.

Mendes yang berada di tempat keempat dalam senarai tahun lalu yang dikumpulkan halaman web AskMen.com gembira dengan kedudukan terkini dengan berkata:

“Inilah ciri paling menarik lelaki iaitu memberikan penghargaan hingga membolehkan saya berada di tempat teratas. Terima kasih semua.”

Eva mengatasi aktres Transformers, Megan Fox yang menduduki tempat kedua manakala model Victoria Secret, Marisa Miller dan model glamor Britain, Keeley Hazell masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Fox dinamakan sebagai ‘wanita paling seksi di dunia’ tahun lalu oleh majalah FHM tetapi hanya mampu berada di tempat kedua dalam undian membabitkan lebih 10 juta pembaca majalah AskMen.com.

“Ia menakutkan tersenarai sekali lagi dalam AskMen.com! Ia tahun yang menarik dan mengetahui saya mempunyai peminat yang mencukupi untuk mengundi dan menyokong saya amat menakjubkan,” kata Marisa Miller dalam satu kenyataan.

Pendatang baru yang tersenarai tahun ini termasuk Isla Fisher yang berada di tempat ke 31, penyanyi I Kissed A Girl, Katy Perry di tempat ke 38, dan isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Carla Bruni, di tempat ke-76.

Aktres Scarlett Johansson yang berada di tempat ketujuh berkata: “Ia satu penghargaan kepada saya terpilih di kalangan 10 juta pembaca AskMen sebagai seorang daripada wanita impian.”

Pengacara Project Runway, Heidi Klum; pemenang Oscar, Halle Berry, Kate Beckinsale, Jessica Biel; bintang Confession of a Shopaholic, Isla Fisher; Charlize Theron; superstar Bollywood, Aishwarya Rai dan calon Oscar 2009, Penelope Cruz dan Angelina Jolie, turut tersenarai.

Bagaimanapun, penyanyi Britney Spears tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas yang turut membariskan penyanyi Christina Aguilera, Carrie Underwood dan Beyonce. Britney berada di tangga ke-90.

Begitu juga dengan Madonna yang tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas malah juga tidak berada dalam senarai 99. – Agensi

Berita Harian