Produk Halal, Semula Jadi
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
Syahirah tambah bilangan keluaran dengan pelancaran produk baru
SYAHIRAH, jenama kecantikan terkenal, melancarkan pro duk terbaru bagi melengkapkan lagi rangkaian penjagaan kulit dan peribadi keluarannya.
Pengurus Pemasarannya, Corina Lee, berkata produk ber kenaan merangkumi susu pembersih muka, krim pencerah, bedak kompak SPF 15, gincu bibir SPF 15 serta losen tangan dan badan.
“Rangkaian produk Syahirah dihasilkan daripada rumusan unik UV White, susu kambing, biotin, ekstrak likuoris, vitamin C dan E, aloe vera, ginseng, pelindung ultraungu dan ekstrak tumbuhan.
“Formula unik berkenaan memastikan rangkaian produk Syahirah ditanggung halal, semula jadi, selamat dan berkesan untuk menjadikan kulit lebih lembut, cerah serta berseri,” katanya pada majlis pelancaran produk terbaru Syahirah di ibu negara, baru-baru ini.
Menurutnya, sejak mula dilancarkan pada 2006, jenama berkenaan menjadi antara tiga jenama Melayu paling men dapat sambutan di pasaran.
etika tahun pertama diperkenalkan, Syahirah bermula de ngan hanya 25 produk, tetapi kini ia mempunyai hampir 60 barangan penjagaan serta kecantikan yang menyeluruh.
Katanya, Syahirah mensasarkan untuk mengeluarkan enam produk inovatif setiap tahun.
Untuk itu, pihaknya kini giat menjalankan proses pe nyelidikan dan pembangunan.
Turut hadir, Pengarah Urusan, Jackie Tor serta duta Sya hirah, Farah Diana Anuar dan 30 peserta bertuah peraduan Fiesta Syahirah.
Farah berkata, dia amat mementingkan penjagaan wajah kerana sebagai seorang selebriti, penampilan menawan amat penting ketika berdepan dengan khalayak.
Kata Farah, sejak keluar daripada Akademi Fantasia, kulit wajahnya mengalami masalah kerana sering disolek tebal setiap kali persembahan.
“Saya gembira kerana sejak menggunakan produk ini, kulit wajah yang dulunya kering serta tidak bermaya kini kelihatan lebih bersih, cerah dan berseri.
“Ramuan istimewa di dalam produk ini mampu membantu wanita seperti saya mendapat hasil yang diingini. Namun, apa yang penting, ia halal dan selamat untuk digunakan,” ka tanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Tor turut mengumumkan Nor Farahin Abd Rashid dan Nor Haryati Mo Hadzri sebagai pemenang utama peraduan Fiesta Syahirah yang berakhir 31 Oktober lalu.
Nor Farahin dan Nor Haryati masing-masing memenangi sebuah televisyen LCD 32 inci jenama Philips.
Harian Metro
Ako, Kartina Idam Bunting Pelamin
Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Rusdik Enchi
am@hmetro.com.my
Rap
PENGAKUAN Ako Mustapha atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 37, yang dia sudah bersedia menelusuri budaya hidup isterinya, Kartina Shuaib Abdullah, 27, dibuktikan pada majlis persandingan dan jamuan makan malam bersama keluarga dan tetamu jemputan, lapan jam selepas diijabkabulkan, Sabtu lalu.
Ako tidak kekok menari ‘igal-igal’ iaitu warisan masyarakat Bajau biarpun hanya mempelajarinya kurang sejam. Gerak-geri jari jemarinya dan gerakan badan tidak ubah seperti seorang penari tarian tradisi keluarga isterinya.
‘Igal-igal’ adalah tarian wajib pada majlis persandingan pengantin berketurunan rumpun Bajau terutama etnik Tausug, Simunul dan Ubian. Rumpun Bajau meliputi lebih 10 etnik yang mempunyai seni dan budaya tersendiri.
Malah ketika isterinya menyampaikan kata-kata aluan kepada tetamu dalam bahasa Inggeris, dia meminta supaya berkomunikasi dalam bahasa Bajau.
Ako juga sempat mengungkapkan perkataan Bajau etnik Simunul, ‘Magsukul sabab kam takka kamemon (terima kasih atas kehadiran semua) dan ‘Pitu kam mangan kitam mag bea-bea’ (Mari kita menjamu selera bersama-sama).
Entah berapa lama pelakon siri drama Kapten Boleh yang disiarkan menerusi Astro Ceria itu menghafal dialog itu, tidak dapat dipastikan tapi yang jelas sebutannya memang tepat.
Tampan mengenakan tuksedo hitam manakala isterinya bergaun putih, kedua-dua pasangan yang ceria sepanjang majlis ternyata sentiasa mesra dan sepadan.
Majlis persandingan dan jamuan makan malam berkonsepkan tradisional menampilkan budaya Bajau dan Tagalog iaitu gabungan budaya bapa Kartina, Shuaib Abdullah dan ibunya, Shantanina Abdullah.
Hadir sama, ibu bapa Ako, Ahmad Mustapha Mad Hassan dan Normah Osman serta pengarah filem terkenal, Afdlin Shauki. Majlis yang diuruskan pereka fesyen terkenal, Calvin Thoo itu hanya membabitkan keluarga terdekat dan orang tertentu saja manakala persandingan sebelah pihak lelaki diadakan pada Mei.
Malam kelmarin, satu majlis resepsi diadakan di Hotel Sanbay, Sandakan dengan konsep Kadazandusun dan Suluk, gabungan kebudayaan ibu bapa Kartina.
Ako yang pernah putus tunang dengan Halina Ali sebelum ini diikuti putus kasih dengan Jue Aziz mengakui, tertarik dengan Kartina kali pertama berjumpa. Katanya, senyuman Kartina membuat dia tertawan dan suka melihatnya bercakap dengan penuh ekspresi.
“Di situ sudah nampak kejujurannya. Semakin mengenalinya, saya tahu dia wanita yang tepat untuk disunting sebagai isteri.
“Apa yang lebih membanggakan saya, sebelum kami menjalin hubungan lebih serius saya pernah membawanya berjumpa orang tua saya. Ternyata dia tidak kekok melayan mereka walaupun kali pertama berjumpa. Malah semua mak cik saya sukakannya. Dia pandai membawa diri dan saya lega semua orang menerima baik kehadirannya,”
katanya.
Pasangan itu diijabkabulkan Imam Kariah Masjid Taman BDC, Sandakan, Sarahan Ar Bain di kediaman keluarga Kartina di Taman Mawar, Sandakan, Sabtu lalu. Kartina berwalikan ayahnya, Shuaib Abdullah dan bersaksikan bapa saudaranya, Alasi Sansuat.
Mengenai cahaya mata, pasangan bahagia yang mengidamkan bunting pelamin itu mahu dikurniakan lima anak. Malah Kartina mengakui tidak sabar menimang cahaya sebagai hadiah paling berharga kepada suami tersayang.
Demi cintanya kepada suami, Kartina sanggup mengorbankan kerjaya sebagai perunding kecantikan kerana mahu menumpukan perhatian kepada Ako dengan bertindak sebagai pembantu peribadi dan pengurus.
Sebagai tanda keikhlasan cintanya, Kartina tidak meletakkan sebarang wang hantaran ketika majlis pernikahan mereka sebaliknya hanya meminta mas kahwin RM100 serta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Tujuh dulang hantaran Ako meliputi sirih junjung, cokelat, beg jenama Louis Vuitton, alat solek Bobbi Brown, telekung dan batik, set barangan kemas rantai dan gelang jenama Habib Jewels, cincin perkahwinan dan persalinan.
Kartina pula membalas dengan sirih junjung, buah-buahan, cokelat jenama Patchi, kek, senaskhah al-Quran, satu persalinan dilengkapi baju jenama Ferragamo, dompet dan sapu tangan, sebentuk cincin berlian dan emas putih jenama Habib Jewels, wangian jenama Bvlgari dan play station.
Hantaran kedua-dua pasangan adalah barangan kegemaraan mereka terutama Ako yang mengikut kata Calvin, sukar hidup tanpa play station.
Mengenai perkenalan, kedua pasangan mengakui berkenalan pada majlis hari jadi seorang kawan mereka di Kuala Lumpur sekitar Januari 2007. Mereka bertunang 1 Januari tahun lalu dan sepakat menetapkan Oktober lalu untuk melangsungkan perkahwinan tetapi ditunda kepada 17 Januari kerana ibu bapa Kartina menunaikan fardu Haji di Makkah.
Mereka juga belum menetapkan destinasi bulan madu kerana pada 21 Januari ini Ako kembali ke lokasi untuk menyudahkan penggambaran Kapten Boleh yang sepatutnya selesai Disember lalu.
Harian Metro
Dengarnya… Musim Artis Mengandung
Oleh Normah Becok

Melissa Saila
AGAKNYA, tahun 2009 ini memang membawa tuah kepada ramai selebriti wanita kita. Yalah, lepas seorang, seorang disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata. Cik Normah juga yang menunggu-nunggu, bila agaknya Cik Normah hendak mengandung. Bimbang juga kalau lama-lama tak ada anak, nanti suami cari lain. Tapi Cik Normah percaya, suami Cik Normah memang lelaki setia.
Bercerita fasal artis mengandung, Cik Normah teringat pada Sharifah Aleya, Liza Hanim, Dynas, Sasha Saidin, Rosma dan beberapa lagi selebriti wanita yang kini disahkan berbadan dua. Termasuk dalam kategori ibu hamil ketika ini ialah seorang lagi pelakon teater muzikal P Ramlee, Melissa Saila.
Khabarnya kini wajah Lis berseri-seri setelah mengandungkan anak ketiga. Eloklah tu Lis, dua anak Lis, si Zain dan Noor pun sudah besar. Zain sudah berusia dua tahun, manakala Noor yang sulung pula empat tahun. Cantik betul anak sulungnya, macam Lis sendiri. Esok bila sudah besar, pasti popular macam ibu atau neneknya, Mariani.
Apabila teringat cerita kedua-dua bintang muzikal P Ramlee ini hamil, Cik Normah terfikir sendiri. Nasib baiklah Enfiniti tidak membawakan kembali muzikal bintang legenda berkenaan pada tahun ini. Jika tidak, susah juga apabila dua pelakon terbabit terpaksa tampil dengan badan yang mungkin agak berisi.
Pada Februari ini, Enfiniti mementaskan semula teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Kiranya, kini tiba masa Datin Seri Tiara Jacquelina menghangatkan pentas Istana Budaya sebagai puteri yang bukan saja jelita, tetapi pandai pula menari dan menyanyi. Cik Normah sendiri rasa macam hendak menonton sekali lagi.
Dalam pada itu, hampir terlupa, pelakon drama Balkish Semundur Khan pun sudah disahkan mengandung sebulan. Pelakon itu yang dramanya, Laila Majnun sedang disiarkan di TV3 dan TV9 ada menghantar SMS kepada kawan sepejabat Cik Normah baru-baru ini.
Berita Harian
Ketahui Fungsi Pitera
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
KALANGAN pengguna setia jenama kecantikan terkenal dari Jepun, SK-II, nama bahan aktif yang digunakan, Pitera, memang sudah tidak kedengaran asing lagi bagi mereka.
Namun, bagi yang belum pernah menggunakan produk jenama itu, nama bahan berkenaan sememangnya kedengaran agak pelik apatah lagi jika diberitahu ia sebenarnya dihasilkan daripada yis.
Menyedari hakikat itu, SK-II tampil dengan inisiatif membuka galeri Pitera di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, di ibu negara, awal minggu ini.
Galeri yang dibuka selama seminggu berakhir 11 Januari lalu itu adalah yang pertama diwujudkan di luar Jepun dan ia juga sebagai salah satu strategi pemasaran jenama berkenaan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara, Procter & Gamble (P&G) Malaysia, Yuri Hermida, berkata wanita di negara ini berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kandungan unik Pitera menerusi pembukaan galeri berkenaan.
Kata Hermida, galeri yang dibuka secara terbuka itu mampu memberi maklumat mengenai fungsi Pitera dalam menjaga kesihatan serta kecantikan kulit yang selama ini tidak diketahui wanita.
“Sejak mula diperkenalkan kira-kira 30 tahun lalu, ramuan unik dalam produk SK-11 tidak pernah berubah.
“Pitera SK-II bukanlah pati yis sebaliknya ia larutan metabolik yang dihasilkan daripada proses penapaian sejenis yis unik,” katanya pada majlis perasmian galeri berkenaan, baru-baru ini.
Hadir sama, Duta SK-11 Malaysia, Fauziah Latiff yang turut berkongsi pengalaman sepanjang menggunakan produk jenama berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Metrojaya Berhad, Robert Heng dan Pengarah Eksekutif Mid Valley City, Daniel Yong.
Sementara itu, jenama berkenaan turut menemukan pelakon terkenal kelahiran Alor Star, Kedah, Lee Sinje dan selebriti Hong Kong, QiQi dalam satu iklan televisyen yang bertemakan ‘Perubahan Kulit Tanpa Perubahan Komitmen”.
Iklan yang bakal ke udara bulan ini itu memaparkan pengalaman peribadi Sinje yang baru mencuba produk SK-II selama dua tahun berbanding QiQi yang sudah menggunakannya selama 12 tahun.
Harian Metro
Artis Boleh Sertai AF7
Rap
PROGRAM realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kini membuka lembaran baru dengan meneruskan misi bagi pencarian bakat baru dunia nyanyian.
Selepas enam musim bersiaran dan berjaya menempatkan kedudukannya tersendiri di hati peminat seni tanah air, AF7 turut menampilkan kejutan dan pembaharuan apabila buat pertama kalinya membuka peluang kepada bukan hanya warganegara Malaysia tetapi juga Singapura dan Brunei.
Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan berkata, pembaharuan itu dilakukan untuk mengukuhkan lagi matlamat dan usaha Astro dalam memberikan hiburan terbaik kepada pelanggannya melalui mutu produksi dan format yang mantap.
Katanya, elemen pembaharuan ini tidak terhenti di situ apabila AF7 turut membuka penyertaan kepada golongan artis tidak kira sama ada dari bidang nyanyian mahupun lakonan untuk turut serta.
“Objektif utama penerbitan AF7 adalah untuk memberikan kelainan dalam kandungan tempatan dan format program di samping komitmen kami dalam mencari dan membimbing bakat baru bagi mewarnai persada seni tempatan.
“Bersesuaian dengan arus peredaran zaman, beberapa elemen pembaharuan dilakukan bagi memberikan saingan yang lebih sengit dalam kalangan peserta.
“Bagaimanapun, kami hanya memberi peluang kepada artis yang tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan,” katanya.
Mengenai langkah Astro turut membuka penyertaan kepada warga Singapura, Khairul menjelaskan, langkah itu dilihat sejajar dengan hasrat Astro Ria yang ingin meluaskan pengaruhnya kepada penonton di Singapura.
Katanya, AF mempunyai peminatnya di negara itu kerana ia boleh ditonton melalui mio TV milik Singtel. Langkah ini membuka peluang kepada Astro Ria terutama AF untuk meraih sokongan yang meluas dari seluruh warga Singapura.
“Penerbitan dan produksi AF7 tidak sabar untuk memulakan penjelajahan uji bakat ke empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mencari penyanyi yang berpotensi untuk diketengahkan.
“Nama seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila dan Stacy adalah nama yang pernah merangkul gelaran juara AF musim pertama hingga enam dan kini berjaya menempatkan diri dalam kalangan artis popular berbakat dan mempunyai kualiti tersendiri,” katanya.
Mereka yang ingin bergelar penyanyi, jangan lupa hadir pada sesi uji bakat di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 17 dan 18 Januari, The Zon Regency Hotel, Johor Bahru (24-25 Januari), Borneo South Atrium, Kota Kinabalu (30-31 Januari), Enter K Entertainment, Crown Square, Kuching (31 Januari dan 1 Februari) dan Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur (7-8 Februari).
Kaunter pendaftaran bagi setiap uji bakat dibuka dari jam 9 pagi hingga 1 petang. Peserta digalakkan hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) dan menyanyi lagu pilihan secara acapella.
Lagu pilihan untuk peserta wanita ialah No One (Alicia Keys), Kalis Rindu (Elyana), Dikir Puteri (Noraniza Idris), Karma (Cokelat) dan Tari Silat Melayu (Aishah).
Lagu pilihan untuk peserta lelaki, Angan dan Sedar (Mawi), You Raise Me Up (Josh Groban), Ketelusan Hati (Anuar Zain), Hanya Engkau Yang Mampu (Aizat) serta Ada (M Nasir).
Harian Metro