Rashid Cuba Genre Seram
Posted by admin on February 13th, 2009
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
MENJADI trend kini, penerbitan drama seram menguasai stesen TV tempatan. Seperti filem seram, drama juga mula mencatatkan sambutan hangat penonton khusus mereka yang meminati genre seram. Atas faktor itu, kini ramai produser seperti berlumba-lumba menghasilkan drama seram.
Selepas kejayaan drama seram seperti Kekasihku Seru arahan Kabir Bhatia dan Puaka Niyang Rapik (Ahmad Idham), Rashid Sibir pula mencuba nasib yang sama menerusi drama terbaru arahannya, Keliwon.
Bagi mereka yang pernah menonton drama arahannya sebelum ini, pasti mengetahui cita rasa dan gaya persembahannya lebih ke arah kisah cinta.
Namun, menerusi drama bersiri 13 episod kali ini, dia berusaha menampilkan kelainan pada hasil kerjanya. Menariknya, drama ini yang mula ditayangkan pada 5 Februari lalu di TV3 memaparkan 13 cerita berbeza dalam setiap episod yang mengambil durasi sejam. Dalam memberi kepuasan pada penonton, drama ini mengambil kisah seram yang dekat dengan kehidupan masyarakat Melayu. Walaupun ada kisah ini diragui kebenaran tetapi ia sering diceritakan sejak generasi dulu hingga kini.
“Kelainan drama ini bergantung pada cerita berbeza dalam setiap episod. Di samping itu, kelainan juga ditampilkan pada proses penggambaran drama ini dari aspek peralatan yang digunakan termasuk kren yang boleh mengambil syot setinggi 30 kaki.
“Walaupun kos drama ini mahal melebihi RM400,000 secara keseluruhan tetapi saya berusaha mencari kelainan.
“Biar untung sedikit tidak mengapa kerana ia adalah percubaan saya untuk drama seram. Menerusi drama ini, ada banyak syot lebar dengan bantuan banyak lampu untuk mencantikkan penceritaan. Mungkin ada kisah seram yang dipaparkan mengembalikan nostalgia penonton yang pernah dengar cerita berkenaan suatu ketika dulu.
“Ada kisah dalam drama ini adalah cerita yang pernah berlaku di kampung saya di Batu Pahat, Johor. Antara yang menarik untuk dikongsi dengan penonton seperti kisah menghantar pulut kuning di satu tempat untuk diberikan kepada hantu dan pocong datang ketuk pintu rumah.
“Mengikut kalendar zaman dulu, perkataan keliwon yang berasal dari Jawa digunakan yang merujuk pada malam Jumaat dan ketika itu pelbagai hantu berkeliaran. Untuk drama ini, saya guna lebih 40 pelakon popular yang berlakon dalam setiap episod berbeza,” katanya.
Memberi cabaran, Rashid berusaha menyampaikan kisah seram mengikut durasi sebenar 45 minit. Turut menampilkan watak bomoh, imam dan bidan, drama ini menyelitkan mesej pengajaran pada penonton pada akhir cerita.
“Selepas drama Datin Diaries, saya ada menghantar beberapa cadangan kepada TV3 untuk drama baru hingga Keliwon diterima. Jika diikutkan, drama seram ini adalah kedua selepas Di Alam Lain yang pernah ditayangkan lima tahun lalu. Penggambaran drama kali ini mengambil masa dua bulan sejak Disember lalu di sekitar Tampin, Hulu Langat dan Kuala Lumpur.
“Walaupun kisah seram yang ingin dipaparkan dianggap sama seperti drama lain tetapi ia masih mempunyai perbezaan dari aspek penyampaian dan saya berharap satu cerita dalam drama ini dapat dijadikan drama bersiri selepas ini.
“Pemilihan pelakon sebelum ini atas perbincangan dengan stesen TV. Namun, kita sebenarnya kekurangan pelakon berwibawa untuk membawa watak dengan baik dan saya sering menggunakan pelakon yang sama kerana faktor kerjasama sebelum ini tiada masalah,” katanya.
Bagi pelakon veteran, Mariani Ismail, dia selesa berlakon di bawah arahan Rashid berdasarkan faktor kerjasama menerusi drama lain sebelum ini. Malah, dia juga menganggap peluang ini sebagai satu penghargaan pada artis veteran yang masih diberi kepercayaan untuk berlakon.
“Rashid adalah pengarah yang banyak memberi peluang pada artis veteran seperti saya untuk kembali berlakon. Bagi mereka yang pernah bekerjasama dengannya, dia mempunyai cara sendiri untuk menyampaikan cerita yang berkesan pada penonton,” katanya.
Elly Mazlein pula berpandangan dia bertuah kerana drama itu memberi peluang kepadanya membawakan watak hantu. Elly yang tampil sebagai pontianak memberanikan diri untuk berlakon walaupun ini adalah kali pertama dia melakonkan watak sedemkian. Selain Mariani dan Elly, drama ini turut dibintangi Norlia Ghani, Wan Maimunah, Rosnah Mat Aris, Maria Farida, Noorkhiriah, Safura, Nur Fazura, Emelda Rosmila, Zad Zaidi, Zul Huzaimi dan Fezrul Khan.
“Saya sebenarnya teruja untuk berlakon watak ini. Ketika penggambaran, segalanya berjalan lancar dan saya sendiri ketepikan perasaan takut dalam diri sebaik berlakon. Saya berusaha memberikan hasil lakonan yang terbaik dan antara yang mencabar ialah adegan saya perlu terbang. Drama ini memberikan pengalaman baru dan saya seronok menjayakan drama ini,” katanya.
Harian Metro