Populariti Sepantas Kilat
Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
BERMULA sebagai model di tanah kelahirannya, Mumbai, India kini nama Freida Pinto mula menjadi tumpuan dunia. Populariti yang diraihnya datang sekelip mata hanya kerana filem sulung lakonannya, Slumdog Millionaire.
Filem arahan pengarah terkenal, Danny Boyle itu bukan saja memberi impak besar apabila ditayangkan di Amerika Syarikat akhir tahun lalu, malah mencatat kejayaan besar di festival filem dan majlis anugerah.
Filem sulungnya itu membawa Freida mengembara dari satu festival ke satu festival. Antaranya Festival Filem Antarabangsa Palm Springs, Anugerah Pilihan Pengkritik, Anugerah Golden Globe dan Anugerah British Academy Of Film & Television Arts (BAFTA) di London.
Sehingga kini, Slumdog Millionaire menang lima anugerah Pilihan Pengkritik, empat Golden Globes dan tujuh di BAFTA. Malah kejayaan filem ini untuk Filem Terbaik di Golden Globe ke-66 pada 12 Januari lalu membuatkan banyak pihak buka mata dengan hasil karya Danny Boyle ini.
Untuk Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 23 Februari ini, Slumdog Millionaire menerima 10 pencalonan. Antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Skor Original Terbaik (AR Rahman) dan Lagu Original Terbaik (Jai Ho dan O Saaya).
Anak kedua pasangan Frederick dan Sylvia Pinto ini bertuah kerana bermula sebagai model di Mumbai terus berjaya memulakan kerjaya lakonan di Hollywood. Lebih membanggakan, Freida bekerja dengan pengarah terkenal, Boyle yang pernah menghasilkan filem Trainspotting dan The Beach Fame.
Turut menjayakan filem ini, Irrfan Khan, Anil Kapoor dan Mahesh Manjrekar. Watak dijayakan Anil pada mulanya ditawarkan kepada Shah Rukh Khan tetapi ditolak bintang terkenal Bollywood itu.
Freida mengakui, populariti yang diraihnya datang sepantas kilat malah tidak pernah menyangka semua itu akan hadir dalam hidupnya.
Katanya, selepas tamat pengajian di Kolej St Xavier, Mumbai, dia menjadi model selama dua tahun.
Pada waktu sama dia bercita-cita menjadi pelakon dan cuba menghadiri uji bakat untuk mencari peluang berlakon filem. Katanya, minat dalam dunia lakonan datang secara semula jadi kerana tinggal di kota yang menjadi tumpuan bintang Bollywood.
“Selepas enam bulan menghadiri satu demi satu uji bakat, suatu hari saya menerima panggilan telefon meminta hadir untuk uji bakat filem Slumdog Millionaire. Ketika itu saya sekadar ingin mencuba sebagaimana percubaan sebelum ini dan tidak berharap untuk diterima.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila nama saya berada dalam senarai pendek dan akhirnya dipilih. Ibu bapa saya turut memberi galakan kerana mereka tahu saya memang bercita-cita menjadi pelakon. Kakak saya yang bekerja dengan syarikat media juga banyak menyokong dan membantu saya,” katanya.
Pengalaman menjayakan Slumdog Millionaire disifatkannya sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang cukup besar. Malah digandingkan dengan pelakon baru, Dev Patel membuatkan mereka berdua bersemangat dan saling membantu kerana sedar masing-masing tiada pengalaman.
“Berlakon dalam Slumdog Millionaire membawa saya ke satu tahap kerja yang cukup tinggi dan memberi pendedahan yang cukup besar. Ia juga satu pengalaman yang menakjubkan.
“Apa yang boleh saya katakan ialah bekerja dengan Danny Boyle umpama menghadiri kelas lakonan di sekolah terbaik di dunia. Apabila kami mula bekerja, dia beritahu saya kehidupan ini tidak selalunya sama. Lakukan satu asas kukuh untuk dunia.
“Saya terharu dan sangat menghargai semua tumpuan yang diberikan tapi saya masih belajar menyesuaikan diri.
Sebenarnya saya seorang yang agak pemalu,” katanya.
Walaupun namanya kini dikenali di Hollywood, Freida tidak bercadang meninggalkan Mumbai untuk berpindah ke Hollywood dalam waktu terdekat ini.
Katanya, buat masa ini dia selesa berulang-alik Mumbai-Los Angeles dan tidak bercadang berpindah kerana mempunyai ejen yang bagus.
Selepas Slumdog Millionaire, kata Freida, dia mahu mencuba sesuatu yang baru kerana suka melakukan sesuatu berbeza untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Katanya, dia juga berpeluang belajar pelbagai bentuk tarian klasik India dan salsa.
“Saya tidak kisah berlakon apa pun tetapi saya lihat filem komedi agak berbeza dan ingin mencubanya. Itulah sebabnya saya memilih untuk menyertai bengkel lakonan bersama sifu teater, Barry John supaya dapat mendalami skil lakonan.
“Saya juga berharap diberi peluang bekerja dengan bintang legenda Hollywood, Clint Eastwood. Saya sangat teruja apabila berjumpa dengannya ketika menghadiri festival Palm Springs.
“Saya masih ingat lagi ketika menonton filem Million Dollar Baby arahannya, saya pernah berkata mahu berjumpa dengan Clint Eastwood. Ternyata akhirnya saya berpeluang bertemu dengannya tapi ketika itu lidah saya kelu untuk berkata-kata,” katanya.
Dalam limpahan populariti, Freida juga menerima kritikan mengenai penampilannya ketika menghadiri Anugerah Golden Globe. Penampilannya dengan gaun mendedahkan dada warna kuning ketika acara permaidani merah dikatakan tidak sesuai dengan majlis. Kata Freida, dia terima kritikan yang diberikan dengan hati terbuka.
“Ketika itu saya rasa ia satu pilihan yang tepat. Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.
Slumdog Millionaire mengisahkan budak lelaki dari luar bandar, Jamal lakonan Dev Patel, muncul dalam program game show hingga menjadi tumpuan ramai termasuk gadis remaja. Freida menjadi Latika, gadis yang berjaya menawan hati Jamal. Semua babak membabitkan Freida dilakukan di Mumbai dan babak lain di Delhi dan Agra.
Freida dicalonkan Aktres Pembantu Terbaik di Bafta dan menang di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) bersama barisan pelakon lainnya. Namanya juga diumumkan memenangi Aktres Terbaik di Elle Style Awards di London, baru-baru ini.
PROFIL
Nama sebenar: Freida Pinto
Tarikh lahir: 18 Oktober 1984
Tempat lahir: Mumbai, Maharashtra, India
Bintang: Libra
Kerjaya: Model, pelakon
Bapa: Frederick Pinto
Ibu: Sylvia Pinto
Adik beradik: Anak kedua daripada dua beradik’
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Inggeris) dari Kolej St. Xavier, Mumbai
Harian Metro