Ibu Sejati
Posted by admin on February 28th, 2009
Rap
KEHIDUPAN Jessica Alba, 28, kini sudah lengkap. Selepas berkahwin dengan lelaki dicintai, Cash Warren pada 19 Mei tahun lalu, kelahiran anak perempuan, Honor Marie Warren pada 7 Jun melengkapkan segalanya.
Kerja keras tampil langsing
Malah bintang Fantastic Four itu tidak sanggup berpisah walau sedetik pun dengan buah hatinya itu. Namun apakan daya, komitmen pada kerja menuntutnya berjauhan dengan Marie.
Selepas meninggalkan anaknya beberapa jam untuk menghadiri Anugerah Academy ke-81, baru-baru ini, keesokan harinya dia menghabiskan masa bersama Marie dengan membawanya bermain di padang permainan di Beverly Hills Park.
Kata Jessica, dia sering menangis setiap kali berjauhan dengan anaknya. Katanya, paling lama dia berjauhan dengan anaknya ialah selama enam hari pada bulan lalu dan ia satu tempoh yang cukup menyeksakan.
“Untung ada Skype, jadi saya boleh melihatnya melalui video. Paling menyentuh perasaan apabila melihat jari-jari mungilnya menyentuh skrin kerana saya tidak ada di sisinya.
“Sememangnya sejak menjadi ibu, menangis adalah satu perkara baru yang selalu saya lakukan kerana saya tidak pernah menangis sebelum ini,” katanya.
Dua bulan selepas melahirkan Honor Marie, Jessica tampil buat pertama kalinya pada majlis permaidani merah Anugerah ALMA pada Ogos lalu hingga mengejutkan peminat kerana kembali langsing dalam tempoh singkat selepas melahirkan. Jessica anggun dengan gaun satin merah jambu rekaan Narciso Rodriguez.
Ketika itu, jurulatih peribadi Jessica, Ramona Braganza mendedahkan Jessica mendapatkan bentuk badan asal selepas menjalani program 321 Baby Bulge Be Gone hingga mampu menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram.
Braganza mencadangkan Jessica mengambil bijirin bersama ayam turki dan putih telur manakala untuk makan tengah hari, ikan dan salad, makan malam pula, dada ayam dengan beras perang. Tidak ketinggalan, pencuci mulut dengan buah, almond atau keju. Apa yang membanggakan Braganza, Jessica memang suka makanan sihat.
Jadual latihan di gym bermula tiga minggu selepas melahirkan dengan rutin berperingkat bermula senaman utama selama 25 minit untuk dua minggu, kemudian ditambah 20 minit lagi untuk kardio dan 15 minit latihan sirkuit.
Latihan ini dilakukan enam kali seminggu selama sejam untuk tiga senaman utama, dua kardio dan satu senaman regangan. Hasilnya, Jessica yang naik 18 kilogram sepanjang mengandung, juga menjalani latihan tinju dan mendaki untuk turun empat kilogram.
Kini Jessica sering menghadiri majlis dengan penampilan menarik dan ingin berkongsi dengan peminat rahsianya kembali langsing. Jessica mendedahkan, ia tiada kaitan dengan hanya makan daun sadri atau latihan keras di gym.
Sebaliknya, kata Jessica, dia berjaya mendapatkan bentuk badan asal dengan rahsia yang dikongsi kawan baiknya yang mengalami masalah bentuk badan selepas lapan minggu melahirkan anak.
“Dia menyuruh saya mengikat pinggang dengan sesuatu yang boleh meregang. Apa saja jenis kain atau korset pun boleh. Jadi saya gunakan korset. Saya tidak berjaya mendapatkan bentuk badan asal dengan cepat seperti dia. Tapi saya bertuah kerana badan saya tidak banyak lemak berlebihan seperti dia.
“Saya juga pernah cuba bekerja keras mengikuti latihan untuk mendapatkan semula bentuk badan asal supaya dapat menjalani penggambaran untuk kalender. Tapi saya berhenti separuh jalan. Latihannya cukup menyeksakan hingga saya menangis. Sejak itu saya tidak teruskan lagi,” katanya.
Jessica juga tidak lupa meraikan suaminya dalam satu majlis meriah sempena ulang tahun Warren yang ke-30, Januari lalu. Lebih 80 tetamu terdiri daripada keluarga rapat dan kawan baik mereka hadir dalam majlis diaturkan Jessica.
Jessica memaklumkan kepada suaminya mereka perlu bergegas ke Vegas pada pagi Sabtu dan menginap di Palazzo Las Vegas. Jessica membawa suaminya ke Canyon Ranch Spa supaya keluarga dan kawan-kawan dapat membuat persiapan tanpa pengetahuan suaminya.
Pada sebelah malamnya, Warren dibawa ke Tao Las Vegas dan terkejut apabila melihat kehadiran 20 anggota keluarga dan rakan rapat menantinya. Ketika sedang makan, bilik sebelah terbuka dan 60 lagi -kawan rapat Warren muncul bersama kek harijadi bentuk 30.
Tiada apa yang mampu dilakukan Warren selain air mata terharu dengan semua yang dilakukan isterinya. Tidak cukup dengan itu, Jessica mengundang kumpulan yang diminati suaminya, Deadly Syndrome yang diterbangkan khas dari Los Angeles untuk menghiburkan tetamu.
Dalam ucapannya, Warren mengucapkan ribuan terima kasih kepada isterinya yang cantik jelita dan juga kawan baiknya yang sudi hadir.
“Saya sungguh terkejut dan gembiran dengan majlis yang istimewa ini kerana dapat bersama-sama anda semua. Airmata ini bukan lakonan kerana saya tidak pandai berlakon,” katanya.
Jessica dan suami juga sering menyaksikan perlawanan bola keranjang menyokong pemain NBA, Baron Davis setiap kali ada pertandingan di Los Angeles kerana Davis adalah kawan baik Warren.
PROFIL
Nama sebenar: Jessica Marie Alba
Tarikh lahir: 28 April 1981
Tempat lahir: Pomona, California
Nama timangan: Sky Angel, Albz
Adik-beradik: Dua beradik (Joshua Alba)
Tinggi: 1.69 meter
Suami: Cash Warren (19 Mei 2008)
Anak: Honor Marie Warren (7 Jun 2008)
Filem: Fantastic Four (2005), Into the Blue (2005)
Harian Metro