Hip TV Lebih Berani
>>Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
KEJAYAAN program TV berkonsepkan cerita hiburan dan artis sering kali menarik perhatian ramai. Program Melodi terbitan TV3 antara contoh program hiburan yang berjaya mencatat rating tinggi penonton sebanyak 2.3 juta dan masih bertahan sejak 15 tahun lalu.
Berbanding penerbitan program sebegini di luar negara, program hiburan tempatan masih dianggap kurang. Atas dasar itu, TV9 cuba menghasilkan lebih banyak program hiburan yang mempunyai tarikan dan kelainan selepas Galaksi dan Filem Di 9.
Program baru Hip TV dilihat lebih berani kerana menggunakan elemen sensasi. Sudah mula bersiaran empat episod, program ini memberi fokus pada topik berbeza mengenai artis yang dibincangkan bersama panel pilihan.
Produser program ini, Shamatul Nadiah Mohamad, berkata program yang bersiaran setengah jam ini membawa pendekatan berbeza apabila tidak menggunakan pengacara untuk mengendalikan temu bual bersama panel jemputan.
Katanya, kandungan program ini dibuat berdasarkan isu hiburan mahupun isu sensasi yang boleh dibincangkan dengan lebih lanjut.
“Program ini seperti E! Entertainment di Hollywood yang bukan hanya memaparkan berita hiburan dan aktiviti terbaru artis tetapi mempunyai isu menarik yang boleh dibincangkan. Menariknya, ada isu dibuat mengikut carta. Sebagai contoh, carta artis lelaki paling seksi atau artis paling kontroversi.
“Untuk program Hip TV, kami juga mempunyai carta untuk topik yang dibincangkan antara tiga panel yang dijemput untuk setiap episod. Walaupun perbincangan berdasarkan topik yang kami buat tetapi program ini turut menyingkap aktiviti artis seperti pembabitan mereka dalam bidang perniagaan dan fotografi yang pernah mereka dilakukan.
“Apa saja aktiviti menarik mengenai artis akan kami kongsi menerusi program ini. Sebelum ini, dalam episod pertama, kami ada memaparkan cerita fesyen artis pada Anugerah Juara Lagu ke-23 yang lalu.
“Matlamat program ini, kami mahu penonton mendapat cerita artis dengan lebih mendalam. Skop cerita meluas tetapi ia mesti berkaitan dengan artis. Untuk segmen perbincangan isu menerusi carta, kami hanya mengambil carta Top 5.
“Sebelum ini, kami ada menyenaraikan carta perkahwinan artis paling ‘meletup’, artis bercerai, artis mulut ‘laser’, artis dengan gosip terhangat dan artis menggunakan suntikan. Untuk mengenal pasti artis mana yang patut menduduki carta satu hingga lima, kami mendapatkan pandangan daripada panel dan orang ramai secara rambang,” katanya.
Meskipun tanpa pengacara, program ini masih menggunakan penyampai radio Hot FM, Kieran untuk menyumbang suara latar. Program ini akan diterbitkan sebanyak 52 episod dan rakaman dibuat di lokasi luar.
Kata Shamatul, latar belakang artis dinyatakan terlebih dulu sebelum panel menyatakan pandangan masing-masing.
“Untuk berlaku adil, artis yang disenaraikan dalam carta Top 5 juga diberi peluang memberikan pendapat sendiri. Cabaran pada pihak produksi, saya perlu mencari topik yang sesuai, panel yang boleh bercakap dan lokasi yang sesuai untuk rakaman.
“Program ini cuba memberi kebebasan kepada panel untuk menyatakan pandangan secara jujur. Berdasarkan respons awal yang kami terima, ada yang berkata, program ini lebih berani dalam membincangkan isu hiburan. Selain panel yang terbabit dengan bidang hiburan seperti wartawan dan artis, kami juga menjemput pelawak yang turut memberikan pandangan selain menceriakan suasana,” katanya.
Kelmarin, program ini menjalani rakaman di Restoran Lemon, The Mines, Sri Kembangan, Selangor dan turut menjemput penyanyi Deja Moss dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh sebagai panel dengan dua topik berbeza.
Deja diberi topik Penyanyi & Trademark manakala Adam, Selebriti Mulut Laser mengikut kedudukan iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud di tempat pertama diikuti Adlin Aman Ramlie, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.
Program ini disiarkan setiap Isnin, jam 10.30 malam di TV9.
Harian Metro
Joey Vokalis Baru Exist
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
BERDIRI dari kiri, Ujang, Musa, Joey dan Along.
Ezad pilih haluan sendiri kerana mahu tampil secara solo
PADA ketika Ezad mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung perpisahannya daripada Exists, tiga anggota kumpulan muzik terbabit mengambil pendekatan mendiamkan diri. Hanya sesekali kumpulan ini tampil bercerita mengenai isu itu, sebagaimana dapat dibaca peminat dalam majalah atau akhbar.
Sewaktu hadir ke Balai Berita untuk mempromosikan album terbaru yang menghimpunkan lagu terbaik kumpulan berkenaan, Keunggulan Exists, mereka tetap ditanya mengenai perkara sama. Pada awalnya, kumpulan ini memang berat hati untuk membuka rahsia. Hanya selepas beberapa kali diminta untuk sekurang-kurangnya memberikan penjelasan, Musa dan Along akhirnya bercerita.
Menurut mereka, selepas kontrak Exists bersama syarikat rakaman NAR tamat, kumpulan itu mengintai beberapa peluang untuk bernaung bersama beberapa syarikat lain, sekitar 2007. Dalam proses berkenaan, mereka mendapati sebuah syarikat rakaman gergasi menawarkan kontrak yang dilihat sebagai terbaik.
Sayangnya, pada hari kontrak itu hendak ditandatangani, penyanyi utamanya, Ezad, tidak memunculkan diri. Selepas puas mencuba, akhirnya panggilan kepada penyanyi itu berjawab. Alasannya, dia berasakan mereka harus mencari tawaran lebih matang, berbanding kontrak ditawarkan syarikat gergasi tadi.
“Bukan saja dia kurang memberikan komitmen tatkala kami bertiga berusaha mencari peluang bersama syarikat rakaman lain, dia juga tidak muncul pada hari kami sepatutnya menurunkan tandatangan bersama syarikat terbabit. Sedangkan, syarikat itu turut bersedia menghasilkan album solonya sendiri, jika itulah juga apa yang Ezad ingini,” ujar Along.
JOEY menyuntik semangat baru kepada Exists.
Rupa-rupanya, Ezad sengaja berdalih ingin mencari kontrak lebih baik apabila dia sebenarnya sudah pun menandatangani kontrak bersama sebuah syarikat rakaman lain.
“Kononnya, apabila dia menandatangani kontrak bersama syarikat tadi, mereka fikir kami juga akan mengikut langkahnya bernaung di bawah syarikat sama.
“Kami pula bergerak secara kumpulan, lalu apabila dia terlebih dulu mengikat kontrak secara solo dengan syarikat itu, kami tentunya berasa diketepikan,” kata Musa.
Menurut Musa, Ezad akhirnya mengaku dia sudah mengikat kontrak bersama syarikat rakaman berkenaan selepas ditanya sendiri olehnya. Sebelum itu, dia berulang kali tidak mengaku terikat dengan mana-mana label.
Kemudian timbullah cerita kononnya kumpulan itu kini sudah berpecah dan sebagainya. Semua itu ditelan Musa, Along dan Ujang kerana enggan membuka mulut mengeruhkan lagi keadaan.
“Malah, ada sebahagian peminat menganggap kami bersikap kejam terhadap Ezad. Pelbagai tuduhan kami terima, sebagaimana yang dapat dibaca di laman web Exists.com.my. Memanglah kalau boleh, kami lebih suka bercerita mengenai produk kumpulan ini, daripada menjaja cerita masalah peribadi. Kita juga semakin dewasa, jadi kenalah pandai-pandai membawa diri,” sambung Musa.
Setahun Ezad tidak bersama Exist
Selepas ketiadaan Ezad, kira-kira setahun juga kumpulan itu tidak aktif pada pertunjukan pentas, membuat kemunculan di televisyen atau majlis anugerah. Tanya mereka, bagaimana kumpulan itu hendak menerima tawaran muncul dalam mana-mana persembahan apabila tidak mempunyai vokalis?
“Bercerita mengenai televisyen, pada awal tahun lalu kumpulan ini hampir digam sebuah stesen televisyen gara-gara Ezad lambat muncul pada hari kami sepatutnya mengadakan raptai persembahan. Sebuah stesen penyiaran lain pula menggam kami sejak 2005 dek masalah disiplinnya juga,” dedah Along.
Semua itu kini tinggal kenangan buat Exists apabila seorang penyanyi lain mengisi kekosongan ditinggalkan Ezad. Bersama penyanyi dikenali sebagai Joey itu, mereka mengaku lebih bersemangat untuk meneruskan langkah dalam industri muzik.
“Joey sebenarnya bukanlah orang baru dalam seni. Di samping aktif berlakon, dia juga pernah muncul dengan album solo sekitar 1995, berjudul Beradu Suratan. Dia ialah bekas artis Luncai Emas yang mendapat didikan daripada M Nasir. Dia juga bukan anggota Budak Kaca Mata seperti ditulis dalam sesetengah media massa sebelum ini.
“Joey menyertai kami akhir tahun lalu. Ketika itu juga kami merakamkan dua lagu baru, Ada Dengan Mu yang kini mula mendapat tempat di stesen radio dan Cinta Terindah, untuk album kompilasi ini,”ῠkata Musa yang sehingga kini memuji disiplin penyanyi itu, yang dikatakan memberikan komitmen sepenuhnya bagi menjayakan aktiviti membabitkan mereka secara berkumpulan.
Dedah Along, ketika mereka mencari penyanyi baru selepas Mamat meninggalkan Exists, nama Joey turut tersenarai sebagai calon utama. Namun, ketika itu Joey masih terikat dengan Luncai Emas.
Nampaknya, jodoh penyanyi itu bersama Exists amat kuat. Selepas 13 tahun, dia menganggotai kumpulan berkenaan sebagai penyanyinya.
Exists sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu kumpulan yang sudah pun bergerak aktif sejak 1991 itu berkubur begitu saja dengan peredaran masa. Walaupun bersilih ganti penyanyi, namun mereka ingin sekali melihat Exists sentiasa ada. Bukan sekadar wujud dalam industri, malah mereka berusaha untuk sentiasa hadir bersama karya baru juga.
“Kami pasti berasa segan pada peminat kalau Exists hanya wujud pada nama, sedangkan lagu barunya tiada,” ujar Musa penuh makna.
Dia juga melihat kumpulan itu sudah melalui beberapa fasa sejak penubuhannya. Daripada fasa remaja hingga ke dewasa, semua itu sudah dialami kumpulan berkenaan dan sekarang, mereka muncul lagi dengan fasa seterusnya, berserta dua karya baru serta vokalis yang ketiga.
INFO: Album kumpulan Exists
Exist (1992)
Anugerah (1994)
Exist Dulu Dan Sekarang (2003)
Diammu Gunung Berapi (1996)
Jangan Gentar (1997)
Mutan (1998)
Best Of Exists (2000)
Ada (2001)
Seperti Dulu (2003)
Paragon (2004)
Special Edition (2006)
Hits Rakaman Semula (2007)
Keunggulan Exists (Disember 2008)
Anggota Exists:Joey (vokal)Along (gitar)
Musa (bes)
Ujang (dram)
Berita Harian
Gaya Di Karpet Merah
Rap
KEMUNCAK Anugerah Academy ke-81 yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles semalam, bukan saja mendebarkan untuk mengetahui siapa dinobatkan menerima anugerah paling prestij di Hollywood malah menjadi medan bintang popular bergaya hebat dengan pakaian tajaan pereka terkenal.
Mereka yang dicalonkan untuk Aktres dan Aktor Terbaik memilih gaya klasik Hollywood tetapi ramai juga berani bermain dengan warna garang seperti merah dan hijau.
Angelina Jolie yang dicalonkan Aktres Terbaik melalui filem Changeling dan pasangannya, Brad Pitt Aktor Terbaik untuk The Curious Case Of Benjamin Buttons, menjadi tumpuan dengan gaya klasik dan retro. Angelina memilih gaun mendedahkan bahu daripada Elie Saab dilengkapi aksesori subang hijau manakala Pitt dengan bow hitam.
Sean Penn, Aktor Terbaik melalui Milk, segak dengan rekaan Giorgio Armani sepadan dengan isteri, Robin Wright Penn. Turut memilih hitam, Vanessa Hudgens dengan gaun Marchesa, Kate Winslet gaun gelap dan modan rekaan Stefano Pilati (Atelier Yves Saint Laurent) dan Beyonce bersulam emas menampakkan bentuk badannya.
Gaya Kate mendapat pujian pakar fesyen, Mary Alice Stephenson yang menyifatkan penampilannya sempurna tetapi tidak menyukai penampilan Angelina. Katanya, dia berharap Angelina melangkah permaidani merah dengan penampilan mengejutkan berbeza daripada kebiasaannya dengan hitam.
Antara yang memilih warna ceria dan lembut ialah Anne Hathaway dengan gaun Armani Prive warna champagne, Rachel Wood putih gading rekaan Saab, Jessica Biel gaun satin putih Prada, Sarah Jessica Parker hijau muda Dior Couture manakala model Heidi Klum memilih merah.
Penelope Cruz pula memilih gaun putih gaya 50-an rekaan Balmain, Miley Cyrus juga memilih gaun putih dihiasi manik rekaan Zuhair Murad, Marisa Tomei gaun Versace, Freida Pinto gaun biru John Galliano, manakala Queen Latifah, biru tua rekaan Georges Chakra.
Harian Metro
Filem Bogel Terakhir
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

DIA kelihatan terketar-ketar menahan kejutan tatkala menyampaikan ucapan setelah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Oscar semalam.
Pentas Kodak Theatre, di Hollywood, Los Angeles menyaksikan bagaimana Rose Dawlson, (begitu dia terus diingati di seluruh dunia ekoran peranan dalam Titanic) menyampaikan rasa terkejut, gembira dan kepuasannya setelah hasil lakonan diiktiraf sebagai paling baik antara yang terbaik.
Apa tidaknya, setelah lima kali dicalonkan dalam anugerah terbesar itu, akhirnya Kate Elizabeth Winslet atau nama komersialnya, Kate Winslet berjaya mendapat anugerah yang diidam-idamkan menerusi filem The Reader.
“Bohong kalau saya kata tidak pernah membayangkan memberi ucapan di Oscar. Tak silap saya, ketika berumur lapan tahun, saya mula berangan di depan cermin bilik air sambil memegang botol syampu sebagai trofi.
“Tapi, apa yang sedang saya pegang ini bukan lagi botol syampu,” katanya dengan nada penuh emosi di pentas kemenangannya itu.

THE READER akan menjadi filem terakhir yang mampu membuatkan dia tampil berbogel di layar perak.

Menurut si pemilik mata memikat ini, dia tidak pernah menjangkakan akan menang besar kali ini.
“Sebelum ini pun saya tidak pernah mendapat anugerah daripada Oscar. Saya rasa macam pelik sangat, bagaikan mimpi,” ujarnya lagi sambil memegang trofi yang sekian lama diidamkan.
Wajahnya sedikit beremosi, namun ucapan terima kasih tidak putus-putus diberikan kepada orang yang menjayakan filem itu serta suaminya yang juga merupakan pengarah filem tersohor, Sam Mendes.
Sempat lagi Winslet mencari ayahnya untuk meluahkan kasih sayang dan tanda penghargaannya kepada kedua orang tua yang sedang duduk di kerusi bahagian belakang Kodak Theatre.
“Ayah, terima kasih atas segalanya. Bunyikan wisel itu kepada saya, baru saya tahu di mana ayah berada!” katanya sambil disahut oleh bunyi wisel ayahnya, Roger Winslet. Pastinya ini satu momen yang akan dikenang dalam sejarah Oscar selepas ini.
Winslet, 33 tahun berjaya mengalahkan calon pelakon-pelakon hebat seperti Meryl Streep (Doubt), Anne Hathaway (Rachel Getting Married), Angelina Jolie (Changeling) dan Melissa Leo (Frozen River).
Winslet juga berjaya mengalahkan Thelma Ritter dan Deborah Kerr yang tidak pernah mendapat sebarang anugerah sepanjang enam kali dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik.
Biarpun pertama kali memenangi Oscar, Winslet boleh dikatakan bertuah kerana momentum sebagai seorang aktres agak ‘deras’ dalam tahun 2009.
Sehingga Februari ini, dia sudah pun melakar sejarah sendiri dengan menggondol lapan anugerah dalam majlis anugerah berbeza.
Antaranya, Anugerah Persembahan Terbaik Pelakon Pembantu Wanita menerusi filem The Readers pada Screen Actors Guild Awards, Pelakon Pembantu Terbaik (The Reader) pada Broadcast Film Critics Association Awards dan pada anugerah Golden Globes, Winslet mendapat anugerah bagi Persembahan Pelakon 
BERKONGSI gembira dengan orang tersayang sebaik nama diumumkan sebagai pemenang.
Wanita Terbaik (Revolutionary Road) dan Persembahan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (The Reader).
Jika diperhatikan kembali, kejayaan yang diterima Winslet untuk tahun ini kebanyakannya menerusi filem The Reader.
Tuah pelakon ini agaknya kerana filem ini juga boleh dikatakan antara yang terbaik.
Ditambah pula dengan keberkesanannya menjiwai watak sebagai Hanna Schmitz, yang mempunyai hubungan sulit dengan seorang remaja, filem itu berjaya menarik perhatian juri bagi kebanyakan anugerah-anugerah berprestij tinggi.
“Apabila memenangi pelbagai anugerah dalam masa dua bulan ini, saya teringat kembali bagaimana pertama kali saya mendapat skrip bagi filem Heavenly Creatures pada tahun 1994.
“Waktu itu, saya berusia 17 tahun dan membuat kerja sambilan di sebuah kedai membuat sandwich kerana tidak mempunyai wang. Sehinggalah bila saya dihubungi seseorang yang mengatakan saya mendapat watak filem itu, saya terus berhenti kerja.
“Saya begitu gembira sehingga tidak tidur malam semata-mata mahu menghafal skrip yang diberi. Saya beritahu kepada ayah akan melakukan yang terbaik untuk filem itu dan ayah menyokong saya,” ujar wanita asal Reading, Berkshire, England.
Satu pencapaian yang hebat bagi Winslet kerana berjaya memasuki pencalonan Anugerah Oscar di usia muda setelah Ang Lee memilihnya untuk memegang watak Emma Thompson bagi filem Sense and Sensibility pada tahun 1995.
Kemudian, pada tahun 1997, persembahan lakonannya bertambah menyerlah apabila melakonkan filem berprofil tinggi, Titanic biarpun sedikit kontroversi timbul berkenaan dengan babak bogel yang dilakonkannya.
Tak mahu bogel lagi
Cukup dengan lebih daripada 10 filem adegan bogel yang dilakonkannya, termasuklah filem Titanic, Hamlet, Iris, Little Children dan Holy Smoke, sudah tiba masanya Winslet tidak lagi menerima watak yang memerlukannya berbogel.
“Cukuplah dengan adegan sebegitu. Filem The Reader adalah yang terakhir untuk menayangkan tubuh saya.
“Mungkin kerana usia yang semakin meningkat, saya tak mahu diri saya dilabel sebagai pelakon yang sering membogelkan diri sendiri,” tegasnya.
Kenyataan Winslet itu sedikit mengejutkan penggiat filem Hollywood kerana jika umur yang menjadi sebab utama dia enggan melakonkan watak bogel, bagaimana pula dengan pemenang Oscar, Helen Mirren yang masih lagi melakonkan watak bogel dalam filem Calendar Girls ketika usia 58 tahun?

BERKONGSI gembira dengan rakan seperjuangan yang lain, Sean Penn (Pelakon Lelaki Terbaik) dan Penelope Cruz (Pelakon Pembantu Wanita Terbaik).
Selepas kenyataan itu, sebahagian penggiat filem menganggap pelakon jelita itu telah membuat keputusan yang salah. Malah ada yang menganggap mungkin Winslet tidak serius dengan kata-katanya itu.
Mereka merasakan, Winslet perlu berterima kasih kerana keberkesanan babak bogelnya dalam filem The Reader banyak membantu penampilannya sekali gus memenangi Oscar.
Biarpun menerima pelbagai pandangan daripada semua pihak berkenaan dengan keputusannya itu, Kate memberitahu sudah cukup untuk tubuhnya ditayangkan kepada umum.
“Selepas filem Titanic, saya sekali lagi melakonkan beberapa babak bogel dalam filem Holy Smoke dan begitulah dengan filem-filem seterusnya.
“Memang seronok melakonkan babak begitu kerana ia perlu menggunakan kekuatan mental dan agak mencabar untuk melakonkannya.
“Bayangkan, bila saya berbogel seorang diri, dan semua krew melihat ke arah saya. Tapi, saya tidak pernah kesal dengan lakonan-lakonan itu,” katanya.
Bayaran lebih tinggi?
Sejak mula berlakon, dirinya semakin mewah dengan tawaran-tawaran filem yang juga menawarkan bayaran yang lumayan.
Apalagi bila dirinya perlu melakonkan babak bogel ataupun adegan asmara, nilai Winslet tambah menjulang.
Sehinggakan Winslet pernah mengalahkan bayaran yang ditawarkan kepada Nicole Kidman yang mendapat £6 juta (RM30 juta) bagi filem Finding Neverland.

TROFI ‘botol syampu’ yang sering menjadi mainan ketika zaman kecil hari ini sudah berganti dengan trofi Oscar yang asli.
Kenyataan ini mencetuskan beberapa persoalan berkenaan dengan bayaran yang bakal diterima aktres berkenaan selepas ini.
Ada pendapat mengatakan selepas kenyataan tidak mahu melakonkan babak bogel, nilai lakonan Winslet akan menjunam menurun? Hanya masa yang akan menentukannya.
Sebelum ini, antara bayaran filem yang diterima Winslet ialah filem Titanic iaitu sebanyak RM10 juta, Holy Smoke (RM1.8 juta), Quills (RM2.25 juta) dan Enigma (RM1.5 juta).
Kosmo
Obses Awal
Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my
Almari artis lelaki yang stailo itu memang penuh dengan pakaian, aksesori dan kasut.

AWAL begitu prihatin dalam bab penjagaan jam tangan agar tahan lebih lama.
TERLALU banyak yang mahu diceritakan oleh pengacara popular, Awal Ashaari, bila mengajukan soalan tentang fesyen. Bermulalah dari hujung rambut, hinggalah ke hujung kaki, pengacara itu mampu berceloteh panjang tanpa perlu disoal banyak.
Apa pun, antara fesyen-fesyen kegemarannya, Awal begitu obses dengan seluar jean, kasut dan aksesori. Tatkala meminta Awal membawa barang-barang kegemarannya ke kedai miliknya dan rakan kongsi, Dynaz, DnA Celebrity Style, kata Awal, tidak banyak yang boleh dibawa untuk sesi fotografi ini.

CERMIN mata pelengkap gaya Awal.
Bagaimanapun, penulis agak terkejut apabila melihat Awal membawa lebih daripada empat beg besar yang diisi barangnya. Seperti jualan bundle pun ada.
“Ini baru sikit. Ada banyak lagi kat rumah,” katanya berseloroh.
Cerita Awal, untuk koleksi seluar jean sahaja, dia mempunyai lebih 150 helai dan seluar jenis itu merupakan kegemarannya dalam menggayakan diri.
“Saya memang suka jean kerana ia mempunyai satu kelainan yang tersirat, kalau tersalah pakai, ia mampu membuatkan saya menjadi tidak ada mood.

KATA Awal, banyak lagi kasut yang dibelinya masih belum dipakai lagi.
“Lagi satu, seluar lelaki mempunyai lebih banyak potongan berbanding perempuan dan kalau silap pakai, boleh membuatkan anda kelihatan pelik.
“Apa pun, saya suka pakai skinny jeans iaitu yang ketat dan kecil pada bahagian kakinya kalau pergi ke sesebuah majlis, sebab tidak banyak bergerak. Tapi kalau mengacara, saya perlu memakai mengikut keselesaan,” katanya yang memiliki lebih 100 koleksi jean.
Awal juga mempunyai beratus pasang kasut. Untuk trend terbaru, Awal lebih gemar memakai kasut snickers berwarna putih.
“Saya pun tak tahu kenapa suka putih. Mungkin ia mampu membina keyakinan saya. Yang penting, saya tak suka kasut yang jenis strap iaitu talinya perlu tampal.

AWAL begitu prihatin dalam bab penjagaan jam tangan agar tahan lebih lama.
“Lagi satu tentang saya yang mungkin orang akan kata saya pelik, saya boleh mengenal watak seseorang itu melalui kasut yang dipakainya,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Tambahnya, kasut itu bagaikan cintanya. Sehubungan itu, Awal cukup sayang untuk menjual atau diberikan kepada orang lain.
Begitu juga dengan aksesori. Jam tangan dan cermin mata sebagai pelengkap gaya Awal.
“Untuk aksesori pula, saya mula mengumpul sejak saya menjadi artis. Maklumlah, masa itu baru ada bajet lebih.
“Teringat masa zaman di universiti dulu. Penuh aksesori satu badan. Tapi kalau nak pakai balik seperti dulu, rasa mcam dah tak sesuai, rasa tua,” selorohnya.
Kosmo