Populariti Sepantas Kilat
Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
BERMULA sebagai model di tanah kelahirannya, Mumbai, India kini nama Freida Pinto mula menjadi tumpuan dunia. Populariti yang diraihnya datang sekelip mata hanya kerana filem sulung lakonannya, Slumdog Millionaire.
Filem arahan pengarah terkenal, Danny Boyle itu bukan saja memberi impak besar apabila ditayangkan di Amerika Syarikat akhir tahun lalu, malah mencatat kejayaan besar di festival filem dan majlis anugerah.
Filem sulungnya itu membawa Freida mengembara dari satu festival ke satu festival. Antaranya Festival Filem Antarabangsa Palm Springs, Anugerah Pilihan Pengkritik, Anugerah Golden Globe dan Anugerah British Academy Of Film & Television Arts (BAFTA) di London.
Sehingga kini, Slumdog Millionaire menang lima anugerah Pilihan Pengkritik, empat Golden Globes dan tujuh di BAFTA. Malah kejayaan filem ini untuk Filem Terbaik di Golden Globe ke-66 pada 12 Januari lalu membuatkan banyak pihak buka mata dengan hasil karya Danny Boyle ini.
Untuk Anugerah Academy ke-81 yang bakal berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles pada 23 Februari ini, Slumdog Millionaire menerima 10 pencalonan. Antaranya Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Adaptasi Terbaik, Skor Original Terbaik (AR Rahman) dan Lagu Original Terbaik (Jai Ho dan O Saaya).
Anak kedua pasangan Frederick dan Sylvia Pinto ini bertuah kerana bermula sebagai model di Mumbai terus berjaya memulakan kerjaya lakonan di Hollywood. Lebih membanggakan, Freida bekerja dengan pengarah terkenal, Boyle yang pernah menghasilkan filem Trainspotting dan The Beach Fame.
Turut menjayakan filem ini, Irrfan Khan, Anil Kapoor dan Mahesh Manjrekar. Watak dijayakan Anil pada mulanya ditawarkan kepada Shah Rukh Khan tetapi ditolak bintang terkenal Bollywood itu.
Freida mengakui, populariti yang diraihnya datang sepantas kilat malah tidak pernah menyangka semua itu akan hadir dalam hidupnya.
Katanya, selepas tamat pengajian di Kolej St Xavier, Mumbai, dia menjadi model selama dua tahun.
Pada waktu sama dia bercita-cita menjadi pelakon dan cuba menghadiri uji bakat untuk mencari peluang berlakon filem. Katanya, minat dalam dunia lakonan datang secara semula jadi kerana tinggal di kota yang menjadi tumpuan bintang Bollywood.
“Selepas enam bulan menghadiri satu demi satu uji bakat, suatu hari saya menerima panggilan telefon meminta hadir untuk uji bakat filem Slumdog Millionaire. Ketika itu saya sekadar ingin mencuba sebagaimana percubaan sebelum ini dan tidak berharap untuk diterima.
“Bagaimanapun, saya terkejut apabila nama saya berada dalam senarai pendek dan akhirnya dipilih. Ibu bapa saya turut memberi galakan kerana mereka tahu saya memang bercita-cita menjadi pelakon. Kakak saya yang bekerja dengan syarikat media juga banyak menyokong dan membantu saya,” katanya.
Pengalaman menjayakan Slumdog Millionaire disifatkannya sebagai satu pengalaman dan pendedahan yang cukup besar. Malah digandingkan dengan pelakon baru, Dev Patel membuatkan mereka berdua bersemangat dan saling membantu kerana sedar masing-masing tiada pengalaman.
“Berlakon dalam Slumdog Millionaire membawa saya ke satu tahap kerja yang cukup tinggi dan memberi pendedahan yang cukup besar. Ia juga satu pengalaman yang menakjubkan.
“Apa yang boleh saya katakan ialah bekerja dengan Danny Boyle umpama menghadiri kelas lakonan di sekolah terbaik di dunia. Apabila kami mula bekerja, dia beritahu saya kehidupan ini tidak selalunya sama. Lakukan satu asas kukuh untuk dunia.
“Saya terharu dan sangat menghargai semua tumpuan yang diberikan tapi saya masih belajar menyesuaikan diri.
Sebenarnya saya seorang yang agak pemalu,” katanya.
Walaupun namanya kini dikenali di Hollywood, Freida tidak bercadang meninggalkan Mumbai untuk berpindah ke Hollywood dalam waktu terdekat ini.
Katanya, buat masa ini dia selesa berulang-alik Mumbai-Los Angeles dan tidak bercadang berpindah kerana mempunyai ejen yang bagus.
Selepas Slumdog Millionaire, kata Freida, dia mahu mencuba sesuatu yang baru kerana suka melakukan sesuatu berbeza untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman. Katanya, dia juga berpeluang belajar pelbagai bentuk tarian klasik India dan salsa.
“Saya tidak kisah berlakon apa pun tetapi saya lihat filem komedi agak berbeza dan ingin mencubanya. Itulah sebabnya saya memilih untuk menyertai bengkel lakonan bersama sifu teater, Barry John supaya dapat mendalami skil lakonan.
“Saya juga berharap diberi peluang bekerja dengan bintang legenda Hollywood, Clint Eastwood. Saya sangat teruja apabila berjumpa dengannya ketika menghadiri festival Palm Springs.
“Saya masih ingat lagi ketika menonton filem Million Dollar Baby arahannya, saya pernah berkata mahu berjumpa dengan Clint Eastwood. Ternyata akhirnya saya berpeluang bertemu dengannya tapi ketika itu lidah saya kelu untuk berkata-kata,” katanya.
Dalam limpahan populariti, Freida juga menerima kritikan mengenai penampilannya ketika menghadiri Anugerah Golden Globe. Penampilannya dengan gaun mendedahkan dada warna kuning ketika acara permaidani merah dikatakan tidak sesuai dengan majlis. Kata Freida, dia terima kritikan yang diberikan dengan hati terbuka.
“Ketika itu saya rasa ia satu pilihan yang tepat. Sudah tentu saya akan lebih berhati-hati pada masa akan datang,” katanya.
Slumdog Millionaire mengisahkan budak lelaki dari luar bandar, Jamal lakonan Dev Patel, muncul dalam program game show hingga menjadi tumpuan ramai termasuk gadis remaja. Freida menjadi Latika, gadis yang berjaya menawan hati Jamal. Semua babak membabitkan Freida dilakukan di Mumbai dan babak lain di Delhi dan Agra.
Freida dicalonkan Aktres Pembantu Terbaik di Bafta dan menang di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) bersama barisan pelakon lainnya. Namanya juga diumumkan memenangi Aktres Terbaik di Elle Style Awards di London, baru-baru ini.
PROFIL
Nama sebenar: Freida Pinto
Tarikh lahir: 18 Oktober 1984
Tempat lahir: Mumbai, Maharashtra, India
Bintang: Libra
Kerjaya: Model, pelakon
Bapa: Frederick Pinto
Ibu: Sylvia Pinto
Adik beradik: Anak kedua daripada dua beradik’
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Sastera (Inggeris) dari Kolej St. Xavier, Mumbai
Harian Metro
“Kesilapan Besar Saya”
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

SUDAH lama tidak mendengar cerita tentang gadis genit kelahiran Singapura, Hetty Sarlene.Kali terakhir kelibatnya dilihat adalah ketika dia muncul dalam filem Evolusi KL Drift pada awal tahun lalu.
Namun, selain muncul dengan imej baru dengan tubuh yang agak langsing dan imej urban, dalam diam ada cerita panas yang tiba-tiba meledakkan nama Hetty apabila foto-foto percutiannya bersama kekasih hati disebarkan di Internet.
Jika setakat gambar percutian ia bukanlah satu isu yang besar tetapi gambar yang diambil di atas katil bersama kekasih hati bukannya isu biasa dan telah membuat banyak pihak tersentak.
Hetty yang ditemubual Kosmo! baru-baru ini, mengakui dirinya sudah terlalu penat untuk menceritakan kisah sebenar di sebalik gambar percutian di Bangkok pada awal tahun lalu itu.

SERBA baru. Hetty kini lebih langsing dan seksi.
Namun, kerana memikirkan status selebriti yang dipikulnya, mahu tidak mahu dia terpaksa menjelaskan mengenai perkara itu.
Menurut gadis yang berusia 25 tahun itu, gambar tersebut diambil ketika dia bersama keluarganya, keluarga kekasihnya dan beberapa rakan bercuti di Bangkok, dan gambar yang mencetuskan kontroversi itu diambil oleh adik kenalannya.
“Saya bukannya pergi bercuti berdua sebaliknya bersama keluarga, dan gambar itu diambil untuk suka-suka. Tanpa sedar apabila ia dimasukkan ke laman web sosial di Internet, ada pihak mengambilnya dan mula menyebarkan cerita yang bukan-bukan.
“Itulah, kadangkala saya terlupa yang saya ini artis, apa jua yang dilakukan pasti akan jadi tumpuan dan apabila gambar itu menjadi kontroversi saya terpaksa terang satu persatu kepada setiap orang yang bertanyakan hal itu,” beritahunya lagi.
Tambahnya, sejak peristiwa itu, dia kini lebih berhati-hati dan mengaku sudah serik untuk meletakkan gambarnya di laman web sosial, katanya, takut pisang berbuah dua kali.
“Biasalah saya macam orang lain juga, ada laman web sosial, dan letak gambar bersama rakan-rakan di Internet, tidak sangka pula jadi macam ini.

“Memang saya serik, dan ia memang satu kesilapan besar. Satu pengajaran yang saya dapat, selepas ini ambil gambar simpan sendiri sajalah,” katanya dalam nada tawa.
Walaupun Hetty kelihatan sepi seketika selepas kontroversi itu, ia sebenarnya langsung tidak menjejaskan periuk nasinya sebagai anak seni.
Sebaliknya, dalam diam penyanyi yang pernah popular dengan lagu Sangsi Asmara ini, pulang buat sementara waktu ke Singapura dan terlibat dengan beberapa penggambaran drama untuk siaran televisyen di sana.
Telan pil kurus
Penampilan Hetty kini jauh berbeza dengan penampilannya sebelum ini. Mana tidaknya, berat badannya telah turun sehingga 42 kilogram berbanding 52 kilogram sebelum ini.
Perubahan drastik itu dilakukan Hetty bukan kerana takut kehilangan populariti atau takut tidak mendapat tawaran lakonan tetapi kerana inisiatif dirinya sendiri.
“Badan saya jenis cepat naik, sebab itu saya kena berdiet. Saya tidak ingat sejak bila berdiet kerana saya diet bila rasa badan naik, jika tidak macam biasa saja pemakanan saya,” ujarnya.
Hetty mengakui ketika di awal kemunculannya dalam persada seni Malaysia, sewaktu berumur 20 tahun, dia pernah mengambil pil pelangsing atau pil kurus sebagai langkah untuk mengurangkan berat badannya dengan cepat.
Bagaimanapun, setelah menerima nasihat daripada orang sekelilingnya tentang kesan sampingan dan pelbagai risiko penyakit berbahaya, Hetty terus menghentikan pengambilan pil itu.

NAIF. Wajah dan penampilan ayu Hetty pada tahun 2007.
“Masa dulu, saya budak-budak lagi, bila tengok orang kurus, mula rasa diri saya gemuk sebab itu saya ambil pil kononnya boleh kurus cepat, tetapi tidak ada kesan langsung ke atas saya.
“Sekarang, saya diet dengan cara yang betul, kurangkan ambil nasi, banyakkan senaman dan mengikut panduan daripada doktor,” katanya.
Meskipun begitu, doktor telah menasihatkannya untuk menambah berat badannya kerana terlalu kurus untuk ketinggiannya yang setinggi 1.58 sentimeter.
“Mungkin berat badan tidak seimbang, saya demam teruk dan doktor suruh tambah berat badan, kalau boleh sampai 46 kilogram, lepas itu saya nak kekalkannya.
“Bukan apa, kalau gemuk nanti banyak baju tidak boleh pakai dan dalam TV pun tidaklah nampak besar sangat,” jelasnya lagi.
Apa pun, Hetty tetap bersyukur kerana sehingga kini dia masih lagi sibuk menerima tawaran lakonan dan nyanyian dan berharap selepas ini tidak ada lagi kontroversi yang dikaitkan dengan dirinya.
Kosmo
Nekad Jadi Peguam
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Lisa Surihani
Lisa Surihani akui bukan perkara mudah bahagi masa untuk belajar, pelakon
BUKAN mudah untuk dia memikul dua kerja pada satu masa. Namun kerana minat yang begitu menebal, dia nekad untuk mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang – perundangan dan lakonan – sekali gus.
Pada ketika dia mengikuti kurus Sijil Amalan Guaman (CLP) yang akan tamat Julai nanti, Lisa Surihani juga aktif di persada lakonan. Satu demi satu, filem mahupun drama televisyen yang dijayakannya. Walaupun mengaku agak sukar untuk membahagikan waktu, dia gagahi juga demi keinginan besar yang ada dalam dirinya.
“Saya tidak mengambil kursus CLP di United Kingdom selepas menamatkan pengajian undang-undang di Universiti Aberystwyth, Wales. Justeru, kursus berkenaan saya ikuti di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu. Pada masa yang sama, saya juga banyak dihujani tawaran berlakon filem ataupun drama televisyen.
“Jika boleh, saya mahu cemerlang dalam kedua-dua bidang itu. Lakonan yang saya hanya cuba-cuba pada peringkat awal dulu, kini dilihat mampu memberikan kepuasan yang bukan sedikit. Saya sudah didedahkan pada dunia komersial sejak berusia 11 tahun.
“Undang-undang pula sudah menjadi minat saya sejak di bangku sekolah menengah. Mungkin saya akan kembali ke bidang guaman suatu masa nanti,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem Ponti Anak Remaja, di Kepong, baru-baru ini.

BERSAMA lima pelakon muda yang turut menjayakan telefilem Ponti Anak Remaja.
Baginya, selagi khidmatnya sebagai pelakon diperlukan, sudah tentu dia tidak keberatan untuk bergerak cergas dalam bidang berkenaan. Bagaimanapun, dengan ilmu perundangan serta sijil yang bakal diperoleh nanti, Lisa tidak teragak-agak untuk menjadi peguam sepenuh masa apabila permintaan untuknya bergelar pelakon sudah tidak sekencang mana.
Atas alasan itu dia tetap mahu menamatkan kursus CLP diikutinya ketika ini, bagi memastikan masa depannya lebih terjamin. Siapa yang mampu menduga, andainya Lisa bakal bergelar pemilik firma guaman sendiri, sebagaimana arwah bapanya, Mohmed Mahbob.
“Saya akui berdepan sedikit kesukaran untuk membahagikan masa sebaik-baiknya antara lakonan dan kursus saya ikuti saat ini. Kedua-duanya pula bukan perkara yang boleh dibuat main-main saja kerana masing-masing memerlukan tumpuan yang sepenuhnya,” ujar gadis manis berusia 23 tahun ini.
Semakin ligat di lokasi

LIYANA JASMAY (kiri) dan Dira, yang turut membintangi Ponti Anak Remaja.
SELEPAS menamatkan penggambaran drama bersiri Obsesi untuk slot Samarinda siaran TV3, pelakon cantik ini terus turun ke lokasi sebuah filem bercorak aksi penyiasatan berjudul Cyber X – Ancaman Penggodam, pada Oktober lalu.
Diterbitkan Pentas Opera dan diarahkan Amith Abidin, filem itu turut dilakonkan Razali Hussin, Serina Redzuawan, Datuk Jalaludin Hassan dan Feroz Khan.
Pada November dan Disember lalu pula, dia buat pertama kalinya melakonkan watak penjahat dalam filem komedi Jangan Pandang Belakang Congkak, bersama-sama kumpulan Senario. Filem yang diarahkan Ahmad Idham terbitan Metrowealth Movies Production itu menjalani penggambaran di Perlis.
Kemudian, Lisa mengikuti pula penggambaran sebuah lagi filem aksi, Remp-It V3 yang menyaksikan pelakon Farid Kamil bergelar pengarah buat julung kali. Filem terbabit menamatkan penggambaran pada akhir Januari.
Belum hilang penat di lokasi Remp-It V3, Lisa bergegas pula ke lokasi telefilem arahan Feroz Khan, Mataku Nampak Hantu. Diterbitkan sekali lagi oleh Metrowealth, telefilem berkenaan adalah untuk siaran Astro.
Selesai saja penggambaran telefilem itu, pelakon muda ini menjayakan pula sebuah lagi telefilem, kali ini arahan Ghaz, terbitan The Media Hustler, berjudul Ponti Anak Remaja. Bersama-samanya membintangi telefilem terbitan Nizam Zakaria itu ialah Liyana Jasmay, Farish Aziz, Hairul Azreen, Ammar Alfian Aziz dan Dira Abu Zahar.
Biarpun projek demi projek dijayakannya, Lisa berkata, setiap watak yang diberikan kepadanya amat berbeza. Seandainya dia menjadi seorang wanita jahat dalam Jangan Pandang Belakang Congkak iaitu sebagai pembantu seorang bomoh (lakonan Piee), dalam Remp-It V3, dia muncul sebagai Kamsah, rakan kepada lelaki jahat, Garing (Aqasha).
“Bagi filem ini, saya perlu menyiapkan diri secara fizikal dan mental. Mereka menyediakan seorang jurulatih bernama Ruben sebagai persediaan. Maklumlah, ada adegan yang memerlukan saya membelasah pelakon lain iaitu Farid dan Bront Palarae. Hendak melakonkan watak itu bukannya mudah kerana saya perlu meyakinkan penonton yang saya benar-benar membelasah mereka, menggunakan helah kamera,”ῠkatanya.
Jadi, Lisa terpaksa mempelajari teknik bertumbuk dengan betul, supaya pelakon yang dibelasahnya tidak tercedera, tetapi pada pandangan penonton, pergaduhan itu nampak benar.
Dalam Mataku Nampak Hantu pula, Lisa memegang watak seorang perempuan yang kasar kelakuannya, tetapi bukanlah tomboy.
“Perlakuan itu ada kalanya terbawa-bawa hingga ke luar drama, sehingga saya terpaksa membuang tabiat berkenaan sebelum memulakan penggambaran telefilem seterusnya,” cerita Lisa mengenai drama mengisahkan seorang wanita yang tidak menyedari, dirinya mempunyai keupayaan untuk melihat roh, dan kemudian membantu roh terbabit menunaikan hajat mereka.
Menyentuh mengenai telefilem Ponti Anak Remaja pula, Lisa yang memegang watak Murni berkata, dia diberikan peranan seorang pelajar yang lebih suka menghabiskan masa bersama buku pelajaran.
“Watak itu sebenarnya tidak jauh daripada diri saya yang sebenar. Satu ketika dulu saya pernah memakai kaca mata sewaktu bersekolah,” kata Lisa yang menganggap peluang bekerjasama bersama Ghaz dan Nizam umpama mimpi yang menjadi kenyataan.
Begitu juga dia teringin sekali beraksi di samping pelakon remaja, Liyana Jasmay, yang dilihatnya antara pelakon pelapis cukup berbakat ketika ini. Justeru, peluang diberikan rumah produksi terbabit tidak dipersiakan olehnya.
Dalam telefilem itu, Lisa bersama Farish dan Hairul berlakon sebagai tiga pelajar kolej yang ditugaskan menjalankan sebuah uji kaji, yang membawa mereka bertemu seorang gadis misteri, Ponti (Liyana).
Memulakan penggambaran pada 23 Januari, telefilem yang akan disiarkan Astro Ria pada 13 Mac itu tamat rakamannya 10 hari kemudian.
Berita Harian
Yusof Bergelut Untuk Hidup
Oleh MOHD YUSMAN AWANG
yusman.awang@kosmo.com.my
Keputusan Yusof menolak tawaran kerja sebagai pegawai penjara di Taiping, Perak kerana enggan meninggalkan Kuala Lumpur menjadi titik mula dirinya untuk bergelar jutawan.

KACAK. Wajah kacukan yang menghangatkan dunia filem Melayu era 1970-an dan 1980-an.
DULU dan kini, tiada perubahan bagi Datuk Yusof Haslam. Jika zaman mudanya disifatkan sebagai mencabar kerana terpaksa bergelut dan bersusah payah untuk hidup, begitu juga pada hari ini. Senarionya tetap sama.
“Jangan ingat bila saya ada rumah besar di tepi bukit, saya sudah boleh goyang kaki. Salah tanggapan itu,” tegasnya saat ditemui Kosmo! di pejabat syarikat filem miliknya, Skop Production Sdn. Bhd. di Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Masih tampan, segak dan bergaya biarpun bakal menginjak usia 55 tahun menjelang 24 April ini, Yusof mengakui dia masih memikul tanggungjawab yang besar dan berat dalam mengepalai empayar yang sudah dibinanya selama ini.
Meskipun tidak lagi aktif sebagai pengarah filem, namun sebagai penerbit, menurut Yusof, banyak perkara yang perlu difikirkannya sehingga membuatkan dalam tempoh sebulan, hanya 15 hari dia memperoleh tidur yang cukup iaitu masuk tidur pada pukul 1 pagi dan bangun pada keesokan harinya menjelang pukul 9 pagi.
“Baki 15 hari lagi waktu tidur saya bermula pada pukul 4 pagi sebelum bangun sembahyang Subuh dan sambung semula tidur sehingga pukul 11 pagi. ‘Jadual’ tidur saya itu sebenarnya berselang-seli, hari ini cukup tidur, keesokannya tak cukup tidur dan begitulah seterusnya,” jelas Yusof.

KIRI: YUSOF diapit rakan pelakon, Dharma Harun Al-Rasyid (kiri) dan arwah Raffi Hussein. KANAN: NOOR KUMALASARI ketika bergandingan dengan Yusof dalam filem Penentuan.
Kedengaran agak menyukarkan bagi karyawan filem yang pernah digelar Six Million Dollar Man Malaysia itu. Kenapa dia perlu bersusah payah sebegitu jika sudah bergelar jutawan?
Kenapa masih bergelut untuk hidup? Ini sebabnya: 120 dan RM500,000. Itu angka-angka yang sering bermain dalam benak fikiran Yusof.
“Di Skop Production sahaja, saya ada 60 kakitangan tidak termasuk 60 pekerja restoran saya di Jalan Pahang dan di kantin ibu pejabat TV3 di Damansara dan restoran di Danau Kota. Kesemuanya ada 120 pekerja yang makan gaji dengan saya. Jumlah itu tidak termasuk barisan pelakon yang membintangi drama dan filem saya,” ujarnya.
Tambahnya: “Kalau nak kira, kos operasi Skop Production dalam sebulan termasuk kos pembikinan drama mencecah RM500,000. Daripada setengah juta itu, kos bayaran untuk gaji pekerja sahaja mencecah RM155,000. Kalau buat filem pula, kos boleh cecah RM1.3 juta sebulan.”
“Kesemua itu membuatkan saya masih bergelut untuk hidup. Namun, selepas 25 tahun menghasilkan drama-drama TV dan 18 tahun bergelar penerbit filem, saya tidak menggangap semua itu sebagai bebanan tetapi satu tanggungjawab,” tegas Yusof lagi.
“Memanglah kalau saya mementingkan diri, saya sudah boleh goyang kaki sekarang. Namun, saya masih bergelut demi kepentingan generasi masa depan keluarga saya dan keluarga pekerja-pekerja saya.
“Lagipun pada usia saya sekarang, saya rasa masih muda dan saya kena kerja kuat bagi memastikan minda saya sentiasa bergerak. Mungkin 10 tahun lagi, saya akan memperlahankan aktiviti kerja saya ini,” akuinya.
Sekadar dibayar RM4
Tidak lupa diri untuk terus bergelut dalam hidup biarpun selepas bergelar jutawan, Yusof sebenarnya berpaksikan kepada pergelutannya untuk hidup ketika zaman muda dahulu.

YUSOF dalam satu babak filem Cinta dan Lagu.
Dibesarkan di Kuala Lumpur, dia mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Polis Depoh di Kampung Datuk Keramat, sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di Cheras.
Sejak di bangku sekolah lagi, Yusof sudah menunjukkan minat untuk menjadi inspektor polis, ahli perniagaan atau bintang filem.
“Ketika sekolah dahulu, saya seorang yang periang, dan suka ambil bahagian dalam pidato sejak sekolah rendah lagi. Saya juga gemar menonton filem Melayu, koboi dan Hindustan.
“Pelakon wanita idola saya ketika itu ialah (seniwati) Sarimah. Sementara aktor idola nombor satu saya pula ialah (Senator Tan Sri) Jins Shamsuddin. Jins banyak mempengaruhi saya ketika remaja. Apa yang dia buat, saya juga mahu lakukan,” kenang Yusof.
Disebabkan itulah, sebaik sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperoleh gred tiga, Yusof terus mencari peluang berlakon di Studio Hulu Klang.
“Kerjaya seni saya bermula sebagai pelakon tambahan. Sekali berlakon, dapatlah bayaran sebanyak RM4. Selain itu, saya juga mengikuti kursus drama di RTM,” ungkapnya.
Nikmat ketenteraman hidup
Dalam pada itu, menurut Yusof, dia turut memohon jawatan inspektor polis tetapi gagal kerana syarat minimum yang diperlukan ialah kelulusan SPM gred dua.
“Namun, saya dapat tawaran bekerja sebagai pegawai penjara di Taiping, Perak, tetapi saya tolak. Ia kerana kata hati saya begitu kuat untuk enggan meninggalkan Kuala Lumpur sebab ibu kota beri saya banyak peluang untuk memajukan diri,” ujarnya.

POTRET kenangan bersama isteri tercinta, Datin Fatimah Ismail sewaktu muda.

WALAUPUN bakal mencecah usia 55 tahun, Yusof masih kuat bekerja.

Menganggap penolakan itu sebagai ada hikmah di sebaliknya, Yusof pantas memfokus terhadap bidang lakonan. Bapanya merupakan seorang pemandu bas dan abang sulungnya yang bekerja sebagai konduktor bas tidak merestui haluan yang dipilih Yusof sehingga Yusof ‘dipaksa’ untuk turut bekerja sebagai konduktor bas.
“Saya hanya bertahan menjadi konduktor bas selama 10 bulan. Pada tahun 1974, ketika berusia 19 tahun, saya mengikat kontrak dengan Shaw Brothers untuk menjayakan filem warna pertama lakonan saya berjudul Penentuan.
“Saya dibayar gaji RM500 sebulan untuk tempoh tiga tahun. Antara artis lain yang turut mengikat kontrak dengan Shaw Brothers ialah Uji Rashid dan Nozie Nani,” bicaranya.
Selepas Shaw Brothers ditutup pada 1978 dengan produksi terakhirnya filem Adik Manja, Yusof mengorak langkah menyertai syarikat filem Jins dan filem pertama lakonannya berjudul Tiada Esok Bagimu.
“Saya dibayar sebanyak RM3,000 ketika itu,” beritahunya.
Menurutnya lagi: “Di samping itu, bagi mencari wang tambahan, saya mengikut rakan-rakan pelakon yang juga penyanyi iaitu Hail Amir dan Latif Ibrahim membuat persembahan pentas termasuk di Sabah dan Sarawak.”
Kematian bapanya cukup meninggalkan kesan buat Yusof. “Bapa meninggal dunia pada 1979 dan selepas itulah, saya terkenangkan arwah yang pernah berkata kerjaya sebagai pelakon tidak ada masa depan selepas melihat apa yang menimpa (Tan Sri) P. Ramlee berikutan penutupan Shaw Brothers.
“Ia membuka mata saya untuk mencari tapak yang lebih kukuh. Saya menjadi ejen penjual kereta. Di situ, minat bisnes saya selama ini mulai menjadi kenyataan apabila saya membuka kafetaria di Bangunan PKNS, Jalan Raja Laut (yang bertahan selama empat tahun) dan restoran Jalan Pahang yang masih beroperasi sekarang selepas 25 tahun.
“Terus terang saya katakan ketika itulah saya baru berasa nikmat ketenteraman hidup. Ini kerana sebelum itu, ketika berlakon pendapatan saya tidak tetap. Tetapi menerusi bisnes, saya benar-benar rasa pegang duit. Menjelang 1984 apabila RTM membuka ruang untuk drama-drama swasta, saya menubuhkan Skop Production,” jelasnya.
Yusof menyambung cerita: “Saya masih ingat, projek pertama syarikat saya adalah menghasilkan lima episod drama. Projek itu bernilai RM300,000, sedangkan saya cuma ada modal ketika itu RM20,000.”
Namun, projek itu berjaya direalisasikan berkat bantuan pinjaman di sana sini, khususnya daripada saudara-mara.
“Itu cabaran untuk menghasilkan lima episod drama setahun, tetapi pada hari ini, cabaran saya adalah menghasilkan 150 episod setahun. Justeru, tiada bezanya dahulu dan kini. Saya masih terus bergelut dengan kehidupan ini,” akhiri Yusof.
Kosmo
Pengkid Dari Mata Lelaki
Dalam meniti arus kemodenan dunia, masih ramai wanita tidak dapat menerima kesempurnaan yang dikurniakan ke atas dirinya.

AWAL

SYAWAL

BERBICARA mengenai istilah pengkid, ia mengingatkan kita kepada wanita yang cenderung berpakaian, penampilan, kemahuan dan memiliki naluri lelaki. Tidak seperti wanita lain, golongan pengkid berambut pendek dan sanggup memakai bengkung bagi meleperkan payu dara mereka.
Menjadi persoalan, mengapa ada antara mereka memilih jalan sedemikian. Sedangkan pelbagai keistimewaan dan kelebihan telah dikurniakan kepada insan bernama wanita.
Pada masa ini gejala pengkid semakin menular dalam kalangan remaja kota. Adakah perilaku itu disebabkan kurangnya bimbingan dan nasihat daripada ibu bapa serta keluarga?
Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi membentuk tingkah laku anak-anak yang semakin dewasa. Sekiranya ditakdirkan anda memiliki anak perempuan yang ramai, jangan sesekali mengubah salah seorang daripada anak-anak itu menjadi anak ‘lelaki’.
Elakkan anak-anak perempuan diberikan layanan, berpakaian, bercakap, berjalan atau menunjukkan apa sahaja perilaku seperti lelaki. Ibu bapa juga disarankan supaya tidak terlalu menggalakkan anak-anak perempuan bergaul dan melibatkan diri dalam aktiviti yang biasa dilakukan oleh anak-anak lelaki. Wartawan Kosmo! NOOR HASLIZA NUSI mengintai pandangan lelaki terhadap wanita yang mempunyai naluri lelaki atau pengkid.
n MOHD. FAIZAL ZAINUDDIN, 27, jurutera
Mungkin ia berpunca daripada masalah keluarga yang mendorong mereka memilih jalan hidup sedemikian. Walaupun ada antara mereka cuba berubah, namun naluri seorang lelaki yang begitu kuat membuatkan mereka sukar menerima hakikat sebenar diri mereka.
n ABDUL HALID, 32, penghantar makanan
Saya reda sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan bekas pengkid. Sebagai manusia biasa, kita tidak boleh menghukum mereka sesuka hati memandangkan mereka masih mempunyai perasaan sebagai seorang wanita. Cuma naluri luaran memperlihatkan perwatakan mereka seperti seorang lelaki.
n ADAM SHAWAL, 21, pelajar
Hubungan sejenis sesama wanita tidak sepatutnya wujud pada zaman yang serba canggih ini. Tuhan telah menciptakan hubungan lelaki dan wanita, kenapa masih mempunyai keinginan untuk mengubah perwatakan dan keistimewaan yang dikurniakan ke atas diri mereka.
n IZMAL JUALIH, 22, kakitangan kerajaan
Bagi membendung masalah pengkid, rakan-rakan mahupun orang terdekat perlu memainkan peranan penting bagi memantau segala perubahan yang dilakukan rakan mereka. Mereka hendaklah sentiasa memberi nasihat, pengajaran yang sempurna dan berkesan membentuk jati diri remaja yang bersahsiah tinggi.
n MOHD. SHAWAL RUSLAN, 25, penyanyi AF5
Mereka jadi pengkin mungkin disebabkan mereka kecewa dalam percintaan ataupun pergaulan bersama rakan-rakan yang kebanyakannya lelaki. Wanita pengkid boleh berubah sekiranya mereka berjumpa dengan seorang lelaki yang boleh mengubah perasaan dan naluri kewanitaan mereka untuk kembali kepada asal kejadian Tuhan.
n AWAL ASHAARI, 28, pelakon dan pengacara
Wanita berperwatakan pengkid bermula pada zaman sekolah terutama di sekolah yang kebanyakan pelajarnya perempuan. Bagi mereka, zaman sekolah merupakan zaman bereksperimen. Selesa berkomunikasi, meluahkan pendapat dan keinginan daripada pasangan sejenis, mungkin dapat membangunkan perilaku yang kurang sopan. Malah, pada usia remaja jugalah mereka cuba menerokai sesuatu perkara baru dalam hidup.
Kosmo
Keluhan Hati Erma Fatima
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.
PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.
Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.
Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.
“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.
“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.
“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.

RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.
Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.
“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.
“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.
Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.
Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.
Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.
Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.

TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.
Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.
“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.
“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.
“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.
“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.
Buktikan artis turut prihatin
Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.
Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.
Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.

JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.
Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.
“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.
“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.
“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.
“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.
Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.
Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.
Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.
Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.
“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.
“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.
“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.
“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.
Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.
“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”
Bukan gila publisiti
Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.
“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.
Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.

LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.
Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.
“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.
“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?
“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.
“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.
“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.
“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.
Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.
Kosmo
Rai Tahun Baru Cara Rafflesia
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

DATUK Jimmy Choo melukis di mata singa sebagai simbolik perasmian majlis sambil diperhatikan Winnie.
Majlis makan malam sebagai tanda persahabatan dihadiri selebriti dan artis popular
SUASANA ceria melatari Grand Sultan Ballroom, Hotel Le Meridian, Kuala Lumpur apabila himpunan nama terkenal berbilang bangsa bersatu pada majlis Makan Malam Gala Rafflesia dan Mandalay sempena sambutan Tahun Baru Cina, Ahad lalu.
Rakaman suasana gemilang itu seakan menterjemahkan kemakmuran dan keharmonian masyarakat Malaysia, memperlihatkan Tahun Baru Cina yang terus dirai sebagai platform mengukuhkan perpaduan serta mengeratkan persefahaman antara kaum.
Sudah menjadi tradisi bagi Rafflesia The Pearl Centre untuk meraikan mereka yang menyumbang kepada kejayaan empayar perniagaannya setiap kali tiba Tahun Baru Cina.
Andai tahun terdahulu, sambutan perayaan itu dilakukan penuh sederhana namun kedatangan Tahun Lembu yang melambangkan kemakmuran diraikan sedikit berbeza.
Pengarah Rafflesia The Pearl Centre, Winnie Sin berkata, mereka cuba mencipta kelainan dengan meraikan sambutan Tahun Baru Cina menerusi satu majlis penuh glamor dan berwarna-warni.

NASHA Aziz dan Chef Wan tampil penuh gaya.
Menjadikannya lebih bermakna, majlis itu turut dilimpahi kemilau cahaya dengan kehadiran nama popular dan anggun yang memahat kejayaan dalam industri hiburan.
“Ia bersesuaian kerana acara ini dibuat pada hari ketujuh sambutan Tahun Baru Cina yang menurut kepercayaan masyarakat Tionghua akan membawa tuah dan kebaikan.
“Mengambil keberkatan itu, kami menganjurkan majlis makan malam ini sebagai tanda penghargaan dan persahabatan di samping memperkenalkan rangkaian barangan terbaru daripada koleksi Mandalay,” katanya.
Dihadiri lebih 250 tetamu, acara eksklusif yang menyatukan elemen tradisi dan kontemporari itu bermula jam 6.30 petang dengan pengenalan rangkaian Chinese New Year Jadeite Bangles Collection.

NING Bai zura mengalunkan L.O.V.E. khusus untuk tetamu.
Koleksi terbaru yang dipamerkan sehingga 9 Februari ini diperagakan oleh nama masyhur dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa menerusi kemunculan bintang ternama seperti Anita Sarawak, Nasha Aziz, Eja, Syafinaz Selamat, Soo Wincci, Ning Baziura dan Rachel Tan di permaidani merah.
“Memiliki jed adalah satu kemestian bagi masyarakat Cina kerana ia membawakan tuah dan kemakmuran. Justeru, kami menerapkan kepercayaan itu menerusi rekaan kontemporari untuk disesuaikan dengan penampilan glamor mereka yang menggayakannya,” kata Winnie.
Biarpun diburu kesibukan, namun Winnie bertuah kerana majlis itu mendapat kerjasama empat pereka tempatan yang menghasilkan rekaan khas untuk digayakan selebriti pada majlis berkenaan.
Nama seperti Carven Ong, Bill Keith, Alvin Tay dan Michael Shu sememangnya sudah sinonim dengan industri fesyen tempatan dan akui Winnie, dia begitu berbangga dengan komitmen yang mereka berikan.
“Untuk acara penting seperti ini, peranan pereka fesyen sangat penting kerana sedikit sebanyak mereka membantu personaliti untuk tampil hebat dan mengagumkan. Paling penting saya mahu tetamu yang datang bergembira dan hadir bergaya kerana mereka ialah bintang yang menyinari langit industri hiburan.
“Saya mahu berkongsi kegembiraan ini bersama mereka, membuatkan tahun ini kami meraikan Tahun Baru Cina dengan lebih glamor namun menceriakan semua,” katanya.
Lebih istimewa, majlis makan malam itu turut diserikan dengan kehadiran penyanyi terkenal kelahiran Macau, Maria Cordero.
Pemilik vokal lantang serak basah yang mengahwini lelaki berdarah campuran Cina-Portugis itu memukau tetamu dalam rekaan Carven Ong diperindahkan dengan rantai tangan jed bernilai RM488,000.
“Kami sudah lama saling mengenali iaitu sejak dia menjayakan konsert 4 Asian Divas bersama Anita Sarawak, Elisa Chan dan Frances Yip di Arena Of Stars, Genting Highlands, tiga tahun lalu.
“Bermula dari itu, persahabatan kami terus mekar. Bagai ada satu tarikan yang membuat kami dekat dan sejak itu, kami terus akrab seperti sudah berkawan lama,” katanya.
Majlis makan malam itu turut diserikan dengan persembahan daripada Anita yang menggayakan rekaan Bill Keith dan aksesori jed bernilai RM688,000.
Turut membuat persembahan ialah Ning Baizura, Syafinaz dan pemenang Sehati Berdansa musim kedua, Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang menarikan tarian ballroom menerusi lagu Gema Rembulan.
Pereka untuk selebriti
Carven Ong:
Soo Wincci
Cindy Chen (Pemenang kedua Miss Malaysia/Dunia 2008)
Suki
Xandria Ooi
Jolene Chin (Miss Astro Chinese International 2004)
Maria Cordero
Puan Sri Chelsia Cheng
Rachel Tan (Miss Chinese International 2003)
Bill Keith:
Anita Sarawak
Andrea Fonseka
Ning Baizura
Eja
Maria Cordero
Pushpa Narayan
Levy Li Su Lin (Miss Malaysia/Universe 2008)
Alvin Tay:
Huang Mei Si (Miss Chinese Cosmos 2007)
Winnie K
Syafinaz Selamat
Michael Shu:
Lisdawati
Berita Harian
Ekspresi Gaya: Serlah Gaya Dengan Cermin Mata
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
KACA mata hitam melindung mata daripada sinar perit matahari dan menyerlahkan cita rasa anda dalam bergaya. Victoria Beckham dan Paris Hilton, antara selebriti berani menggayakan kaca mata hitam besar dan akhirnya menjadi pilihan muda mudi hingga ke hari ini.
Bagaimanapun, pastikan anda tidak menjadi mangsa fesyen gara-gara terlalu ghairah mengikut aliran gaya terkini. Perkara penting harus diingat ketika memilih cermin mata ialah tidak semua bingkai kaca mata sesuai untuk anda.
Pemilihan tepat dari segi bentuk dan warna penting bagi menyerlahkan personaliti, sekali gus menjadikan gaya anda tidak ditertawakan. Himpunan terkini Police mungkin menjadi memenuhi cita rasa anda. Selamat bergaya.
Info:
Bentuk muka bujur sirih – sesuai hampir semua bentuk bingkai kaca mata, asalkan tidak terlalu besar.
Bentuk muka panjang memiliki dagu dan pipi dengan kelebaran yang sama. Wajah lebih panjang daripada lebar – bingkai perlu menutupi sebanyak mungkin bahagian tengah wajah bagi mengurangkan jarak panjang ini.
Bentuk bulat – bingkai berbentuk lebar atau sudut tajam bagi mengurangkan bentuk bulat. Bingkai berbentuk empat segi tepat paling ideal.
Bentuk empat segi – bingkai berbentuk melengkung untuk wajah. Pemegang bingkai atau pelipis cermin mata perlu terletak sedikit tinggi daripada bahagian pelipis agar rahang tidak terlalu menonjol. Bingkai berbentuk bulat dan bujur paling sesuai.
Bentuk hati memiliki dahi luas dan kecil pada bahagian mulut dan dagu – bingkai nipis atau tanpa rim membantu mengimbangi bahagian bawah wajah. Bingkai berbentuk empat segi pada bahagian bawah untuk diseimbangkan dengan bentuk wajah. Bingkai tidak sepatutnya terletak terlalu tinggi di bahagian atas muka. Elakkan bingkai besar.
Memiliki hidung kecil – penyambung cermin mata yang terletak pada bahagian tengah cermin mata (di atas hidung) perlu berwarna cerah dan berkedudukan agak tinggi.
Memiliki hidung panjang – bingkai dengan pemegang yang terletak tinggi pada pelipis dan jauh daripada hidung adalah pilihan terbaik untuk penyambung berganda pada cermin mata juga membantu hidung tampak lebih pendek.
Berita Harian
Ikhwal Cekal Kejar Impian
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Iqwal bakal muncul dengan album perdana bulan ini.
Sokongan KPKKW, keluarga hampir melaksanakan cita-cita perluas bakat ke Amerika Syarikat
TIADA kesal meskipun usia remajanya dihabiskan untuk mengejar cita-cita dalam bidang seni. Semuanya dilakukan atas dasar minat dan kerana itu, Ikhwal Hafiz Ismail atau Iqwal tidak merungut dengan segala perancangan yang disusun ibunya, Normin Shah Khairuddin.
Pada usia 16 tahun, Iqwal membanggakan negara apabila merangkul empat pingat emas dan satu perak pada pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) Ke-12 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), Ogos tahun lalu.
Kesungguhannya juga melayakkan Iqwal menerima Anugerah Industri pada pertandingan lanjutan di Kodak Theatre, Hollywood sekali gus membuka ruang untuk mengetengahkan bakatnya ke pasaran AS.
Untuk merealisasikan impian itu, Iqwal memerlukan sekitar RM500,000 dan kos itu katanya, hanya diperuntukkan untuk produksi album yang memenuhi standard antarabangsa.
Iqwal juga diminta berada di sana selama empat bulan bagi memenuhi tuntutan promosi, namun segala perbelanjaan adalah atas tanggungan sendiri.
Bagaimanapun, Iqwal berterima kasih kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) yang berusaha untuk merealisasikan impian besarnya itu.
Namun, itu tidak bermakna dia hanya menyerah tanpa melakukan apa-apa. Persediaan katanya, memainkan peranan penting supaya kehadirannya nanti tidak hanya bersandar kepada tuah semata-mata.
Justeru, Iqwal kini mengikuti pelbagai kelas termasuk seni persembahan, piano, gitar klasik selain nyanyian lagu asli untuk memastikan dia benar-benar bersedia melangkah ke persada antarabangsa.
“Saya agak bertuah kerana KPKKW berusaha keras untuk merealisasikan impian itu. Jujurnya saya memang sudah bersedia untuk mencuba di pentas yang mencabar, namun sesekali saya juga tidak terlepas daripada perasaan takut.
“Saya membawa harapan negara dan tanggungjawab itu terlalu besar. Apatah lagi pengalaman saya dalam bidang seni juga belum cukup meluas, membuatkan saya sukar untuk meramalkan apa yang bakal dilalui nanti,” katanya ketika ditemui untuk satu sesi fotografi bersama Hip, baru-baru ini.
Iqwal berkata, selepas meraih Anugerah Industri, pihak berkaitan menawarkan peluang untuk dia membina karier nyanyian di Hollywood.
Bagaimanapun, Iqwal tidak mahu cepat berasa selesa lalu menyerahkan kepada KPKKW untuk menguruskan semua urusan ke sana kerana ia bukan satu perkara kecil.
“Kemenangan itu melayakkan saya untuk diketengahkan di sana tanpa melalui proses yang sulit. Disebabkan itu, saya bersama KPKKW sedang berusaha mendapatkan penajaan supaya impian itu dapat segera direalisasikan. Memang sudah ada yang menunjukkan minat, namun saya lebih senang jika KPKKW yang berunding kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk saya nanti,” katanya.
Menyifatkan peluang itu bukan sesuatu yang mudah untuk digapai membuatkan Iqwal enggan mempersiakan tawaran keemasan yang menanti di depan matanya.
Memikirkan jaminan yang diberikan oleh pihak di sana mengenai peluang yang menantinya di AS, Iqwal dan KPKKW enggan membiarkan ia berlalu begitu saja.
“Semuanya sudah tersedia termasuk pasukan produksi yang akan menjalankan pelbagai kerja termasuk pemilihan lagu dan promosi.
“Apa yang perlu disediakan adalah peruntukkan kerana segala proses awal pembikinan album hanya akan mula berjalan sebaik saja jumlah yang diperlukan itu diperoleh.
“Saya difahamkan mereka juga sedang menyusun jadual promosi yang berkesan untuk memastikan pelaburan yang dilakukan itu memberikan pulang berbaloi.
“Disebabkan itu, saya berharap sangat apa yang diimpikan ini menjadi kenyataan. Ini bukan usaha kosong kerana setiap apa yang dilakukan mempunyai sebab,” katanya.
Atas alasan itu juga, Iqwal sendiri sedia turun padang ketika proses perundingan dibuat kerana itu dia serius memastikan segala perancangan berjalan di atas landasan yang betul.
“Keikhlasan itu penting dan kerana itu, saya sedia merentasi pelbagai cabaran serta halangan untuk memastikan usaha kami ini berhasil. Tidak adil jika saya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab mencari penaja kepada KPKKW kerana mereka juga mempunyai banyak komitmen lain.
“Terpulang apa tafsiran umum, namun yang utama saya berhasrat mahu membanggakan nama negara dengan bakat dan kelebihan yang dimiliki,” katanya berharap dapat ke sana Ogos ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Bagaimanapun, Iqwal terlebih dulu akan kembali ke AS sekitar bulan ini untuk menjayakan persembahan di New York selama 10 hari.
Album sulung menyusul
Iqwal kini mengikuti pengajian di The Singing Shop dan School Of Music di Subang untuk memantapkan kemunculannya sebagai penghibur sedang menanti masa untuk melancarkan album perdananya.
Tujuh lagu sudah sedia dirakamkan, tinggal tiga lagi untuk dilangsaikan sebelum ia dilancarkan sekitar Februari ini.
Diterbitkan di bawah Empire All Star Event milik keluarganya, album yang mengetengahkan konsep versatile itu mendapat sentuhan nama terkenal dalam industri hiburan.
Antara mereka yang menyumbang khidmat untuk album itu ialah M Nasir, Pak Ngah, Audi Mok, Nas Affandi dan Jebat dengan tanggungjawab keseluruhan diserahkan kepada Hadi Hassan.
“Konsep yang dipilih memberi refleksi kepada kejayaan yang saya lakar ketika menyertai WCOPA itu. Ia dibuat hasil perbincangan bersama dan alhamdulillah, saya berpuas hati dengan apa yang diberikan.
“Andai ditanya kecenderungan saya lebih selesa membawakan irama rock. Namun sebagai permulaan tiada salahnya saya mencuba pelbagai genre kerana ia secara tidak langsung menyerlahkan kepelbagaian bakat yang ada dalam diri ini,” katanya.
Info
Nama Penuh: Ikhwal Hafiz Ismail
Nama Komersial: Iqwal
Tarikh Lahir: 16 April 1992
Asal: Teluk Intan, Perak
Kebolehan: Menyanyi, berlakon, bermain gitar, dram dan piano
Pencapaian: Empat emas, satu perak di World Championship Of Performing Artis (WCOPA) 12 di Los Angeles
Anugerah Industri Hollywood
Anugerah Bakat Baru Terbaik di Kodak Theatre, Hollywood
Berita Harian
Modal RM500, Untung RM6 Juta
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my
DIIKTIRAF…Othman (empat dari kanan) bersama usahawan
yang menerima anugerah pada Aura 2008.
KUALA LUMPUR: Modal RM500 mampu menjana pendapatan RM6 juta setahun dalam tempoh hanya enam tahun. Itu yang berlaku kepada Pengarah Urusan Major Trax Auto Enterprise, Mohd Nizam Kasa, 28, yang bergelar jutawan dalam usia muda.
Malah, anak muda yang mahir dalam selok-belok bidang automotif itu tidak lokek ilmu dan sanggup membantu pekerjanya mengusahakan perniagaan masing-masing sekali gus menjadi rakan kongsinya.
Dalam tempoh enam tahun saja, Mohd Nizam mampu memiliki enam cawangan pusat servis di empat negeri.
Berkat kecekalan dan sifat tidak mengenal putus asa yang menjadi darah dagingnya, anak jati Kedah itu diiktiraf antara usahawan Bumiputera terbaik di ibu kota, sekali gus menerima Anugerah Usahawan Muda Berjaya (Perkhidmatan) bagi peringkat Kuala Lumpur.
“Waktu memulakan perniagaan dulu saya hanya keluarkan modal RM500. Selepas beberapa bulan beroperasi, saya minta bantuan Mara dan diberikan pinjaman RM50,000 bagi mengembangkan perniagaan.
“Alhamdulillah, kini saya mempunyai tiga cawangan di Kuala Lumpur, satu di Kedah, Melaka dan Sarawak yang diuruskan rakan kongsi yang juga bekas pekerja saya,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Usahawan Mara (Aura) 2008 di sini.
Menceritakan detik awalnya berkecimpung dalam bidang berkenaan, Mohd Nizam berkata, dia mula terfikir untuk menjalankan sendiri perniagaan ketika bekerja dengan satu bengkel yang diusahakan pemilik bukan Melayu.
“Ketika itu saya terfikir ke mana hala tuju saya jika terus bekerja saja sedangkan saya mampu capai lebih dari itu. Akhirnya saya bulatkan tekad untuk mencuba sendiri berniaga pada 2002,” katanya.
Bagi Norhashimah Hashim, 39, pemilik Nuriq Enterprise pula, kejayaan perniagaan diusahakan bersama suami, Azlan Salman Halili, 46, diperoleh secara tidak sengaja dan didorong pujian pelanggan pertama mereka, guru al-Quran dan qiraati terkenal, Datuk Hassan Azhari.
“Kami pernah banyak kali jatuh bangun dalam perniagaan. Dulu kami memiliki restoran, tetapi terpaksa tutup atas sebab tertentu. Antara pelanggan kami ialah Datuk Hassan iaitu bapa Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan dan pelakon Jalaluddin Hassan.
“Nak dijadikan cerita, Datuk Hassan minta saya masak masakan kegemarannya, tapi saya katakan kedai dah tutup. Bagaimanapun, untuk tidak menghampakan permintaannya, suami saya cuba buat masakan sejuk beku dan beri pada beliau untuk dicuba. Datuk Hassan kemudian beritahu masakan itu sedap dan menjadi pendorong untuk mulakan perniagaan ini,” katanya.
Norhasihmah menjadi penerima Anugerah Usahawan Muda Berjaya bagi kategori pembuatan.
Dalam majlis berkenaan, sembilan usahawan yang beroperasi di ibu kota dipilih berdasarkan kejayaan mereka mengusahakan perniagaan dan bakal mewakili Kuala Lumpur bagi Aura peringkat Kebangsaan akan datang. Anugerah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Datuk Othman Ahmad.
Harian Metro