Bintang Idola Berita Harian: Gelagat Peserta Undang Tawa
Posted by admin on March 3rd, 2009
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my

HANIZAM (dua dari kanan) bersama pemenang dan finalis Bintang idola Berita Harian zon Utara sempena Jelajah aBPBH 2008 di Village mall, Sungai Petani, kelmarin.
Vokal mantap Nurlida Ab Rahman pikat juri, sekali gus dinobatkan sebagai Juara Bintang Idola bagi zon Utara
PELBAGAI ragam dan karakter ditampilkan 10 peserta yang menyertai pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) bagi siri pembukaan Jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di pusat beli belah Village Mall, Sungai Petani, Sabtu lalu.
Boleh dikatakan mutu vokal serta persembahan yang ditampilkan semua peserta tidak mengecewakan dan mereka layak untuk dipilih menaiki pentas akhir pada siri pembukaan jelajah ABPBH 2008 itu bagi mempersembahkan bakat nyanyian kepada pengunjung.
Paling mengejutkan apabila seorang anak muda bernama Syamsyul Anuar Ismail memiliki suara yang mirip suara Lan daripada Kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH). Kemunculan Syamsyul yang terpilih untuk berentap di final BIBH Sungai Petani benar-benar menggamatkan suasana.
Bagaimanapun, Syamsyul yang sudah pastinya mendendangkan lagu Lagu Untukmu yang menjulang nama MUH gagal memikat hati juri kerana pertandingan ini bukanlah untuk mencari klon sesiapa tetapi lebih bersandarkan kepada kekuatan vokal yang tersendiri.
Begitu juga dengan vokal salah seorang lagi finalis iaitu Mohd Azidi Halim yang mirip suara Anuar Zain. Mendendangkan lagu Lelaki Ini, juri dan penonton begitu terpegun dengan suaranya tetapi malangnya dia tidak menjadi pilihan juri yang terdiri daripada Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Hanizam Abdullah, wartawan portal hiburan murai.com.my, Haswari Ali dan anggota Sweet Charity, Rosli Mohalim.

AKSI mantap nurlida melayakkannya menjadi juara Bintang idola Berita Harian
zon Utara.
Namun kemunculan peserta paling senior iaitu Syed Hussin Syed Ali mendapat tepukan dan sorakan gamat penonton apabila dia tampil dengan pakaian ala jubah sambil mendendangkan lagu Cik Mek Molek yang dipopularkan oleh Datuk M Daud Kilau. Sambil bergelek satu persatu pakaiannya ditanggalkan sekali gus mengundang gelak ketawa penonton yang geli hati melihat telatahnya di pentas.
Namun adat pertandingan hanya satu nama saja yang akan dinobatkan sebagai juara dan peserta terpilih untuk memiliki status itu kali ini adalah Nurlida Ab Rahman, dari Taman Desa Aman Kulim Kedah.
Beliau yang berpengalaman selama enam tahun berkhidmat sebagai Artis Budaya di Majlis Perbandaran Seberang Perai, Pulau Pinang menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh Whitney Houston berjudul Saving All My Love berjaya menewaskan sembilan lagi finalis daripada keseluruhan 90 peserta yang menyertai uji bakat bagi siri pertama BIBH.
“Saya hanya melakukan yang terbaik dan menggunakan segala pengalaman yang ada ketika berada di atas pentas. Sebenarnya saya agak gugup ketika nama saya diumumkan tetapi apabila naik saja ke pentas saya terus fokus kepada persembahan dan syukur semuanya berhasil.
“Saya akan membuat persediaan untuk menghadapi cabaran seterusnya untuk berdepan juara siri jelajah ABPBH seterusnya di Klang Parade, Klang, Selangor yang dijadual berlangsung pada 5 April depan.
“Saya akan lakukan yang terbaik kerana matlamat saya selepas ini adalah untuk beraksi di pentas persembahan di ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April di hadapan bintang dan penonton di Arena Of Stars,” katanya.
Nurlida, 27, berkata, beliau menyertai pertandingan itu secara tidak sengaja apabila secara kebetulan mengunjungi lokasi penilaian uji bakat ketika sedang bersiar-siar bersama rakannya.
“Didorong oleh rakan saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mencuba nasib sebelum terpilih ke peringkat 10 peserta akhir. Selepas terpilih di kalangan 10 peserta saya berazam untuk menjadi juara dan syukur hasrat saya itu dimakbulkan
“Ini adalah pengalaman paling manis dalam hidup saya tambahan pula selepas menang saya dijemput untuk menampilkan persembahan bersama artis finalis ABPBH bagi siri ini.
“Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mencipta nama sebagai juara antara juara bagi enam siri jelajah ABPBH 2008 yang bakal berlakngsung selepas ini,” katanya.
Tempat kedua pada pertandingan akhir itu adalah Noor Nazatul Farahin Mohd Hussin diikuti Syaifana Mohamed Subri di tempat ketiga manakala tujuh lagi peserta yang menerima hadiah sagu hati adalah Sharifah Nabilah Syed Zahar, Syed Hussin Syed Ali, Mohd Azidi Halim, Noor Azam Saari, Syamsul Anwar Ismail, Faizal Mohd Hassan dan Mohamed Izwan Mohd Izhar.
Pengerusi Jelajah ABPBH 2008, Shamsaini Salim berkata, BIBH adalah antara program yang diatur oleh penganjur selain pelbagai acara menarik lain seperti peraduan undi dan menang, persembahan penyanyi jemputan, pameran gambar sekitar ABPBH tahun lalu, jualan cenderamata dan cabutan bertuah.
“Sambutan pengunjung terhadap siri jelajah pertama ABPBH 2008 ini sangat memberangsangkan. Malah, jumlah yang mendaftar bagi menyertai sesi uji bakat BIBH begitu baik. Kira-kira 85 penyertaan diterima untuk menyertai BIBH.
“Selain penduduk sekitar Sungai Petani, penyertaan hari ini turut membabitkan peserta dari Pulau Pinang dan Perak. Johan pertandingan pencarian bakat baru nyanyian ini juga berpeluang melakukan persembahan bersama penyanyi yang dipilih nanti selain membawa pulang hadiah dan wang tunai.
“Selepas Sungai Petani pasukan Jelajah ABPBH 2008 akan berkunjung ke Kompleks Pusat Bandar, Pasir Gudang, Johor pada 7 dan 8 Mac; Mydin Mall, Kuala Terengganu pada 13 dan 14 Mac manakala Kuantan Parade, Pahang pada 21 dan 22 Mac.
“Selepas Pahang, pasukan jelajah ABPBH 2008 akan kembali semula ke Batu Pahat Mall, Johor pada 28 dan 29 Mac sebelum siri jelajah terakhir di Klang Parade, Selangor,” katanya.
Berita Harian