Teks oleh Razif Rosdi
Foto Mazlan Yunos
Seperti tahun sebelum ini, Akademi Fantasia 7 (AF7) masih menggunakan elemen kejutan untuk memberitahu peserta yang terpilih menjadi calon pelajarnya. Kali ini, elemen kejutan lebih ringkas dan mendapat kerjasama dengan krew murai.com.my.
Selepas mengetahui 20 pelajar yang terpilih, krew murai.com.my iaitu Ellyna Ali dan penulis sendiri mula menelefon mereka. Namun sewaktu menelefon kesemua peserta, kami menggunakan nama kononnya dari produksi program Aksi Murai.
Bagi peserta yang menetap di Malaysia Sarawak, pula program Trek Selebriti digunakan sebagai penyamaran.
Memandangkan Aksi Murai dalam perancangan musim kedua, peserta AF7 terbabit digambarkan sebagai antara yang bertuah untuk menyertai Aksi Murai 2. Antara yang sempat kami ‘kenakan’ adalah Aril, Ab, Adila dan Sidi.
Kejutan Untuk Aril
Seawal jam 9 pagi, penulis telah berjanji dengan Aril untuk berjumpa di tempat kerjanya di Cheras. Apabila sampai, Aril memberitahu dia sedang minum pagi di restoran berhampiran pejabatnya. Selepas bertemu kami terus berborak tentang pemilihannya dalam Aksi Murai 2. Sambil berborak, Aril banyak bertanya apa sebenarnya perubahan untuk Aksi Murai 2 kerana pada musim pertamai, abangnya iaitu penyanyi Izwan Pilus pernah terlibat. Ketika rancak berceloteh, tiba-tiba fail AF7 diletakkan dihadapannya!
Kejutan Untuk Abraham
Ab terpaksa membatalkan sesi latihan persembahannya semata-mata ingin berjumpa dan berbincang mengenai Aksi Murai 2. Apabila penulis sampai di rumahnya, Ab diminta turun ke bawah kerana kami tidak boleh masuk ke kawasan penginapannya tanpa persetujuan tuan rumah. Selepas itu, penulis mengajak Ab ke van kerana mahu mengambil hadiah untuknya sedangkan semua krew AF7 sudah menunggunya untuk mengejutkannya.
Kejutan Untuk Adila
Sejak musim pertama Aksi Murai lagi, Nas Adila yang kini dikenali dengan nama Adila sudah berminat untuk menyertai program itu. Jadi, memandangkan dia sudah teruja, tanpa fikir panjang lagi Adila terus memberi kerjasama dan kami terus berpura-pura membuat rakaman Adila sedang merakamkan lagu terbarunya. Tambah berlengah lagi, krew produksi dan penulis terus membuat rakaman seperti Aksi Murai. Apabila tiba waktu tugasan, kami pun menyerahkan fail kejutan AF7 kepada Adila.
Kejutan Untuk Sidi
Sebaik saja tiba di tempat Sidi bekerja, kami terus berbincang dengan Sidi dan meminta beliau menjemput isterinya sekali yang bekerja berdekatan pejabatnya. Kami terus membuat rakaman gelagatnya itu. Ketika rakaman, penulis yang bertindak selaku hos Aksi Murai meminta Sidi berlakon dan membuat aksi di hadapan isterinya. Apabila tamat, barulah kami memberitahu hal sebenar dengan menyerahkan fail kejutan AF7 kepadanya.
Sementara itu anda ingin melihat aksi sebenar mereka? Jangan lupa menonton Tirai Akademi Fantasia 7 (Bahagian 1 & 2) pada 7 & 8 Mac ini bermula jam 9 malam. Selain tirai, beberapa sedutan dari kejutan ini akan ke udara lebih dulu dalam program Trek Selebriti, hari ini, Khamis, 5 Mac, jam 10.30 malam.
Murai