Bintangi Filem Bajet Rendah
Posted by admin on March 13th, 2009
Susunan Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
SUNGGUHPUN pernah menempa nama menerusi filem bertaraf blockbuster, aktres Rosario Dawson masih terbuka untuk menerima tawaran membintangi filem bajet rendah.
Filem terbaru lakonannya, Explicit Ills menyaksikan dia bekerjasama dengan pelakon baru seperti Francisco Burgos, Martin Cepeda dan Rebecca Comerford.
Menerusi filem arahan Mark Webber ini, Rosario melakonkan watak ibu Babo lakonan Francisco yang mengidap penyakit asma dan mereka menempuh pelbagai cabaran hidup di Philadelphia, Amerika Syarikat.
Katanya, dia bersetuju berlakon filem ini atas persahabatan antara dia dengan Webber yang terjalin sejak mereka bekerjasama dalam filem Chelsea Walls pada 2001.
Malah, sebelum ini mereka pernah tinggal berjiran dan banyak berkongsi pandangan mengenai kehidupan sosial masyarakat yang dilanda kemiskinan, masalah penyakit dan penagihan dadah. Baginya, dia berasa bertuah apabila berpeluang terbabit dengan filem barunya ini.
“Filem ini memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Namun, saya tidak mahu orang lain melihat saya sebagai cameo dalam filem ini. Saya setuju berlakon dalam filem ini kerana memang saya berminat untuk terbabit sama.
“Watak saya juga menarik kerana saya hanya dipanggil gelaran ibu. Saya bersama Webber berusaha menjadikan filem ini menarik untuk ditonton dan saya perlu menghayati tanggungjawab ibu yang membesar anak tanpa kemudahan asas yang mencukupi.
“Sejak terbabit dengan pembikinan filem dari peringkat awal, saya bersemangat untuk berlakon. Walaupun hanya mempunyai beberapa adegan dalam filem ini, saya merasakan watak saya penting dalam menghidupkan plot secara keseluruhan.
“Antara filem yang mempunyai bajet besar dan rendah, kedua-duanya memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Apa yang lebih, filem bajet besar memberikan jaminan dari aspek lokasi penggambaran, kesan khas dan mempunyai fleksibiliti. Seperti filem saya yang lain, Seven Pounds yang dikategori filem bebas, ia turut mampu menjadi filem yang digemari penonton.
“Sebagai pelakon, saya berusaha memberikan lakonan sebaik mungkin dan saya percaya semua pelakon dan kru yang terbabit dalam filem ini bekerja keras untuk memastikan ia berjaya,” katanya.
Perkembangan terbaru lain, Rosario menyatakan dia akan terbabit dengan penggambaran filem sekuel, Sin City 2 yang mengetengahkan gandingannya bersama ramai pelakon popular seperti Mickey Rourke, Clive Owen dan Jessica Alba. Filem genre aksi thriller ini dijangka menjalani penggambaran pada hujung tahun ini.
Sebelum ini, Rosario turut mengadakan promosi jelajah filem Seven Pounds di sekitar Amerika Syarikat dan Jepun. Tahun ini, dia juga sibuk dengan tiga filem baru lain iaitu Wonder Woman, The Haunted World Of El Superbeasto dan Poor Things.
Rosario, 30 yang berasal dari New York, mula aktif di layar perak menerusi filem pertama, The Kids pada 1995. Selepas itu, dia mencipta populariti menerusi pelbagai filem seperti He Got Game pada 1998, King Of the Jungle (2000), Men In Black II (2002), The Rundown (2003), Alexander (2004), This Revolution dan Rent (2005) hingga Death Proof, dua tahun lalu.
Harian Metro