MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Depan Mata: Tiara Perlu Sedia Dikritik

Posted by admin on March 16th, 2009



Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
PROGRAM realiti Akademi Fantasia sememangnya menjadi perhatian dan bualan walau apapun kata orang mengenainya.

Ada yang kata makin suram, sudah hilang taring dan macam-macam lagi.

Realitinya, AF7 terus menjadi bualan ramai berbanding program realiti lain dan terus hebat dengan kejutan demi kejutan setiap tahun.

Selepas empat jejaka, Vince, Zahid, Mawi dan Faizal dipilih masyarakat Malaysia sebagai juara, AF5 pula diramal milik wanita. Tapi ia bukan sekadar ramalan, tetapi menjadi kenyataan dengan kejayaan Mila diikuti juara AF6, Stacy.

Untuk AF7 pula, sekali lagi diramalkan milik wanita tapi bukan untuk juara sebaliknya teraju utamanya iaitu pengetua. Maklumlah sejak enam tahun, kerusi itu dimonopoli lelaki bermula Freddie Fernandez, Ramli MS, Mawi, Roslan Aziz, Ramli Sarip dan Ramli MS kembali untuk AF6 tahun lalu.

Kali ini kerusi berkenaan dikatakan giliran wanita. Antara nama-nama diramalkan, Datuk Sheila Majid dan Anita Sarawak. Sekali lagi ramalan itu menjadi kenyataan apabila pengetua wanita diumumkan Isnin lalu, tapi bukan Sheila atau Anita sebaliknya Datin Seri Tiara Jacquelina.

Pelbagai reaksi diterima, rata-rata meluahkan rasa terkejut dengan pilihan Astro hingga ada mempertikaikan kreadibiliti Tiara. Atas kriteria apa pemilihannya itu?

Apakah pengalamannya menjayakan tiga musim pementasan teater muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) dan popular melalui lagu Asmaradana untuk filem PGL sudah cukup untuknya menjadi pengetua di akademi yang mendidik dan membimbing anak muda yang mengejar impian menjadi penyanyi terkenal?

Apabila ada bertanya, jawapan saya mudah saja. Kalau tiada kejutan, bukanlah AF namanya.

Jadi, tiada apa yang perlu dikejutkan. Kalau tidak ada kejutan, itu sesuatu yang mengejutkan.

 

 

Bagi saya, kalau Sheila atau Anita yang diumumkan, tidak adalah kejutan. Malah kredibiliti kedua-duanya memang diakui, tetapi berbalik kepada rezeki.

Nyata AF7 milik Tiara dan pastinya Astro punya alasan dan pertimbangan tersendiri hingga mengambil Tiara yang mula dikenali sebagai model kemudian pelakon dan kini produser sebagai pengetua.

Sheila yang juga isteri Acis yang turut disenarai antara tenaga pengajar AF7 dikatakan ada menerima lamaran daripada Astro, tetapi tidak dapat menerimanya atas sebab-sebab tertentu manakala Anita mengakui tidak menerima tawaran itu.

Kata Kak Nita ketika berbual dengannya Selasa lalu, siapa pun yang dipilih Astro, apa yang pasti mereka mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri dan yakin mampu memberi sumbangan yang baik.

Kak Nita juga tumpang bangga dengan pemilihan Tiara kerana menepati ramalam sebelum ini mengenai pemilihan pengetua wanita.

Malah, pengumuman Tiara sebagai pengetua AF7 pada Isnin lalu bertepatan dengan sambutan Hari Wanita.

Tiara sendiri mungkin turut mendengar kata-kata orang di belakang mempertikaikan pemilihannya itu.

Malah perkara itu dijawab Tiara melalui artikel Jangan Hukum Saya di Harian Metro, Selasa lalu.

Ada yang bersetuju dengan Tiara mengatakan kalau tidak layak, tidak mungkin Astro memilihnya.

Katanya lagi, mungkin pengetahuan Tiara dalam muzik banyak, tetapi kita tidak tahu.

Tambahan pula hujung tahun lalu, Tiara melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Tasmania, Australia dalam bidang seni persembahan dan vokal.

Nasihatnya, jangan terlalu awal menghukum Tiara sebaliknya beri peluang kepadanya tunjukkan kemampuan. Nyata, beberapa hari selepas diari AF7 mula disiarkan di Astro Ria Isnin lalu, komen positif mula diluahkan penonton setia program itu.

Dimaklumkan, persembahan 14 pelajarnya sungguh hebat, betul-betul boleh menyanyi dan cepat tangkap apa yang diajar guru.

Jadi, konsert minggu pertama di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu sebagai kayu pengukur.

Malangnya, respons awal peminat kurang memberangsangkan. Beberapa rakan mengatakan persembahan pelajar kurang menarik, membosankan dan macam-macam lagi.

Ada yang komen lokasi baru tidak sesuai berbanding sebelum ini di Petaling Jaya.

Ada pula komen, pentas AF7 nampak kecil dan seperti majlis Anugerah Era siap boleh bersalaman lagi. Mahu tahu lebih lanjut, baca ulasan konsert itu dalam Harian Metro hari ini.

Bagaimanapun, apabila ditanya pengetuanya, difahamkan Tiara mengatakan ramai rakan-rakan menghantar SMS memberi ucapan tahniah kepadanya dan menyifatkan persembahan pelajar hebat.

Tiara juga mengatakan pihaknya banyak melakukan perubahan yang dirasakan baik untuk pelajar. Antara contoh perubahan diberikan, transformasi kecil dengan membenarkan semua orang memakai kasut dalam akademi.

Tidak tahulah bagaimana Tiara menerima komen media untuk konsert pertama ini. Semoga Tiara bersikap terbuka dan tidak melatah sebaliknya anggap ia sebagai penguat semangat untuk terus melakukan transformasi sebagaimana dilaung-laungkan untuk AF7.

Paling penting, Tiara perlu sedar AF menjadi tumpuan ramai dan setiap hari ada saja kritikan pedas dan menyakitkan diluahkan penonton. Jadi bersedialah dengan pelbagai kritikan.

Selain itu, ketrampilan sebagai pengetua juga penting dan harap ia turut diberi keutamaan. Walaupun AF diadaptasi dari program Mexico, harus sedar penonton kita belum bersedia bersikap terbuka apabila tiba soal pakaian terdedah.

Harian Metro

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>