Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Mentor Pilih Sendiri Anak Didik

Posted by admin on March-16-2009 Add Comments


Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

Rap

JIKA dua musim sebelum ini, artis yang memikul tanggungjawab sebagai tenaga pengajar program realiti Mentor di TV3 perlu mendidik peserta selepas dipilih juri, kini kelainan ditampilkan apabila ‘sifu’ pula turun padang memilih sendiri anak murid paling layak mendapat tunjuk ajar mereka.

Barisan mentor yang menggalas tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk musim ketiga ini terdiri daripada Jaclyn Victor, Mas Idayu, Lah Ahmad, Adibah Noor, Ajai dan Awie yang diberi kuasa seratus peratus untuk menentukan sendiri anak didik berdasarkan kelayakan dan kualiti ditetapkan mereka tanpa sebarang pengaruh pihak luar.

Uji bakat yang akan diadakan di Theatrette, Sri Pentas dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 14 Mac hingga 4 April dijadikan sebagai pengukur sejauh mana komitmen serta kesungguhan peserta untuk belajar.

Penerbit Mentor 3, Muhamad Suffian Isa, berkata program Mentor musim terbaru ini menampilkan pelbagai kelainan dengan yang paling ketara uji bakat peserta akan dinilai oleh mentor mengikut ciri ditetapkan mereka.

“Perubahan ini dibuat berdasarkan pengalaman musim pertama dan kedua apabila ketika kita mencari peserta, mentor tidak bersama menyebabkan mereka yang terpilih ada yang tidak menepati ciri-ciri dikehendaki tenaga pengajar.

“Hendak membawa semua mentor ini ke lokasi berbeza uji bakat pula sesuatu yang mustahil kerana mereka terikat dengan kesibukan kerjaya masing-masing menyebabkan kita menetapkan Sri Pentas sebagai tempat uji bakat diadakan sekali gus menguji komitmen peserta,” katanya dalam sidang media untuk memperkenalkan enam mentor baru bagi musim ketiga di Sri Pentas, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun setiap mentor mempunyai latar belakang muzik berlainan namun pemilihan peserta tidak semestinya mengikut aliran muzik itu kerana program itu bukan untuk melahirkan klon setiap mentor sebalik seorang penyanyi yang mempunyai kerektor tersendiri di bawah asuhan tenaga pengajar.

“Kita juga memberi kelonggaran dengan mentor boleh memilih protege sama ada solo atau berkumpulan.

“Dari sudut penilaian pula, 50 peratus adalah daripada juri profesional, 30 peratus menerusi undian sistem khidmat ringkas (SMS) dan baki 20 peratus daripada juri awam di studio.

“Mereka yang terpilih untuk menjadi juri awam adalah daripada golongan semi profesional dan ia mungkin terdiri daripada kumpulan pelajar muzik atau wartawan,” katanya.

 

 

Menurutnya, apa yang diharapkan menerusi Mentor 3 adalah TV3 mampu melahirkan protege yang mampu memberi impak kepada industri muzik di bawah asuhan dan didikan mentor masing-masing.

“Jadi kita harap peserta perlu cukup bersedia, berkebolehan dan memberi komitmen seratus peratus walaupun di peringkat uji bakat, malah kami juga boleh menerima peserta yang sebelum ini pernah menyertai program realiti lain jika dia memenuhi senarai kelayakan ditetapkan mentor,” katanya.

Protege yang layak menyertai Mentor 3 perlu memenuhi beberapa syarat seperti berusia antara 17 dan 25 tahun, memiliki bakat, vokal mantap dan pakej, mampu menambat hati mentor pilihan mereka, tidak terikat dengan sebarang kontrak dan memberi sepenuh perhatian terhadap program Mentor.

Peserta yang menghadiri uji bakat perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta minus one lagu yang bakal dipersembahkan kepada mentor.

Uji bakat yang dikendalikan Jaclyn Victor akan diadakan pada 14 Mac, diikuti Mas Idayu (15 Mac), Lah Ahmad (21 Mac), Adibah Noor (22 Mac), Ajai (28 Mac) dan Awie (4 April).

Sementara itu, beberapa mentor yang ditemui menyatakan harapan masing-masing untuk melahirkan protege yang terbaik untuk industri musik tanah air.

Jaclyn berkata, antara kelayakan ditetapkannya adalah seseorang yang sentiasa mahu belajar, berpenampilan dan mempunyai vokal baik.

“Saya sendiri masih baru dalam bidang ini, tetapi saya akan berusaha memberi tunjuk ajar terbaik kepada protege yang saya akan pilih nanti,” katanya.

Adibah Noor pula menetapkan beberapa syarat tambahan antaranya sekurang-kurangnya tamat belajar sekolah menengah, fasih berbahasa Melayu dan Inggeris serta serba boleh dalam semua genre lagu.

“Saya mahu seseorang yang betul-betul berbakat dan tidak berangan atau berpura-pura. Saya mahu mencari seorang protege yang boleh dibentuk dan dicorak serta berketrampilan,” katanya.

Menurutnya, dia menerima tanggungjawab sebagai tenaga pengajar untuk program Mentor kerana ia adalah platform terbaik baginya untuk mencari seorang anak didik.

Awie pula menetapkan untuk memilih protege di kalangan wanita saja dengan matlamat untuk melahirkan pelapis ratu rock, Ella.

“Tetapi saya bukan mencari seorang yang hanya boleh menyanyi Rock, malah dia juga boleh menyanyikan lagu asli. Apa yang penting saya dapat membentuk keyakinan dalam dirinya.

“Selepas Ella, kita tengok memang tiada penyanyi wanita yang mampu mencapai tahapnya, jadi saya berharap dapat mencari seseorang mampu mencari pelapis ratu rock,” katanya.

Program Mentor 3 akan ditayangkan bermula 19 April ini setiap Ahad jam 9 hingga 10.30 malam manakala konsert mingguan Mentor bermula 3 Mei ini, Jurnal Protege pula disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang yang menyorot aktiviti protege bersama mentor serta Jurnal Mentor pula setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam.

Harian Metro

Post a Comment

(required. But it will not be published)