Kebebasan Peserta Terkongkong
Posted by admin on March 17th, 2009
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

TOMOK berjaya memikat juri dan meraih imuniti pada minggu ketiga.
Sikap komposer mahu lagu mereka dinyanyikan ikut gaya asal ditegur pengkritik
KOMPOSER atau pencipta lagu yang karya mereka dinyanyikan oleh peserta program realiti One In A Million (OIAM) pada musim ketiga ini turut dilontarkan ‘bom’ oleh pengkritik kerana mereka dianggap sebagai mengongkong kebebasan bakat baru untuk beraksi dengan gaya sendiri.
Bagi persembahan yang bagus dan kelihatan berlainan, komposer terbabit sepatutnya memberi peluang kepada peserta program ini untuk tampil dengan gaya berbeza daripada penyanyi asal.
Begitulah antara rumusan atau pandangan daripada dua pengkritik tetap program ini, Syafinaz Selamat dan Paul Moss serta pengkritik undangan iaitu komposer terkenal tanah air, Fauzi Marzuki.
Mengikut pandangan mereka, kreativiti persembahan adalah bukti kemampuan peserta menonjolkan bakat yang dimilikinya, namun sekiranya kebebasan kreativiti mereka disekat atau terikat dengan kehendak komposer yang ingin menjaga karya masing-masing apalah ertinya sesuatu pertandingan itu diadakan.
Akibat daripada kongkongan itu menyebabkan mereka seakan-akan tidak puas hati dengan persembahan peserta yang dianggap sangat biasa dan sering dilihat sebagai terikut-ikut dengan cara penyanyi asal sedangkan mereka sepatutnya menyanyi mengikut gaya sendiri.

FAUZI Marzuki (kiri) selaku pengkritik undangan bersama Syafinaz dan Paul Moss.
Menurut Syafinaz, peserta sepatutnya menunjukkan kelebihan bakat mereka dengan penuh kreatif bukan mengikut gaya penyanyi asal melakukannya.
“Saya sebenarnya tidak menyalahkan peserta kerana gagal menunjukkan kebolehan mereka dalam persembahan minggu keempat ini tetapi agak kecewa apabila dilihat peserta tidak diberi kebebasan untuk menyanyikan lagu mengikut cara sendiri tanpa mengubah lagu asal.
“Mereka sebenarnya tidak diberi kebebasan oleh komposer untuk mengubah lagu asal mengikut cara sendiri kerana dibimbangi boleh merosakkan lagu mereka.
“Saya faham, komposer berhak untuk menjaga keaslian lagu mereka agar tidak dirosakkan oleh penyanyi baru, tetapi apalah ertinya sesuatu pertandingan itu tanpa kualitinya,” katanya yang kecewa melihat persembahan semua peserta terutama Esther dengan lagu Dialah Di Hati dan Fify dengan lagu Kalis Rindu.

PIJA tenang saat diumumkan tersingkir.
Kenyataan yang disentuh Syafinaz semasa peserta selesai membuat persembahan turut disokong oleh pengkritik yang sememangnya dikenali dengan sikap tegas dan pedas, Paul Moss.
“Saya menyokong dengan apa yang ditegur Syafinaz. Ini sesuatu pertandingan, sepatutnya komposer harus berani membebaskan peserta untuk menunjukkan kreativiti mereka di pentas bukan menyekat kreativiti mereka.
“Semua pertandingan nyanyian di negara ini memerlukan peserta berkarya secara kreatif kecuali pertandingan karaoke,” katanya.
Yang menjadi mangsa adalah peserta yang hanya tergamam apabila dikritik oleh pengkritik. Bagi menghormati penderiaan komposer, mereka sekadar mengikut saja tanpa menyoal lebih lanjut.
Antara peserta yang ditegur pengkritik kerana meniru gaya penyanyi asal ketika membuat persembahan seperti Fify menerusi lagu Kalis Rindu dan Esther Dialah Di Hati. Kedua lagu itu adalah ciptaan komposer Aidit Alfian.
Fify yang sudah merancang untuk mencari kelainan kepada lagu yang diberi walau bagaimanapun terpaksa menghormati kehendak komposer untuk tidak mengubah lagu itu.
“Pada mulanya saya sudah merancang untuk memberi sedikit kelainan kepada lagu itu tetapi saya menghormati penderiaan komposer yang tidak mahu saya mengubah lagu itu.
“Jika hendak ikutkan memang saya ingin menyanyi mengikut cara saya sendiri kerana ingin memberi kelainan dan menunjukkan kebolehan saya,” katanya yang ditemui sebaik saja program itu tamat.
Begitu juga yang diperkatakan Esther apabila soalan sama diajukan kepadanya mengenai kritikan juri terhadap lagu asal nyanyian Datuk Siti Nurhaliza yang dinyanyikan.
“Saya bersedia dengan cara saya sendiri untuk menyanyikan lagu itu. Walaupun jarang menyanyikan lagu Siti Nurhaliza tetapi sekiranya diberi peluang saya akan menyanyi mengikut cara saya sendiri,” katanya.
Seperti minggu sebelum ini, setiap peserta yang berjaya membuat persembahan terbaik dan menjadi pilihan pengkritik akan diberikan satu imuniti atau kekebalan yang melayakkan mereka dikecualikan daripada penyingkiran.
Pengkritik berpendapat persembahan Tomok menerusi lagu La La La Kerjalah komposer Taja dan nyanyian asal dari kumpulan Meet Uncle Hussain adalah persembahan yang terbaik mengikut cara tersendiri.
Menurut Tomok yang pertama kali menerima imuniti itu turut menyatakan puas dengan persembahannya.
“Saya sebenarnya puas malam ini kerana lagu itu mendapat kebebasan daripada Taja. Dia tidak mahu saya terlalu mengikut cara Lan membawakan lagu itu kerana baginya tiada yang istimewa dapat dilihat daripada nyanyian saya nanti,” katanya.
Tak sangka tersingkir awal
SEMENTARA itu, Norafizah Mohd Yasin atau Pija, 20, menjadi peserta ketiga tersingkir daripada program realiti OIAM musim ketiga terbitan stesen televisyen 8TV, yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.
Peserta dari Sabah itu terpaksa melupakan hasrat untuk memiliki habuan wang tunai sebanyak RM1 juta apabila mendapat undian terendah minggu lalu.
Pija adalah peserta ketiga tersingkir selepas Nurhidayu Md Tekhairy atau Ayu dan Rehana Mohd Yunus atau Han.
“Saya sebenarnya tidak menyangka akan tersingkir pada minggu ini. Saya akur dengan persembahan pada minggu lalu memang lemah dan mendapat kritikan pedas daripada juri.
“Ini adalah pertandingan yang ditentukan mengikut undian. Kta sebenarnya tidak dapat untuk meramal apa yang akan berlaku pada setiap minggu. Jika minggu ini kita di atas belum tentu minggu depan kita masih diatas dan apa saja keputusan yang dikeluarkan saya terima dengan seadanya.
“Bagaimanapun saya masih dengan karier saya sebagai seorang penyanyi dan bakal muncul dengan album terbaru saya pada tahun ini. Beberapa lagu sudah pun siap dan hanya menunggu beberapa lagu lagi sebelum album saya siap, katanya yang menggunakan khidmat daripada komposer Datuk Wah Idris sebagai penerbit.
Kini hanya tinggal sembilan peserta yang akan bertanding pada program realiti ini. Antara yang masih berpeluang merebut wang tunai RM1 juta seperti Tomok, Rizu, Nine, Amylea, Simon, Esther, Aweera, Anith dan Fify.
Berita Harian