MySelebriti.Com

World Celebrities News Online

Featuring the latest celebrity scandals, hollywood gossip, and entertainment news including gossip girls.

Cinta Dewi, Fredo

Posted by admin on March 19th, 2009



Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

DALAM dunia sebenar semenangnya Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari sedang dilamun cinta. Justeru apabila diberikan watak sebagai kekasih dalam filem Saus Kacang, pastinya bukan satu masalah bagi mereka mencipta keserasian di lokasi.

Namun, ketika berlakon dalam filem arahan Indrayanto Kurniawan, Ashraf dan Bunga yang selamat bergelar suami isteri 8 November tahun lalu mengakui terpaksa membuang jauh perasaan mereka yang ketika itu sedang bercinta.

Dari awal sehingga selesai penggambaran, pasangan ini meletakkan diri mereka dalam watak filem itu sebagai Dewi dan Fredo. Keserasian sudah lama wujud dalam hubungan mereka lalu tidak sukar untuk mewarnai watak mereka dalam filem itu.

Tidak cukup dengan babak percintaan, Indrayanto juga paparkan babak cium Ashraf dan Bunga ditambah pula gambar mereka bercium ketika di Bali yang mencetuskan kontroversi.

Akui Ashraf, mereka sememangnya sedang bercinta ketika sama-sama menjayakan filem itu tetapi adegan cium bukan sengaja diadakan berikutan hubungan mesra yang terjalin antara mereka.

“Biarpun ketika itu kami adalah pasangan kekasih, saya perlu tahu adakah adegan itu perlu atau sekadar untuk melariskan filem. Jika ia menjadi keperluan dalam filem ini, saya rela melakukannya tetapi jika sengaja diadakan, saya tidak akan melakukannya.

“Adegan bercium itu cabaran bagi saya kerana kali pertama melakukannya di skrin,” katanya ketika ditemui selepas pratonton filem itu, kelmarin.

Menceritakan pembabitannya dalam filem itu, tawaran berkenaan datang apabila Ashraf bertemu Indrayanto di Jakarta ketika dia berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Indonesia untuk menemui Bunga. Skrip filem itu sudah siap dan watak Dewi memang khusus untuk Bunga.

Filem itu mengisahkan perjalanan hidup Dewi yang bekerja sebagai Chef de Cuisine di hotel lima bintang di Bali. Pada masa sama, Fredo dari Malaysia bercuti di hotel itu. Dewi yang kecewa dalam bercinta bertemu Fredo yang sombong dan bongkak.

Dewi dan kakitangan hotel itu mengenakan Fredo tetapi akibatnya turut terkena pada Dewi. Mereka ditangkap kerana keluar pada Hari Nyepi di Bali. Mereka akhirnya jatuh cinta.

 

 

Kata Ashraf, untuk menyesuaikan jalan cerita itu, Indrayanto mahu mencari pelakon lelaki dari luar. Ternyata selepas bertemu, Indrayanto berpendapat dia paling sesuai memegang watak Fredo.

“Melihatkan sikap saya yang agak pendiam, Indrayanto sangsi sama ada saya boleh membawakan watak Fredo, seorang lelaki ego, panas baran dan mementingkan diri sendiri.

“Tawaran itu tuah buat saya kerana selain dapat bekerja di Indonesia, ia beri peluang berlakon dengan Bunga. Jadi saya boleh bertemu Bunga setiap hari. Apatah lagi skripnya sangat menarik. Ia filem ringan dan menghiburkan serta tidak terlalu berat.

“Lain budaya, bekerja di tempat orang kenalah ikut cara mereka, tetapi ia menarik kerana dapat menimba pengalaman di negara orang. Antara perbezaan paling nyata, populasi di Indonesia sangat besar lantaran itu di sana ada ramai pelakon.

“Penggiat seni di sana lebih ekspresif dan mereka suka menghasilkan karya bersifat eksperimental. Di sana saya banyak menonton filem termasuk Laskar Pelangi dan setiap karya yang dihasilkan mempunyai mesej di sebaliknya.

“Kita perlu melihat cara orang luar bekerja untuk mendapatkan ilham baru. Dengan penduduk yang terlalu ramai, agama, kepercayaan dan budaya berbeza, pengarah di sana mengutarakan pelbagai tema dan jalan cerita,” katanya.

Kata Ashraf, bagi menghidupkan watak masing-masing dalam Saus Kacang, dia dan Bunga terpaksa membezakan hubungan mereka di luar dan dalam filem.

“Menariknya, Saus Kacang adalah tawaran pertama daripada pengarah Indonesia tetapi menjadi filem kedua saya. Ini kerana penggambaran Saus Kacang tertangguh kerana jadual kerja Bunga yang sibuk.

“Sementara menunggu Bunga ‘free’ saya berlakon dulu dalam filem The Real Pocong. Kemudian baru saya berlakon Saus Kacang, tetapi akhirnya Saus Kacang ditayangkan dulu di Indonesia.

“Saya gembira walaupun berlakon di Indonesia, filem lakonan saya turut ditayangkan di negara ini. Justeru, walaupun saya sudah menetap di negara orang, tetapi masih pulang ke Malaysia untuk mempromosikan hasil kerja saya. Selepas ini saya akan sibuk dengan penggambaran sinetron.

“Harap sinetron itu dapat disiarkan di televisyen di sini seperti sinetron Jelita, Intan dan banyak lagi. Oleh itu ketiadaan saya di tanah air tidak terus hilang begitu saja.

“Saya bekerja untuk dua negara. Berlakon di Indonesia tetapi disiarkan juga di Malaysia. Tawaran berlakon di sini pun ada untuk saya dan Bunga tetapi masalahnya ialah masa,” katanya.

Bunga pula yang tubuhnya kelihatan susut kerana baru lepas mengelilingi Indonesia mempromosikan album keduanya, Aku Pasti Datang berkata, sukar juga untuk memisahkan dirinya yang sebenar untuk menjiwai watak Dewi.

“Untuk adegan menampar Ashraf saya terpaksa melakukannya lima kali. Indrayanto mengingatkan yang saya adalah Dewi dan Ashraf pula Fredo. Tampar saja mukanya. Saya teragak-agak hendak menampar Ashraf dan setiap kali melakukannya saya pantas minta maaf. Lima kali ulang, muka Ashraf merah padam. “Kebanyakan adegan kami bergaduh dan menjerit menjadi cabaran kepada kami. Dalam filem itu bekas teman wanita Fredo, Mae (Marsha AF), datang semula mencarinya. Namun kesedihan yang ditampilkan dalam filem bukan kerana saya membayangkan jika di luar filem Ashraf curang terhadap saya. Hanya yang terbayang di fikiran, Fredo yang bersikap begitu,” katanya.

Mengulas adegan bercium, Bunga sependapat dengan Ashraf yang dia sanggup melakukannya jika ia sangat diperlukan untuk jalan cerita filem itu.

“Mungkin berlakon dengan Ashraf adegan intim seperti itu tiada masalah tetapi dengan pelakon lain saya perlu berbincang dengan Ashraf kerana kami sekarang sudah berkahwin,” katanya yang akan mengadakan showcase di Australia bulan depan.

Jelasnya, album keduanya itu siap sebelum mereka berkahwin tetapi belum sempat dipromosikan kerana sibuk dengan persiapan perkahwinan. Enam lagu yang ditampilkan dalam album itu termasuk lagu popularnya, Aku Pasti Datang, ditampilkan dalam filem itu. Pada kesempatan itu juga, Bunga turut mempromosikan albumnya itu di sini.

>Profil

NAMA: Ashraf Daniel Mohamed Sinclair

NAMA KOMERSIAL: Ashraf Sinclair

TARIKH LAHIR: 18 September 1979

TEMPAT LAHIR: Croyden, England

PEKERJAAN: Model, pelakon, pengacara dan ahli perniagaan

IKLAN: Levi’s, Petronas, Toyota.

FILEM: SH3 The Movie, Gol & Gincu dan Eee… Hantu!!!, Saus Kacang

PROGRAM TV: Box Office Now, Beat TV dan Mentor

>Profil

NAMA: Bunga Citra Lestari

TARIKH LAHIR: 22 Mac 1983

TEMPAT LAHIR: Jakarta, Indonesia

PEKERJAAN: Model, pelakon dan penyanyi

PENDIDIKAN: Jurusan Ekonomi, Universiti Trisakti

FILEM: Cinta Pertama, Kangen, Aku Tak Sendiri, Ada Kamu Aku Ada dan Saus Kacang

DRAMA: ABG, Senandung Masa Puber, Kalo Cinta Mengoda dan Penjaga Hati

ALBUM: Sountrack Dealova, Cinta Pertama, Tentang Kamu, Aku Pasti Datang

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;

Harian Metro

Leave a Reply

XHTML: You can use these tags: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>