Oleh Rudy Imran Shamsudin (Yang mengikuti sidang media antarabangsa Disney/abc/ESPN Television di Hollywood & Highland, Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini)
imran@hmetro.com.my
Rap
BAGI menarik perhatian penonton untuk terus bertahan menyaksikan drama bersiri dihasilkan, kebanyakan penulis skrip dan penerbit di Hollywood cuba menampilkan jalan cerita di luar jangkaan.
Ia terpaksa dilakukan memandangkan kebanyakan penonton yang terlalu taksub akan cuba mencari pengakhiran cerita terutama membabitkan watak utama.
Malah, ada antara mereka sanggup datang ke lokasi menunggu untuk melihat penggambaran dijalankan dan tidak kurang mewujudkan laman web khas agar mudah peminat berhubung memikirkan kemungkinan yang berlaku pada watak kesayangan mereka.
Apabila perkara ini berlaku, ia secara tidak langsung memberi tekanan kepada penerbit dan penulis skrip.
Jika penonton boleh mengagak apa yang ingin ditampilkan dalam drama bersiri musim terbaru, ia boleh menjejaskan bilangan penonton. Oleh itu elemen kejutan sangat mustahak.
Antara drama bersiri popular yang membuat kejutan adalah Desperate Housewives musim kelima yang ditayangkan setiap Selasa, jam 10.30 malam di 8TV.
Sebaik episod pertama untuk musim kelima mula disiarkan 8TV, peminat setia drama itu terkejut apabila ia ‘melompat’ lima tahun ke hadapan dan menampilkan perbezaan berlaku kepada semua watak utama.
Melihat watak utamanya, Gabrielle Solis lakonan Eva Longoria Parker yang sebelum ini sentiasa tampil cantik dan bergaya tiba-tiba hodoh dan sudah mempunyai anak, dilihat satu perubahan bijak dilakukan penulis skrip.
Selain itu turut menjadi perhatian apabila watak yang sering menimbulkan kontroversi di Wisteria Lane, Edie Britt lakonan Nicollette Sheridan dikatakan bakal dimatikan menyebabkan peminat memberikan tumpuan bagi mencari sebab mengapa.
Sewaktu temu bual diadakan bersama Pengasas dan Penerbit Eksekutif Desperate Housewives, Marc Cherry di NBC Universal Studios baru-baru ini, dia menjelaskan idea untuk mengubah secara keseluruhan jalan cerita dan watak diperoleh sewaktu menyaksikan satu lagi drama bersiri bercorak misteri dan popular, Lost.
“Waktu itu saya melihat penerbit dan penulis skrip Lost, bermain dengan waktu. Mereka cuba menggambarkan apa yang berlaku kepada setiap watak enam bulan akan datang dan kemudian membawanya kembali pada zaman sekarang.
“Saya benar-benar kagum dengan idea ditampilkan dan waktu sama saya memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya Desperate Housewives yang saya hasilkan ini turut mengalami perubahan masa.
“Untuk mendapatkan kesannya, tempoh perubahan itu harus panjang. Maksud saya, biar ia makan masa bertahun-tahun kerana untuk merakam kehidupan manusia perubahannya kita hanya akan nampak apabila mereka sudah semakin meningkat usia,” katanya.
Begitupun perubahan yang dilakukan Marc bukan saja memberikan kejutan kepada penonton, tetapi pelakon terbabit turut menyambut baik perubahan dilakukan.
“Mengambil contoh, apabila saya memberitahu Eva bahawa watak dilakonkan sebagai Gabrielle Solis akan nampak hodoh kerana tidak punya masa untuk mencantikkan diri dan sibuk menguruskan anak dan suaminya yang buta, dia menyukainya.
“Pada awalnya saya bimbang dia tidak menggemarinya kerana bukankah Gabrielle amat sinonim dengan imej glamor dalam apa juga keadaan dan masa,” katanya.
Apabila ditanya watak Edie yang heboh dikatakan akan dimatikan, Marc keberatan untuk menjelaskan.
Bagaimanapun, secara asasnya dia menjelaskan dalam menghasilkan drama bersiri, apabila ada watak dimatikan ia adalah perkara biasa.
“Kadang-kadang ada watak terpaksa dikorbankan bagi memastikan ada cerita baru boleh dihasilkan sekali gus menimbulkan minat kepada penonton untuk terus menyaksikan drama dihasilkan,” katanya.
Sementara itu, watak Mike Delfino lakonan James Danton yang sebelum ini berkahwin dengan Susan Mayer lakonan Teri Hatcher juga digambarkan sudah berpisah kerana mengalami masalah.
Dalam berhadapan dengan situasi mencengkam itu, Mike mula berbaik-baik dengan Katherine Mayfair lakonan Dana Delany sehingga jatuh cinta.
Sewaktu ditemui, jelas Danton, dia gembira dengan perkembangan watak Mike yang dilakonkan, tambahan pula apabila dia kini bergandingan dengan Dana.
“Bagi saya kejutan dibuat Marc ini sangat bijak dan siapa terfikir Mike dan Katherine akan bercinta dan kebahagiaan yang dibina Susan dan Mike tidak bertahan lama.
“Secara peribadi, saya sendiri senang apabila dapat berlakon di samping Dana kerana seperti yang umum tahu dia seorang pelakon yang bagus dan pernah menang Pelakon Wanita Terbaik Emmy dan Golden Globe.
“Sebagai pelakon apabila berpeluang bergandingan dengan orang yang bagus secara tidak langsung ia akan membantu lakonan nampak baik apabila ditayangkan kepada penonton,” katanya.
Desperate Housewives turut menampilkan dua lagi watak utama, Bree Van De Kamp lakonan Marcia Cross dan Lynette Scavo (Felicity Huffman).
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;
Harian Metro