Rusdi, Fazura Taruhan Anak Wayang
Teks oleh Thani Hasbullah
Foto oleh Mazlan Yunos
Program realiti TV terbaru terbitan Astro Ria dan Prima, Anak Wayang, bakal menyaksikan dua wajah terkenal dan popular mengemudikannya sebagai hos bersama.
Siapa tidak kenal Rusdi Ramli dan Nur Fazura kerana masing-masing telah membuktikan bakat lakonan yang cemerlang dalam drama dan filem tanah air. Rusdi cukup dikenali dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Waris Jari Hantu manakala Fazura pula sinonim dengan filem Gol & Gincu serta Qaisy & Laila.
Namun untuk menjadi pengacara khususnya program realiti TV, ia sesuatu yang baru bagi Rusdi apabila ditawarkan peluang itu oleh Astro.
“Selepas menerima tawaran sebagai hos rancangan ini beberapa minggu lalu, saya sudah mula mempelajari selok-belok bidang pengacaraan dengan mendalam. Memang tidak dinafikan, saya agak gementar pada mulanya tetapi saya tetap menerimanya sebagai satu cabaran besar.
“Melihat pada konsep pertandingan ini, saya berpendapat ia satu program yang sangat unik dan akan digemari dalam dunia hiburan di Malaysia.
“Kalau diperhatikan negara kita mempunyai ramai bakat dalam bidang lakonan tetapi mereka tidak mempunyai peluang untuk menonjolkan diri. Jadi Anak Wayang bakal menjadi satu platform yang baik untuk melahirkan bintang baru dalam dunia lakonan,” kata Rusdi, 39.
Berbeza pula dengan Fazura, anak kelahiran Pekan, Pahang itu pernah menunjukkan bakatnya dalam bidang pengacaraan sebelum melangkah ke arena lakonan. Antaranya dia pernah menjadi VJ untuk program Teens World bagi siaran RTM2.
“Walaupun saya dan Rusdi tidak begitu rapat tapi kami sudah lama kenal. Menjadi pengacara program Anak Wayang adalah satu penghormatan yang besar daripada Astro buat diri saya. Memandangkan ia satu program baru, sata sendiri cukup excited untuk melihat bagaimana impaknya.
“Saya juga agak gementar tetapi yakin akan dapat keserasian dengan Rusdi di kaca TV nanti,” kata Fazura.
Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharfuddin, 26, melibatkan diri dalam dunia lakonan sejak 2004 dan pernah berlakon 8 buah filem cereka. Dalam bidang lakonan, Fazura pernah dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada FFM19 dan 21.
Kini Fazura sedang menunggu kemunculan filem terbarunya, Pisau Cukur yang dilakonkan bersama Maya Karin dan Dato’ Rahim Razali.
Murai