Kenali Gaya: Pakaian Pengapit Tak Perlu Menonjol Berbanding Pengantin
Material lembut seperti sifon sesuai dijadikan pakaian pilihan kerana wujud gaya mewah dan feminin
Soalan:
Saya berusia 21 tahun dan diminta menjadi pengapit bulan depan. Saya buntu kerana tidak pernah menjadi pengapit. Boleh lakarkan satu fesyen pakaian yang bersesuaian dengan saya yang mempunyai ketinggian 165 sentimeter dan berat 65 kilogram. Apakah jenis material bersesuaian dan saya bercadang mengenakan pakaian berwarna krim.
Ingin tahu,
Selangor
Jawapan:Saudari sepatutnya tidak mempunyai masalah dalam berfesyen. Jangan menjadikan alasan badan berisi untuk tidak kelihatan cantik pada hari bersejarah itu nanti. Jika bercadang mengenakan pakaian berwarna cerah, dinasihatkan supaya mengadunkan ia dengan warna gelap seperti coklat dan hitam.
Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan supaya saudari berpakaian sederhana dan tidak terlalu menonjol berbanding pengantin dikhuatiri ia akan mengecilkan hati pengantin jika pengapit yang lebih menjadi perhatian.
Di sini, saya mencadangkan supaya saudari mengenakan kurung moden polos dengan tampalan renda Perancis di hujung lengan, kaki baju dan di tengah-tengah lengan serta di kaki kain bagi menonjolkan imej mewah.
Nazri Ahmad
Material lembut seperti sifon sesuai untuk dijadikan material kerana ia mewujudkan gaya mewah.
Justeru, saya lakarkan jenis rekaan sesuai mengikut bentuk badan anda menggunakan fabrik sifon yang di alas (lining) warna gelap. Efek yang terhasil menampakkan saudari tampil lebih ayu dan feminin.
Bagaimanapun, potongan baju perlu diberi perhatian kerana mereka yang mempunyai tubuh seperti anda perlu mengelakkan daripada mengenakan baju yang terlalu besar atau terlalu longgar.
Tidak perlu saratkan penampilan dengan padanan aksesori. Cukup sekadar seurat gelang atau sebentuk cincin.
PROFIL: Nazri Ahmad
Nama Butik: Galeri Pengantin Sutera, Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang
Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1989 dan Akademy Of Fashion 1993.
Rekaannya digayakan: Pelakon Datuk Shah Rukh Khan, Priyanka Chopra, Fasha Sanda dan Nanu Baharudin.
Hubungi 012-4411886
emel:matahari70@hotmail.com
Berita Harian
Mulut Laser Tak Semestinya Negatif
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
PROGRAM hiburan yang turut menyelitkan elemen sensasi iaitu Hip TV makin mendapat perhatian penonton sejak mula ditayangkan pada setiap Isnin jam 10.30 malam di TV9 sebulan lalu.
Berbeza dengan penerbitan program hiburan sedia ada, program itu membawa kelainan dengan membincangkan sesuatu topik atau isu hiburan bersama tiga panel yang dijemput.
Biarpun ia hanya program rakaman, tetapi topik atau isu hiburan dibincangkan cukup menarik perhatian penonton yang ingin mengetahui pandangan panel secara mendalam sama ada bersetuju atau tidak dengan tajuk berkenaan. Pada siaran Isnin lalu, program ini membicarakan topik Selebriti Mulut Laser dan mengundang tiga panel iaitu Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh bersama penyampai radio Era FM, Din Beramboi dan wartawan Bintang Popular Berita Minggu, Zubir Mohd Yunus.
Menampilkan Kieran sebagai pengacara latar, program ini turut menyenaraikan carta Top 5 artis tempatan yang dikategori Selebriti Mulut Laser. Menduduki tangga teratas adalah Fauziah Ahmad Daud atau Ogy diikuti Adlin Aman Ramli, Sheila Rusly, Raja Azura dan Roslan Aziz.
Ogy dikatakan paling mulut laser kerana berani bersuara lantang ketika mengacara program TV seperti Melodi di TV3 mahupun mengendalikan majlis anugerah. Adam berpandangan Ogy dikategori laser cili padi yang berani melontarkan kata-kata pedas dan tidak peduli dengan apa dikatakan walaupun menerusi program siaran langsung. Berbanding empat selebriti dalam kategori ini, Ogy pernah mencatat sejarah sendiri apabila berhadapan dengan kes disaman selebriti lain di mahkamah.
“Dia bercakap secara ketelusan hati hingga ada ketika tidak fikir implikasi kepada kata-katanya. Namun, saya percaya selebriti seperti Ogy menjadi laser kerana berdasarkan pengalaman yang ada padanya,” katanya.
Din juga mengakui Ogy bermulut laser tidak kira tempat hingga di set rakaman atau penggambaran, dia berani mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan orang lain.
Sungguhpun begitu, sikapnya itu menampakkan dia seorang yang ikhlas dan jujur dalam menyatakan pandangan. Zubir turut bersetuju mengatakan Ogy adalah individu berterus terang walaupun dia sebenarnya mempunyai hati yang baik.
Pandangan mengenai Adlin pula, selebriti ini sering menarik perhatian khalayak terutama ketika menjadi juri program realiti popular, Akademi Fantasia (AF). Jika Ogy dikategori laser cili padi, Adam pula menggelar Adlin sebagai laser buta tuli. Kata Adam, Adlin mengkritik mengikut cara dan pandangan sendiri tanpa dipengaruhi orang lain mahupun pandangan peminat di belakangnya.
“Ketika dia memberi komen, peminat sudah bertempik tidak berpuas hati dan ini boleh membuatkan pengkritik terpengaruh dengan ejekan peminat. Sebaliknya, dia bersikap buta tuli ketika memberi kritikan. Walaupun dia dikatakan mulut laser, tetapi atas sebab itu, ia memahat namanya dalam persada hiburan tempatan,” katanya.
Din tidak menafikan Adlin masih bermulut laser sejak mula berkecimpung dalam bidang hiburan hingga popular sebagai pengkritik AF.
Katanya, Adlin juga seperti Ogy yang bersikap jujur meluahkan pandangan secara tulus. Bagaimanapun, dia masih boleh menerima kritikan orang lain dan berhati baik. Zubir berpendapat apa yang diluahkan Adlin berdasarkan fakta dan bukan cakap kosong.
“Dia mahu pelajar yang dikritik boleh berubah dan memberi persembahan terbaik pada masa akan datang. Namun, tidak semua kritikan dia boleh diterima khalayak secara terbuka. Sebagai manusia, tidak semua sempurna dan walaupun sudah buat terbaik, masih ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya.
Sheila Rusly yang menduduki tangga ketiga dikatakan mulut laser selepas menjadi selebriti bertaraf senior. Adam sebaliknya tidak melihat Sheila dikategori laser 100 peratus kerana dia hanya menampakkan sikap laser ketika berlaku perselisihan faham dengan selebriti lain. Kata Adam, andai Sheila diberi peluang pihak tertentu untuk menjadi juri program realiti, ia mampu menjadi pengukur sejauh mana Sheila bermulut laser.
“Setakat ini, apa yang saya nampak dia lebih mengupas sesuatu isu, tetapi kelantangan ketika bercakap secara spontan membuatkan dia juga dikatakan mulut laser,” katanya.
Bagi Zubir, dia berpandangan sikap seperti Sheila yang terlalu menghayati watak hitam dalam lakonan boleh mempengaruhi sikap dalam kehidupan sebenar. Sheila suka menyatakan perasaan suka atau tidak secara terangan walaupun sikapnya itu tidak disukai segelintir selebriti lain. Din pula mengakui Sheila bermulut laser kerana sikap yang ditunjukkan.
“Dia sebenarnya menghormati orang lain cuma apabila timbul soal senioriti di set penggambaran, dia suka mengarah orang lain. Ketika itu, dia terlupa perasaan orang yang mungkin terguris akibat sikapnya,” katanya.
Mengenai Raja Azura, dia dikatakan mulut laser apabila berhadapan kontroversi dengan artis dan kru belakang tabir. Adam menggelarkan selebriti ini laser secara berhemah atau berpada-pada kerana apa yang dilontarkan berlapik dan disampaikan secara sinis.
“Apabila berlaku kes serang-menyerang antara selebriti, mereka ini secara tidak langsung dilabel bermulut laser. Saya sendiri hormati dia dan Sheila Rusly menyerang secara profesional dengan meluahkan emosi serta pendapat tidak secara realiti iaitu menyerang secara fizikal,” katanya.
Din berpandangan Raja Azura bukan selebriti yang cerewet, tetapi apa yang diucapkan memberikan kesan kepada orang lain. Zubir mengaitkan selebriti ini dengan sikap pengacara yang perlu bermulut laser untuk menarik perhatian penonton. Biarpun dicop sedemikian, selebriti ini tetap mencipta identiti sendiri.
Komposer Roslan Aziz tidak terkecuali dikatakan bermulut laser terutama ketika menjadi juri program realiti Malaysian Idol sebelum ini. Adam berpandangan Roslan menyampaikan laser berisi di samping mencipta personaliti sendiri.
“Mulut laser lelaki seperti Roslan sering berfikir berulang kali sebelum melontarkan pandangan. Dia terlebih dulu berfikir sebelum ‘tembak’. Saya fikir, jika mereka yang dikritik cepat terasa emosi, orang itu tidak akan dapat ilmu untuk belajar,” katanya.
Din berpandangan Roslan mempunyai sikap yang serius dan kelakar. Namun, ada kata-katanya tidak disenangi orang lain apabila dia bertegas. Katanya, mungkin teguran Roslan dilihat kasar kerana ia disampaikan menerusi kata-kata.
Zubir berkata Roslan dilabel sedemikian kerana atas faktor mendidik. Melalui tanggungjawab menerusi program realiti yang dikendalikannya sebelum ini, dia perlu mendidik secara tegas demi kebaikan pelajar yang menerima bimbingannya.
1. PANDANGAN…Adam menyatakan pandangan mengenai topik Selebriti Mulut Laser di Hip TV baru-baru ini.
2. DIN…selebriti bermulut laser menunjukkan sikap yang ikhlas dan jujur.
3. OGY…berani melontarkan perkataan ‘pedas’ dalam program siaran langsung.
4. ADLIN…kritik mengikut pandangan sendiri.
5. SHEILA…dikatakan bermulut laser selepas berselisih faham dengan selebriti lain.
6. RAJA AZURA…dikatakan bercakap secara berlapik, tetapi sinis.
7. ROSLAN…mempunyai sifat yang serius dan kelakar.
innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154″;
innity_width = “250″;
innity_height = “220″;
Harian Metro
Kami Hanya Berkawan
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ENGGAN bersandarkan rupa paras menawan dan gosip murahan, Ryzal mahu dikenali peminat sebagai pelakon berbakat besar.
BELUM sempat pendatang baru, Mohd. Shahrizal Jaafar atau Ryzal membuktikan bakat lakonan yang ada, dia mula dihampiri gosip kononnya sedang menjalinkan cinta dengan pelakon, Eira Syazira.
Enggan berselindung, Ryzal mengakui dia baru sahaja berkawan dengan Eira sejak empat bulan lalu, setelah berkenalan di lokasi penggambaran.
“Eira merupakan seorang gadis yang peramah dan berperwatakan menarik. Saya rasa selesa berkawan dengan dia.
“Boleh dikatakan kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” terang Ryzal semasa hadir di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.
Dengan gosip yang berterbangan bebas itu, barangkali ia dilihat memakan diri kepada Ryzal yang baru sahaja ingin mengukir nama dalam lapangan seni.
“Saya dapati isu ini tidak berikan sebarang kesan mendalam kepada saya dan kerjaya.
“Sebagai seorang pelakon dan dikenali masyarakat, saya juga adalah insan biasa yang ada keinginan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
“Saya sedar golongan selebriti sentiasa diperhatikan, namun itu merupakan hak peribadi saya untuk keluar dengan mana-mana perempuan.
“Lagipun, kami hanya berkawan dan tiada sebarang hubungan istimewa,” luah Ryzal tegas.
Sebelum ini, Ryzal sendiri pernah mendengar gosip dirinya bercinta dengan Eira yang disebarkan di media cetak.
“Saya tidak terkejut langsung baca artikel ini apatah lagi untuk melenting.
“Tidak dinafikan, kami pernah keluar berdua-duaan beberapa kali. Secara kebetulan, kami masih solo dan tiada komitmen dengan mana-mana teman istimewa.
“Lantas, saya dan Eira bebas untuk mengadakan temu janji untuk merapatkan lagi perhubungan yang terjalin,” ulasnya yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah.
Hentikan semua gosip yang tidak berasas itu. Ryzal sebaliknya lebih gemar bercakap soal karier seninya yang baru hendak bermula.
“Saya mahu dikenali masyarakat kerana bakat lakonan yang dimiliki apatah lagi hampir setiap hari ada sahaja muka baru yang muncul dalam bidang lakonan.
“Paling utama, saya perlu menggilap bakat lakonan setelah melihat persaingan sengit daripada pelakon lelaki yang sedia ada dan juga muka-muka baru.
“Saya kena ambil lebih banyak ilmu daripada insan-insan seni yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon,” luah Ryzal dalam getaran suara berkobar-kobar.
Giliran Ryzal bergelar artis
Kelibat Ryzal selama ini sering dilihat menemani artis terkenal tanah air ibarat Anita Sarawak, Aznil Nawawi, KRU, Dafi, Adam, Ezlynn dan ramai lagi.
Ryzal sebelum ini bertanggungjawab membawa artis di bawah KRU Records menghadiri mana-mana majlis atau pertunjukan pentas sejak beberapa tahun lalu bersesuaian dengan statusnya, Pegawai Eksekutif Promosi KRU Records.
Tugas Ryzal yang hakiki berada di belakang tabir. Kini, siapa menyangka individu yang sekadar menemani artis sebelum ini mula berani melangkahkan kaki untuk terjun ke dunia glamor.

RYZAL mengakui selesa berkawan rapat dengan Eira.
Dalam tempoh panjang memegang jawatan sama, kini Ryzal mula ditugaskan sebagai Pegawai Koordinator Bakat KRU. Ryzal menjadi individu penting dalam mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan.
“Diam tak diam, melebihi empat tahun saya kerja dengan KRU. Pada mulanya saya menguruskan kelab peminat artis dan bekerja secara sambilan disebabkan masih menuntut di Institut Integratif Media Malaysia (MIIM).
“Dengan mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Visual, saya kena bijak bahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk bekerja dan belajar dalam satu-satu masa.
“Memanglah memenatkan, namun saya terhibur dapat melibatkan diri secara tidak langsung dalam dunia seni.
“Minat untuk berlakon mula bercambah selepas saya menemani artis ke sana sini sekali gus saya dapat merasai pengalaman sebenar tentang dunia ini.
“Mengenali lebih dekat pihak media dan beberapa produser serta pengarah, maka saya ambil peluang yang ada untuk saya melibatkan diri sebagai pelakon,” ujarnya.
Jejaka berusia 27 tahun itu menyambung, pada mulanya minat untuk berlakon memang tiada dalam direktori hidupnya, yang sekadar mahu bekerja dengan KRU untuk mencari rezeki.
“Tiga tahun lalu, saya boleh diumpamakan ‘kosong’ dan tiada minat untuk berlakon dan muncul di kaca TV.
“Begitupun, saya bersyukur apabila diberikan peluang untuk berlakon menerusi drama bersiri, Dunia Baru, digandingkan dengan beberapa nama besar seperti Elyana dan Pierre Andre.
“Waktu itu banyak pihak yang mengkritik, malah ada memberi komen tentang lakonan saya. Ada yang berkata, saya berlakon macam kayu dan tidak kelihatan semula jadi.
“Puas juga saya kena kritik dan kena marah dengan pengarah, namun saya tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi saya dikira macam budak baru belajar.
“Banyak lagi asas lakonan perlu dipelajari untuk memperbaiki mutu lakonan saya ke tahap yang lebih membanggakan.
“Lantaran itu, saya terima segala pandangan yang diberikan orang ramai terhadap diri,” jawab Ryzal pasrah.
Selain Dunia Baru, Ryzal juga berlakon dalam beberapa buah drama antaranya ialah Jelatang, Cinta Bulan Mentari, Platun Satria, Gadis Cuci dan Suria Di Pinggir Mentari.
Trio KRU sokong Ryzal
Ditanya tentang pihak majikan Ryza, yang barangkali melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap pekerja yang mempunyai kerja sampingan, pantas beritahu Ryzal, KRU cukup memahami situasi itu.
“Alhamdulillah, majikan saya iaitu Norman, Yusry dan Edry faham tentang kerjaya luar saya selain bekerja dengan KRU.
“Majikan saya cukup bertolak-ansur dan mengerti keadaan ini, malah mereka menyokong dan tidak menghalang saya untuk berlakon.
“Saya juga ada kontrak daripada KRU bermula tahun lalu yang tertulis bahawa saya adalah pekerja dan artis KRU,” jelas Ryzal teruja.
Kalau sudah diberi ‘ruang’ istimewa dalam empayar gergasi KRU, maka sudah pasti ada sesetengah pihak bersikap skeptikal mengaitkan Ryzal cukup disayangi KRU hingga menjadi anak emas majikan.

INGIN bekerja keras demi mencapai kejayaan dalam dunia lakonan tanpa mengharapkan bantuan KRU.
Pantas sahaja Ryzal menjawab: “Perkara yang membabitkan anak emas tidak pernah berlaku dalam syarikat KRU.
“Majikan saya tidak pernah bersikap pilih kasih terhadap pekerja mahupun artis yang menaungi KRU Records. Setakat ini memang majikan saya belum mengambil saya berlakon dalam mana-mana projek yang mereka hasilkan.
“Barangkali mereka belum ada sepenuh kepercayaan kepada saya apatah lagi saya masih mentah.
“Saya enggan berlebih-lebihan dalam soal ini. Jika boleh, biarlah KRU sendiri memanggil saya untuk berlakon kerana bakat, bukan kerana saya bekerja bersama mereka,” akui Ryzal lalu tersenyum.
Hentikan gosip itu – Eira
Pelakon popular yang didakwa menyulam cinta dengan Ryzal iaitu Eira mengaku dia mula mengenali Ryzal selepas terlibat dalam penggambaran drama bersiri 26 episod, Issandra kira-kira empat bulan lalu.
“Saya memang berkawan dengan Ryzal. Dia adalah seorang lelaki yang peramah dan menghormati orang lain sepanjang tempoh perkenalan kami.
“Saya okey sahaja berkawan dengan dia, namun perhubungan kami sekadar macam kawan biasa. Cuma tiadalah sampai ingin bercinta dan mempunyai hubungan istimewa.
“Selebihnya saya enggan komen lebih-lebih kerana saya tidak selesa apabila kisah peribadi saya menjadi tajuk perbualan di media cetak dan elektronik.
“Janganlah masyarakat mensensasikan persahabatan saya dan Ryzal. Saya baru sahaja hendak melibatkan diri dalam lapangan seni sekali gus melakar nama sebagai pelakon.
“Kalau perihal peribadi terlalu diuar-uarkan, tetapi mutu lakonan saya masih belum dapat dibuktikan kepada umum, kesudahannya saya juga yang dapat malu kelak.
“Saya merayu sangat agar gosip ini dihentikan. Berilah ruang kepada saya untuk meneruskan kerjaya lakonan berbanding bercakap bab cinta dan perkara remeh-temeh,” luah wanita berusia 25 tahun itu mohon dimengertikan.
Kosmo
Menantu Baru Tan Sri Ramli
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Diana dan Ramelle masih dalam ‘mood’ berbulan madu.
Ramelle Ashram bernikah dengan pelakon Diana Johor pada 7 Februari lalu
KESEDIHAN yang dialami pasangan ideal, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan isterinya Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah yang ‘kehilangan’ menantu sulung, Nora Danish tidak berpanjangan dengan kehadiran menantu baru apabila anak kedua mereka, Ramelle Ashram bernikah dengan pelakon, Diana Johor, 7 Februari lalu.
Bagaikan berkongsi minat dengan abangnya, Rizal Ashram, Ramelle turut memilih anak seni sebagai suri hidupnya selepas hampir lima tahun menyulam cinta. Malah, keruntuhan rumah tangga abangnya dan Nora tahun lalu tidak menjadi penghalang kepada pasangan pengantin baru itu melayari bahtera perkahwinan.
Ramelle, 31, dan Diana, 28, berkenalan sejak hujung 2004. Diana juga mempunyai persamaan dengan adik Ramelle iaitu dilahirkan sebagai pasangan kembar. Jika Diana mempunyai saudara kembar bernama Lina, pemilik bukti PU3 di The Curve, Damansara, Puteri Azalea dan Puteri Yasmin adalah adik kepada Ramelle.
“Sebelum saya mengambil keputusan untuk menamatkan zaman bujang, saya menuntut di Australia dalam bidang Ekonomi dan Kewangan pada 2005. Sebelum ke Australia, saya sudah menjalinkan hubungan dengan suami saya,” katanya sewaktu ditemui Hip pada majlis cukur jambul anak Nora Danish di Ampang, baru-baru ini. Malah Diana dan suaminya juga tidak keberatan untuk bergambar bersama.
Menyedari tanggungjawabnya kini sebagai isteri semakin berat, pelakon yang pernah diperkenalkan Datuk Yusof Haslam di dalam terbitan drama berjudul Sembilu ini seronok dapat berkongsi kebahagiaan dengan kehadiran Rayqal, cucu sulung keluarga suaminya. Saat ditanya mengenai kehadiran ‘orang ketiga’ iaitu anak, dia memberitahu belum lagi bersedia ke arah itu.

Diana (dua dari kiri) pada majlis cukur jambul anak buahnya, Rayqal.
“Saya kini sudah mempunyai empat orang anak buah termasuk Rayqal. Seronok juga melayan kerenah anak kecil, tapi saya jujur akui belum terarah ke situ. Kami merancang, lagi pun saya sudah mula sibuk dengan syarikat produksi yang baru saja beroperasi tidak sampai setahun.
“Insya-Allah, akan datang, siapa tahu, rezeki yang Tuhan kurniakan akan menjelma. Saya juga seronok dilayan baik oleh keluarga suami. Keluarga mentua sangat baik dan peramah. Saya tiada masalah dengan mereka,” katanya yang cukup bahagia memiliki suami seperti Ramelle yang sangat mengambil berat.
Ditanya lanjut mengenai kerjaya barunya sebagai penerbit bersama Lina, syarikat Unique Twins Sdn Bhd itu baru saja menerbitkan telefilem Hana Hani Coklat Strawberi yang baru saja disiarkan di stesen TV berbayar. Untuk projek mendatang, Diana berkata, semuanya masih dalam perbincangan.
Buat permulaan, syarikat miliknya akan menumpukan kepada penerbitan drama dan telefilem. Katanya, membikin filem itu masih terlalu jauh untuk difikirkan apatah lagi mereka belum cukup menimba pengalaman. Kini dengan memegang status isteri orang dan penerbit, jelas Diana, dunia lakonan bukan lagi keutamaan.
“Bukan bermaksud saya tidak mahu berlakon lagi dan tak saya nafikan masih lagi merindui dunia ini. Selepas sekian lama tidak berlakon, saya dan Lina turut berlakon sebagai pasangan kembar di dalam Hana Hani Coklat Strawberi.
“Itu pun, selepas mengalami kesukaran mencari pelakon yang dilahirkan kembar. Lagi pun, kami dapat mengurangkan kos kerana berlakon dalam produksi sendiri.
“Fokus saya kini mahu mengasah bakat sebagai penerbit dan saya cukup suka perihal yang berkaitan dengan perkiraan. Lalu, saya manfaatkan ilmu pengajian di Australia dalam kerjaya sebagai penerbit,” katanya mengakhiri perbualan.
Diana mula menerjah dunia komersial ketika usia 14 tahun. Drama lakonan pertamanya ialah Mas Maria, manakala Sembilu 2005 menjadi penguji kemampuannya beraksi di layar perak. Diana dan Lina pernah menjadi duta kembar untuk sebuah jenama kertas A4.
Berita Harian
Fiesta Fesyen KL: Fabrik Mewah Cabar Minda
Oleh Shaidah Shafie
shasha@bharian.com.my
RIZMAN (kanan) dan Wan Ruzaini mendapatkan pandangan Pengarah Eksekutif Euro Moda, Jasleen Kaur, bagi memilih kain yang sesuai untuk digabungkan dengan fabrik songket.
Rizman Ruzaini curah kreativiti hasilkan rekaan berasaskan perincian songket
PELUANG mengadun ilham dengan fabrik tenun seperti songket ternyata menyeronokkan bagi dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang membangunkan jenama Rizman Ruzaini sebagai rumah fesyen yang bersedia memenuhi cita rasa pelanggan dalam menata gaya serta penampilan.
Meskipun sudah lama membabitkan diri dalam industri yang dianggap glamor itu, kedua-duanya tidak pernah memandang remeh mengenai tanggungjawab berkaitan rekaan busana kerana mereka sebetulnya ingin memberikan yang terbaik kepada pelanggan melalui kepelbagaian fabrik yang ada di pasaran tempatan.
Menyentuh mengenai fabrik, keterujaan kedua-duanya jelas kerana mereka adalah antara 10 pereka fesyen yang terbabit dengan Fiesta Fesyen Kuala Lumpur (FFKL) anjuran Berita Harian (BH) pada 6 dan 7 April di pusat beli-belah One Utama, bandar Utama dan Hotel One World, Petaling Jaya.
FFKL yang mengangkat martabat fabrik tenun dan songket sebagai teras rekaan ternyata menjadi gelanggang hebat bagi kedua-duanya memerah ilham untuk menghasilkan busana indah selaras dengan kehebatan fabrik tenun yang diangkat dalam acara dimaksudkan.
“Kami gembira kerana berpeluang memeriahkan dunia fesyen melalui FFKL anjuran BHSB. Walaupun, sudah ada pengalaman menghasilkan busana, rekaan kami kali ini amat bermakna kerana adanya elemen songket yang diketahui umum berharga dan tinggi nilainya.
Rizman (kiri) dan Ruzaini.
“Justeru, kami cuba menghasilkan rekaan yang bertepatan dengan motif BHSB memartabatkan songket ke persada dunia sekali gus memperluaskan penguasaan songket di kalangan penggiat industri fesyen luar negara,” katanya ketika ditemui di gedung Euro Moda yang juga penaja fabrik untuk FFKL, baru-baru ini.
Rizman dan Wan Ruzaini yang ternyata tidak sabar menyiapkan rekaan berkata, konsep ‘less is more’ yang sering diperkatakan dalam istilah rekaan fesyen turut menjadi panduan untuk mereka memanfaatkan peluang keemasan mencipta busana untuk artis yang akan tampil membuat peragaan di FFKL.
“Untuk rekaan tempatan, mungkin tidak menjadi masalah kalau diselitkan dengan elemen sarat perhiasan, tetapi memandangkan matlamat penganjuran antara lain memartabatkan fabrik songket ke persada dunia melalui acara peragaan, kami berpendapat lebih baik memfokuskan rekaan ke arah cita rasa antarabangsa,” katanya.
Rizman dan Wan Ruzaini yang mengambil inisiatif menyediakan busana untuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Sariyanti dan Siti Saerah berazam menampilkan persalinan yang boleh menyerlahkan keistimewaan pemakainya selain pada masa sama mengetengahkan keunikan fabrik tenun yang terus diperakui mutu dan nilainya.
“Songket sangat ekslusif seperti kehadirannya yang bermula di Terengganu dan oleh itu,
kami turut memanfaatkan ilham kreativiti ikatan samping yang lazim dipakai orang Melayu dalam penataan busana yang kami hasilkan,” katanya.
Bagi dua pereka itu, dunia fesyen tiada had dan sempadan, lebih-lebih lagi unsur kesenian budaya Melayu sangat jelas dalam kebanyakan perincian membabitkan pemakaian tengkolok, samping, sarung dan persalinan yang masing-masing mempunyai cara tertentu menggayakannya.
“Kami tidak perlu memandang jauh untuk mendapatkan ilham bagi mereka busana untuk FFKL kerana dunia Melayu sendiri kaya dengan falsafah penciptaan yang sangat indah dan penuh misteri.
“Melalui penampilan ini, diharap usaha kami untuk sama-sama membawa songket ke arena yang lebih luas sedikit sebanyak mencetus inspirasi positif kepada penggiat industri fesyen,” katanya.
Sementara itu, antara penenun yang terbabit dalam FFKL ialah Manang Songket, Bibah Songket, Wan Hasnah Songket, Zaidah Songket, Atikah Songket TTDI dan Nur Atikah Songket.
Bagi memeriahkan FFKL, beberapa jenama terkenal tampil menaja acara berprestij itu antaranya Euro Moda yang menaja fabrik, Secret untuk solekan dan dandanan artis serta peragawati, manakala R&R Craft dan Fruitale, penaja cenderamata.
INFO: Rizaman Ruzani
Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.
Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.
Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.
Pencapaian: Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall, peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003, penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura dan terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).
Berita Harian