Guru Di Dunia Fabrik
Oleh Noriah Idris
nori@hmetro.com.my
APABILA berpeluang melancong ke luar negara dan setiap kali bercuti, si suami akan menyelit agenda melawat ke kilang kain terpilih sebagai satu daripada pengisian percutian bersama.
NAMA: Farah Haryani Muhammad Philip
JAWATAN: Pegawai Pemasaran Jakel, Wisma Jakel, Jalan Bunus Off Jalan Masjid India, Kuala Lumpur
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda (Bahasa Inggeris) Universiti Teknologi Malaysia
STATUS: Kahwin
SUAMI: Mohamed Faroz Mohamed Jakel
ANAK: Shierryn, 5, Mohd Farhad, 3
APABILA berpeluang melancong ke luar negara dan setiap kali bercuti, si suami akan menyelit agenda melawat ke kilang kain terpilih sebagai satu daripada pengisian percutian bersama.
Baginya, mendirikan rumah tangga bersama anak pemilik syarikat fabrik terkenal di Johor, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad memberinya pengalaman berharga.
“Sejak itu saya mula menggali pengetahuan mengenai jenis fabrik eksklusif atau apa saja yang menjadi mercu tanda dalam proses pembuatannya.
“Misalnya terdapat jenis fabrik yang memang digemari di negara kita tetapi tidak menjadi pilihan di negara luar.
“Justeru, saya memupuk rasa cinta terhadap apa yang diminati suami bagi mengembangkan perniagaan sedia ada,” kata Farah Haryani Muhammad Philip.
Isteri kepada Mohamed Faroz Mohamed Jakel, Pengarah Urusan Jakel, 29, berkata syarikat itu terkenal dalam melakar fabrik eksklusif seperti sutera selain pakar dekorasi dan pembuatan cadar dan bantal.
Mula dikenali sejak 1985, Jakel semakin ampuh membina kekuatan sehingga mempunyai 16 cawangan dan yang terkini di Kota Kinabalu, Sabah.
Memiliki lebih 12 francaisor, syarikat yang beribu pejabat di Wisma Jakel, Jalan Aji, Segamat, Johor ini semakin melebarkan sayap berikutan sambutan menggalakkan orang ramai.
Jauh di sudut hati, kenangan pernah bergelar pendidik dan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Tinggi Segamat, Johor sentiasa lekat di sanubari wanita yang kini semakin ghairah membantu perniagaan yang dirintis suami.
“Saya tidak menafikan kenangan menjadi guru amat menarik dalam hidup kerana dikelilingi pelajar yang dahagakan kemajuan dalam pendidikan.
“Keperluan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dalam menempuh arus globalisasi sebenarnya meletakkan dunia pendidikan sebati di jiwa ini.
“Banyak kenangan menyeronokkan, tetapi saya terpaksa meninggalkan alam persekolahan demi memenuhi aspirasi suami dan masa depan dalam memacu perniagaan ini terus maju,” katanya.
Beliau mengakui hubungannya dengan pelajar dan guru masih baik. Bahkan, ada kalangan guru menjadi pelanggan setianya.
Minat menjadi pendidik yang begitu mendalam di jiwanya dicetuskan terus dalam perniagaan biarpun ia berasaskan fabrik.
“Apabila diberi tanggungjawab bersama adik-beradik ipar memantau butik Ariani, saya dapati kerjaya ini turut memberi panduan dalam usaha mendidik lebih ramai wanita tampil dalam pesona lebih santun.
“Apa yang saya lakukan sekarang ibarat mendidik, tetapi konteksnya lebih luas. Saya puas apabila Jakel dikenali dalam penyediaan fabrik terpilih.
“Lebih daripada itu, Ariani bagaikan menyemarakkan lagi perkembangan busana Muslimah apabila sambutan terhadap tudung Tiara yang diperkenalkan semakin dikenali.
“Ada juga memanggilnya tudung Ekin apabila kami menjadikan isteri Mawi sebagai duta Ariani,” katanya.
Menggalas tugas besar meletak busana Muslimah menjadi pilihan ramai, Farah mengakui mahu menambah lebih ramai Bumiputera bergiat dalam bidang itu.
Beliau berkata, penubuhan Ariani adalah permulaan langkahnya dalam bidang peragaan dan perniagaan berasaskan tudung atau selendang.
“Idea melakar tudung untuk busana Muslimah timbul apabila ramai pelanggan memberi cadangan mengapa kami tidak menyediakan tudung sedangkan Jakel pengedar dan pembekal kain yang eksklusif.
“Ternyata inspirasi tudung Ariani memberi impak besar di pasaran,” katanya.
Biar sesibuk mana, Farah akui tidak pernah menidakkan tugas sebagai isteri dan ibu buat anak yang memerlukan bimbingan serta perhatian.
Melihat aspek kekeluargaan amat penting kepadanya, Farah kini merancang membina kediaman dalam pejabat demi memudahkannya memantau anak selain memastikan hubungan akrab dengan adik-beradik dan suami.
“Keluarga amat penting kepada saya. Bersama suami, kami banyak lakukan perencanaan masa depan buat anak.
“Apabila bercuti, kami memanfaatkan sepenuh tumpuan dan kasih sayang bersama.
“Suami selalu menasihatkan saya bersederhana dalam hidup selain mengutamakan keluarga,” katanya.
Harian Metro
Belum Sempat Makan Malam Bersama
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
PADA 28 Disember lalu, Felda Taib Andak, Kulai, Johor, mencuri tumpuan ramai apabila penyanyi popular Asmawi Ani (Mawi) melangsungkan perkahwinan dengan Nora’asikin Rahmat (Ekin) dihadiri lebih 20,000 tetamu dan digelar Wedding Of The Year.
Sejarah perkahwinan gemilang itu sekali lagi berulang Sabtu lalu dan kali ini membabitkan persandingan pasangan pelakon Que Haidar, 29, dan koreografer jelita, Linda Jasmine Hashim, 36.
Pasangan beza usia tujuh tahun ini disatukan sebagai suami isteri pada Hari Kekasih bersamaan 14 Februari di Bora Ombak, Ampang diikuti persandingan di lokasi sama pada sebelah malam.
Genap sebulan satu hari disatukan, kini pasangan sepadan itu diraikan pula keluarga Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar dalam majlis sambut menantu di Dewan Serbaguna, Felda Taib Andak (lokasi sama persandingan Mawi-Ekin).
Berbanding majlis Mawi dan Ekin yang berlangsung dalam suasana sesak serta penuh kejutan apabila pengantin dibawa menaiki helikopter, hari bersejarah Que-Linda pula cukup tenang dan serba ringkas tanpa meminggirkan adat istiadat Melayu.
Jika kebanyakan pengantin memilih berarak dengan kereta mewah, Que dan Linda sepakat mengabadikan memori perkahwinan mereka dengan menaiki beca berhias setibanya di pekarangan dewan kira-kira jam 2 petang.
Que berkata, idea menaiki beca itu kerana dia mahukan sebuah majlis perkahwinan ‘ala kampung’ sekali gus mengembalikan suasana adat perkahwinan penuh tradisi.
“Perkahwinan ala kampung adalah perkahwinan impian saya kerana suasananya cukup meriah. Setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan, penduduk setempat akan bergotong-royong mengadakan majlis rewang.
“Justeru, pada mesyuarat yang sempat dihadiri dua kali, saya memaklumkan kepada ahli jawatan kuasa yang terbabit mengenai majlis perkahwinan impian saya dan memberi idea berarak ke dewan menaiki beca.
“Saya rasa ia satu detik yang sangat menarik juga sekali gus memberi pengalaman baru buat isteri tapi saya serahkan segalanya kepada keluarga dan orang kampung menyusun atur acaranya,” katanya.
Pelakon drama bersiri, Cinta Untuk Ain bersama Nabila Huda ini melahirkan kelegaan apabila majlis perkahwinan mereka selesai dengan sempurna tanpa sebarang masalah.
“Alhamdulillah, saya berasa sangat lega sekarang kerana kedua-dua majlis sudah selesai dan atur cara pada hari ini berjalan dengan lancar seperti diharapkan.
“Walaupun sebelah petang hujan, ia tidak sedikit pun merencatkan majlis. Saya akui sedikit penat tetapi ia amat berbaloi.
“Kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk Felda Taib Andak yang bertungkus-lumus mengaturkan majlis bersejarah untuk saya, isteri dan keluarga. Khususnya kepada Juz Zarith yang bertindak sebagai perancang majlis.
“Tidak dilupakan AZ Studio & Bridal yang menaja pelamin dan meja santapan pengantin serta tetamu, Zuwein Bridal kerana sudi menghias kamar pengantin serta pelamin untuk memotong kek serta semua terbabit yang tidak dapat saya sebutkan di sini. Hanya Yang Maha Esa saja dapat membalas jasa baik mereka,” katanya.
Manakala, Linda yang kelihatan jelita dengan persalinan mewah serta solekan rapi Tiar Zainal gembira dan terharu dapat bertemu peminat, penduduk termasuk kakak kesayangannya, Susanne Mazlin Hashim, yang datang jauh dari Amerika Syarikat.
“Ketika majlis pernikahan dan persandingan saya di Kuala Lumpur pada 14 Februari lalu, kakak tidak dapat hadir. Justeru, kehadirannya di majlis persandingan ini cukup bermakna dan saya berasa amat terharu kerana kesudiannya datang bersama anak walaupun terpaksa menempuh penerbangan lebih satu hari dari Amerika Syarikat.
“Malah, keluarga juga gembira dapat meraikan majlis ini dan secara peribadi saya amat terharu dengan kerjasama diberikan orang kampung dalam memastikan ia berjalan lancar seperti dirancang,” katanya.
Merancang berbulan madu di Los Angeles, Amerika Mei ini, Que yang sedang mempertimbangkan beberapa tawaran menarik drama dan filem akan bersama isteri serta anak tirinya, Qalif Khan, 8, (anak hasil perkahwinan terdahulu Linda) menikmati percutian indah di negara itu. Kesempatan di sana digunakan untuk bertemu kakak Linda.
Mengenai perubahan hidup mereka selepas berkahwin, Que mengakui setiap harinya lebih terisi dan sungguh bermakna. Katanya, perasaannya kini sangat gembira dan bahagia kerana segalanya lebih terurus dan hati senang.
“Sebulan mendirikan rumah tangga, Linda yang saya kenali masih sama cuma sekarang saya dapat rasakan cinta dan kasih sayangnya semakin menebal dan ia terserlah dari caranya melayani saya dan sikap ambil beratnya,” katanya.
Sama seperti Que, Linda juga merasai perasaan yang sama cuma akuinya sejak mereka diijabkabulkan, belum sempat memasak untuk suami tercinta kerana Que sibuk di lokasi penggambaran.
“Kami belum sempat makan malam bersama kerana seharian dia sibuk di lokasi penggambaran. Pun begitu, perkahwinan ini membuatkan kasih sayang antara kami bertambah erat dan sepakat dalam segala hal,” katanya.
Serba sedikit rentetan perjalanan majlis, Que yang tampak segak manakala Linda menawan persis bidadari dengan persalinan rona emas sentuhan Datin Sharifah Kirana melangkah ke dewan tepat jam 2.15 petang sambil beriringan tangan menuju ke pelamin yang dihias indah bunga hidup.
Dimulakan dengan bacaan doa acara digamatkan lagi dengan persembahan zapin selamat datang yang dipersembahankan Kirana Dancers Studio.
Kemudian acara dimulakan dengan adat istiadat menepung tawar yang disempurnakan keluarga kedua-dua pihak. Antaranya, ibu Linda, Datin Kay Hashim. Diikuti upacara makan beradab seterusnya memotong pulut kuning dan sesi beramah mesra dengan peminat serta penduduk kampung.
Ketika upacara memotong pulut kuning dilaksanakan, mempelai mengenakan persalinan ala Inggeris warna putih gading rekaan Calvin Thoo sebelum menukar pakaian rona hijau disediakan AZ Studio Bridal House Sdn Bhd untuk sesi bertemu peminat.
Majlis yang dimulakan sejak 11 pagi itu berakhir kira-kira jam 5 petang menyaksikan kehadiran hampir 5,000 tetamu termasuk 26 ahli keluarga kerabat diraja Kedah (keluarga Que) serta 20 rombongan pihak perempuan.
Beberapa artis tempatan turut kelihatan antaranya Amy Search yang hadir bersama isterinya, Norhasniza Hassan (Norish), Adlin Aman Ramlie dan tunangnya, Emelda Rosmila serta sepupu Linda, Jeslina Hashim.
Harian Metro
John, Malaika No. 1

MALAIKA ARORA-KHAN
BOLLYWOOD dipenuhi aktor dan aktres kacak yang sekali gus memiliki bentuk tubuh yang seksi. Namun, dalam ramai pelakon yang seksi itu, siapakah agaknya yang memiliki punggung paling seksi?
Menerusi satu undian membabitkan 1,000 responden wanita baru-baru ini, bintang Bollywood yang mengepalai gelaran tersebut ialah John Abraham dan Malaika Arora-Khan. John yang muncul memakai seluar mandi berwarna kuning menerusi filem Dostana meraih undian sebanyak 55 peratus mengalahkan saingan terdekatnya, Ranbir Kapoor yang hanya meraih undian 17 peratus untuk berada di tempat kedua. Tempat ketiga disandang Hrithik Roshan dengan 13 peratus undian, sementara tempat kelima hingga keenam masing-masing diraih Saif Ali Khan (7 peratus), Akshay Kumar (6 peratus) dan Salman Khan (2 peratus). Undian paling rendah yang diraih Salman mungkin sebagai isyarat kepada aktor yang sering menanggalkan baju itu supaya dia mengubah strategi dengan lebih kerap muncul dengan menanggalkan seluar pula.
Persaingan di kalangan aktres Bollywood pula lebih sengit, namun menduduki takhta pertama ialah Malaika Arora-Khan yang berjaya mengumpul 25 peratus undian, mengalahkan Shilpa yang meraih 23 peratus undian. Lara Dutta dan Bipasha Basu pula berkongsi kedudukan tempat ketiga dengan masing-masing meraih 19 peratus undian. Katrina Kaif pula di tempat keempat dengan 12.5 peratus, sementara Deepika Padukone di tempat keenam dengan hanya 1.5 peratus undian.
Mengulas ‘kemenangan’nya itu, Malaika yang penuh teruja berkata: “Wow! Apa yang boleh saya cakap. Terima kasih kerana mengundi saya.” Dalam pada itu, ketika ditanya siapakah selebriti yang pada pandangannya memiliki punggung tercantik di dunia, Malaika menegaskan: “Sudah tentulah Jennifer Lopez dan Kylie Minogue!”
John Abraham turut berterima kasih dengan pengundi yang memilihnya. “Terima kasih kepada semua wanita yang mengundi saya. Saya mencintai kamu semua,” ujarnya.
Kosmo
Elok Siar Semula Jaguh-Jaguh Dorong Generasi Muda Minat Sukan
TAHNIAH kepada Datuk Lee Chong Wei kerana berjaya memenangi Kejohanan Siri Super Switzerland. Kejayaan itu secara tidak langsung menamatkan badi kepada Lin Dan sejak kekalahan teruk di final Sukan Olimpik Beijing. Semoga dengan kemenangan kali ini dapat meningkatkan motivasi beliau untuk lebih berjaya pada masa depan.
Kejayaan itu perlu dicontohi pemain badminton negara yang lain dan atlit sukan negara secara keseluruhannya. Chong Wei berjaya membuktikan pemain Malaysia mampu menyaingi pasukan gergasi badminton dunia seperti China yang mendominasi pentas saingan badminton dunia sejak akhir-akhir ini.
Namun, kita tidak boleh terus menerus meletakkan harapan kepada beliau kerana ia hanya akan mewujudkan tekanan kepadanya. Justeru, tindakan bersepadu perlu dilakukan bagi membantu membangunkan sukan badminton negara.
Antara yang perlu dilakukan ialah pencarian bakat terpendam di pedalaman. Kebanyakan bakat sukan ini kadangkala ada di kampung tetapi tiada pendedahan menyebabkan sukar bagi mereka mengembangkan bakat.
Satu lagi perkara yang kurang diberi penekanan ialah peranan media penyiaran tempatan. Ia perlu memainkan peranan sosial bagi membangunkan sukan tempatan melalui siaran langsung kejohanan yang disertai pemain negara.
Namun, kini stesen televisyen tempatan lebih banyak menunjukkan siaran sukan yang tiada kaitan dengan atlit negara. Siaran secara langsung boleh menimbulkan minat kanak-kanak untuk menceburi bidang sukan itu dan secara tidak langsung memastikan negara tidak kekurangan pemain pelapis pada masa depan.
Saya juga menyarankan televisyen tempatan menyiarkan kembali drama Jaguh-Jaguh lakonan Eizlan Yusof suatu ketika dulu. Drama mengenai sukan badminton ini berjaya menimbulkan semangat masyarakat untuk menjadi jaguh. Seingat saya, setiap kali drama itu disiarkan kebanyakan kanak-kanak sudah sedia menunggu di depan televisyen.
Sekiranya drama itu disiarkan kembali, saya yakin hal seperti ini pasti akan berlaku kepada kanak-kanak generasi masa kini walaupun kebanyakan mereka lebih meminati permainan video.
Perkara itu pernah dilakukan Indonesia melalui penerbitan filem King lakonan Ricky Subagia, iaitu bekas pasangan jurulatih beregu negara itu, Rexy Mainaky. Penerbit filem itu juga mengharapkan penerbitan filem sedemikian dapat meningkatkan minat kanak-kanak Indonesia untuk bermain badminton bagi memupuk bakat baru pada saat badminton Indonesia yang sedang menurun prestasinya.
MUHD ASRI ABD GHANI,
Gelang Patah, Johor.
Berita Harian
Makan Balik Kerak Nasi
Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my
Sejak kecil lagi, Fauziah Nawi sudah bertatih dalam bidang lakonan. Kesungguhan dan penat lelah wanita ini berbayar dengan kejayaannya hari ini.

PELAKON dan penggiat teater terkenal, Fauziah Nawi, 56, gemar berlakon sejak di bangku sekolah rendah. Namun, dek tubuhnya yang tinggi lampai berbanding kanak-kanak perempuan yang lain, dia sering diberi watak lelaki.
“Ibu berlakon sejak darjah satu di sekolah. Bila ada sahaja aktiviti lakonan dalam kelas atau sekolah, Ibu akan masuk. Tapi sebab ketinggian ibu amat ketara berbanding rakan-rakan yang lain, ibu sering diberikan watak lelaki seperti Putera Katak.
“Ibu tak kisah orang bagi Ibu watak lelaki, janji Ibu dapat berlakon. Masa kanak-kanak, Ibu memang tinggi, kurus dan berkulit agak gelap,” katanya yang mesra membahasakan diri sebagai Ibu. Rancak sekali mulutnya berbicara tentang zaman kanak-kanaknya saat ditemui GenK di pejabatnya di Ampang, Selangor.
Fauziah yang pernah menjadi tenaga pengajar Akademi Fantasia berkata, dia memang agak lasak semasa kanak-kanak. Sebelum masuk sekolah, dia tinggal bersama keluarga bapa saudaranya dan amat akrab dengan sepupu lelakinya yang bernama Sarip.
“Masa itu kami memang lasak. Panjat pokok, tolong kutip susu getah, menyakat nyonya di kebun. Memang nakal. Cuma, sampai sekarang saya tidak pandai berenang,” katanya.
“Entahlah, kata nenek saya, anak perempuan yang lahir pada hari Ahad perangainya macam lelaki. Saya pun dilahirkan pada hari Ahad, 28 Jun 1953,” kata anak jati Ipoh, Perak ini tertawa.
Selepas memasuki darjah satu, barulah dia kembali tinggal bersama ibu bapanya, Nawi Mukhri dan Salmiah Sidik. Fauziah merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Rata-rata adik-beradiknya turut bergiat dalam seni seperti Mustafa Fuzer Nawi, anak Melayu pertama memimpin orkestra dan Nasran Nawi, seorang pemuzik.
Meskipun mengakui dirinya agak nakal, namun Fauziah seorang yang terang hati dan dia khatam al-Quran sebelum menjejaki kaki ke alam persekolahan.

WAJAH muda Fauziah.
“Di sekolah, sayalah tukang baca doa setiap kali perhimpunan. Suara saya pun memang kuat sejak kecil,” katanya yang turut memasuki pertandingan-pertandingan mengaji al-Quran di Sekolah Rendah Sungai Rapat, Ipoh.
Fauziah juga boleh menulis jawi dan sebenarnya turut lulus peperiksaan ke sekolah menengah agama tetapi memilih untuk bersekolah menengah di sekolah Inggeris, Raja Perempuan Secondary School, Ipoh.
“Masa itu, memang saya tak pandai cakap Inggeris, jadi semua pelajar yang baru hendak belajar bahasa Inggeris dimasukkan ke dalam satu kelas peralihan. Itu sebabnya saya lewat menduduki tingkatan satu,” katanya.
Bercerita zaman remaja, Fauziah berkata, selain lakonan, dia juga gemar menyanyi dan menari. Semasa berusia 15 tahun, dia bersama dua lagi rakannya membentuk kumpulan yang dinamakan Agogo Girls yang dikenali ramai di kampungnya.
Dia turut menjadi penyanyi bagi kumpulan The Junior Kugiran di Ipoh pada masa itu dan sering diundang menyanyi pada majlis-majlis perkahwinan di kampungnya.

FAUZIAH juga mempunyai bakat dalam tarian.
Namun, gadis yang bernama Fauziah itu serba boleh orangnya. Tidak cukup pandai berlakon, menyanyi dan menari bahkan mengaji al-Quran, dia juga aktif dalam sukan bola lisut dan hoki.
Apabila bercerita tentang kehidupan keluarganya, Fauziah mengakui kehidupan mereka memang susah. Bapanya pekerja di kedai cermin mata dengan pendapatan RM150 sebulan dan ibunya seorang suri rumah.
“Keadaan keluarga saya sangat susah. Sehingga kerak nasi yang hitam itu dikitar semula menjadi makanan. Ibu saya jemur kerak nasi yang hitam itu kemudian menggorengnya untuk makan petang,” katanya mengimbas kenangan lalu.
Menurut Fauziah, keluarganya kemudian berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1970 apabila bapanya dikehendaki bertugas di cawangan kedai cermin mata di ibu kota. Apabila berhijrah, Fauziah yang ketika itu berada dalam tingkatan empat melanjutkan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah (P) Jalan Ampang.
Di Kuala Lumpur, keluarganya turut membuat bisnes kantin di No. 165, Jalan Ampang, Kuala Lumpur yang merupakan Taman Budaya (tempat terletaknya Hotel Nikko sekarang). Sejak itulah, dia mula mengenali artis-artis seperti Uji Rashid, Ahmad Yatim dan Ahmad Tarmimi Siregar. Lalu, bebunga seninya pun memekar.
Fauziah pernah mencuba nasib dalam pertandingan menyanyi Bintang RTM pada tahun 1971 dan 1972. Dia yang pernah menyertai kumpulan duet bersama Uji Rashid dengan nama Suara F turut menghasilkan album dan pernah mengikuti delegasi negara membuat persembahan di Hong Kong dan Jepun.
Pada masa yang sama, dia turut berlakon. Antara drama-drama terawalnya ialah drama Tahan Kinabalu dan Mendung Tidak Berarak lagi.

FAUZIAH (berdiri dua dari kanan) bersama ibu bapa dan adik-beradiknya bergambar kenangan.
Fauziah berkahwin pada usia 22 tahun dengan jejaka pilihannya, Mohammad Haniff Gedek. Mereka dikurniai dua orang anak iaitu Pit Haniff dan Siti Nur Fatehah Haniff. Kedua-dua anaknya berkecimpung dalam bidang di balik tabir seni.
Satu lagi bakat Fauziah mula bersinar pada tahun 1976 iaitu apabila dia mula menjawat jawatan pembantu siaran di RTM. Sebagai juruhebah, tutur bicara Fauziah berkumandang dalam program radio Radio 4 iaitu Selamat Pagi Malaysia, Morning Show, Your Host, Non Stop Music and Before We Say Goodnite.
Beliau juga berkhidmat dengan Radio 3 Ibu Kota mengendalikan Fascinating Malaysia, dan program Radio 1 yang dinamakan Manis-Manis Garam.
“Selama dua dekad Ibu bersama RTM. Detik yang paling lama itulah detik yang paling Ibu kenang,” katanya yang terpaksa meninggalkan konti radio apabila mengalami dugaan hebat apabila satu persatu insan tersayang dalam hidupnya jatuh sakit sekitar 90-an. Ibunya, Salmiah meninggalkannya terlebih dahulu, diikuti suami dan bapanya.

KEMISKINAN keluarga Fauziah menjadi pemangkin kepadanya untuk berjaya dalam hidup.
Sepanjang penglibatan dalam bidang seni, Fauziah turut berkesempatan mengenali legenda agung seni tanah air, Tan Sri P. Ramlee dan seniwati Saloma.
“Saya masih ingat saya pernah menyanyi bersama P. Ramlee. Ketika itu dalam satu majlis kahwin di Petaling Jaya. P. Ramlee bagi saya RM40 sebagai upah menyanyi bersamanya. Sebulan selepas itu, dia meninggal dunia. Seniwati Saloma pula seorang yang sangat baik hati,” katanya mengenang insan-insan seni yang dikaguminya itu.
Apakah nasihat Fauziah kepada anak-anak muda yang ingin berkecimpung dalam bidang seni?
“Jika ingin berjaya, kita perlu fokus, bersungguh-sungguh dan sanggup mengambil risiko untuk berjaya.
“Satu lagi, hormati guru. Saya amat marah kalau ada orang yang mengata buruk gurunya. Saya seorang yang amat menghormati guru. Pada saya, selain ibu bapa, guru ialah insan yang mesti dihormati,” katanya yang sedang mengarah teater Mahsuri yang bakal dipentaskan pada 24 hingga 30 April ini di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Kosmo
Suram Seri Pengantin Aida
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
Rap
TURUN naik tangga stesen televisyen tempatan sudah menjadi lumrah buatnya. Memandangkan syarikat produksinya, Cintakasih Productions Sdn Bhd ditubuhkan dua tahun lalu, bukan mudah baginya mendapatkan projek, lebih-lebih lagi masih ramai belum percaya kemampuan pelakon ini menguruskan syarikat berkenaan.
Namun, Aida Aris percaya rezeki itu ketentuan Tuhan Yang Maha Pemurah. Di mana ada usaha, pasti ada jalan yang terbuka untuknya.
Ketika mula-mula menubuhkan syarikat berkenaan, Aida mengakui memang sukar mendapatkan projek menerbitkan drama untuk stesen televisyen tempatan.
Begitupun, tanpa mengenal erti jemu, syarikat yang dibina bersama buah hatinya, Zul Handy Black, akhirnya berpeluang menerbitkan telefilem pertamanya berjudul Tercipta Untukku.
“Selepas menubuhkan syarikat ini, saya menunggu hampir setahun untuk mendapatkan projek pertama. Alhamdulillah, selepas berjaya meyakinkan stesen televisyen berkenaan, Cintakasih Productions akhirnya berjaya membina tapak dalam dunia seni ini.
“Sebenarnya, projek pertama berkenaan memang ditunggu-tunggu. Biasalah, sebagai syarikat yang baru ditubuhkan, memang payah untuk meyakinkan stesen penyiaran kita,” katanya.
Tambah Aida, telefilem berkenaan berjaya membuka mata banyak pihak. Sekalipun tidak banyak peluang diperoleh, rezeki masih tidak putus.
“Untuk tahun ini, saya berjaya meyakinkan TV3. Malah, baru-baru ini syarikat saya baru menamatkan penggambaran telefilem berjudul Suram Seri Pengantin untuk tayangan dalam masa terdekat ini. Alhamdulillah, walaupun tidak banyak projek baru buat masa ini, saya percaya syarikat ini masih boleh bergerak perlahan-lahan.
“Lagipun, saya menubuhkan syarikat ini berdasarkan minat yang terbina sejak memulakan karier lakonan dan bukan berdasarkan pengalaman. Banyak yang perlu saya pelajari mengenai kerja di belakang tabir ini.
“Begitupun, saya percaya dengan dibantu tenaga kerja yang lebih berpengalaman, insya-Allah apa yang saya lakukan ini mampu bertahan. Yang penting adalah usaha dan cara terbaik menjalankannya. Apapun, saya perlu belajar selok-belok apa yang patut dibuat. Bagaimanapun, dengan dua projek itu, setidak-tidaknya produksi kami sudah mula mencipta pengalaman,” tutur Aida.
Menurut Aida atau nama sebenarnya Siti Rohaida Mat Aris, selain bergelar produser, dia turut membintangi telefilem berkenaan. Menariknya, Suram Seri Pengantin bukan drama biasa yang sering dipaparkan di kaca TV. Sebaliknya, cerita berkonsepkan drama ini memberi banyak pengajaran kepada penonton, mahupun dirinya sendiri.
“Dalam cerita ini, saya memegang watak Yuhanis, pelacur dan juga penagih dadah. Dalam masa sama, saya turut mengandung anak luar nikah. Begitupun, cerita ini mengisahkan nasib anak Yuhanis yang turut sama dijangkiti HIV positif ketika dalam kandungan.
“Selepas beberapa tahun, Yuhanis yang akan berkahwin tidak lama lagi menyedari dia menghidap penyakit berkenaan. Terkejut dengan apa dialaminya, Yuhanis membatalkan perkahwinannya dan mula mencari identitinya yang sebenar. Dalam masa sama, Yuhanis mencari sebab mengapa dia dijangkiti penyakit itu.
“Ia sebuah cerita yang rumit dan penuh dengan pengajaran. Tambah menarik, Fairuz Loy selaku pengarahnya tahu apa yang dia dan penonton mahukan. Dalam masa sama, telefilem bercorak artistik ini pasti dapat menarik perhatian penonton,” katanya.
Tambah Aida, cerita seperti ini jarang ditonton di layar kaca. Malah, cerita yang menitikberatkan soal keagamaan dan teladan seperti ini bukan setakat menghibur, tetapi turut memberi pengajaran kepada penonton dalam meneruskan kehidupan.
“Lebih menarik, telefilem ini turut dibintangi pelakon seperti Fasha Sandha, Aida Razwill, Ako Mustapha dan Vanidah Imran. Telefilem ini akan disiarkan selama satu jam sebanyak 13 episod,” katanya.
Meskipun kerjaya semakin berkembang, Aida tetap tidak akan meninggalkan bidang lakonan. Selain berlakon dalam ceritanya sendiri, Aida masih menerima tawaran daripada produksi lain.
“Saya belum terfikir mahu berhenti bergelar pelakon. Lagipun, dunia lakonan adalah minat utama saya. Malah, menerusi bidang ini saya dapat mempelajari banyak perkara mengenai dunia belakang tabir.
“Begitupun, saya tidak pernah meletakkan sesuatu tempoh dalam kerjaya ini. Saya akan meneruskan lakonan selagi termampu dan begitu juga di sebalik tabir,” kata pelakon berusia 36 tahun ini.
Harian Metro
Edison Chen Receives Death Threat
HONG KONG : Hong Kong star Edison Chen has been left fearing for his life after a death threat aimed at the actor was sent to Hong Kong broadcaster Cable TV. The letter has been handed over to the police.
Cable TV said the letter, which was written in English, was placed in a white envelope. It was delivered to them in an A4 sized paper bag, along with a bullet. Hong Kong’s Apple Daily also received a similar package on Thursday.
The anonymous letter to Cable TV was a warning to Chen to stop appearing in promotional or public relations events after April 4.
The threat came after the 28-year-old attended two promotional events in Singapore on February 27, his first media appearance since quitting showbiz in a year ago.
That same day Cable TV aired an interview with Hong Kong actress Cecilia Cheung, one of the victims caught up in the sex photo scandal. In the interview, Cheung who is married to Hong Kong star Nicholas Tse, called Chen a hypocrite and said that he has yet to apologise to all the women involved in the scandal which includes Twins singer Gillian Chung and starlet Bobo Chan.
According to the letter, Chen was given a reprieve in Singapore last month and that no second chance would be given.
On the envelope were 10 stamps marked USA First-Class Forever and a return address in Pennsylvania. The stamps which depict the Liberty Bell, alluded to “giving a bell” which sounds like sending off the dead in Chinese.
Hong Kong police are not taking the matter lightly. A spokesman said that threats to media figures are considered a threat to public safety, and that such malicious conduct is a “common enemy of the public”. The case has been handed to the special crime squad who will continue with the investigation.
This is not the first time that Chen’s life has been threatened. He received a threatening phone call after a press conference last year, where he announced his withdrawal from the Hong Kong entertainment industry.
We’ll just have to wait and see if Chen will be intimidated by the latest round of threats. According to Apple Daily, Chen is set to make an appearance in Singapore on April 6 to promote his movie “The Sniper”.
- CNA/ap/il
Channel News Asia
Kelincahan Jemari Steve Thornton
Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my
Artis-artis tersohor negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan antara yang pernah mendapatkan khidmat anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.


APABILA menyebut tentang perkusi, nama Steve Thornton pasti akan disebut sebagai salah seorang pemain terhebat bertaraf antarabangsa.
Kelincahan beliau memainkan pelbagai jenis alat muzik membuatkan setiap penonton yang menyaksikan persembahannya terpegun dengan irama yang terhasil daripada sentuhan jejari lelaki berbakat itu.
Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Kumpulan Nasyid Raihan merupakan antara nama-nama besar yang pernah mendapatkan khidmat dan sentuhan daripada anak kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat (AS) itu.
Itu di Malaysia. Untuk peringkat antarabangsa, Steve juga pernah dijemput mengiringi siri persembahan atau jelajah artis terkemuka seperti Kris Dayanti, Harry Belafonte, Jackie Cheung, Mongo Santamaria, Sadao Watanabe dan ramai lagi.
Apa yang pasti, kebolehan Steve bermain apa sahaja alat perkusi menjadikan dirinya dikenali dan mempunyai ‘jenama’ tersendiri.
Ibarat irama dan lagu tidak boleh dipisahkan. Begitu jugalah Steve atau nama sebenarnya Hanson Lee Steve Thornton dengan alat perkusi. Pantang memegang atau menyentuh sebarang alat, tangannya pasti ligat memainkan aneka bunyi-bunyian yang menceriakan suasana.
Alat muzik perkusi bermaksud sesuatu alat yang boleh menghasilkan bunyi atau suara apabila dipukul, ditepuk, ditabuh, digoyang, digosok atau apa saja tindakan lain yang boleh membuatkan objek bergetar.
Ia boleh dilakukan sama ada dengan suatu alat, tongkat mahupun sekadar tangan kosong.
Perkusi berasal daripada istilah Latin iaitu percussio yang bermaksud memukul dan percussus (pukulan). Antara alat muzik yang termasuk dalam kategori perkusi ialah gamelan, drum marimba, tamborin dan lain-lain.
“Saya memang begini. Pantang memegang sebarang peralatan tanpa memainkannya. Ia seolah-olah sudah sebati dengan jiwa saya,” kata Steve kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

KELUARGA bahagia yang menjadikan muzik untuk menyatukan mereka.
Steve atau nama Islamnya, Hassan Ali menceritakan bahawa dia mula meminati alatan dram ketika berusia tujuh tahun. Waktu itu, dia amat teruja mendengar paluan kongga Mongo Santamaria menerusi lagu Watermelon Man nyanyian Herbie Hancock yang sering dipasang abangnya.
Pada tahun 1968, Steve menubuhkan grup pertamanya, The Young Explosives, sebuah kumpulan berkonsepkan Latin-Jazz yang terdiri daripada empat orang. Mereka mengadakan persembahan di stesen televisyen tempatan di Channel 5 Inside Bedford-Stuvyesant dan di Apollo Theatre.
Setahun kemudian, Steve bertemu Mongo Santamaria di Kelab Beacon, 111 Street dan Lennox Avenue. Apabila dia memberitahu Mongo betapa dirinya begitu meminati pemuzik tersebut, Mongo kemudian meminta Steve bermain kongga bersama kumpulannya.
“Mendengarkan paluan tiga kongga yang saya mainkan, Mongo amat seronok lantas duduk bermain di sebelah saya. Kami bermain untuk beberapa ketika sebelum akhirnya Mongo memuji kehebatan saya bermain.
“Itulah pengalaman paling manis yang saya lalui sepanjang hidup ini. Ia boleh diibaratkan seperti mimpi yang menjadi kenyataan,” kata Steve yang kemudian sering mengadakan persembahan bersama kumpulannya dan merakamkan irama salsa dengan kumpulan tempatan lain.
Ketika bermain di kelab, Steve akan memanggil gurunya datang menonton persembahannya.
“Tujuannya supaya mereka tahu saya ponteng kelas kerana bermain muzik. Namun, apa yang menggembirakan saya ialah guru-guru banyak memberi dorongan agar saya meneruskan minat dalam bidang ini,” jelas Steve yang menjadikan Mongo Santamaria sebagai idolanya meskipun pemuzik unggul itu sudah meninggal dunia pada tahun 2003.

AKSI Steve bersama Datuk Ahmad Nawab (kanan) dan Man Kidal.
Steve, anak ke-13 daripada 14 beradik itu kemudiannya mula bermain secara profesional pada tahun 1972 sewaktu mengiringi persembahan Jon Lucien dalam jelajah di negaranya, AS.
Sejak itu dia sering diundang mengiringi penyanyi-penyanyi terkemuka termasuk Harry Belafonte. Malah Steve juga menjadi pemuzik undangan untuk album rakaman Dizzy Gillespie, Grover Washington Jr., Herbie Hancock dan Sadao Watanabe.
Pada tahun 1989, buat kali pertamanya Steve berkunjung ke Malaysia kerana mengiringi persembahan Sadao Watanabe, pemuzik Jazz terkemuka dari Jepun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Di situlah, dia mula mengenali Faridah Sanusi yang kemudian disunting menjadi suri hatinya. Hasil perkongsian hidup mereka, pasangan suami isteri itu dikurniakan empat orang cahaya mata, tiga perempuan seorang lelaki.
Anak-anak mereka iaitu Suraya; 15, Hakeem; 13, Sabrina; 9 dan Sadia; 7 masing-masing mewarisi bakat yang dimiliki Steve dalam bermain alat muzik.

ANTARA koleksi hadiah yang diberi oleh anak-anak Steve.
Menurut Faridah, kesemua anaknya menunjukkan minat dalam bidang muzik. Malah, mereka juga pandai bermain beberapa jenis alat muzik seperti piano, gitar selain puluhan alat perkusi milik bapanya.
“Sebagai ibu bapa, kami tidak pernah menghalang mereka menceburi bidang yang digemari sebaliknya terus memberi sokongan kepada mereka. Tetapi, kami juga tidak pernah memaksa mereka mengikut jejak langkah ayahnya. Itu semua datang daripada minat mereka sendiri.
“Sabrina contohnya, mempunyai suara yang sedap dan boleh menyanyi dengan baik. Malah, dia bercita-cita untuk menjadi seorang superstar satu hari nanti,” ujar Faridah sambil mengakui dirinya meminati muzik tetapi tidak pandai bermain peralatan perkusi.
Bagi Suraya, dia bangga dilahirkan sebagai anak kepada Steve Thornton. Pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah antarabangsa itu mengagumi bakat ayahnya.
“Ayah seorang pemuzik yang hebat. Sukar untuk dinafikan kehebatannya bermain alat perkusi. Dia juga banyak mendorong kami adik-beradik untuk sentiasa yakin dalam setiap bidang yang mahu diceburi.
“Kalau boleh, saya juga mahu menjadi seorang yang hebat seperti ayah tetapi mungkin sukar. Namun, saya tidak akan berputus asa. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan untuk kita memperoleh impian yang telah dibina,” ungkap Suraya.

SABRINA (kanan) dan Sadia juga pandai bermain piano.
Steve peluk Islam kerana azan
PADA tahun 1992, Steve Thornton sering berulang-alik dari AS ke Malaysia sebagai pemuzik undangan untuk persembahan artis-artis tempatan.
Satu hari, sewaktu menjalani rakaman sebuah klip video, laungan azan pada waktu tersebut turut terakam.
Apabila mendengar semula rakaman tersebut, hatinya menjadi sayu kerana pada pendengarannya azan tersebut begitu merdu.
“Pada saya laungan azan adalah satu irama yang merdu berbanding irama lain. Sewaktu sering berulang alik ke Malaysia, saya selalu menyewa bilik di Hotel Micasa, Jalan Ampang.
“Setiap pagi apabila bangun tidur, saya buka tingkap. Saya dapat dengar empat laungan azan yang berbeza dari masjid berhampiran. Laungan itulah yang telah membuka hati saya untuk memeluk Islam,” katanya yang memilih nama Hassan Ali kerana ia seolah-olah hampir dengan nama asalnya Hanson Lee.

STEVE sentiasa memberi kebebasan pada anak-anaknya dalam bidang yang diminati.
Sementara itu, Steve memberitahu, sepanjang lebih empat dekad terlibat dalam bidang ini, dia telah memainkan ratusan atau mungkin ribuan peralatan perkusi.
Ini kerana, menurut Steve peralatan perkusi tidak terhad pada sesuatu barang sahaja. Sebaliknya, apa sahaja benda yang boleh mendatangkan bunyi adalah alat perkusi.
Antara peralatan perkusi yang ada dalam simpanannya ialah bonggo, kongga, cowbell, rattler, pandero, wood blocks, guiro, tamborine, shaker dan banyak lagi.
Kosmo
Jejak Warisan Pulau Mutiara
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
Menjejak sejarah Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia tidak lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung
KEPINGAN papan yang menjadi pelantar pejalan kaki sudah agak lusuh, tetapi untuk penghuni perkampungan air berdekatan pusat bandar Georgetown, Pulau Pinang, ia menyimpan sejarah panjang menjangkau hampir 150 tahun.
Rumah pertama dibina pada 1860-an oleh pemuda dari wilayah Fujian, China yang merantau untuk berkerja sebagai kuli di Pulau Pinang yang ketika itu berkembang maju sebagai pelabuhan selepas dibuka Kapten Francis Light pada 1786.
Sejak itu, ia berkembang kepada beberapa perkampungan air menempatkan sebilangan puak hidup harmoni dalam koloni masing-masing iaitu jeti Chew (paling besar), jeti Lee, Tan dan Yeoh.
Kini, penempatan di kawasan dikenali sebagai Weld Quay menjadi antara tarikan sejajar dengan pengiktirafan Pulau Pinang sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco), pada 7 Julai tahun lalu.
Jejak warisan di Pulau Mutiara ini bagaimanapun, tidak akan lengkap jika tidak singgah di Fort Cornwallis, kota pertahanan dan pusat pentadbiran yang binaan asalnya dikatakan menggunakan batang nibung pada 1786.
Tiga tahun kemudian, ia dibina semula bagi memenuhi keperluan sebagai pusat pentadbiran dan pangkalan tentera sejajar dengan perkembangan kuasa empayar British di rantau ini.
Sejarahnya, seperti yang dapat dihayati di galeri pameran, berkait rapat dengan usaha pemodenan pulau ini. Selain menempatkan gereja kecil, ia juga menempatkan rumah api – uniknya, di tengah pusat bandar dan masih berkhidmat sebagai panduan arah kepada kapal dagang.
Catatan penting yang tidak boleh dipinggirkan mengenai kota di Jalan Tun Syed Sheh Barakabah ini adalah kisah menarik mengenai meriam bernama Seri Rambai, yang dikatakan bermula sejak 1603.
Asalnya, Belanda menghadiahkan meriam ini kepada Sultan Johor, tetapi ia dibawa ke Acheh, Indonesia dan kemudian diletakkan di Kuala Selangor. Pada 1871, ia dirampas oleh British dan diletakkan di lokasi sedia ada iaitu satu sudut kota itu.
Menghala ke pusat bandar, pengunjung dibawa menghayati keindahan bangunan warisan kolonial dengan seni bina Anglo-India dengan pengaruh reka bentuk Cina. Perluasan kuasa Inggeris dan perkembangan pulau ini juga menarik kedatangan pedagang dari serata dunia.
Pelbagai nama jalan utama membuktikan penempatan awal masyarakat pelbagai bangsa. Orang Eropah ditempatkan di Lebuh Light, keturunan Serani (Lebuh Bishop), pedagang Cina (Lebuh China), pedagang India (Lebuh Chulia) dan pedagang Aceh (Lebuh Aceh).
Pendatang dari wilayah India Selatan dikatakan membina deretan rumah kedai sepanjang Jalan Chulia (dulu dikenali sebagai Malabar Street), King Street and Queen Street, kawasan yang kini tersohor dengan jolokan Little India.
Pulau ini juga menjadi transit untuk pedagang yang ingin belayar ke India dan Timur Tengah. Masjid Kapitan Keling umpamanya, menjadi tempat berhimpun jemaah haji dari Tanah Melayu, Thailand dan Sumatera sebelum berangkat ke Mekah dengan kapal laut.
Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh pula menyimpan sejarah dan gaya hidup glamor golongan atasan suatu ketika dulu. Hartawan terkemuka, Syed Alatas yang menemui kekayaan dengan perdagangan antara Pulau Pinang dan Acheh pernah mendiami banglo dua tingkat di Lebuh Acheh.
Jalan sama turut menempatkan Masjid Melayu Lebuh Acheh, manakala Lebuh Armenian pula mendapat namanya daripada warga Armenia berketurunan Yahudi, Sarkies, yang bertanggungjawab membuka hotel The Eastern & Oriental yang amat popular sekitar 1920-an.
Pertembungan Timur dan Barat dapat disaksikan dengan jelas jika anda singgah ke Muzium Peranakan Pulau Pinang di Jalan Gereja. Menariknya, pemilik rumah agam ini adalah Kapitan Chung Keng Kwee, ketua puak Hai San, yang terbabit dalam Perang Larut antara 1860-an dan 1884.
Walaupun bukan berasal daripada keturunan Baba hartawan yang meraih kekayaan hasil perlombongan bijih timah di Perak ini membina rumah yang sarat dengan jiwa Peranakan ini pada abad ke-19.
Pengunjung dapat menyaksikan pakaian, perabot dan pinggan mangkuk yang digunakan bagi menggambarkan kedudukan ahli keluarga masyarakat atasan ketika itu. Malah, rumah itu turut menempatkan koleksi kebaya dan kuil untuk acara keagamaan keluarga besar ini.
Kongsi Khoo berusia lebih 100 tahun di Lebuh Cannon pula membawa pengunjung mengembara ke Dinasti Ching dengan reka bentuk bangunannya seperti perkampungan Cina pada abad ke-19. Kuil dalam kongsi ini pernah diabadikan dalam satu babak filem Hollywood, lakonan Jodie Foster pada 1999.
Menariknya, kompleks kediaman yang dilengkapi pentas opera, rumah kedai, pejabat pentadbiran ini juga mempunyai pertalian dengan tokoh perniagaan terkemuka negara termasuk Tan Sri Francis Yeoh dan aktres antarabangsa, Datuk Michelle Yeoh.
INFO
>Tapak Warisan Dunia meliputi bangunan bersejarah di Lebuh Acheh, Masjid Melayu Lebuh Acheh,
Masjid Jalan Mesjid Kapitan Keling, Goddess of Mercy Temple, Kuil Mariamman Temple, Kongsi Khoo, Gereja St George dan Assumption Church.
>Selain itu, St Xavier’s Institution, Convent Light Street, Little India, muzium dan mahkamah, bangunan komersil sepanjang Beach Street, Fort Cornwallis, Esplanade, City Hall dan perkampungan air di Weld Quay.
>Jejak warisan Pulau Pinang mengambil masa antara dua dan tiga jam. Selain menghayati bangunan warisan, pengunjung boleh mencuri masa untuk mengunjungi kedai di sepanjang Jalan Masjid Kapitan Keling sehingga ke Lebuh Pasar.
>Selain hidangan nasi kandar, pastikan anda singgah untuk menikmati rojak pasembor dan laksa di medan selera berhampiran dengan Esplanade atau gerai penjaja di Gurney Drive.
* Kunjungan wartawan dari ibu kota ke Pulau Pinang diaturkan oleh Tourism Malaysia sempena dengan Zoom Travel Fair 2009.
RUJUKAN PERCUTIAN
Tourism Malaysia
Tel : 03-2615 8188
Faks: 03-2693 5884 / 2693 0207
Talian Pelancongan: 1-300-88-5050
Emel: enquiries@tourism.gov.my
www.tourism.gov.my
Harian Metro
Bintang Idola Berita Harian: Tuah Gadis Tinggi Lampai
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin | Gambar: Ihsan Persatuan Akademi Industri dan Muzik

PESERTA Bintang Idola Berita Harian bergambar kenangan dengan sekretariat ABPBH 2008 selepas pertandingan di Pasir Gudang.
Farlyana Mohamad yang pernah menganggotai kumpulan South Trio dinobatkan sebagai juara di Pasir Gudang
PENGALAMAN yang ditimba dari program realiti Gang Starz 2 tahun lalu barangkali memberi sedikit kelebihan kepada gadis berusia 16 tahun, Farlyana Mohamad untuk mempamerkan kekuatannya apabila namanya diangkat sebagai johan Bintang Idola Berita Harian (BIBH) edisi Pasir Gudang, Ahad lalu.
Gadis yang pernah menganggotai kumpulan South Trio itu memukau juri dengan kelantangan vokalnya tatkala mendendangkan lagu milik Agnes Monica, Matahariku. Kemenangan itu sekali gus melayakkan Farlyana membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500, barangan kemas tajaan Rafflesia The Pearl Centre bernilai RM1,000 berserta sijil.
Gadis yang menetap di Bandar Sri Alam itu berkata, dia memilih lagu milik penyanyi dari seberang itu untuk menonjolkan kekuatan vokalnya di samping populariti lagu berkenaan.
Farlyana yang mula mengikuti pertandingan nyanyian sejak berusia 4 tahun menyertai BIBH atas saranan ibunya. Biarpun pernah menimba pengalaman lebih besar di kaca televisyen, bagi Farlyana bukanlah sesuatu yang memalukan menyertai pertandingan seperti BIBH.
Sebaliknya dia menganggap pertandingan ini cukup istimewa kerana memberi peluang kepada mereka yang bergelar juara antara juara untuk beraksi di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang cukup berprestij.

Farlyana Mohamad
“Saya tidak akan jemu menyertai pertandingan nyanyian sehinggalah saya mencapai impian yang dimahukan. Saya menyertai BIBH tentulah dengan harapan untuk menang tetapi saya tidak berasakan diri saya istimewa atau mempunyai kelebihan daripada rakan-rakan lain hanya kerana pernah menyertai Gang Starz.
“Bagi saya pengalaman kami semua sama, kekuatan vokal kami juga setara. Saya masih lagi perlu banyak belajar. Kritikan yang juri berikan tadi saya terima dengan positif dan akan cuba saya perbaiki lagi,” katanya yang akan berlatih bersungguh-sungguh untuk menghadapi pertandingan antara juara yang bakal diadakan 5 April depan di Klang Parade.
Pertandingan BIBH yang diadakan di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, lokasi sama siri jelajah ABPBH 2008 diadakan itu menerima sebanyak 75 penyertaan. Pertandingan peringkat akhirnya diadili oleh Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah; wartawan murai.com.my, Haswari Ali dan pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim.
Haswari yang ditemui berkata, peserta Pasir Gudang kurang kepelbagaian, namun mereka mempunyai kelebihan dari sudut vokal.
“Peserta di Pasir Gudang kurang kepelbagaian mungkin disebabkan ramai sudah terdedah kepada uji bakat program realiti dan mereka lebih berminat menyertai program sedemikian. Bagaimanapun menilai dari sudut vokal, kebanyakan daripada mereka memiliki vokal yang baik,” katanya.
Pemenang tempat kedua yang juga jatuh kepada gadis remaja, Sharifah Shahira Syed Abdul Malik, 15, yang bersekolah di Taman Tun Aminah, Skudai berkata, dia menyertai pertandingan ini atas dorongan rakan-rakan sekolah yang mengetahui mengenai BIBH.
Mendendangkan lagu milik penyanyi Ziana Zain, Bersama Akhirnya, gadis ini berkata dia tidak memandang nilai hadiah yang ditawarkan sebaliknya hanya mahu menunjukkan bakatnya kepada orang ramai.
“Saya tidak sangka boleh mendapat tempat kedua daripada 75 orang yang menyertai pertandingan ini. Saya menyertai pertandingan ini hanyalah sekadar untuk melatih diri. Namun saya belajar dari kesilapan dan akan cuba menyanyikan lagu lain pada masa hadapan,” katanya yang mula menyanyi sejak usia 6 tahun.
Dengan kemenangan itu, Sharifah Shahira membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 300 berserta sijil dan hadiah lain.
Kerani di Taman Teknologi Malaysia, Muhammad Irwan Othman, 24, tidak menyangka kepulangannya ke Johor untuk menjenguk isteri dan dua anak berusia 3 tahun dan anak keduanya 3 bulan membawa tuah kepadanya.
Katanya, dia terharu dengan dorongan isterinya dan tanpa pengetahuannya, isterinya terlebih dulu sudah mengumpul 10 keratan logo Berita Harian yang menjadi syarat untuk penyertaan.
“Sebenarnya pada pertandingan akhir ini keyakinan diri saya kurang kerana tidak berapa sihat. Saya tidak sangka lagu Harapan milik Fazli Zainal yang sering saya bawakan sebelum ini dalam mana-mana pertandingan membawa rezeki kepada saya,” katanya yang membawa pulang wang tunai bernilai RM 200.
Hadiah kepada peserta pertandingan akhir disampaikan oleh Pengerusi Jelajah ABPBH 2008, Shamsaini Salim.
Berita Harian