Skip to content

Archive for April 2009

29
Apr

Pencarian Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008 Bermula



Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my


ANTARA pereka yang merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008

REKAAN pereka muda Sya Syaharani dan Hatta Dolmat, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) lalu, diangkat sebagai busana paling glamor. Adakah ini bererti Anugerah Pereka Fesyen Popular turut dibolot dua nama yang semakin meningkat naik ini?

Kemenangan sentuhan pereka itu dipilih Pengarang Life & Times, the New straits Times Press, Suraya Al-Attas; Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar; Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim pada malam anugerah berlangsung 12 April lalu.

Juri melihat selebriti yang menggayakan busana itu iaitu Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita dan penyanyi baru Iz OIAM yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki, sebagai kreatif, berbeza dan menepati tema, sentuhan tenun.

Setuju atau sebaliknya, pembaca berhak menentukan populariti pereka melalui undi sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH. Seramai 24 pereka bertanding dan rekaan itu diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah itu.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari lama web www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka bertanding.

Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Pereka yang menang bakal membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Sementara selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang. Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan oleh Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007. Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

Berita Harian

29
Apr

Jiwa Keras Azharina

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap

BUKAN senang memegang gelaran janda, ada saja cerita tidak baik mengenai mereka. Tiada siapa mahu mahligai dibina hancur berkecai, tetapi jika itulah jalan penyelesaian kepada pasangan suami isteri yang tidak boleh lagi berkongsi mimpi sama, terimalah dengan penuh keredaan.

Azharina Azhar, 24, sendiri tidak menyangka dia akan menjadi janda pada usia muda, namun jika itu ketentuan Yang Maha Esa, penyanyi yang popular dengan lagu Elergi Sepi ini menerimanya dengan hati terbuka. Tidak perlu lagi dia mengenang kisah lalu, yang penting kini dia kembali membina hidup baru daripada kesan runtuhan semalam.

Bagaimanapun, Azharina dan bekas suami masih berbaik dan mereka kini rakan kongsi perniagaan yang diusahakannya.

“Kami bercerai cara baik dan dia tergelak baca gosip di akhbar baru-baru ini mengatakan saya berkahwin lagi. Dia mengusik saya, kenapa kahwin tak jemput? Dia juga kata, saya terlalu yakin beritahu akan berkahwin pada September.

“Saya pun tak tahu kenapa saya memilih September, tetapi menurut kalendar Cina, saya dilahirkan pada tahun kerbau dan sembilan adalah nombor bertuah untuk saya. Begitupun, saya tidaklah terlalu mempercayainya, tetapi tiba-tiba saja teringin hendak melangsungkan perkahwinan pada bulan itu.

“Asyik bercakap pasal kahwin, jodoh pun tak ada. Tetapi kawan-kawan baik saya turut terkejut baca berita saya berkahwin lagi dan tidak menjemput mereka.

“Jika benar saya berkahwin lagi, saya akan beritahu semua orang. Belajar daripada kesilapan lalu, tiada gunanya merahsiakan status diri kerana saya teringin juga hendak beranak pinak,” katanya.

Ketika ini Azharina sibuk membina semula kehidupannya, memajukan syarikat dan mempromosikan lagu baru. Katanya, tiada waktu untuk mencari pengganti, sepanjang hari sibuk dengan kerja dan aktiviti seni.

“Masa tidur itulah waktu untuk diri saya sendiri. Ketika baru menjanda dulu, ada orang masuk meminang, tetapi bapa saya beritahu lelaki itu yang anak perempuannya ini lain sikit.

“Langsung orang itu tidak jadi meminang. Sehingga ke hari ini, tiada siapa meminang saya lagi. Teringin juga hendak kahwin, tetapi tak ada orang hendakkan saya.

 

 

“Memang saya bersedih dengan kegagalan perkahwinan pertama, tetapi hidup mesti diteruskan. Takkan saya mesti terus bermuram durja.

“Bekas suami selalu berpesan kepada saya, cari suami yang baik kerana dia dulu suka memanjakan saya. Terserah kepada Allah kerana Dia lebih tahu apa yang baik buat hamba-Nya,” katanya.

Terus berkongsi isi hati, sehingga sekarang pun, Azharina dan bekas suami masih meraikan hari istimewa bersama-sama iaitu hari jadinya dan ulang tahun perkahwinan mereka.

“Kami tidak keluar berdua sebaliknya bersama kawan. Bekas suami sukar menerima hakikat yang kami sudah bercerai.

“Mana-mana insan yang sudah berkahwin pasti tidak mengharapkan perceraian terjadi dalam rumah tangga mereka. Meskipun orang sering mencaci janda seperti saya, jauh di sudut hati saya bahagia sekarang.

“Jika dikenang balik memang sakit. Untuk mengatasi kekecewaan itu, saya anggap diri ini bukan budak-budak lagi, tetapi orang yang sudah dewasa.

“Saya juga tidak pernah anggap diri janda, tetapi masih solo. Lagipun kami bercerai bukan kerana salah sesiapa, tetapi tekanan sekeliling terutama daripada keluarga bekas suami.

“Bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku kerana dengan perceraian itu dapat melancarkan kembali kerjaya seni. Empat tahun tanpa album baru.

“Bekas suami sangat menggalakkan saya menyanyi kerana katanya jika lama tidak muncul dalam arena seni suara nanti orang lupa yang saya adalah penyanyi dan bekas suami dedikasikan lagu Rawan kepada saya.

“Alhamdulillah, saya bahagia kini dengan limpahan rezeki saya dapat membeli rumah dan kereta. Apa yang diimpikan semua sudah dapat. Insya-Allah, Allah memberikan hamba-Nya kekuatan menempuh dugaan ini.

“Selain kekuatan yang diberikan Allah, kehidupan keluarga yang berpecah- belah mengajar saya menjadi manusia tabah. Saya datang daripada keluarga berantakan.

“Ibu bapa saya masing-masing berkahwin lain. Adik beradik kandung ada empat manakala adik beradik tiri sembilan orang. Dengan apa yang dilalui ketika kecil menyebabkan hati saya jadi keras dan tegas.

“Saya tidak menyalahkan ibu bapa sebaliknya berterima kasih kepada mereka yang menjadikan saya orang yang cekal. Kerana merekalah saya berjaya sekarang,” katanya.

Penyanyi bersuara serak itu sedang mempromosikan lagu single keduanya, Rasa. Dia hadir semula dalam persada seni dengan merakamkan enam lagu single bermula dengan Rawan. Lagu lain, Hei Lelaki, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi.

Lagu Hei Lelaki berkonsepkan hip hop, ciptaan dan lirik Azharina sendiri dan sepupunya, Keyneed. Ia mengisahkan pandangan wanita terhadap lelaki yang juga secara tidak langsung mewakili perasaan Azharina terhadap kaum Adam itu.

“Lirik lagu itu berdasarkan pemerhatian saya terhadap lelaki di sekeliling kita. Saya jenis yang berterus terang jadi tidak ada apa yang perlu diselindungkan mengenai lelaki dan lirik lagu itu kedengaran agak sinis serta sedikit kasar. “Kemudian akan menyusul single lain satu demi satu, Primadona, Sakarat dan Gitar Berbunyi. Semua lagu itu akan dikumpulkan menjadi album mini yang sepatutnya menyisipkan lima lagu saja, tetapi sekarang ia sudah menjadi enam. Sekali dengan penerbitan album mini itu saya akan sertakan VCD karaoke keenam-enam lagu itu.

“Kos pembikinan RM80 hingga RM100,000 dan akan diedarkan syarikat saya, Top 3 Production Sdn Bhd yang sudah dua tahun ditubuhkan. Lagu Primadona mengisahkan kehidupan saya. Oleh kerana saya mengeluarkan keseluruhan bajet untuk album, setiap lagu dan lirik yang terhasil berkaitan kehidupan saya yang pastinya turut dilalui wanita lain.

“Lagu sebegitu lebih mudah diterima pendengar kerana mungkin kami berkongsi kisah hidup yang sama. Kegagalan rumah tangga membuatkan saya kecewa dengan lelaki. Lama saya mengenali bekas suami iaitu sembilan tahun termasuk tiga tahun sebagai suami isteri. Buat masa ini walaupun ramai kawan lelaki, tetapi belum ingin mencari pengganti.

“Lirik yang saya hasilkan mengenai apa yang saya rasakan ketika itu dan tiada niat langsung hendak tujukan lagu itu kepada sesiapa. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Pun begitu saya masukkan juga cerita duka kawan-kawan. Saya yakin ramai wanita menghadapi situasi lebih kurang sama dengan saya, tetapi tidak tahu hendak meluahkan kepada siapa,” katanya.

Azharina juga bakal memasarkan semua lagunya itu ke Indonesia menerusi syarikat rakaman di sana, Lima Dua Belas.

“Saya akan cuba pasarkan lagu Rawan dulu yang akan ditukarkan tajuk dan lirik kerana ‘rawan’ dalam maksud bahasa Indonesia bererti ‘bahaya’. Kontrak sedang diuruskan dan saya perlu berhati-hati dengan cara orang sana bekerja. Bagaimanapun, saya yakin dengan syarikat ini kerana ramai penyanyi terkenal negara itu bernaung di bawahnya,” katanya.

Profil

Nama sebenar: Azharina Azhar

Nama panggilan: Nina

UMUR: 23 tahun

TARIKH LAHIR: 11 Mac 1985

TEMPAT LAHIR: Kota Kinabalu, Sabah

STATUS: Janda

TINGGI: 157 sentimeter

BERAT: 53 kilogram

SINGLE: Seandainya (2003), Elegi Sepi (2005), Tsunami Kasih (2007)

ALBUM: Azharina (2003), Nina (2005), album kompilasi Sony-BMG Goreng Pisang Panas

VIDEO: Seandainya, Elegi Sepi dan Tsunami Kasih

PENCAPAIAN: Juara Bintang RTM 2001

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5″;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194″;
innity_width = “260″;
innity_height = “230″;

Harian Metro

29
Apr

Wanita Dan Emas

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Barang perhiasan bakal menyerikan penampilan Salamiah, Atilia, Syafinaz dan Hunny Madu

WANITA dan perhiasan sememangnya cukup intim. Bagai tidak sah apabila seseorang wanita tidak menyukai barang kemas atau perhiasan. Pendek kata, tidak lengkap penampilan mereka jika tidak diserikan dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.

Empat penyampai trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-16, Salamiah Hassan, Atilia Haron, Syafinaz Selamat dan Hunny Madu turut mengakui kecintaan mereka terhadap barang kemas, terutama yang diperbuat daripada emas, berlian atau permata.

Pada kemunculan mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu ini, empat wanita terkenal ini bakal melengkapkan penampilan dengan barangan perhiasan daripada Fa’iq Jewels yang berpangkalan di Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, mereka berkunjung ke kedai barangan perhiasan berkenaan, untuk memilih sendiri aksesori sesuai dengan gaun pilihan masing-masing. Ketika semuanya terpesona dengan gemerlap emas dan kilauan berlian Fa’iq, mereka sempat berkongsi cerita mengenai minat terhadap barang kemas serta koleksi peribadi.

Kata Salamiah, dia memang menyukai barangan perhiasan yang diperbuat daripada emas, mutiara dan batu permata berharga. Dia sendiri mempunyai koleksi yang dianggap cukup bernilai lagi sentimental, seperti batu zamrud dan pertama yang berada dalam simpanannya buat sekian lama.


EMPAT selebriti ini terpesona dengan barang perhiasan Fa’iq Jewels.

“Batu zamrud itu umpamanya, dihadiahkan oleh ibu saya. Saya turut menyimpan seutas cincin berlian yang cukup lama usianya. Barangan seperti itu, semakin lama usia, semakin tinggi nilainya,” kata penyanyi veteran berkenaan yang turut mengubah suai bentuk barang kemasnya untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Jika ke kedai emas pula, kata penyanyi bersuara lunak ini, pastinya dia akan menuju ke bahagian jualan cincin terlebih dulu, di samping meneliti subang gantung yang turut menjadi hiasan pilihan.

Sama seperti ibunya, penyanyi Atilia sukakan koleksi subang dan cincin. Begitupun, sejak akhir-akhir ini, minatnya terhadap gelang tangan semakin menjadi-jadi.

“Dalam koleksi saya, paling banyak disimpan tentulah subang. Apabila kita menggayakan rambut yang di sanggul, hiasan itu akan lebih menyerlah,” ujar wanita yang mengaku boleh membeli barang kemas di mana-mana saja, asalkan ada koleksi yang memikat hatinya.


GAYA Syafinaz dengan perhiasan pilihannya.

Ditanya mengenai barang kemas paling berharga, tanpa ragu-ragu Atilia mendedahkan, seutas rantai jed yang diberikan ibunya ketika dia berusia lapan tahun ialah koleksi paling bernilai buatnya.

“Saya pasti berada dalam masalah besar sekiranya rantai ini hilang,” katanya sambil disulam ketawa manja.

Beli tidak pilih tempat

BAGI Syafinaz, dia juga tidak memilih tempat untuk membeli barang kemas atau aksesori. Pernah pada satu ketika, dia berkunjung ke sebuah pusat-beli belah di Bangkok pada awal pagi. Di situ, dia terpandang aksesori yang memikat hatinya dan tanpa berfikir panjang, barang berkenaan menjadi miliknya beberapa minit kemudian.

Syafinaz yang meminati berlian sebenarnya mempunyai pengalaman buruk apabila bercerita mengenai barang perhiasan.

“Saya mempunyai sebuah kantung yang banyak menyimpan cincin, subang dan gelang. Saya menyimpan aksesori terbabit di dalam kantung bagi memudahkan urusan penjagaan. Selalunya, saya memang akan sentiasa memeriksa kantung itu, untuk memastikan barang kemas terjaga dengan sempurna.

“Sayangnya, ada satu ketika, saya terlupa memeriksa bekas simpanan itu untuk tempoh dua minggu lamanya. Apabila saya ingin berbuat demikian, semuanya sudah hilang!” cerita Syafinaz yang enggan memikirkan sangat mengenai kerugian dialaminya itu, bagi mengelakkan kesedihan.

Kini, dia sedikit demi sedikit cuba mengumpul semula barangan berkenaan.

Penyampai radio Fly FM yang baru muncul dengan album single, Hunny Madu pula mengaku lebih gemar membeli baju dan barangan perhiasan diri di luar negara, bagi mengelakkan berlakunya persamaan dengan milik orang lain.

Sesekali terbang ke Indonesia atau Thailand, dia pasti pulang dengan beg yang sarat. Tidak berkira mengenai harga, yang penting dia memiliki barangan yang cantik dan berbeza.

“Manakala bagi aksesori pula, saya sukakan sesuatu yang agak besar dan jelas kelihatan. Contohnya, jika memakai gelang, biar ia nampak di tangan,” kata Hunny yang turut menggemari kasut edisi terhad.

Dalam bergaya, katanya, dia lebih suka tampil dengan suatu kelainan. Justeru, aksesori yang melengkapkan gayanya juga perlulah berbentuk lebih moden dan terkini. Namun begitu, wanita ini memberitahu, dia berasakan dirinya belum sampai ke tahap untuk mengumpul barang kemas daripada emas, sebaliknya lebih gemarkan aksesori yang diperbuat daripada platinum.

Berita Harian

29
Apr

Gaya Kontemporari Pengantin Asia

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Pereka fesyen daripada persatuan Pereka Bumiputera tampilkan ilham segar, memikat

BERTEMPAT di tengah Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, kiub fesyen Stylo yang berwarna putih menjadi pusat tumpuan penggemar fesyen yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan pertunjukan fesyen yang berlangsung sepanjang hari. Acara pertama bermula seawal jam 10 pagi dengan bertemakan Pengantin Asia oleh pereka tempatan, Carven Ong disusuli tiga pereka muda daripada Persatuan Pereka Bumiputera (BDA), Hazree Wahid, Rizman Ruzaini dan Amir Luqman.

Persembahan pembuka tirai oleh Rizman Ruzaini ternyata memahat memori indah tetamu apabila muse fesyen mereka, Ning Baizura tampil dengan gaun putih daripada satin Belanda kembang meleret yang cukup indah. Gimik melepaskan anak-anak burung sebaik melangkah ke pentas menjadi simbol keindahan perkahwinan di dalam taman. Dua pereka yang semakin dikenali kerana kerja tangan yang halus itu seterusnya menampilkan rekaan gaun dengan potongan kemas dan anggun. Menggunakan satin Belanda sebagai material utama, ia digandingkan dengan fabrik mewah lain seperti renda dan organza yang menampilkan potongan gaun kontemporari dan turut diselang-selikan dengan potongan tradisional seperti kebaya. Menyuntik cita rasa muda, Rizman Ruzaini turut mengetengahkan gaun pendek mahupun blaus yang digandingkan dengan skirt paras lutut. Biarpun ringkas, ia kelihatan cukup romantis dengan teknik jahitan beropol serta beralun sama ada pada lengan mahupun bawah gaun. Rona putih dan coklat muda menjadi pilihan melambangkan suasana majlis perkahwinan yang romantis.

Hazree Wahid tampil dengan rekaan anggun bercirikan potongan pakaian tradisional seperti kebaya dan kurung moden dengan butiran serta teknik jahitan menarik. Berasaskan sifon dan satin yang didatangkan dalam rona putih, potongan koleksi ini cukup ringkas.

Si dara tampil anggun dengan selendang sifon meleret yang digandingkan dengan kebaya kontemporari daripada renda Perancis serta kain sifon. Korset diperindahkan dengan perincian manik dan labuci digandingkan dengan sifon kembang memberikan sentuhan anggun.

Hazree memberikan kejutan dengan menampilkan gaun jarang daripada kain renda putih yang mendedahkan separuh bahagian tubuh. Bagaimanapun pemilihan baju dalam yang berwarna coklat kelihatan agak janggal dan mencacatkan skirt labuh yang diperindahkan dengan butiran labuci berwarna keemasan. Rekaan itu juga gagal mencerminkan tema Pengantin Asia yang seharusnya menampilkan busana anggun dan sopan sesuai dengan budaya masyarakat di sini.

Sentuhan muda dan segar diterapkan dalam kebanyakan rekaan Amir Luqman. Gaun pengantin pendek daripada satin ditampilkan dalam warna ceria seperti kuning keemasan dan putih. Kebaya merah jambu dan kuning keemasan daripada renda dan organza yang digayakan Aisyah Sinclair cukup memukau tetamu. Baju kurung moden putih daripada organza dan renda cukup menawan. Gaun kembang daripada organza yang dipintal membentuk bunga mawar menjadi antara rekaan terbaik Amir Luqman yang digayakan Aleeza Kassim. Ia membuatkan pemakainya bagaikan tenggelam dalam timbunan organza yang kembang meleret.

Persembahan Carven Ong yang ringkas dan romantis menutup tirai untuk pertunjukan fesyen ini. Seperti yang dijangka, rekaannya ringkas tanpa butiran keterlaluan dan sesekali diperindahkan dengan sedikit teknik jahitan pada sebahagian kecil gaun. Pemilihan fabrik lembut dan mewah seperti sutera, satin dan sifon, ia membuatkan langkah pengantin anggun menawan.

Berita Harian

29
Apr

Dengarnya… Peserta Pilih Kasih Ditempeleng

Oleh Normah Becok


Rosyam Nor

KELAKAR juga Cik Normah dengar cerita mengenai gelagat peserta uji bakat rancangan realiti Pilih Kasih, terbitan Suhan Movies. Setakat ini, sudah lima bandar sudah disinggahi pasukan Rosyam Nor untuk mencari pelakon baru.

Bandar itu ialah Johor Bahru, Seremban, Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu. Pada 2 dan 3 Mei pula, mereka akan membuat sesi di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Akhir sekali, pada 9 dan 10 Mei, uji bakat Pilih Kasih diadakan pula di The Spring, Kuching.

Khabarnya, pelbagai telatah dapat dirakam Rosyam dan pasukannya sewaktu sesi uji bakat terbabit. Antara yang perlu dilakukan peserta pada hari terbabit ialah menghasilkan babak lakonan berdasarkan situasi yang diberi. Maka, bermacam-macam ragam lakonan dapat disaksikan sewaktu mereka cuba menawan hati panel pemilih.

Antaranya, ada adegan tampar-menampar, serta babak yang memerlukan peserta uji bakat menunjukkan muka sedih. Rosyam khabarnya terbeliak biji mata apabila ada sebahagian peserta yang menampar betul-betul rakan lakonannya sewaktu uji bakat. Apabila sudah ditempeleng betul-betul, maka merah padam jugalah wajah si peserta yang satu lagi.

Ada pula peserta yang diminta menunjukkan emosi sedih, terus saja menangis teresak-esak. Wah! ‘gitu’! Kata Rosyam, dia sendiri pun tidak mampu berbuat demikian. Selalunya dia akan ambil masa untuk mendapatkan mood sedih. Tetapi lain ceritanya dengan peserta Pilih kasih yang boleh terus mengalirkan air mata, disertakan dengan raungan sekali. Itu belum kira peserta yang menangis sambil menyeka air mata, ala kanak-kanak ‘gitu’.

Cik Normah sendiri tidak sabar hendak menonton rancangan Pilih Kasih apabila ia dijadual menemui penonton secara langsung mulai 6 Jun ini, di TV2. Sebelum itu, rancangan berbentuk diari dikenali sebagai Kisah Pilih Kasih akan disiarkan di saluran sama, mulai 25 Mei. Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam.

Siapakah agaknya di antara ramai-ramai peserta itu, yang akhirnya dipilih Rosyam untuk menjadi pelakon yang akan beraksi di sisinya dalam filem Kekasih? Nampaknya kita kenalah tunggu sampai rancangan berkenaan tamat beberapa bulan lagi.

Berita Harian