Bersama Salbiah Ani
PUCUK pimpinan negara berpindah tangan dan membabitkan peralihan tiga tokoh penting peringkat nasional iaitu Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak di samping Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, hendaknya membawa nur gemilang kepada bahasa Melayu.
Najib memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dengan slogan Satu Malaysia dan menyaksikan beliau turun padang pada hari kedua selaku pemimpin tertinggi negara dengan meninjau kelompok marhaen China di Jalan Petaling, Melayu (Vista Angkasa) dan India (Brickfields).
Hendaknya semangat kembali ke ‘akar’ ini, turut dipanjangkan kepada orang bahasa dan sastera yang kini menangisi nasib bahasanya kerana bukan saja terpinggir dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), tetapi juga dalam acara rasmi negara.
Bahasa Melayu seolah-olah ‘kudis’ pada mata orang politik dan lebih menyedihkan apabila layanan sedemikian rupa dilakukan pemimpin Melayu, manakala bukan Melayu daripada Barisan Nasional mahupun pembangkang, masih setia menuturkannya meskipun sudah ada satu dua yang ‘murtad’.
Inilah masanya untuk Najib menunjukkan beliau dan Umno peka terhadap nasib orang Melayu seperti bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sehingga sanggup memastikan kelompok marhaen bangsanya dibela melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Pasti ramai bersetuju bahawa tahap kesabaran orang Melayu sudah sampai ke kemuncak kerana ada saja insiden yang mempamerkan perbuatan menjolok ‘sarang tebuan’, dengan terbaru agama Islam turut menjadi bahan sendaan kelompok tidak bertanggungjawab.
Selepas jenuh perkataan Allah cuba dipermainkan The Herald – The Catholic Weekly, terkini seorang pemimpin parti pembangkang peringkat negeri mempersendakan ayat suci al-Quran ketika mengadakan ceramah di Bukit Gantang dan kononnya memetik Surah al-Aura (Surah al-A’raf).
Perbuatan biadap individu ini menimbulkan kemarahan ramai umat Islam negara ini, tetapi anehnya pemimpin tertinggi sebuah parti pembangkang mempertahankan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu dan menterjemahkannya sebagai gelombang kebangkitan Islam.
Terhiris hati melihat pengiktirafan secara terbuka yang diberikan pemimpin tertinggi yang warak itu, sedangkan ketika ijtihad ulama Islam diketuai cendekiawan Islam tersohor, Yusuf al-Qaradawi, mengenai hukum haram merokok dan dipersetujui Majlis Fatwa Kebangsaan, tokoh ini membisu.
Mudahnya pemimpin ini mengeluarkan kenyataan itu, seolah-olah tertutup hati dan akal budi untuk melihat, betapa perbuatan terbabit mempamerkan kelemahan Melayu, selain lebih memilukan khalayak bangsanya termasuk berkopiah bertepuk tangan, sedang hakikatnya mereka diperbodohkan!
Sepatah kata seorang teman, sesetengah Melayu Islam mudah melihat perbuatan kafir memetik sedikit surah sebagai menerima hidayah, walhal mereka diperbodohkan secara terbuka oleh rakyat senegara dan berkemungkinan bakal memusnahkan agama serta bangsanya kemudian hari.
Apakah kita enggan belajar daripada penghinaan dan keaiban terkutuk terhadap bangsa mahupun Islam seperti pernah dilakukan Gabenor Indonesia ketika pemerintahan Belanda, Snouck Hurgronje atau hakikatnya kelompok ini buta sejarah!
Hurgronje ketika berkhidmat sebagai penasihat kepada JB van Heutsz mengatur strategi dengan pengetahuannya itu hingga mengakibatkan 50,000 hingga 100,000 nyawa penduduk awam yang tidak berdosa, lebih sejuta lain tercedera dan kecacatan seumur hidup.
Sanggupkah kita merelakan pembohongan Orientalis Belanda yang menyamar sebagai ‘Abd al-Ghaffar (1882-1885) untuk menyelinap ke Makkah bagi mendapatkan kepakaran dan memahami budaya Islam dalam usahanya membantu Belanda menjajah Aceh, tercatat dalam sejarah Malaysia?
Apakah kita juga rela sekiranya tanggapan tidak salah menggunakan nama Allah meskipun sahih lagu untuk gereja, seperti diakui penyanyi Indonesia, Agnes Monica, berketurunan Cina dan beragama Kristian, dalam mempertahankan kontroversi lagunya, Allah Peduli, turut berkembang di Malaysia?
Sesungguhnya banyak peristiwa sudah tercatat dalam sejarah bangsa di Nusantara dan turut terkandung dalam teks Karya Agung Melayu (KAM) seperti Sejarah Melayu mahupun Sulalat al-Salatin yang boleh dijadikan bahan bacaan, renungan dan bermuhasabah diri demi kepentingan bangsa mahupun agama!
Berita Harian