Setia Dengan Ipod Nano
Posted by admin on April 22nd, 2009
Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my
Sama seperti tajuk lagu popularnya Aku Masih Setia, Dia Fadila tetap setia bersama ipod Nano merah jambu yang dibelinya tiga tahun lalu.

iPOD Nano berwarna merah jambu menjadi teman setia Dia apabila kebosanan.
TUGAS sebagai pensyarah muzik di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara) dan penyanyi popular memerlukan Dia Fadila banyak berkomunikasi dengan menggunakan telefon bimbit pada satu-satu masa.
Bukan sahaja berhubung dengan pelajar dan pensyarah lain, sebaliknya wanita berusia 25 tahun itu juga akan menggunakan alat telekomunikasi untuk memudahkan perjalanan kerjaya seninya sebagai artis.
Itu hakikat yang tidak mampu disangkal oleh Dia sendiri atau nama sebenarnya Nur Nadia Fadila Abu Bakar. Bagi Dia, alat telekomunikasi seperti telefon bimbit memainkan peranan penting dalam kehidupannya yang sentiasa dilingkari kesibukan kerja.
Pelontar suara untuk lagu Andai dan Aku Masih Setia itu berkata, dia cukup mementingkan penggunaan telefon bimbit. Jika sehari alat komunikasi itu tidak berada di sisinya, aktiviti seharian seperti tidak lengkap.
“Telefon bimbit menjadi perantara untuk saya bercakap perkara rasmi dengan pelajar dan pensyarah semasa berada di Aswara.

“Kalau ada pelajar tidak memahami pelajaran yang saya ajar dalam kelas, mereka boleh terus menghubungi saya untuk bertanyakan soalan.
“Sama halnya berkomunikasi dengan tenaga pengajar di Aswara. Lantaran itu, bagi saya telefon bimbit tidak kira yang mahal atau pun yang murah, ia sangat penting dalam komunikasi hari ini,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi yang diadakan di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kerana kepentingan sebagai gajet perhubungan dan memudahkan aktiviti harianlah, Dia tidak teragak-agak untuk mempunyai dua buah telefon bersamanya pada setiap masa.
Bukan hendak berlagak, sebaliknya Dia mengakui menggunakan dua buah telefon bimbit lebih menyenangkan kerjanya. Dua gajet canggih itu adalah daripada jenama Motorola.
“Sebenarnya telefon bimbit ini tidak dibeli sendiri oleh saya, tetapi merupakan hadiah semasa saya memenangi pertandingan di Festival Melodi Emas Asean yang berlangsung di Vietnam pada tahun 2008.

TIGA gajet yang sentiasa dibawa di dalam beg tangan Dia Fadila.
“Yang seronoknya, ia nampak eksklusif kerana saya jarang lihat ia digunakan oleh orang lain,” akui Dia sambil tersenyum.
iPod elak bosan
Selain telefon bimbit, gajet lain yang perlu ada dalam tas tangan Dia adalah iPod Nano miliknya yang berwarna merah jambu.
Banyak kepentingan iPod kalau hendak diikutkan, ungkap Dia, apabila perihal gajet canggih yang berharga RM900 itu dibangkitkan.
Wanita peramah dan rendah diri itu berkata, iPod yang dibelinya sejak tiga tahun lalu di Damansara menjadi gajet terpenting untuk mengisi rasa kebosanannya.
“iPod sangat penting untuk saya mendengar lagu apabila berasa boring. Ia boleh digunakan pada bila-bila masa dan tidak kira tempat sekalipun.
“Gajet ini begitu serasi dengan diri saya. Sebelum satu-satu persembahan bermula, biasanya saya akan duduk diam di belakang pentas untuk mengkaji dan memahami lirik lagu yang ingin dinyanyikan.
“Apabila sudah menjiwai lagu-lagu itu, barulah saya berasa seronok dan teruja menyanyi di pentas,” ungkapnya yang belum bercadang membeli model iPod terbaru di pasaran kerana adiknya sudah memiliki sebuah iPod Touch.
Kosmo