Skip to content

Posts from the ‘Akademi Fantasia 6’ Category

25
May

Nadia Jawab Isu Gedik, Riz Bersyukur



Teks oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 25 MEI 2008: Bermacam pertanyaan diajukan pihak media kepada semua finalis Akademi Fantasia 6 (AF6) pada sidang media larut malam yang diadakan di Bilik VIP, Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.

Kelima-lima finalis itu kelihatan ceria, tersenyum dan ada masanya terpaku mendengar sesi soal jawab itu walaupun hakikatnya tubuh mereka sudah lesu sesudah bertarung selama 3 jam di pentas. Antara yang banyak disoal adalah Stacy dan Nadia.

Apa yang pasti kesemua graduan AF6 itu akan mengenang saat manis beraksi di stadium itu buat selama-lamanya.

Stacy – Juara

Media: Sejauh manakah pengalaman Stacy ketika menyertai program GangStarz banyak membantu anda sehingga berjaya dalam AF6?


Stacy: Pengalaman di sana banyak membantu saya untuk bekerjasama dalam sebuah kumpulan. Juga cara berhadapan dengan penonton dan kawal gementar.

Media: Adakah Stacy sudah menjangkakan akan menjadi juara?
Stacy: Saya tak pernah bermimpi untuk bergelar juara. Kerana bagi saya, pesanan cikgu-cikgu dalam AF selalu menjadikan saya seorang yang tidak cepat berpuas hati. Saya selalu ingat ada orang yang lebih hebat dari kita di luar sana.

Media: Selepas Mila bergelar juara wanita AF, sekarang giliran Stacy pula. Adakah Stacy merasakan Stacy saingan Mila?

Stacy: Dari segi nyanyian ia merupakan satu saingan yang besar. Tapi itu kan saingan secara sihat dan positif…

Media: Kehebatan seperti mana yang Stacy mahukan?
Stacy: Saya mahu jadi penyanyi yang versatile. Saya bukan saja suka menyanyi tapi juga minat menari. Itulah kepuasan saya apabila di pentas.

Riz – Naib Juara

Media: Tidakkah Riz merasa kesal meninggalkan kumpulan EqualStars dulu?

Riz: Sebenarnya kumpulan itu sudahpun dibubarkan. Kalau Riz mahu kekal bersama mereka, takkanlah Riz datang ujibakat menyertai AF6.

Media: Adakah dengan menduduki tempat kedua Riz kecewa dan merasakan kalah di tangan Stacy?
Riz: Riz tak rasa begitu. Ini semua adalah rezeki yang Tuhan berikan. Malah Riz tetap bersyukur dapat tempat kedua. Mulai sekarang Riz akan terus berusaha untuk memajukan diri dalam bidang seni.

Nubhan – Pemenang Ketiga

Media: Adakah Nubhan merasakan yang Nubhan layak menyandang tempat ke-3?
Nubhan: Saya sudah cuba melakukan yang terbaik dan memberikan sepenuh tenaga dalam diri saya. Lagipun semua keputusan di adalah di tangan pengundi AF.

Toi – Pemenang Keempat

Media: Sebagai peserta yang dah berumah tangga, bagaimana Toi rasa?
Toi: Ada masanya saya rasa berat untuk meneruskan perjuangan dalam AF tapi memikirkan ini peluang keemasan, saya tidak mahu mensia-siakannya.

Media: Adakah anda rasa anda layak dinobatkan tempat keempat?
Toi: Saya tahu saingan semuanya hebat-hebat belaka, jadi masuk final pun dah kira OK.

Nadia – Pemenang Kelima

Media: Adakah Nadia berpuas hati dengan keputusan ini kerana dilihat setiap minggu Nadia berhempas pulas?
Nadia: Nadia tak meletakkan sebarang harapan. Nadia redha kerana Nadia sudah buat yang terbaik. Sudah masuk ke final pun Nadia bersyukur kerana Nadia tahu susah payah untuk capai tahap ini.

Media: Pernahkah Nadia merasakan kurangnya orang mengundi Nadia kerana faktor kenegerian?
Nadia: Tidak, semua itu adalah soal rezeki. Tak semestinya penonton Kuala Lumpur tidak boleh mengundi Stacy dari Sabah dan begitulah sebaliknya. Ini semua sudah ditentukan Tuhan.

Media: Adakah Nadia merasakan 2 lagu rancak yang diberikan kepada Nadia menjadi faktor kekalahan Nadia?
Nadia: Nadia menerima tugasan yang diberikan dengan sepenuh hati dan Nadia dah cuba yang terbaik. Nadia tak rasa 2 lagu rancak itu membuatkan Nadia menduduki tempat ke-5.

Media: Isu gedik dan kemesraan dengan Riz mungkin membuatkan orang meluat untuk mengundi Nadia?

Nadia: Semua itu berlaku semasa Nadia dalam akademi. Nadia tak pernah terfikir nak hipokrit dan Nadia sendiri tak pernah tengok Diari AF atau apa-apa program yang ditayangkan. Nadia akui ada kalanya Nadia playful (main-main) sewaktu berada dalam AF tetapi Nadia tetap serius memikul tanggung jawab yang diberikan.


Murai

25
May

Apa Kes Hujan


HUJAN

DIVA sudah tak tahu nak kata apa lagi dengan kumpulan Hujan. Diva rasa media dah banyak kali bagi peluang. Maklumlah mereka telah mencetuskan revolusi muzik tempatan yang bermutu. Malangnya, sikap mereka tak pernah berubah.

Baru-baru ini Hujan telah membangkitkan kemarahan RTM apabila menolak untuk membawakan lagu kumpulan Sofaz dalam satu persembahan kerana mendakwa mereka ‘tak main lagu orang’.

Kerana insiden ‘menegakkan pendirian’ itu, RTM tidak jadi mengundang mereka, sebaliknya mengambil kumpulan 6ixth Sense sebagai pengganti.

Belum reda lagi isu tersebut, Hujan sekali lagi membikin hati orang industri menggelegak apabila meminta bayaran dan hak cipta daripada pihak Astro selepas pengetua Akademi Fantasia 6 (AF6), Ramli MS mahu menggunakan lagu mereka, Bila Aku Sudah Tiada untuk konsert final yang berlangsung semalam.

“Nak minta copyright daripada kami bermaksud mereka tak mendaftar di MACP. Habis radio main lagu mereka ada copyright? Kalau nak bercakap atau punya pendirian pun biarlah bertempat. Guna minda bila bercakap, bukan guna hati,” komen Ramli tentang sikap Hujan.

Tambah Ramli lagi, macam mana band-band seperti mereka nak maju kalau terus attitude dan tak menghargai bila orang lain menghargai mereka.

Diva: Orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang.

Powered by Kosmo

14
May

Bila Jimmy Jatuh Cinta

Oleh FAIZAL SAHARUNI


KERETA yang ditaja ini akan menjadi milik peribadi Jimmy tidak lama lagi.

PENGALAMAN memandu kereta jenama mewah di jalanan sebelum ini tidak membuatkan pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley terus memperkecilkan kemampuan mobil medium yang menjadi pilihan golongan pertengahan.

Bagi anak kelahiran Ipoh, Perak ini, dia hanya mementingkan keselesaan. Memang jenis kenderaan import dianggap status dan memperlihatkan aura si pemiliknya, tapi minat dan cita rasa orang boleh berubah-ubah.

Umum mengetahui, mobil mewah biasanya mengangkut graduan bidang Pentadbiran Perniagaan di Chartered Institute of Transport United Kingdom ini ke mana-mana sahaja, apatah lagi tugasnya sebagai ahli perniagaan memerlukan dia ke merata tempat bertemu klien.

Begitu pun, Jimmy Shanley Norjahan Saleh atau lebih dikenali sebagai Jimmy mengakui cukup seronok dapat memandu kereta pacuan empat roda Hyundai Santa Fe V6 tajaan Hyundai yang digunakan sepanjang pelayaran Akademi Fantasia 6 (AF6) bermula awal Mac lalu.

“Ibarat jatuh cinta pandang pertama,” kata Jimmy ringkas semasa ditemui dalam sesi fotografi Ini Mobilku yang berlangsung di sekitar Pusat Penyiaran Astro baru-baru ini.

Hyundai Santa Fe selesaTerdapat persoalan yang bersarang di hati, apakah Jimmy selesa memandu kereta Hyundai sementelah tangannya terbiasa memegang stereng kereta buatan antarabangsa?

“Hyundai Santa Fe ini selesa sangat. Dulu saya tengok memang tak suka, tapi sekarang pemikiran saya mulai berubah,” tutur Jimmy tulus.

Sambung jejaka berusia 28 tahun ini, dia mengkhabarkan berita mendapat tajaan kereta tersebut kepada abangnya, malah bibir Jimmy tidak henti-henti menceritakan pelbagai kehebatan tentang kenderaan itu.

“Saya beritahu abang mengenai keunikan Hyundai Santa Fe, namun tidak lama kemudian abang ambil keputusan membeli kereta itu bagi kegunaan syarikat.

“Lagipun barang gantian kereta ini senang nak cari, tiada masalah langsung sebab jenamanya pun dah mendapat kepercayaan pengguna.

“Ia juga tidak terlalu tekankan ciri teknologi yang terlampau canggih hinggakan kita sendiri pun pening kepala.

“Ia benar-benar mesra pengguna. Saya tak terkejut kalau lepas ini ramai yang akan beli Hyundai Santa Fe,” jelasnya panjang lebar berkaitan personaliti kereta itu.

Kenangan di kampung SaidaBak ada kebenarannya, mata anak kacukan Melayu-Australia ini terus bercahaya tatkala berborak lebih lanjut mengenai kenderaan berharga kira-kira RM160,000 itu.

“Walaupun Hyundai Santa Fe ini lebih terarah kepada kereta keluarga, namun saya tak kisah. Asalkan kondisinya luas dan lebar, ia sudah menggembirakan hati saya.

“Sepanjang dua bulan memandu kenderaan ini ke seluruh Malaysia termasuklah sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang, saya dapati minyaknya juga menjimatkan.

“Pengalaman ke merata negeri itulah yang tak dapat saya lupakan. Hyundai Santa Fe ini miliki banyak ceritanya tersendiri.

“Saya gunakan kereta ini sambil membawa bekas pelajar AF6 pulang ke kampung halaman masing-masing menerusi program Trek Selebriti yang saya kendalikan.

“Kenangan yang paling tak dapat saya lupakan sewaktu pergi ke kampung kakak Datuk Siti Nurhaliza, Saida yang terletak di Kuala Lipis, Pahang baru-baru ini.

“Itulah saat yang paling saya ingat dalam fikiran,” ungkap Jimmy yang dilahirkan pada 13 Julai 1980 berterus-terang.

Pandai ‘baiki’ keretaGolongan lelaki biasanya dikaitkan memiliki kemahiran membaiki kenderaan. Bukan sekadar tahu memandu di atas jalan raya dengan penuh gaya.

Selok-belok dan ‘jiwa’ kenderaan mereka seharusnya perlu difahami dengan mendalam andainya terdapat sebarang kemungkinan yang menimpa ke atas mobil itu.

Jimmy dengan sepenuh keyakinan memberitahu, dia pandai membaiki kenderaan jika keretanya mengalami sebarang masalah dan kerosakan.

“Saya paling pandai telefon mekanik. Itulah yang saya tahu,” pintas Jimmy berseloroh memecah keheningan petang itu.

Sambung Jimmy yang baru sahaja memakai pendakap gigi, nombor-nombor telefon bengkel baiki kenderaan ada dalam simpanannya bagi melicinkan urusan kalau mobilnya ditimpa ‘bencana’.

“Pernah pandu kereta yang tiada tayar simpanan sebelum ini dan akibatnya saya kena keluarkan banyak duit untuk panggil kereta penunda.

“Saya tak nak perkara sama berulang,” ujar Jimmy yang gemar mendengar lagu dendangan Estranged tatkala memandu.

Tiada masa ubah suai keretaKesibukan kerja mengendalikan syarikat milik keluarga dan komitmen sebagai pengacara dan penyampai Radio Era membuatkan Jimmy terpaksa memendamkan minat mengubah suai kereta.

“Dulu saya memang suka ubah suai kereta, tetapi sejak kebelakangan ini hobi itu dah hilang sedikit demi sedikit.

“Dengan jadual yang padat dan sentiasa penuh, mana mungkin saya nak habiskan masa mengindahkan kereta.

“Kini saya mengamalkan prinsip asalkan kereta boleh jalan, bergerak dan dapat mengangkut saya ke tempat yang ingin dituju, ia dah mencukupi.

“Tiada istilah nak bikin-bikin kereta sekarang ini. Saya cuma harapkan dapat sampai ke sesuatu destinasi dengan cepat dan selamat,” jawab Jimmy yang gemar membasuh mobilnya di kedai mencuci kereta.

Sebelum mengakhiri pertemuan, Jimmy memberitahu penulis dia akan membeli kereta tajaan Hyundai dengan rona perak itu selepas kontrak tamat tidak lama lagi.

Begitulah penangannya bila Jimmy sudah jatuh cinta.

“Saya akan beli Hyundai Santa Fe ini. Dah selesa dan serasi dengan kenderaan itu. Rasa sayang pula nak lepaskan ‘dia’ pergi ,” akui Jimmy yang mengimpikan Ferrari Modena 360 menjadi milik mutlaknya suatu hari nanti.

Powered by Kosmo

11
Mar

Kakak Siti Nurhaliza Antara Calon Baru AF6

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR 10 Mac – Siti Norsaida Tarudin, 32, yang juga kakak kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih antara 25 orang calon pelajar Akademi Fantasia 6 (AF6) yang akan mula siarannya 17 Mac ini.

Bukan itu sahaja, percubaan seorang ibu tunggal dan nenek kepada dua orang cucu, Hairina Abd. Halim, 44, juga membuahkan hasil apabila turut terpilih dan dikatakan bakal memberi saingan hebat untuk musim ini.

Penyertaan Hairina atau Rina yang mempunyai pengalaman 25 tahun menyanyi di kelab malam itu membuktikan langkah Astro membenarkan had umur 45 tahun untuk menyertai program realiti TV itu dipandang positif.

Pengumuman kesemua calon pelajar tersebut dilakukan di salah sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Pada majlis yang sama juga, Astro turut mengumumkan Fauziah Ahmad Daud atau Ogy dan penyanyi terkenal, Ning Baizura sebagai pengkritik tetap yang akan menilai persembahan para peserta pada konsert mingguan yang akan bermula 22 Mac depan.

Namun begitu, kesemua 25 calon pelajar itu akan disaring selama tiga hari bermula esok oleh pengetuanya, Ramli MS dan barisan tenaga pengajar yang lain dalam memilih pelajar yang terbaik.

“Saringan tersebut merangkumi penyertaan calon-calon berkenaan dalam sesi orientasi dan kelas-kelas tertentu sepanjang tiga hari tersebut di satu tempat yang dirahsiakan.

“Di peringkat ini jugalah, Ramli MS dan jenteranya akan menilai peserta yang memang layak dan terbaik sebelum diserapkan menjadi pelajar AF6,” jelas Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Amirullah.

Tambahnya, penonton dan peminat AF akan dapat mengetahui senarai akhir yang akan diumumkan oleh pengacara, Sarimah Ibrahim menerusi Tirai Akademi Fantasia Episod 3 yang akan disiarkan 16 Mac ini di saluran Astro Ria bermula pukul 8.30 malam.

Zainir turut memberitahu penyertaan bagi AF6 merupakan antara yang tertinggi berbanding lima musim lalu apabila pihaknya menerima lebih daripada 6,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi uji bakat.

AF6 akan dimulakan dengan Diari Akademi Fantasia yang bermula pada 17 Mac depan manakala konsert mingguan yang akan dihoskan oleh AC Mizal pula akan diadakan setiap malam Sabtu bermula 22 Mac ini.

Powered by Utusan Malaysia