Pejabat Bergerak Aznil
Oleh FAIZAL SAHARUNI
DIA dan urusan kerja bagai tidak boleh dipisahkan. Kalau tugasan tidak ada dalam agenda harian, maka pincanglah hidup manusia bernama Aznil Nawawi yang ‘ketagih’ untuk bekerja ini.
Ada kebenarannya, Perunding Kreatif Astro ini sudah punya segala-gala. Apa lagi yang diingin Aznil sedangkan dia kini berada dipaksi kemasyhuran hinggakan empunya badan berhasil meraih gelaran pengacara nombor satu negara.
Bukan bersikap tamak haloba dan mementingkan diri sendiri sehingga menutup pintu rezeki artis lain, sebaliknya anak jati Kuala Lumpur yang penuh ambisi ini bijak mencatur segala rancangan untuk hari seterusnya.
“Saya boleh gila kalau tak bekerja,” luah Aznil dengan jiwa bergelora semasa diwawancara Kosmo! di kediamannya di pinggir ibu negara baru-baru ini.
Menjadi insan nombor satu dalam bisnes hiburan tanah air dan disanjung pemujanya tidak sesekali membuatkan lelaki berusia 46 tahun ini alpa atau riak.
Sebaliknya, tabiat merendah diri, gigih bekerja dan berpijak di bumi nyata terus menjadi amalan serta santapan hariannya.
SELAMAT datang ke pejabat saya.
“Saya pentingkan kerja. Jadual saya agak padat sampaikan terpaksa buat beberapa tugasan dalam kereta,” ungkap penyampai Radio ERA ini.
Mesyuarat dalam keretaMenggunakan Nissan Elgrand Impul 455 sejak setahun lalu, beritahu Aznil, mobil buatan negara Jepun itu banyak membantu pergerakannya ke merata tempat.
“Kenderaan ini ibarat rumah kedua. Ia sungguh selesa dan sesuai untuk perjalanan jauh. Kalau ada pertunjukan di luar kota, Nissan Elgrand inilah yang mengangkut saya.
“Sekiranya menjalani penggambaran di kawasan pedalaman yang tidak sediakan kemudahan bilik, saya boleh tukar baju dan bersiap dalam kenderaan.
“Selalunya pembantu peribadi saya yang akan pandu kereta ini. Saya hanya duduk di belakang, merehatkan diri seketika sambil membaca akhbar serta majalah.
“Saya pun boleh tidur lena sebab kereta ini kondisinya besar, jadi saya bebas lakukan apa saja dengan keluasannya itu,” kata Aznil membahas kepentingan Nissan Elgrandnya.
TAHU ke Aznil nak tekan butang mana satu?
Adakalanya Aznil sempat mengadakan mesyuarat dalam mobil kesayangannya dengan rona hitam itu.
“Jangan terkejut, saya pernah adakan perjumpaan dengan klien dalam Nissan Elgrand itu sambil dipandu mengelilingi sekitar Kuala Lumpur.
“Memang menyeronokkan kerana kereta ini memberi banyak kenangan yang sukar dilupakan dalam ingatan,” tambah Aznil.
Tidak lena fikir Nissan ElgrandMengimbas saat hati terdetik untuk memilih Nissan Elgrand itu untuk berdampingan dengan dirinya, beritahu Aznil, pada mulanya dia ternampak kelibat kereta itu meluncur megah di jalanan.
“Saya tengok reka bentuknya cantik dan menawan. Saya ini jenis manusia yang tak boleh berhenti berfikir dalam masa tiga hingga empat hari mengenangkan sesuatu benda yang saya suka.
“Selagi tak dapat, terbayang-bayang saja. Lepas itu saya tengok potensi kereta berkenaan dalam aspek kewangan dan lihat sama ada ia dalam senarai kemampuan saya atau pun tidak,” jelas Aznil.
DALAM sibuk dan jadual padat, Aznil sempat tonton DVD kegemarannya.
Mendasari sisi sebenar hos yang cukup sukses ini, Aznil tidak mahu dilabel lupa daratan atau sekadar ingin berlagak dengan kemewahan yang ada.
“Kalau boleh saya tak mahu dianggap menunjuk-nunjuk oleh masyarakat. Lama jugalah membuat keputusan sebelum beli kereta ini.
“Akhirnya saya nekad nak beli juga. Lagipun dah lama saya kepingin untuk beli kenderaan baru,” jawab Aznil enggan berselindung.
Alahai Aznil, peminat pun sedia maklum sukses penyanyi kesayangan mereka yang terkenal menerusi lagu Profesor Klon ini.
Selayaknya mobil itu menjadi ganjaran utama atas tiap titisan peluh yang mengalir selama ini, menjaja suara dan bakat kepada khalayak tanpa mengira penat dan lelah.
Jarang memandu sendiriSengaja menebak, barangkali bapa terhangat kepada dua cahaya mata, Fildza Haifa, 18, dan Fariq Haizen, 13, jarang memegang stereng kereta disebabkan dia ada pemandunya sendiri yang membawa ke destinasi yang ingin dituju.
Pun begitu Aznil mendedahkan, ada waktunya dia suka memandu sendiri daripada meminta pertolongan pembantu peribadi.
HAI, tidur pun sempat pose ke Nil?
Biasanya Aznil akan mengguna kudrat sendiri memandu semasa menghabiskan waktu senggang bersama anak-anak.
“Ada juga saya pandu kereta sendiri, tapi jarang sangatlah. Komitmen kerja saya saja dah cukup penuh dan sibuk.
“Saya cuma bawa kereta hujung minggu, itu pun kalau tiada sebarang tugas pada hari berkenaan,” ujar pengacara rancangan kanak-kanak popular, Tom Tom Bak ini.
Dalam pada itu, Aznil kurang senang tatkala berbicara perkara buruk tentang kenderaannya itu termasuklah kata-kata yang terlahir dari bibir orang lain tentang perancangan hendak menjual Nissan Elgrand itu setelah dia membeli mobil baru.
“Saya tak selesa cerita soal jual kereta. Saya tak rasa ia bagus untuk diucapkan. Walaupun hanya sebuah kereta, ia juga ada perasaan dan boleh merajuk.
“Tak tahulah bagaimana naluri sebegini boleh timbul, tapi saya cukup percaya bahawa pemilik kereta tidak boleh bercakap sesuatu kurang elok dengan mobilnya,” kata Aznil tegas.
Selain jadual kerja lain yang sedia menanti dan menjadi satu petanda rezekinya belum surut, Aznil tetap mahu mengabdikan diri dalam bidang ini selagi masih dikurniakan kesihatan yang bagus.
“Saya mahu buat kerja amal dan mendekatkan diri kepada masyarakat.
“Tak terkecuali, saya akan jalankan bengkel-bengkel berkaitan dunia hiburan khususnya untuk menjadi seorang pengacara yang baik,” azam individu yang disayangi oleh jutaan rakyat Malaysia ini dengan cukup berhemah.
Powered by Kosmo
Personaliti: Ustaz Dzul Dakwah Guna Multimedia
SAMPAIKAN ILMU: Dzulkarnain (kiri) bersama Hassan Mahmood yang menjadi tetamu program Kalam Suci.
Manfaat program bual bicara tarik semua lapisan masyarakat dalami ilmu al-Quran
BERCERAMAH, mengajar al-Quran, mengelola jemaah haji dan umrah, mengacara program televisyen, mencipta lagu hingga merancang majlis perkahwinan, semua dilakukan atas alasan membuktikan Islam adalah agama syumul yang berkait rapat dalam setiap aspek kehidupan umatnya.
Berpegang kepada prinsip, jika orang lain boleh buat kenapa orang Islam tidak boleh, mendorong pengelola haji dan umrah, Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz, 43, mencuba pelbagai perkara termasuk mempelajari teknologi multimedia untuk dimanfaatkan dalam setiap urusan dilakukannya.
Jika dulu hanya berceramah di depan jemaah dan mengajar al-Quran, tetapi berkat kesungguhan belajar serta berani mencuba, beliau mampu mengendalikan peralatan audio serta membuat rakaman ceramahnya sendiri.
Malah, sesi ceramahnya turut dilengkapi peralatan yang membolehkan hadirin menonton tayangan animasi hasil karya beliau yang bukan saja bertujuan menarik minat, juga sebagai nota tambahan yang menguatkan mesej disampaikan.
Bukan itu saja, majlis perkahwinan yang dirancangkan beliau bersama teman turut menggunakan kelebihan penggunaan lampu, asap serta alunan zikir irama kemelayuan diiringi kumpulan pemuzik.
“Orang kata Ustaz Dzul ini pelik. Sebenarnya, saya nampak teknologi mampu bantu buat orang dengar. Oleh itu, kenapa saya tidak gunakan teknologi untuk menyebarkan ilmu jika dengan itu akan memudahkan saya menyentuh jiwa mereka.
“Saya yang pertama menganjurkan Konsert Malam Kesenian Islam di Masjid As-Syakirin KLCC sempena menyambut kemerdekaan sejak tiga tahun lalu. Program yang menggabungkan ceramah dan hiburan berjaya menggamit ribuan orang datang,” katanya.
Katanya, ayat al-Quran serta zikir adalah penyembuh dan beliau menggunakan kecanggihan teknologi untuk menyentuh jiwa orang yang mendengar kerana apabila jiwa sudah disentuh, maka mudah melentur hati mereka.
Justeru katanya, pemilihan sebagai pengacara program Kalam Suci yang disiarkan di saluran 106 Astro Oasis memberi kelebihan kepadanya untuk mencapai satu lagi golongan iaitu mereka yang ingin mempelajari cara membaca al-Quran dengan betul.
Dazulkarnain berkata, program yang disiarkan setiap Khamis jam 10 malam, memberi peluang peserta yang menelefon membaca al-Quran, memahami hukum dan menjelaskan kembali hukum dengan bantuan tetamu jemputan.
Pada episod pertama yang disiarkan Khamis minggu lalu, tetamu jemputan ialah Hassan Mahmood Al-Hafiz yang turut menjelaskan kepada penonton mengenai sebab turunnya ayat dan ilmu dhobit (tanda baris yang ada dalam al-Quran).
Program Kalam Suci juga banyak menggunakan grafik dan gambar rajah sebagai pemudah cara bagi membantu penonton yang baru hendak mendekati al-Quran supaya dapat memahami apa disampaikan dengan lebih berkesan.
“Apabila berceramah, hanya golongan tertentu saja yang datang. Ketika mengendalikan ibadat haji dan umrah, hanya membabitkan jemaah haji dan umrah saja. Peluang mengacarakan Kalam Suci, saya harap dapat menarik semua golongan.
“Pendekatan program ini juga agak santai kerana kita hendak menarik penonton termasuk yang baru belajar membaca al-Quran supaya mereka tidak berasa kerdil dan bagi yang sudah pandai, dapat mempertingkatkan bacaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman mengendalikan jemaah haji di Tanah Suci Makkah dengan amalan berzikir dan bacaan ayat al-Quran hingga berjaya menyentuh jiwa mereka dimanfaatkan untuk program berkenaan.
Katanya, alunan zikir yang indah dan halus mampu melentur serta memujuk hati yang jumud, beku dan kaku. Apabila jiwa sudah tersentuh, adalah mudah untuk mendekatkan mereka kembali kepada jalan Allah.
Mendekati anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu, banyak pengalaman dilalui beliau yang pernah menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif berceramah serta mengelola jemaah haji dan umrah.
Pembabitan beliau secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka.
Malah, beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Pada 1985, beliau mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi.
Walaupun bersekolah di sekolah menengah aliran Inggeris, kecintaan terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.
Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.
Pengalaman berdakwah ditimba ketika bertugas sebagai guru agama Kagat kerana selain memberi ceramah, beliau juga bertindak sebagai imam, bilal, pentadbir, menjadi jurunikah serta menguruskan jenazah.
Tugas semua dalam satu itu mendedahkan beliau kepada banyak perkara yang kini dipraktikkan apabila dijemput memberi ceramah, mengendalikan program motivasi, sebagai tetamu program agama di televisyen dan aktiviti dakwah yang lain.
Pengalaman menarik turut dikongsi beliau ialah ketika berdakwah di setiap kem tentera Malaysia yang bertugas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Batambang, Kemboja yang dikelilingi tentera Khmer Rouge pada 1992.
“Tugas saya nak bagi kekuatan iman kepada tentera kita. Maklumlah, negara tengah perang banyak gejala tidak sihat yang mungkin mempengaruhi tentera di sana. Bercakap dengan tentera saya guna pendekatan banyakkan unsur jenaka untuk menarik minat mereka.
“Berdakwah dalam suasana perang, saya banyakkan qiamulail sebab kekuatan manusia ini ialah apabila bangun tengah malam. Alunan zikir memujuk hati kita untuk cinta kepada Allah. Setahun tiga bulan di sana, saya rasa kesan tarbiah apabila melihat perubahan mereka,” katanya.
Dzulkarnain berkata, mengelolakan jemaah haji di kalangan golongan atasan juga memerlukan beliau memahami kerenah manusia terutama ketika berada di rumah Allah supaya niat mereka menunaikan rukun Islam kelima itu mendapat keberkatan.
Justeru, selain ilmu psikologi beliau menggunakan zikir dan ayat al-Quran yang diajarkan kepada jemaah sebagai usaha melentur sifat ego serta mementingkan diri supaya mereka sedar tujuan kehadiran di Tanah Suci itu.
Kini, melalui program Kalam Suci beliau berharap dapat memujuk hati penonton untuk belajar ilmu al-Quran dan pada masa sama meneruskan minat dalam bidang seni termasuk mencipta lagu di samping melihat peluang merealisasikan cita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri.
Katanya, kemampuan pengacara Aznil Nawawi dan AC Mizal menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas, mengikuti program mereka, menguatkan semangat beliau untuk menghasilkan program berunsur keagamaan yang boleh menarik pembabitan semua ahli keluarga.
“Pastinya program saya tidak sama dengan mereka, tetapi apa yang saya idamkan, program itu mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Saya selalu berkata, jika mereka boleh tentu saya boleh.
“Saya juga hendak lari daripada konsep kalau ustaz mesti duduk. Dunia berubah dan begitu juga program agama, perlu keluar dari kepompong. Cuba nampakkan Islam boleh buat untuk Islam itu sendiri,” katanya yang mengakui memang suka menonton televisyen dan menghadap komputer pada masa lapang.
Profil
Dzulkarnain Hamzah
Tarikh lahir: 19 April 1965
Tempat lahir: Kampung Jasin, Melaka
Pendidikan: Ijazah sarjana muda dalam bidang tahfiz Jamiah Islamiah Madinah.
Isteri: Junaidah Zakaria, 35
Anak: Mohd Ikram, 19 Rabiatul Adawiyah, 16 Abdul Mughni, 11 Fathur Rahman, 7 Juyairiah, 5
Powered by Berita Harian
Dunia Kanak-Kanak Zoey
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
MENATAP raut wajahnya, bagaikan budak belasan tahun yang masih bersekolah menengah.
Namun, siapa sangka Mohd Hairey Azhar atau mesra disapa abang Zoey di kalangan peminat cilik sebenarnya sudah berusia 23 tahun selain pemegang diploma dalam Rekaan Hiasan Dalaman.
Barangkali kerana tuah berwajah comel, memudahkan laluan Zoey membina karier sebagai pengacara program kanak-kanak, Gerak Geri Gasing (GGG) yang disiarkan menerusi saluran Astro Ceria, meskipun itulah pengalaman pertama beraksi di depan kamera.
Melaluinya, Zoey mendaki populariti dalam sekelip mata dan menjadi pengacara kesayangan penonton cilik. Bayangkan, dek kerana kerana terlalu teruja melihatnya ada peminat bertindak agresif sehingga menyebabkan Zoey jatuh longkang.
“Mereka berasak-asak mahu bergambar dan mengambil autograf saya sehingga makin lama semakin ke belakang sehingga jatuh ke longkang. Kelakar betul waktu itu namun ia pengalaman cukup manis yang tidak mungkin saya lupakan.
“Sebenarnya saya tidak pernah merancang menjadi pengacara sebaliknya sekadar mencuba nasib pada sesi uji bakat GGG. Itupun atas desakan abang yang berkali-kali mahu saya mencuba.
“Bagi orang yang tiada pengalaman langsung, memang mengejutkan apabila dimaklumkan terpilih walhal pada hari uji bakat ramai artis remaja dan bintang Akademi Fantasia yang datang.
“Namun entah apa agaknya yang produser nampak pada saya sehingga berani memberi kepercayaan ini untuk saya galas. Alhamdulillah, diam tak diam sudah masuk musim ketiga saya mengendalikan program itu,” katanya.
Tidak ingin selama-lamanya dikenali sebagai pengacara program kanak-kanak, duta Astro Ceria selama dua tahun ini juga memasang impian mengendalikan program hiburan yang mensasarkan kelompok remaja dan dewasa. Atau erti kata lain menjadi pengacara versatil.
Bagaimanapun, dalam merancang perjalanan seninya pemuda kelahiran Besut, Terengganu yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idola tidak pula berasa bosan dikelilingi kanak-kanak.
“Sememangnya saya selesa mendampingi kanak-kanak kerana saya sendiri sukakan budak-budak. Malah, setiap musim saya bertambah yakin dan selesa mengemudi GGG.
“Barangkali orang ramai mempunyai persepsi mengacarakan program kanak-kanak tidak mencabar atau tugas mudah tetapi tidak semua pengacara mampu mengendalikan program sedemikian.
“Kanak-kanak adalah manusia paling jujur. Mereka akan melakukan apa saja yang diinginkan dan tidak pandai menyembunyikan perasaan.
“Contohnya dalam GGG, ada peserta yang terlalu emosi apabila kumpulan mereka tewas. Segelintirnya pula terlalu aktif, tidak kurang yang pemalu sedangkan kamera mahu merakam ‘mood’ dalam keadaan terkawal dan ceria.
“Justeru, sebagai pengacara saya perlu memainkan peranan bukan saja dalam memastikan program berjalan lancar malah untuk membuatkan mereka selesa berhadapan dengan kamera,” katanya.
Sempena musim cuti sekolah Mei nanti, Zoey akan kembali ke rakaman GGG musim ketiga yang tampil dengan beberapa kelainan. Hadiah yang disediakan lebih lumayan berbanding tahun lalu.
Beberapa perubahan turut dilakukan, jika dulu warna kuning, merah, biru dan hijau diguna sebagai nama kumpulan, untuk musim terbaru ini ia diubah kepada nama produk keluaran Steadtler selaku penaja musim kali ini.
“Bukan itu saja, peserta juga akan digandingkan dengan selebriti cilik Astro seperti pelakon Hikayat Putera Shazlan dan Geng Bas Sekolah sebagai satu pasukan.
“Lebih menarik, hadiah yang disediakan juga lumayan kerana peserta berpeluang memenangi komputer riba dan telefon bimbit,” katanya.
Pernah berjinak-jinak dalam dunia komersial sebagai model iklan sebelum bergelar pengacara, anak keempat daripada lima beradik yang semuanya lelaki ini turut mengasah bakat dalam bidang lakonan.
Bermula dengan Impian Ilyana, Zoey kemudian dilamar membintangi siri terbitan Ace Motion Pictures, Bong, yang memenangi Drama Komedi Terbaik di Anugerah Skrin 2007 diikuti Fara.
Terbaru, Zoey sedang menjalani penggambaran drama Putera Asmara yang turut dibintangi artis popular antaranya, Watie Elite, Intan Sarafina dan Zamarul Hisham.
Tidak lama lagi dia juga bakal menjalani penggambaran drama Impian Ilyana musim keempat dan difahamkan peranannya kali ini lebih besar berbanding musim pertama.
“Saya tidak pasti bagaimanakah jalan cerita atau konflik yang berlaku pada musim keempat ini namun saya difahamkan watak yang dibawakan dikembangkan lagi.
“Berlakon tidak semudah disangka. Sampai sekarang saya masih ingat peristiwa dimarahi pengarah Aziz M Osman ketika menjayakan penggambaran Fara. Abang Aziz mengarahkan saya naik, turun tangga sebanyak tiga kali gara-gara ‘mood’ lakonan tidak sampai.
“Namun saya percaya setiap teguran dan kritikan itu adalah terapi paling berkesan untuk menjadikan kita lebih baik pada masa akan datang. Sejak kejadian itu juga saya lebih peka dan komited terhadap tugas saya.
“Kalau diberi kesempatan saya teringin sekali berlakon di samping pelakon hebat, Fauziah Nawi,” katanya
Biarpun setiap tawaran perlu ‘ditapis’ terlebih dulu oleh Astro Ceria, Zoey tidak pernah berasa terkongkong kerana dia juga bukan jenis orang yang terburu-buru untuk merebut semua peluang.
“Buat masa sekarang, saya lebih selesa mengambil watak ringan kerana belum begitu yakin dengan kemampuan. Dari segi pengacaraan pula, sebagai selebriti Astro, kami mempunyai perjanjian apabila tidak boleh terbabit dengan sebarang program terbitan stesen lain.
“Bukan setakat itu saja, sebagai duta Astro Ceria saya juga terikat dengan beberapa syarat iaitu tidak boleh mengunjungi kelab malam termasuk merokok,” katanya.
Jika tidak terbabit dengan sebarang urusan seni, pemuda berbintang Capricon ini akan membantu abangnya menguruskan syarikat milik keluarga iaitu Calista Design.
“Calista Design sebuah syarikat menyediakan perkhidmatan rekaan hiasan dalaman untuk pejabat serta pelbagai kemudahan berkaitan bidang seni bina kerana abang saya seorang arkitek.
“Jika ada pihak berminat untuk mengetahui lebih lanjut fokus syarikat ini dan kemudahan yang disediakan boleh mendapatkan maklumat dengan melayari laman web www.calistadesign.t35.com. Mereka juga boleh berhubung dengan kami menerusi nombor yang tentera,” katanya.
PROFIL
NAMA: Mohd Hairey Azhar
PANGGILAN: Zoey
TARIKH LAHIR: 3 Januari 1985
UMUR: 23 tahun
BINTANG: Capricon
ASAL: Besut, Terengganu
KARIER: Model, pelakon, pengacara
Powered by Harian Metro
Yuzwan Wahid (1956-2008): Lebih Berjaya Dalam Bisnes
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
SEHARI selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, kelmarin warga seni dikejutkan pula dengan berita kematian penerbit dan pengarah cukup aktif sekitar 90-an, Datuk Meswan Dol, 51 atau lebih dikenali dengan nama Yuzwan Wahid di kalangan orang filem.
Meswan disahkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak tiga tahun lalu.
Menurut anaknya Mohd Hatta, 22 bapanya disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di hospital itu sepanjang tiga minggu lalu.
Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim, anak, Zariyatul Akma, 23; Mohd Helmi, 19 dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.
Sebelum bergelar penerbit dan pengarah, Meswan terlebih dulu menjadi pelakon dan pernah membintangi beberapa drama sekitar 80-an.
Pada 1993, di bawah produksi sendiri Daya Pentas Sdn Bhd (DPSB), Meswan menerbitkan dan mengarah filem pertama, Antara Gadis menampilkan pelakon popular waktu itu, Mas Anizan dan Zarina Zainuddin.
Walaupun filem sulung terbitan produksinya gagal di pawagam ia langsung tidak mematahkan semangat Meswan untuk menerbitkan filem kedua Sama Tak Serupa (STS) pada 1995.
Filem yang skripnya turut ditulis sendiri Meswan, menampilkan lebih ramai pelakon popular seperti Aznil Nawawi, Anne Ngasri, kumpulan Nico, Sasha, Jasmin Hamid dan Razzi Rahman. Selain itu DPSB pernah menghasilkan drama antaranya Geregai dan Kemelut.
Beberapa artis yang pernah bekerja dengan Meswan turut terkejut apabila terbaca berita disiarkan Harian Metro dan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.
Pelakon, Zarina Zainuddin berkata selepas Allahyarham meninggalkan dunia perfileman mereka tidak lagi berhubung. Begitupun, katanya dia sering mengikuti perkembangan Meswan dalam dunia perniagaan dan politik.
“Sewaktu menjayakan filem Antara Gadis, selain menjadi pengarah dia turut berlakon. Setiap kali berbual, Allahyarham selalu bercerita mahu berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.
“Waktu itu sebagai rakan, saya mahupun Mas Anizan selalu mengusik dengan mengatakan dia berangan besar, tetapi tidak sangka selepas itu apa yang dikatakan dikotakan. Perniagaannya benar-benar berkembang dan kerana sibuk dia terpaksa melupakan dunia perfileman.
“Namun, untuk berjaya dalam dunia hiburan terutama filem, sebenarnya dia tidak boleh senyap kerana orang akan lupa. Begitupun saya berasakan kecenderungan Allahyarham lebih kepada dunia perniagaan dan politik berbanding seni,” katanya.
Aznil Nawawi membintangi filem arahan Meswan, STS pula berkata sebagai penerbit, Allahyarham seorang yang sangat pemurah.
“Walaupun filem STS waktu itu tidak mendapat sambutan dan DPSB mengalami kerugian tetapi saya tetap mendapat bayaran penuh mengikut seperti apa yang dijanjikan.
“Satu lagi sikap Allahyarham yang saya cukup ingat adalah, dia suka menggembirakan hati orang. Mengambil contoh dia selalu membawa piza di lokasi semata-mata mahu melayan kerenah rakan pelakon lain, sedangkan waktu sama makanan sudah disediakan.
“Pada hari raya, pelakon filem STS turut menerima bonus. Padahal waktu itu filem belum lagi ditayangkan. Sebagai penerbit dia juga seorang yang peramah.
“Sekarang walaupun sudah bergelar Datuk dan tidak lagi aktif sebagai penerbit tetapi kalau bertemu di mana-mana, dia akan datang dan menegur saya dulu,” katanya.
Powered by Harian Metro
Mawi Is Most Popular Artiste Again
Mawi with the Peugeot 407SR and trophies he won at the Arena of Stars, Genting Highlands, last night.
GENTING HIGHLANDS: Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 saw Asmawi “Mawi” Ani repeating his feat the previous year when he was voted Most Popular Artiste.
Garnering 190,268 votes from Berita Harian readers, he fought off the challenge from several strong contenders like singer Datuk Siti Nurhaliza and actor and comedian Saiful Apek in the annual awards held at the Arena of Stars here last night.
The Akademi Fantasia 3 champion took home a RM185,000 Peugeot 407, jewellery worth RM150,000, including an 18-carat white gold and diamond necklace from Habib Jewels, and electrical goods from JVC.
Mawi was also named Popular Male Singer while Siti was Popular Female Singer.
The Popular Group/Duo award went to Sofaz.
Aznil Nawawi and Fara Fauzana defended their Popular Male and Female TV Host titles respectively.
Faizal Ismail won the Popular Male Radio Presenter while Fara Fauzana, the Popular Female Radio Presenter.
The Popular Male and Female Comedian awards went to Saiful Apek and Sheila Rusly while the Popular New Male and Female Artistes were Dafi Ismail and Mila Jirin respectively. Nasyid group Rabbani held on to their Popular Nasyid Singer title.
Popular Film Actor was Rusdi Ramli while the Popular Film Actress was Fasha Sandha. Rosyam Nor bagged the Popular TV Actor award while Dynas Mokhtar won Popular TV Actress.
A special award for lifetime achievement in show business was presented to singer, composer and songwriter M. Nasir.
The awards ceremony, broadcast live over TV3, was hosted by television personality, singer and actress Fauziah “Ogy” Ahmad Daud and presenter-cum-comedienne Raja Azura.
The winner in each category received a trophy and RM20,000 worth of jewellery.
Singers Amy of Search, Anuar Zain, Atilia, Awie, Ella and Ramli Sarip, among others, performed their hit songs.
Present were New Straits Times Press (M) Bhd group editor-in-chief Datuk Hisha-muddin Aun, Berita Harian group editor Datuk Manja Ismail and NSTP chief executive officer Datuk Syed Faisal Albar.
Powered by New Straits Times