Ezora Guna Format Telenovela Ikut Kehendak TV3
PRODUKSI drama tempatan yang masih belum cukup matang menerbitkan drama bertaraf telenovela menyebabkan pengarah perlu mengikut format yang ditetapkan stesen TV3.
Format itu bukan bertujuan untuk menciplak idea produksi luar, sebaliknya ia memberi panduan kepada pengarah tempatan mengarahkan drama episod yang panjang.
Ahmad Idham, yang bertanggungjawab mengarahkan drama bersiri ala telenovela, Ezora mengisi slot Akasia yang bakal menemui penonton Isnin ini menyokong format yang ditetapkan stesen swasta berkenaan..
Menurutnya, pengarah tempatan masih tidak berkemampuan menerbitkan drama bersiri yang panjang. Kebanyakan drama bersiri tempatan lazimnya hanya mempunyai sekitar 13 dan paling banyak 26 episod saja. Malah, Ahmad Idham sendiri pernah mengarahkan drama sehingga 40 episod namun tidak berjaya untuk membuat penonton melekat di kaca televisyen seperti mana mereka menonton telenovela.
“Produksi kita masih belum matang. Tidak ada salahnya kita mengambil format telenovela kerana pengalaman mereka yang memang terbukti berkesan menarik penonton.
“Produksi kita belum sampai ke tahap mereka. Apabila kita cuba hasilkan episod yang panjang, jalan cerita drama itu cenderung berulang-ulang hingga membosankan penonton.
“Apa salahnya kita mengambil format mereka. Malah TV3 sendiri berjaya membuktikan beberapa drama bersiri dalam slot Akasia yang menggunakan format telenovela seperti Bella dan Manjalara mencatat jumlah penonton yang tinggi. Justeru, format yang sama turut digunakan dalam Ezora,” kata Ahmad Idham yang menafikan Ezora meniru jalan cerita telenovela terkenal Mis Tres Hermanas.
Biarpun mengikut format yang ditetapkan, namun menghasilkan Ezora bukan mudah. Menurut Idham, dia terpaksa mengembangkan plot yang besar kepada beberapa sub plot untuk menjadikan drama yang dibintangi Fazura, Beego, Dynas, Diana Rafar, Zek Zaidi, Fezrul Khan dan Cat Farish itu menjadi lebih menarik.
Cabaran menghasilkan Ezora bermula daripada pemilihan pelakon. Selepas bertemu dengan Fazura yang memegang watak utama sebagai Ezora katanya, barulah dia mencari pelakon yang dirasakan sesuai untuk digandingkan bersama Fazura.
“Sub plot yang kuat dapat menarik penonton. Walaupun mengambil format luar, kita tidak boleh tiru seratus peratus disebabkan budaya kita dan mereka tidak sama. Beberapa watak yang sepatutnya tidak ada dalam format asal, saya terpaksa wujudkan untuk menambahkan lagi perasa Ezora seperti watak Cat Farish.
“Setakat ini kita baru selesai penggambaran untuk 18 episod. Penggambaran dimulakan pada 10 April lalu dan ia berlangsung di sekitar Kuala Lumpur saja. Kami tidak boleh buat di luar kerana kekangan masa. Mengikut perancangan drama ini akan selesai penggambaran pada Julai nanti,” katanya.
Sebagai tarikan kepada penonton tempatan, Idham memilih jalan cerita yang dekat dengan realiti kehidupan sebenar. Ezora mengetengahkan jalan cerita yang mudah untuk tidak membebankan penonton. Ezora mempunyai elemen cinta, komik, hasad dengki serta rahsia yang lama kelamaan akan terbongkar.
Menurut Idham lagi, dia cuba menyuntik elemen Cinderella ke dalam Ezora yang akan membuatkan penonton turut dibuai dengan ledakan cinta.
Beego ketika ditemui berkata, watak Reza tidak begitu berat tetapi dia harus menggunakan intonasi berbeza ketika bertutur dengan Ezora, Leeya dan rakannya. Katanya, penonton akan melihat perbezaan itu sekiranya mereka menonton Ezora nanti.
Beego juga mengakui selesa berlakon di samping Fazura dan Dynas kerana kedua-duanya berpengalaman menyebabkan mereka mudah untuk bekerjasama.
SINOPSIS
DRAMA bersiri yang menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 6.30 petang mengisahkan Ezora (Fazura), yang datang dari keluarga kurang berada, menghadapi masalah ketika membuat persiapan perkahwinan dengan tunangnya Reza (Beego). Keadaan bertambah buruk apabila Reza yang bekerja sebagai buruh kontrak diberhentikan mengakibatkan perkahwinan mereka terpaksa ditangguhkan.
Reza terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan dan ketika itu dia bertemu dengan Leeya (Dynas) yang berasal dari keluarga kaya. Mereka bertemu di stesen bas. Ketika itu Reza baru tiba dari kampung. Leeya tertarik dengan ketampanan Reza dan mengajaknya bekerja sebagai buruh di banglo Leeya.
Semakin lama, Leeya mula mencintai Reza dan dalam diam dia merancang persiapan perkahwinan dengan Reza. Ezora pula mulai gelisah kerana Reza jarang mengirim berita dan dia kemudian memutuskan untuk bertemu Reza di Kuala Lumpur.
Powered by Berita Harian
“Nilai Saya Bukan RM6,100″ – Marsha
Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

BARISAN pelakon Kerana Karina 2 bersama-sama pengarah, AidilFitri Mohd Yunus (empat dari kanan) dan Pengurus Besar Alt Media Sdn. Bhd. M. Zulkifli Abd Jalil (lima dari kanan) pada sidang media Kerana Karina 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
YANG seronoknya menjadi wanita cantik ialah ramai lelaki yang akan tergila-gilakan mereka. Namun begitu, pada masa yang sama, perkara itu bukan mudah untuk ditangani lebih-lebih lagi personaliti itu merupakan selebriti terkenal seperti gadis kelahiran program Akademi Fantasia (AF), Marsha Londoh.
Sementelah dia kerap menerima panggilan telefon daripada pelbagai individu yang sering menggodanya.
Mujur, pendirian Marsha sangat teguh dan bukan semudah itu untuk dia cair dengan sebarang godaan.
“Terbaru ada seorang lelaki mewakili bosnya menelefon saya untuk mengajak keluar minum-minum.
“Katanya, dia sanggup bayar saya RM6,100 untuk keluar bersama bosnya. Tapi saya menolak dengan baik. Saya mahu mereka semua tahu saya bukanlah perempuan murahan yang boleh dibuat sedemikian rupa.
“Saya masih boleh bekerja dengan menggunakan tulang empat kerat saya bagi mencari rezeki yang halal,” tegas Marsha yang sehingga kini tertanya-tanya bagaimana lelaki tidak bertanggungjawab itu boleh mendapatkan nombor telefon bimbitnya.
Apa yang mengguris perasaan Marsha terhadap panggilan ‘biadap’ itu ialah ada saja pihak yang gemar mengambil kesempatan terhadap populariti artis-artis wanita.
“Mujur saya masih ada keluarga dan mereka sering menasihati saya agar menghindari perkara-perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan.
“Saya berharap sangat, saya sendiri masih mampu menjaga diri dan mengekalkan prinsip saya ini,” jelas Marsha yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Kerana Karina 2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak dibuang keluarga
Tidak keterlaluan jika dikatakan hubungan kasihnya bersama Kefli AF3, satu masa dahulu bertiup kencang.
Terbaru Marsha dikatakan dibuang keluarga dek kerana cintanya terhadap jejaka Melayu tersebut.
Tersenyum manis sambil menggeleng kepala Marsha turut mengakui, dia ada mendengar cerita-cerita tersebut, namun pantas menafikannya.
“Saya ada dengar cerita saya dibuang keluarga kerana bercinta bersama Kefli. Masalahnya hubungan saya dan keluarga saya baik sahaja.
“Mereka juga ada mendengar cerita tersebut dan menghubungi saya. Apa yang boleh saya katakan supaya bersabar dan menerangkan kepada mereka bahawa mereka juga terpaksa menerima tempias gosip-gosip tersebut memandangkan saya seorang artis. Inilah asam garam kehidupan artis yang sudah semakin lali saya tempuhi,” jelas Marsha yang semakin arif dengan kehidupan dunia hiburan.
Tiada lagi cinta
Ditanya mengenai hubungannya dengan Kefli, Marsha mengakui, hubungan mereka kini semakin renggang.
“Kami sudah jarang berhubung, mungkin juga gosip-gosip tersebut antara penyebab kami renggang. Masing-masing sibuk dengan kerja jadi sekarang saya lebih senang dengan kehidupan solo saya,” luahnya tenang.
Dan selepas ini, apakah mungkin jika dia menemui cinta baru lelaki Melayu, dalam tawa yang besar, penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali ini berkata: “Tiada lagi cinta dalam hati saya. Saya kini lebih suka menumpukan perhatian pada kerjaya seni saya. Itu yang lebih penting sebab bagi saya, saya masih baru dan masih banyak benda yang ingin saya pelajari lagi. Sama ada lelaki Melayu atau tidak menjadi pilihan saya kelak biarlah takdir menentukannya.”
Mencuba pelbagai
cabang seni
Masih menanti penghasilan album sulung membuatkan Marsha mengambil inisiatif sendiri bagi memastikan namanya masih lagi diingati khalayak seni. Lantas satu persatu tawaran lakonan diterima olehnya.
Terbaru Marsha bakal muncul dalam drama bersiri online berjudul Kerana Karina 2 yang akan disiarkan di portal hiburan gua.com.my.
Membawakan watak Karina, Marsha akui Kerana Karina 2 lebih mencabar keupayaannya sebagai pelakon.
Namun dia bertuah kerana dapat bergandingan bersama-sama pelakon hebat antaranya Azizan Nin, Norman Hakim, Sazzy Falak dan ramai lagi.
“Watak Karina lebih mencabar dalam musim kedua ini. Tapi saya bersyukur kerana dapat juga menjayakan drama ini sebaik mungkin. Walaupun sepanjang penggambaran saya mengalami demam yang teruk tapi nasib baik tidak menganggu suara saya,” jelasnya sambil menguntum senyuman.
Lebih menarik – Azizan Nin
Sementara itu bagi Azizan Nin pula Kerana Karina 2 ini lebih menarik berbanding musim pertama.
“Plot ceritanya semakin berkembang dan konflik percintaan antara saya dan Karina makin rumit. Pelbagai halangan dihadapi dalam musim baru ini,” katanya.
Membawakan watak Imran, tunang Karina, bukanlah satu watak yang sukar. Malah bergandingan dengan Marsha yang juga merupakan pendatang baru bukanlah satu masalah kepadanya.
“Saya senang berlakon dengan Marsha kerana dia gila-gila. Agak mudah mencari keserasian dan dia juga mahu belajar. Jadi tak wujud masalah ketika di lokasi,” jelasnya yang akan membintangi drama berjudul Subuh dan Maghrib terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Jalan cerita lebih tragis
Sementara itu, bagi pengarahnya, Aidilfitri Mohd Yunus pula, jalan cerita Kerana Karina 2 lebih padat dan tragis.
“Anda semua akan dapat lihat bagaimana plot jalan ceritanya dikembangkan. Pelbagai konflik wujud yang akan membuatkan penonton yang menonton akan ternanti-nanti apa yang akan berlaku seterusnya.
“Malah kesudahannya juga nanti bukan seperti yang disangka. Bukanlah kesudahan yang menggembirakan,” terangnya bersungguh-sungguh.
Selain itu jelas Aidilfitri, kemunculan watak-watak baru juga mewarnai drama bersiri tersebut.
“Banyak watak sampingan kita tampilkan. Jadi ia lebih menarik dan menghiburkan,” katanya lagi.
Selain Marsha dan Azizan Nin, Kerana Karina 2 membariskan para pelakon antaranya Norman Hakim, Diana Rafar, Nabil dan Tunku Tiara.
Powered by Utusan Malaysia
Syarat Hafizy Buat Dynas
Oleh FAIZAL SAHARUNI mfaizal@kosmo.com.my

SESUSAI sudah memeterai ikatan perkahwinan, Dynas dan Hafizy kini bergelar pasangan suami dan isteri.
TEMPOH perkenalan dua jiwa ini hanya terjalin sejak dua tahun lalu. Andai ingin dihitung, waktu sesingkat itu bukan mudah untuk menganyam cinta yang bersemi dan mengenali hati budi antara satu sama lain.
Biasanya, si dara dan teruna yang sedang enak dilanda cinta nan indah memerlukan period panjang untuk saling mengerti warna dan corak sebenar diri masing-masing.
Berlainan pula bagi pelakon dan model terkenal, Dynas, 25, yang mengakhiri zaman gadisnya bersama lelaki tinggi lampai, Mohd. Hafizy Hafiz, 36, setelah berkenalan selama 24 bulan.
Memang terlalu pantas dan mengejutkan ramai. Saat Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar sedang mekar di laman seni sebagai penyeri layar kaca dan filem, dia nekad membuat keputusan muktamad tanpa perasaan berbelah-bagi.
Tiada majlis pertunangan seperti yang termaktub dalam adat, Dynas akhirnya selamat diijab kabul dengan Hafizy di kediaman keluarga Dynas di Seksyen 9, Shah Alam pagi Sabtu lalu.

Majlis pernikahan Dynas dengan pelumba kereta terkenal itu dilakukan bapa mempelai perempuan, Datuk Wan Mokhtar Wan Mohamad, 54, di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khairuddin Hayun.
Dynas yang kelihatan anggun mengenakan sepersalinan rona putih rekaan Calvin Thoo dinikahkan pada pukul 11.30 pagi dengan mas kahwin RM1001 dan wang hantaran berjumlah RM15,000 beserta set barangan kemas.
ΐKami mula berkenalan pada tahun 2006 semasa saya masih mengendalikan program Beat TV.
ΐKetika itu saya ditugaskan untuk menemuramah Hafizy untuk sebuah segmen. Dari situlah kami mulai rapat.
ΐLama-kelamaan, timbul keserasian sehinggakan kami mencapai kata sepakat untuk bersama, kata Dynas dalam riak girang sejurus selepas upacara akad nikah itu berlangsung.
Buat keputusan tepat
Masyarakat sering berasa skeptikal terhadap golongan artis yang mendirikan rumahtangga. Bagi mereka, populariti akan menurun setelah individu yang memahat takhta selebriti melangkah kaki ke gerbang perkahwinan.
Istilah publisiti besar-besaran sudah tiada lagi untuk mereka, malah bintang yang bersinar cerah lama-kelamaan akan pudar dek status baru yang dijulang sebagai hak mutlak orang lain.
Sukar mempercayai kata-kata kurang berasas itu, Dynas tetap berdiri teguh dengan pendiriannya untuk berkahwin dalam usia 25 tahun.
ΐSekarang adalah masa terbaik untuk saya mengikat ikatan yang sah dengan Hafizy, malah sudah elok sangat saya berkahwin pada umur ini.
ΐTiada salah kalau jodoh sudah sampai apatah lagi saya percaya pada rezeki yang dikurniakan Allah.
ΐMeskipun nama sedang berada di puncak, saya tetap optimis dengan keputusan yang diambil ini, luah Dynas enggan berselindung dengan hasratnya untuk mendirikan rumahtangga.
Tidak halang berlakon tapi…
Dynas mengakui, dia bertuah kerana hatinya dimiliki insan seperti Hafizy yang cukup memahami kerjayanya sebagai anak seni dan menjadi pujaan manusia lain.
Enggan berhenti mengabdi diri dalam dunia glamor, Dynas berjanji akan terus berlakon apatah lagi karier itu sudah menjadi minat dan sebati dalam hidupnya.

BERSAMA rakan artis, Diana Rafar yang hadir memeriahkan suasana.
ΐSaya akan kerja semula awal April ini. Ia sudah menjadi tanggungjawab saya, katanya spontan.
Hafizy yang asyik berdiam diri seribu bahasa sempat mencelah, dia bersikap tolak-ansur dan tidak menghalang tugas Dynas sebagai pelakon.
ΐDynas boleh teruskan komitmennya sebagai anak seni, cuma saya harap dia tidak mengambil terlalu banyak tawaran lakonan.
ΐDia juga kena balik rumah awal, kalau boleh sebelum pukul 12 malam, syarat Hafizy kepada buah hati kesayangannya itu.
Dynas wanita “cincai”
Walaupun Dynas sering muncul jelita di pentas peragaan dan TV, Hafizy tetap membayangkan Dynas sebagai seorang wanita berbeza dan memiliki banyak kelainan.
ΐDia jenis yang “cincai”. Saya senang bersama dengan Dynas yang tidak kisah untuk makan di mana-mana termasuk kedai mamak.
ΐSikap Dynas yang tidak memilih dan selektif membuatkan saya benar-benar terpikat padanya, ungkap Hafizy lanjut terhadap kelebihan permata hatinya itu.

JELITA dan anggun. Seri pengantin Dynas begitu ketara pada pandangan visual.
Dynas pula memandang Hafizy melalui matanya sebagai lelaki yang penuh sikap rendah diri terhadap orang di sekelilingnya.
ΐDia seorang yang mudah, malah perkara kecil yang berlaku ke atasnya tidak suka diperbesar-besarkan, kata Dynas.
Dynas dan pasangannya menjadikan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai tempat berlangsungnya majlis resepsi mereka dengan gaya Inggeris, 22 Mac ini.
Powered by Kosmo
Butik Pengantin Norhalim Buktikan Kreativiti OKU
Oleh: RAHANA MD
|
|
|
Sebagai butik perunding perkahwinan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bridal Mate mungkin tidak ada bezanya dengan butik perkahwinan lain. Segalanya ada, daripada hiasan pelamin, gubahan hantaran, persalinan pengantin, hiasan bilik tidur hingga kepada bunga telur.
Namun, apa yang membezakan ialah tuan punya butik pengantin ini merupakan dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Melihat kreativiti dan kehalusan kerja-kerja gubahan serta jahitan manis yang dihasilkan, sukar mempercayai dilakukan oleh seorang OKU seperti Norhalim Talib atau lebih mesra dengan panggilan Halim.
Lebih 10 dekad berkecimpung dalam dunia perniagaan yang melibatkan perkahwinan, kekurangan diri bukan satu alasan bagi Halim sentiasa menadah tangan mohon simpati.
Kurang selesa dengan panggilan cacat walaupun hanya mempunyai sebelah tangan kanan, Halim, 40, lebih gemar bercerita tentang kemahirannya dalam bidang gubahan dan jahitan.
“Lazimnya apabila cuti sekolah hujung tahun seperti sekarang, adalah masa yang paling sibuk di Bridal Mate,” katanya.
Walaupun menerima banyak permintaan, dia cuba mengehadkan kepada lima tempahan perkahwinan dalam satu hari bagi mengekalkan kualiti.
Di butiknya yang terletak di tingkat tiga, Plaza Shah Alam, Selangor, Halim dibantu oleh empat pekerja tetap dan lebih 20 pekerja sambilan yang biasanya diambil pada musim perkahwinan.
“Kerja-kerja memasang pelamin atau menghias dewan majlis memerlukan tenaga yang kuat. Saya beruntung kerana mempunyai pekerja yang mudah menerima teguran dan sentiasa belajar untuk meningkatkan kemahiran diri.
“Lebih menggembirakan ada beberapa pekerja yang telah berjaya dan membuka perniagaan sendiri pula,’’ ujarnya.
Walaupun dibantu oleh pekerja, kerja-kerja gubahan, hiasan bilik tidur dan pelamin tetap mendapat sentuhan Halim.
“Kepercayaan pelanggan sebenarnya yang meningkatkan keyakinan saya dalam bidang ini. Saya ikhlas memberi yang terbaik kerana saya yakin pelanggan yang berpuas hati akan menyampaikan pula dari mulut ke mulut kepada sanak-saudara atau rakan taulan,’’ ujarnya.
Selain sering dipanggil bagi kerja-kerja pemasangan pelamin dan hiasan dewan di hotel-hotel serta dewan-dewan terkemuka, Halim juga berasa bangga kerana kerap mendapat kepercayaan golongan artis dan VIP.
“Setakat ini saya telah menyediakan pelamin untuk Ziana Zain, Awie dan akan datang pelakon Diana Rafar. Begitu juga beberapa anak golongan VIP di sekitar Lembah Klang.
“Walaupun mendapat kepercayaan golongan tersebut, namun saya masih menganggap semua pelanggan sama.
“Saya mengenakan bayaran berdasarkan bajet dan kemampuan mereka. Setakat ini, saya telah menjelajah hampir ke seluruh negara berdasarkan kepada permintaan pelanggan,’’ katanya.
Halim turut menawarkan perkhidmatan sewaan pakaian yang cantik berhias labuci dan sekuin sedondon dengan seledang panjang dan kasut.
Anak muda ini juga mahir dalam solekan dan sering mendapat pujian banyak pihak.
Bercerita mengenai dirinya, menurut anak ke enam ini, sejak lahir dia dilahirkan cacat dan hanya mempunyai sebelah tangan sahaja.
“Sejak lahir lagi saya hanya mempunyai sebelah tangan, namun saya amat berterima kasih kasih emak yang tidak mengasingkan saya daripada 10 adik beradik yang lain.
“Emak juga menghantar saya ke sekolah biasa dan sejak kecil saya tidak merasakan apa-apa kekurangan kerana boleh melakukan apa yang kanak-kanak lain buat.
“Bagaimanapun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya banyak berfikir tentang masa hadapan dan peluang yang terhad diperoleh oleh OKU seperti saya.
“Kebetulan minat dalam bidang jahitan telah lama bersemi, lantas saya teruskan ikhtiar dengan mendalami bidang jahitan dan menerima kepercayaan pelanggan,’’ katanya.
Kini, Halim bukan sahaja bijak berdikari tetapi menjadi kebanggaan OKU dan juga pelanggan yang sentiasa memberinya sokongan moral untuk terus berjaya pada masa hadapan.
Kepada sesiapa yang ingin membuat tempahan, Halim boleh dihubungi di talian 019- 3085058.
Powered by Utusan Malaysia