Skip to content

Posts from the ‘Erra Fazira’ Category

25
May

Emas Keperangan Sesuai Untuk Si Hitam Manis



Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my



Warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna sesuai digayakan

Soalan:
Saya berkulit gelap dengan ketinggian 157 sentimeter, berat badan 49 kilogram. Saya akan menghadiri majlis perkahwinan yang mewajibkan saya memakai pakaian berwarna keemasan. Bagaimanapun saya tidak yakin untuk mengenakan warna itu kerana kulit yang gelap bimbang akan menyebabkan saya bertambah gelap. Bagaimana cara untuk mengatasi keadaan ini? Apakah skim warna keemasan yang sesuai dengan kulit saya?

Merkatus melalui emel.

Jawapan:
Kulit hitam manis tidak menjadi masalah langsung jika hendak berfesyen. Malah, menjadi trend terkini untuk memiliki kulit yang berona ‘tan’ atau hitam manis. Lihat saja pada ikon fesyen di Malaysia mahupun di persada fesyen dunia.

Nama besar seperti Beyonce Knowles, Halle Barry dan Naomi Campbell sudah lama menjadi ikon fesyen malah di Malaysia sendiri mereka yang berkulit hitam manis seperti Ziana Zain, Ning Baizura dan Nurul sangat terkenal di dalam industri fesyen Malaysia dan menjadi inspirasi kepada pereka fesyen di Malaysia.

Diakui warna memainkan peranan penting jika mahu berfesyen kerana bukan semua warna yang muncul selari dengan aliran semasa sesuai untuk digayakan.

Apabila bercakap mengenai warna ia banyak bergantung dengan kesesuaian padanan warna dengan tona kulit dari kuning langsat hinggalah ke hitam manis.


Warna krim pucat misalnya tidak sesuai untuk digayakan orang yang berkulit putih kerana ia akan mentafsirkan imej yang pucat manakala ungu gelap juga kurang sesuai untuk orang yang berkulit hitam manis kerana akan menjadikan rona kulit anda bertambah gelap.

Bagaimanapun, secara peribadi saya berpendapat semuanya bergantung dengan cara seseorang individu itu sendiri menggayakan bajunya.

Tidak salah jika anda hendak mencuba, namun ia perlu bersesuaian dengan gaya. Lihat saja busana yang Ning Baizura gayakan pada hari persandingannya.

Kalau diikutkan, kurang sesuai warna ‘royal blue’ untuk digayakan oleh orang yang berkulit hitam manis tetapi dengan cara pembawaan dirinya dan juga gaya yang bersesuaian, Ning begitu menyerlah dengan warna itu.

Untuk Fariza, warna gold atau keemasan tidak menjadi masalah untuk digayakan tetapi pemilihan ronanya haruslah bertepatan.

Rona keemasan mempunyai pelbagai variasi yang mana untuk orang yang berkulit hitam manis, rona bronze gold atau emas keperangan dan soft gold – keemasan lembut sangat sesuai untuk anda.

Tetapi anda harus berhati-hati dengan pemilihan fabrik. Pada pendapat saya, fabrik seperti sutera Thai atau sutera asli sangat sesuai dengan anda memandangkan potongan badan anda yang agak kurus.

Rekaan kurung moden yang berpotongan lurus sangat sesuai selari dengan majlis yang bakal anda hadiri. Untuk imej yang lebih trendy, leher berpotongan ‘v’ akan menaikkan seri anda di samping ilusi leher yang lebih jinjang.

Perincian seperti ‘pleated’ atau ‘pin tuck’ di bawah baju dan di hujung lengan menjadi ‘trend’ terkini dan juga memberikan ilusi tinggi. Untuk melengkapkan gaya, kain sarung bersusun kipas dan berbelah depan sangat ideal untuk digayakan. Tetapi adalah lebih sesuai untuk anda gayakan kain yang bercorak kontra bersama baju yang polos.

Profil: Rizman & Ruzaini

  • Rizman Ruzaini adalah label bagi pereka fesyen muda Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil.

  • Rizman Nordin, berasal dari Pulau Pinang dan Wan Ruzaini dari Perak.

  • Terbabit dengan rekaan pakaian untuk nama besar dalam industri hiburan dan industri fesyen tempatan seperti Datin Seri Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Erra Fazira, Ziana Zain, Dayang Nurfaizah dan Nurul.

  • Terpilih sebagai pereka fesyen untuk perkahwinan Ning Baizura dan label Rizman & Ruzaini dicalonkan sebagai antara 10 pereka fesyen pakaian pengantin di Malaysia.

  • Menyertai industri fesyen selepas menyertai MIFA 2007, Piala Jarum Berlian ’03 dan Piala Pesona Pengantin pada 2004,

  • Rizman dan Ruzaini adalah pemegang Ijazah Sarjana Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

  • Beroperasi dari butik rumah di Shah Alam dan mereka boleh dihubungi di talian +6017 4766 004 dan +6012 4805 742 atau emel, rizman_ruzaini@yahoo.com. Untuk keterangan lanjut layari laman web www.rizmanruzaini.blogspot.com

    Info:

  • RUANGAN ini membantu anda yang menghadapi masalah fesyen bersesuaian tubuh serta majlis yang hendak dikunjungi. Semua masalah akan dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu. Hantarkan masalah anda melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

    Powered by Berita Harian

  • 21
    May

    Bual Fesyen: Raja Denim Ingin Teroka Pelbagai Sudut Fesyen

    Oleh Nor Affizar Ibrahim



    BERKONGSI IDEA: Adnan juga menghasilkan rekaan untuk projek amal.

    Pengalaman kerja di kilang pakaian di Bangkok sebelum bergelar pereka beri ilham kepada Adnan

    RAJA DENIM! Gelaran itulah yang berjaya meningkatkan populariti nama pereka muda, Mohd Adnan Hassan. Kegilaannya menghasilkan busana berasaskan denim dengan pelbagai eksperimen dan menekankan konsep kitar semula yang menggabungkan beberapa elemen, sekali gus membuatkan namanya cukup sinonim dengan denim.

    Anak muda kelahiran Kluang, Johor itu sendiri tidak menyangka akan berjaya mencipta identiti itu. Malah, ketika mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan rekaan fesyen, Anugerah Benang Emas 2002 (ABE 2002) anjuran majalah gaya hidup terkenal, Jelita, Adnan sendiri tidak pernah meletakkan sebarang sasaran. Ketika itu apa yang lebih penting baginya ialah cuba memenuhi syarat dan kriteria penganjur agar dapat menghasilkan rekaan bercirikan Malaysia dan boleh dibawa ke peringkat antarabangsa.

    Akuinya, sebagai peserta keinginan untuk menang memang ada, tetapi sebagai pereka yang belum ada nama pada waktu itu, Adnan perlu bekerja keras dan membuktikan keupayaan serta mencurahkan segala kreativiti yang ada.

    Namun, beliau bernasib baik kebetulan sebelum itu projeknya sebagai pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah berkaitan dengan kajian kitar semula menggunakan jeans yang diubah suai dan dijadikan rekaan busana bergaya. Mengambil idea itu Adnan lalu mempertaruhkan bakatnya dalam pertandingan berkenaan dan berjaya dinobatkan sebagai pemenang.

    Apa yang pasti, selepas memenangi ABE 2002 dan kemudian rekaan denim itu digayakan model serta pelakon Nasha Aziz pada majlis Anugerah Era pada 2002, namanya terus melonjak naik. Pada Januari, 2003 Adnan membuka butik, Adnan Hassan Boutique dalam usahanya membina label jenama sendiri.

    Pembukaan butik itu hasil dorongan banyak pihak yang menyokong dan membantu pereka itu atas keyakinan yang ada pada dirinya sendiri untuk memartabatkan kariernya sebagai pereka fesyen terkenal. Mulanya, Adnan mengorak langkah membuka butik di Plaza Alam Sentral di Shah Alam, tetapi kemudian menutupnya kerana berpendapat, lebih baik beroperasi di rumah kerana perkhidmatan disediakan adalah berasaskan tempahan eksklusif, di samping memberikan lebih keselesaan untuknya bekerja.

    Adnan sentiasa melihat dunia fesyen amat luas dan boleh diterokai dari pelbagai sudut. Lebih-lebih lagi, beliau pernah bekerja di kilang pembuatan pakaian di Bangkok dan rekaan tekstil automotif sebelum bergelar pereka. Justeru, walaupun jiwanya lebih terarah kepada rekaan yang berasaskan denim, beliau tidak menolak mereka pakaian lain seperti pakaian pengantin, pakaian tradisional, pakaian seragam, pakaian lelaki dan sebagainya.

    Beliau kini banyak menghasilkan rekaan pakaian pengantin dan menampilkan rekaan adi busana yang versatail, sentuhan terkini, berkonsep dan unik. Tidak kedekut dengan ilmu yang ada, Adnan turut menjadi tenaga pengajar di beberapa kolej fesyen tempatan, mengadakan kelas jahitan manik, di samping menawarkan kursus jangka pendek yang direka khas modul pembelajaran lengkap untuk bakal usahawan perniagaan persediaan perkahwinan. Mengenali lebih dekat pereka muda ini, ikutilah temubual Citra bersamanya bagi ruangan Bual Fesyen minggu ini.

    Citra: Adakah sehingga kini anda masih memilih denim dalam rekaan. Mengapa?

    Ya, saya masih memilih fabrik denim dalam rekaan, tetapi tidaklah sepenuhnya kerana ingin menjadi pereka versatail yang mampu mereka apa saja. Ketika ini kebanyakan tempahan rekaan denim adalah daripada individu. Biasanya mereka mahukan saya merekacipta fesyen sesuatu yang baru daripada seluar atau baju jeans tidak mahu dipakainya lagi. Denim dan saya sukar dipisahkan. Sejak semakin ramai mengenali identiti saya sebagai pereka yang melahirkan konsep rekaan kitar semula menggunakan denim tidak dinafikan, rezeki semakin bertambah. Bukan mendabik dada, tetapi saya boleh katakan berjaya mengangkat sesuatu yang baru dalam dunia rekaan fesyen tempatan sehingga menjadi perhatian. Bersandarkan rekaan kreatif dan inovasi yang tidak semestinya dibuat daripada material mahal, saya memperlihatkan konsep kitar semula dengan menggunakan seluar jeans terpakai dan menggabungkan beberapa elemen termasuk potongan baju kebaya, aliran glamor atau ranggi. Denim akhirnya, menjadi identiti saya sebagai pereka. Apabila sudah mulakan dan berjaya mencipta identiti, saya berasa ia perlu dikekalkan kerana dari situlah saya mula dikenali.

    Citra: Jadi, sebagai pereka anda berasakan identiti atau trademark itu penting untuk dikenali?

    Sudah tentu sekali kerana melalui identiti pereka akan dikenali. Bukan senang hendak mencipta identiti, ada berjaya dan ada yang tidak. Saya tergolong pereka yang berjaya. Walaupun denim menjadi minat sejak kecil, tidak terlintas langsung denim akan menjadi identiti. Ini kerana sebagai pereka saya mahu mencuba segala-galanya. Keadaan ini sama juga seperti penyanyi rock. Sungguhpun dikenali sebagai penyanyi rock, penyanyi itu juga berkeupayaan menyanyikan lagu rentak balada, pop dan sebagainya. Begitu jugalah saya. Apa yang sebenarnya berlaku, identiti saya sebagai Raja Denim bukan saja disebabkan percubaan berani dan kreatif saya saja, tetapi media yang banyak berperanan mempopularkan identiti itu. Jika tidak, saya mungkin tidak dikenali dengan denim. Saya lihat identiti adalah satu anugerah untuk pereka. Apabila diiktiraf ia bukan saja satu kebanggaan, tetapi mestilah cuba dikekalkan dan tidak salah jika hendak mempelbagaikan rekaan.

    Citra: Sebagai pereka yang bermula dengan denim, apakah yang anda lihat kelebihan pada fabrik itu?

    Memang denim ada keunikan tersendiri. Ketika membuat kajian mengenai denim bagi projek tahun akhir ketika menuntut di UiTM dulu, ia bukan saja membuatkan saya mengenali lebih dekat mengenai fabrik itu, tetapi turut membuka minda terhadap kelebihan yang ada material itu. Paling nyata, denim bersifat sejagat. Semua menggemari material itu tidak kira di mana, sama ada tua mahupun muda. Ia juga dipakai sepanjang zaman kerana orang tidak akan jemu menggunakannya.

    Citra: Ada yang berpendapat, denim walaupun diangkat sebagai gaya glamor masih dilihat sebagai fabrik kasual atau dikaitkan dengan aktiviti lasak. Bagaimana anda sebagai pereka ingin mengubah persepsi itu?

    Itulah antara cabaran besar saya ketika mula-mula memilih denim sebelum mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan dulu. Sebenarnya tidak menjadi masalah untuk mengangkat martabat denim sehingga menjadi rekaan adi busana, tetapi memang agak sukar untuk menukar persepsi orang lain mengenai sesuatu perkara baru, lebih-lebih lagi jika ia sudah lama tersemat dan bertapak di fikiran. Bagaimanapun, sebagai pereka kita mesti mencuba dan terus mencuba, malah itulah sebenarnya tugas pereka iaitu menghasilkan sesuatu yang baru dan unik walaupun dianggap mustahil.

    Citra: Mengapa pereka tempatan lebih gemar mengambil inspirasi dari luar sedangkan negara kita ada banyak sumber yang boleh dijadikan ilham?

    Bukan tidak mahu mengambil sumber ilham tempatan, tetapi setiap pereka mempunyai prinsip masing-masing. Jika dilihat secara keseluruhan, pereka tempatan memang banyak yang berpaksi pada inspirasi dari luar terutama Eropah seperti Milan dan Perancis. Oleh kerana negara berkenaan terkenal sebagai pusat fesyen, pereka tempatan merujuk kepada mereka sebagai petunjuk aliran. Pengaruh dibawa menyebabkan pereka tempatan terikut-ikut dan terpengaruh, tetapi tidak bolehlah salahkan mereka kerana ia mengikut arus aliran terkini dalam dunia rekaan. Inspirasi tempatan bukan jadi pilihan mungkin juga disebabkan ada perasaan bimbang dan sikap berhati-hati pereka terutama jika sumber itu mengaitkan sensitiviti budaya dan nilai yang dipegang masyarakat di negara ini. Jika hendak mengambil sumber ilham tempatan bukan sekadar untuk lihat hasil rekaan itu cantik dan kreatif semata-mata, tetapi perlu ambil kira aspek lain seperti susur galur, etika dan sebagainya kerana jika boleh pereka tidak mahu menyinggung sesiapa. Kita kena faham apabila memperkatakan nilai atau adab budaya ada golongan yang begitu kuat mempertahankannya dan pendirian itu perlu dihormati. Begitu juga dari segi penggunaan material ada yang bertanya mengapa tidak pilih fabrik seperti songket, batik dan sebagainya untuk mencurahkan kreativiti dalam rekaan. Bukan tidak mahu, tetapi mungkin pereka itu berasa tidak sesuai. Contohnya, songket bukan saja menyerlahkan hasil kerja seni yang begitu tinggi, tetapi juga dikategorikan fabrik mahal. Apabila hendak menggunakan suntikan songket dalam gaya glamor memang boleh, tetapi pereka tidak boleh keterlaluan kerana silap percaturan rekaan akan tampak ‘berat’, sekali gus tidak memberi impak ia sebagai fabrik mahal. Namun, ada juga pereka yang berani dan cuba menggandingkan inspirasi dari luar serta tempatan. Suai dan padan daripada kedua-dua sumber itu mungkin berkesan, tetapi tetap perlu berhati-hati.

    Citra: Sekarang ini kita lihat jalinan kerjasama antara selebriti dan pereka begitu erat. Sebagai pereka apakah kelebihan yang diperoleh terutama jika terpaksa menaja sepenuhnya pakaian untuk selebriti?

    Sebagai pereka saya lihat kerjasama itu satu perubahan dan perkembangan yang baik. Malah, saya akui nama sebagai pereka fesyen mula dikenali apabila bekerjasama dengan Nasha iaitu model dan pelakon terkenal. Selepas itu beberapa artis lain pula yang mengenakan rekaan saya termasuklah Erra Fazira, Mawi dan ramai lagi. Oleh kerana selebriti orang yang dipuja dan dikenali ramai tempiasnya juga terkena kepada pereka. Apa yang ketara, apabila selebriti itu ada nama, populariti pereka yang menaja pakaian untuknya pun cepat naik. Bagaimanapun, saya berpendapat hubungan terjalin itu perlulah ada situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak. Masing-masing perlu jujur dan kena berbincang terlebih dulu sebelum bersetuju bekerja sama supaya tiada perkara berbangkit kemudian hari.

    Jika di Barat, memang diakui pereka yang membayar selebriti bagi menggayakan rekaannya. Soal kos tidak menjadi masalah besar kepada pereka Barat kerana kebanyakan mereka sudah pun ada jenama sendiri. Tetapi pereka fesyen tempatan bukan bertaraf dunia dan jika terpaksa keluar semua kos membuat sesuatu rekaan pakaian sakit juga, khususnya bagi pereka baru. Lagipun, menaja pakaian untuk selebriti belum tentu menjanjikan apa-apa. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam dan begitulah nasib pereka sebab itu ada yang berundur awal. Tetapi ada juga pereka tidak kisah mengenai kos, sebaliknya tidak mahu menjual dan ingin menyimpan pakaian digayakan selebriti yang ditajanya. Mungkin pereka itu menganggap rekaan itu ada nilai sentimental.

    Citra: Apakah pandangan anda apabila ada usaha sesetengah pihak untuk mengetengahkan dan memartabatkan rekaan busana Muslimah di negara ini?

    Usaha itu memang bagus dan sesuatu yang positif apatah lagi ada pereka yang berjaya menghasilkan rekaan busana Muslimah moden dan menepati ciri-ciri pakaian dituntut dalam Islam. Apabila ada usaha seperti itu Malaysia boleh menjadi fokus dunia terutama negara Islam. Ini turut memberi ruang untuk Malaysia menjadi hab fesyen Islam dan paling ketara ia akan memberikan impak kepada ekonomi. Bagaimanapun, sebagai pereka kita perlu berhati-hati kerana untuk menepati ciri pakaian sepenuhnya ada beberapa aspek lain perlu diambil kira seperti cara potongan, pilihan warna dan sebagainya. Jika boleh jangan sehingga menimbulkan kontroversi.

    Citra: Sepanjang membabitkan diri dalam bidang rekaan adakah anda pernah berasa kecewa?

    Setakat ini semuanya berjalan baik dan bersyukur selepas meraih kemenangan nama saya tidak berkubur sebaliknya, berjaya mencapai hingga ke peringkat ini iaitu sekurang-kurangnya sudah pun dikenali sebagai pereka yang mempunyai idea tersendiri. Cuma apa yang diharapkan, suatu hari nanti saya mempunyai kewangan yang besar supaya dapat menghasilkan rekaan koleksi denim sedia untuk dipakai dan membina jenama sendiri dalam kuantiti besar seperti Levi’s.

    Citra: Apakah nasihat anda kepada pereka baru yang berhasrat ingin mencipta identiti?

    Seperti yang saya katakan sebelum ini, mencipta identiti bukanlah mudah, tiada jalan pintas dan mungkin pereka itu perlu mengambil masa sebelum mencapai titik pertemuan itu. Nasihat saya janganlah mudah terikut-ikut dengan apa yang pereka lain buat. Obses dan kreatif saja tidak cukup. Oleh itu lebih baik kenal pasti dulu apa yang anda inginkan, kemudian kenalah faham dan buat pemerhatian menyeluruh serta teruskan usaha sehingga berjaya.

    PROFIL: Mohd Adnan Hassan

    • LAHIR : 10 Februari 1976.
    • ASAL: Kampung Bentong Dalam, Kluang, Johor.
    • PENDIDIKAN: Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka (Fesyen), Universiti Teknologi Mara (UiTM).
    • ANUGERAH: Anugerah Benang Emas 2002. Excellence Award, The Sixth Brother Cup China International Young Fashion Designer Contest di Beijing, China, 1998.
    • Laman web: wow.e-manik.com atau www.adnanhassan.com.my

    Powered by Berita Harian

    14
    May

    Bual Fesyen: Hatta Pereka Muda Berbakat Besar

    Oleh Hidayah Mohammad



    CANTIK: Hatta bersama sebahagian koleksi rekaannya di kediaman beliau di Cheras.

    Bekas graduan UiTM mahu buka butik dalam masa 10 tahun, miliki wisma fesyen kumpul koleksi peribadi

    RIAK wajah tenang dan ceria menyimpan seribu makna. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya pereka fesyen muda, Hatta Dolmat, 26, apabila hasil rekaannya diterima pelbagai pihak sejak membabitkan diri secara terbuka dalam industri fesyen, lima tahun lalu.

    Graduan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, pada awalnya langsung tidak meminati bidang fesyen. Sebaliknya beliau lebih berminat untuk menceburi bidang perhotelan dan hiasan dalaman. Namun, tiada siapa yang dapat menolak suratan takdir apabila kini beliau dianggap antara pereka fesyen generasi muda yang berbakat besar.

    Hatta yang dilahirkan di Kuala Sungai Baru, Melaka dan membesar di Bandar Baru Bangi, Selangor pernah bertugas sebagai pelayan tetamu, penyambut tetamu dan pembersih bilik di beberapa hotel sekitar Selangor ketika cuti sekolah.

    “Saya ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan namun seorang daripada kakak sudah pun menyambung pengajian dalam bidang perhotelan, menyebabkan saya memilih jurusan lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Cheras, baru-baru ini.

    Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, ketika menyambung pengajian peringkat diploma di UiTM, Seri Manjong Perak, Hatta berminat kepada hiasan dalaman. Namun, ketika diberi peluang melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam Reka Fesyen, barulah beliau mengerti apa yang dimaksudkan dengan fesyen sebenar.


    ANUGERAH: Hatta bersama trofi yang dimenanginya daripada pertandingan yang disertai sejak menceburkan diri dalam industri fesyen.

    Bagaimanapun, katanya, pada awalnya ibunya tidak bersetuju kerana menganggap bidang fesyen tidak memberi hala tuju masa depan cerah. Ketika itu, ibunya juga menganggap fesyen seperti seorang tukang jahit yang tidak boleh pergi ke mana-mana.

    “Mendengar penjelasan ibu, saya memberitahunya dan mahu buktikan bahawa fesyen juga mampu menaikkan nama seseorang perekanya. Ayah tidak membantah malah menyokong saya dari belakang,” katanya.

    Hatta mempunyai masa depan cerah dalam industri fesyen tanah air apabila beliau memenangi tempat pertama dalam beberapa pertandingan. Antaranya Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003, yang mana beliau berjaya menggondol tempat pertama dengan koleksi The Scar’s of Nature.

    Malah, pada 2005 saja, beliau berjaya mengungguli dua pertandingan iaitu Trofi Pesona Pengantin 04/05 dan Piala Jarum Berlian. Lebih membanggakan lagi, dua tahun kemudian beliau membanggakan negara apabila memenangi Anugerah Fesyen Singapura 2007 menerusi koleksi Ethnic Chic dengan mengalahkan beberapa pereka fesyen hebat dari Indonesia, Thailand, Singapore dan China.

    Beliau turut mencuba nasib dalam program Projek Runway anjuran 8TV. Walaupun tidak berjaya sebagai pemenang tempat pertama tetapi beliau tetap bersyukur kerana berjaya melangkah ke peringkat akhir.

    Usaha sebagai pereka fesyen muda tidak akan berhenti begitu saja malah beliau akan terus memperjuangkan nasib dengan menampilkan koleksi lebih ‘panas’ dan segar pada masa akan datang. Ikuti perbualan Citra bersama pereka muda ini untuk ruangan Bual Fesyen kali ini.

    Citra: Anda seorang pereka fesyen muda dan dikatakan mempunyai masa depan yang cerah. Pada pandangan anda, adakah sukar bagi seorang pereka muda yang baru saja ‘graduate’ untuk menempa nama dalam industri fesyen?

    Hatta: Ia terpulang kepada rezeki masing-masing dan penerimaan masyarakat terhadap apa yang kita hasilkan. Selain itu, cara kita mempromosikan diri adalah penting untuk menempa nama dalam industri.

    Seperti saya, saya suka menyertai pertandingan rekaan fesyen. Ini membuktikan kemampuan saya dalam menghasilkan sesuatu rekaan. Malah, dengan memenangi pertandingan itu juga secara tidak langsung memberi peluang kepada saya menaikkan nama Hatta Dolmat.

    Nama saya mula dikenali selepas pensyarah saya, Faizal Hamid memasukkan koleksi saya dalam penerbitan satu majalah untuk muka depan. Saya amat berterima kasih pada beliau.

    Citra: Siapakah sumber inspirasi anda dalam bidang ini. Adakah anda mempunyai keluarga yang juga terbabit dalam industri fesyen?

    Hatta: Sumber inspirasi pertama saya ialah pensyarah iaitu Fesyen Koordinator di Fakulti Reka Fesyen iaitu Faizal Hamid. Beliau banyak memberi sokongan dalam hasil kerja saya serta memberi tumpuan dan bantuan terhadap rekaan saya. Beliau juga orang pertama yang memperkenalkan saya kepada sebuah majalah untuk dijadikan gambar muka depan sebelum nama saya dikenali ramai.

    Lebih terharu, Faizal juga akan membawa saya ke acara pertunjukan fesyen dan memberi tunjuk ajar bukan saja di kelas tetapi di luar kelas. Walaupun ibu pada awalnya tidak setuju, namun selepas dia melihat pencapaian saya, dia juga menjadi sumber inspirasi dan menyokong kerjaya saya. Begitu juga ayah dan keluarga banyak memberi sokongan.

    Citra: Sejajar dengan pendidikan dan kelayakan yang anda ada, apakah misi dan visi anda dalam industri fesyen.

    Hatta: Saya percaya semua orang mempunyai misi dan visi dalam apa bidang yang diceburi. Oleh kerana masih baru saya menyimpan hasrat untuk mempunyai label tersendiri dengan nama Hatta Dolmat dan terkenal di seluruh negara. Malah, secara berperingkat saya berharap akan memperluaskan nama pada peringkat antarabangsa.

    Citra: Apakah identiti rekaan anda?

    Hatta: Sehingga kini, koleksi yang saya hasilkan lebih kepada dramatik, tetapi sukar ditiru oleh orang lain. Sesuatu yang tersendiri dan selain lebih ringkas, saya juga gemar menghasilkan pakaian ‘glamor’ untuk digayakan di majlis gilang gemilang atau majlis permaidani merah.

    Saya juga menghasilkan sesuatu yang bertepatan dengan selera masyarakat tempatan. Menggunakan unsur mewah Barat dalam rekaan, tetapi masih menerapkan unsur Timur dan mengekalkan ciri kemelayuan.

    Citra: Ada bercita-cita memiliki butik sendiri?

    Hatta: Tentu, tetapi saya memerlukan tempoh selesa untuk membukanya, mungkin lagi 10 tahun atau kurang dari itu. Pada pemahaman saya, ada juga pereka fesyen terkenal mengambil masa tempoh 20 tahun untuk menubuhkan butik sendiri. Saya harap dapat membukanya apabila keadaan sudah selesa.

    Bukan itu saja, saya juga menyimpan hasrat untuk mewujudkan satu wisma milik sendiri yang penuh dengan koleksi saya. Saya akan muatkan koleksi pakaian serta koleksi lain hasil rekaan saya sendiri antaranya perabot, fabrik langsir, barang perkakas rumah dan keperluan lain.

    Citra: Siapakah idola rekaan fesyen anda. Siapa yang menyumbang inspirasi dalam rekaan pakaian anda. Jika dari luar negara, adakah anda selitkan elemen tempatan?

    Hatta: Idola saya ialah untuk menjadi seperti Irfan Hairi, yang terkenal dan kaya dalam bidang teknologi maklumat (IT). Beliau seorang anak muda yang berjaya dalam tempoh cepat.

    Dalam industri fesyen secara keseluruhannya saya begitu mengagumi pereka Robeto Cavalli kerana dia menghasilkan sesuatu yang menarik dan bukan tahap kemampuan. Koleksi blaus seksi dengan perincian mewah yang pernah dipakai diva terkenal dunia, Beyonce.

    Selain itu, Dior kerana rekaan yang dramatik. Walaupun ia nampak merepek ketika di pentas peragaan, namun ia ada elemen yang boleh dijadikan sumber inspirasi rekaan saya.

    Citra: Kebanyakan pereka fesyen muda generasi anda juga bersaing untuk menaikkan nama masing-masing. Tidakkah anda rasa tercabar dengan mereka?

    Hatta: Sudah tentu, tetapi saya tidak kisah kerana menganggap ia persaingan yang sihat. Bagi saya, nama memainkan peranan yang penting. Cara pembawaan diri dan menunjukkan hasil kerja terbaik kepada orang ramai membantu menjulang nama kita.

    Pereka fesyen muda lain yang naik sama dengan saya, saya percaya masing-masing mempunyai identiti tersendiri. Ada antara mereka yang juga rakan sekelas dan pernah belajar sama ketika di kampus.

    Bagaimanapun, terpulang kepada cara mempromosi diri dan sumber rezeki masing-masing. Selain itu, kita perlu jaga hubungan dengan semua orang. Hubungan baik bersama media adalah paling dihargai kerana tiada media masakan nama saya akan dikenali seperti sekarang. Wartawan juga begitu membantu menaikkan nama saya dalam industri fesyen tanah air.

    Citra: Sebagai orang baru, apakah anda rasa industri fesyen tempatan mempunyai kelemahannya. Jika ada, adakah anda ingin melakukan sesuatu?

    Hatta: Pada pemerhatian saya, tidak nampak ada kelemahan dalam industri ini. Semuanya berjalan lancar dan ramai pihak bertungkus lumus memartabatkan industri ini. Jika dulu mungkin tiada persatuan atau pihak yang membantu, kini hampir semua pihak yang juga bukan terbabit dalam industri fesyen memberi sokongan padu dalam menjayakan sesuatu pertunjukan fesyen.

    Cuma, saya ingin menyarankan hasrat kepada kerajaan sekiranya mampu untuk membuka pusat himpunan fesyen atau ‘Fashion Street’ yang menempatkan semua pereka fesyen di satu tempat dengan himpunan koleksi tersendiri.

    Ia bermaksud membuka tapak khusus untuk pereka fesyen berkumpul selain memudahkan orang ramai melihat dan membeli koleksi rekaan pereka fesyen yang ada di satu tempat. Selain itu, ia juga membantu pereka fesyen Bumiputera khasnya mengembangkan sayap dan boleh pergi lebih jauh dalam industri ini.

    Citra: Apa perancangan masa depan terhadap diri sendiri dan juga untuk industri fesyen tempatan.

    Hatta: Untuk perancangan sendiri pada masa depan, selain menumpukan pada koleksi blaus glamor, saya akan cuba hasilkan sesuatu untuk koleksi untuk korporat dan pakaian seragam yang boleh dipelbagaikan.

    Saya tidak mahu menumpukan pada satu jenis rekaan saja. Mencuba sesuatu yang berlainan juga memberi kepuasan kepada saya.

    PROFIL

    Nama: Muhamad Hatta Dolmat

    Umur: 26 tahun

    Tempat lahir: Kuala Sungai Baru, Melaka

    Dibesarkan: Bandar Baru Bangi, Selangor.

    Keluarga: Anak keempat daripada enam beradik.

    Pendidikan: Ijazah Sarjana Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Pencapaian:

  • Pertandingan Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003 – Koleksi The Scar’s of Nature – Tempat pertama
  • Pertandingan Trofi Pesona Pengantin 04/05 – Tempat pertama
  • Piala Jarum Berlian 2005 – tempat pertama
  • Anugerah Fesyen Singapura 2007 – Tempat pertama
  • Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: Rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira
  • Projek Runway – Peringkat final dengan menampilkan 12 koleksi.

    Powered by Berita Harian

  • 4
    May

    Diana Danielle Ada Pengawal Peribadi

    Oleh NIEZAM ABDULLAH Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN Solekan & dandanan DEQ SHA (019-3495383)

    Baru berusia 17 tahun tapi siapa sangka popularitinya terus meningkat setaraf bintang popular Erra Fazira dan Datuk Siti Nurhaliza.

    Kenapa saya berkata begitu? Kerana pada hari ini tidak ramai bakat baru khususnya di kalangan remaja yang mampu mencipta populariti seperti gadis bernama Diana Danielle ini.

    Bakatnya mula diasah selepas Datuk Yusof Haslam, penerbit Skop Production bertemu Diana dengan ibunya di kawasan pejalan kaki sebuah kedai di Taman Melawati, Kuala Lumpur kira-kira dua tahun lalu.

    Kata Yusof, semasa berselisih itu terus dia membuka peluang untuk Diana berlakon drama terbitan syarikatnya.

    “Saya menawarkan dia berlakon kerana saya lihat ada sesuatu yang istimewa pada Diana. Kebetulan ibunya memberikan lampu hijau, terus dia menerima tawaran berlakon drama-drama saya,” katanya.

    Rasanya ramai yang sudah mengetahui bakat gadis ini. Dia bukan baru sehari dua terlibat dalam dunia lakonan. Diana pernah berlakon iklan lampin (Pampers) ketika berusia sembilan bulan.

    Masih ingat atau tidak iklan itu pada tahun 1992 yang memperlihatkan seorang bayi separuh bogel dipakaikan lampin? Itulah Diana!

    Tidak hanya iklan, Diana juga turut ditawarkan berlakon filem Idola ketika berusia sembilan tahun dan seterusnya bakat dia terus digilap selepas bertemu dengan Yusof.

    Bukan mudah sebenarnya untuk membuat sesi fotografi dengan Diana. Saya mengambil masa yang agak lama bagi mengaturkan pertemuan ini. Bukan kerana sombong tetapi tanggungjawabnya terhadap pelajaran menuntut beliau untuk menolak beberapa tawaran dan juga sesi fotografi.

    Pagi dia ke sekolah dan malam sibuk pula dengan kelas tambahan. Apatah lagi pada tahun ini Diana akan menghadapi peperiksaan penting, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Dek kerana kesibukan, sesi fotografi Pancaindera pada hari itu terpaksa diaturkan selepas waktu pejabat yang berakhir kira-kira pukul 10.30 malam.

    “Penat betul ni, mata Diana dah tak boleh nak buka dah,” katanya sesekali terpaksa merungut.

    Siapa dua lelaki itu?

    Petang itu saya menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ibu Diana iaitu Norsiah Ramli. Dalam SMS itu, Norsiah yang gemar membahasakan dirinya Mama memberitahu, dia tak dapat menghantar Diana ke studio tetapi anaknya itu akan ditemani dua orang lelaki.

    Semasa di studio, saya berkata wah… hebat sungguh Diana. Ada dua orang lelaki yang datang menemani. Tetapi apakah hubungan mereka dan siapakah mereka itu?

    “Ya, dia orang ni bodyguard dan juga pemandu. Mereka yang akan membawa Diana ke mana-mana sahaja tetapi awas, dia orang tiada apa-apa hubungan lebih dari itu okey,” katanya awal-awal lagi menepis perkara yang boleh dijadikan bahan gosip.

    Saya bertanya lagi kenapa memilih untuk ‘memasang’ bodyguard? Pada masa ini artis popular yang ada pengawal peribadi hanyalah Datuk Siti Nurhaliza dan juga Fasha Sandha sahaja.

    Sebagai anak tunggal ujar Diana, tidak salah ibunya menyediakan dia pemandu dan juga pembantu peribadi bagi menjaganya. Bukan untuk berlagak macam orang kaya tetapi sebagai gadis yang sedang meniti jambatan populariti perkara itu difikirkan penting.

    Malah akui Diana ibunya bukan selalu dapat untuk menemaninya kerana sibuk dengan pekerjaan sebagai agen hartanah. Lebih baik ibunya menggajikan seorang pengawal peribadi dan seorang pemandu bagi membolehkan dia berurusan.

    “Ibu tidak akan lepaskan Diana seorang diri sebaliknya dia lebih percaya kalau ada orang yang menemani.

    “Sebab ibu selalu sibuk. Kadang-kala saya juga kasihan dengan dia yang terpaksa menemankan saya kemana saja.

    “Kadang kala saya terpaksa balik jauh malam kalau ada shooting. Ibu nak teman pun bukannya boleh selalu.

    “Jadi untuk memudahkan semua urusan, ibu sudah menyediakan Diana seorang pengawal peribadi supaya mudah untuk saya menguruskan kerjaya selain bertindak menjaga keselamatan saya,” katanya

    Siapa ‘sponsor’?

    Apabila ada seorang pemandu, kereta mewah dan bodyguard tentu saja seseorang itu akan dikaitkan dengan skandal, itu dan ini. Dunia hiburan di Malaysia begitulah biasanya. Di Hollywood, kalau artis ada 20 pengawal peribadi sekalipun tidak menjadi masalah dan bukan perkara yang luar biasa.

    Malangnya industri hiburan di Malaysia ini kecil, artis yang dilihat berkeadaan agak mewah tentu sahaja dituduh kononnya menjalinkan hubungan dengan orang kenamaan dan Datuk-Datuk.

    Bagi Diana, kehidupan dan kemewahan yang dikecapinya pada hari ini tidak ditaja oleh sesiapa pun. Sebaliknya kesenangan yang dimilikinya itu merupakan hasil usaha dan kerja kerasnya sejak kecil.

    “Sponsor? Kalau ada orang yang nak menaja, tentu saya akan lebih mewah daripada ini. Tapi apa yang saya peroleh sekarang ini adalah hasil kerja dan susah senang saya selama bergelar artis.

    “Ini duit yang saya kumpulkan selain kerja keras mama dalam bisnesnya untuk melihat kejayaan saya dan juga kebahagiaan kami berdua,” katanya.

    Benarkah ibu mengongkong?

    Forum dan sembang Internet menyebarkan berita yang kurang baik kononnya kehidupan Diana pada hari ini dikongkong ibunya yang berusia 45 tahun itu. Malah sembang internet itu juga turut mendakwa Norsiah turut campur tangan dalam urusan fotografi serta sesi soal jawab antara wartawan.

    Saya bertanya sendiri perkara itu dan mahukan Norsiah yang sememangnya ramah apabila bercakap menjelaskan berita buruk yang disebarkan itu.

    Tanpa mahu berselindung akui beliau, ada waktunya dia perlu tegas dalam sesuatu perkara. Ia termasuklah soal mengawal anaknya agar tidak terus hanyut dengan populariti yang diraih pada hari ini.

    Tetapi ketegasannya ada tempat dan bukan sengaja dilakukan untuk mendapatkan publisiti murahan.

    “Memang saya tegas dengan anak saya kerana dia masih muda. Dia perlu dibimbing. Saya tidak boleh membiarkannya seperti melepaskan seekor burung merpati.

    “Budak-budak sekarang perlu dijaga dengan rapi kerana saya bimbang jika tidak dikawal seseorang itu mudah untuk terlibat dengan anasir yang boleh merosokkan dirinya.

    “Tapi saya bersyukur kerana ketegasan itu membuatkan Diana lebih berjaya dan menjadi seorang anak yang menghormati orang lain,” katanya.

    Mengenai campur tangannya sehingga menyebabkan dia kurang disenangi oleh pihak tertentu kata Norsiah ada sebab dia berbuat demikian.

    Malah wanita yang sudah lama menjadi ibu tunggal ini juga berkecil hati apabila ada pihak yang bertanya status anaknya itu.

    “Ada yang tanya Diana anak angkat saya kah? Sembilan bulan saya mengandungkan dia, persoalan itu pula yang dibangkitkan. Jujurnya saya kurang senang dengan cara itu.

    “Malah ada orang yang tak dapat mengutuk Diana cuba menjadikan saya sebagai sasarannya. Tentulah saya cepat melenting dan ia bukanlah sengaja dibuat-buat,” ujarnya.

    Tapi Norsiah tidak mahu memikirkan perkara itu sebaliknya menganggap segala gosip dan tohmahan yang keterlaluan itu sengaja diada-adakan kerana ada pihak yang mula dengki dengan kejayaan Diana.

    Masih muda untuk bercinta

    Rasanya ramai sudah mengetahui status Diana apabila dia dikaitkan dengan pengarah Evolusi KL Driff, Syamsul Yusof. Mengakui berkawan rapat tetapi menolak mereka macam pasangan bercinta lain.

    Kata Diana, dia selesa berkawan dengan Syamsul tetapi hubungan mereka tidak boleh untuk ditakrifkan sama seperti pasangan lain. Disebabkan masih muda, masa dan tumpuan sekarang hendak diberikan dalam dunia lakonan dan pelajaran.

    “Diana tak mahu terlalu memikirkan soal cinta kerana perjalanan Diana masih jauh. Sekarang Diana baru berusia 17 tahun.

    “Selepas belajar nanti Diana bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke tempat yang lebih jauh. Kalau boleh sehingga ke luar negara.

    “Sebab itu apabila orang tanya sejauhmanakah percintaan Diana dengan Syamsul, jawapannya Diana senang dan selesa berkawan dengan dia,” terangnya yang sesekali tersenyum apabila dikaitkan dengan nama anak jutawan filem itu.

    Powered by Utusan Malaysia

    16
    Apr

    Bual Fesyen: Kreativiti Richie Zahirkan Gaya Glamor Peragawati

    Oleh Halina Mohd Noor



    GIGIH: Kreativiti menjadikan Richie unik dan tampil dengan kelas tersendiri.

    Pengalaman daripada pembelajaran, pemerhatian digunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air

    DIKALANGAN mereka yang terbabit dalam dunia fesyen tanah air, nama Richie Rachman bukanlah asing, khususnya mereka yang boleh dikatakan senior dalam industri ini. Mungkin Richie tidak terbabit secara langsung dengan rekaan fesyen tetapi beliau banyak menghasilkan nama besar dalam bidang ini seperti Aleeza Kassim, Nasha Aziz, Sofia Jane, Erra Fazira, Umi Aida, Irene Santiago dan ramai lagi. Bermula sebagai gadis biasa, bakat mereka diasah Richie melalui majalah remaja popular ketika itu sehingga menyerlah dalam pelbagai bidang sama ada peragaan, lakonan mahupun nyanyian.

    Tidak setakat itu saja, Richie juga banyak mengetengahkan pereka fesyen tempatan dan juru mekap yang kini mencipta nama dalam bidang masing-masing. Pendek kata, berilah apa saja kepada Richie, pasti hasil yang dikemukakan tidak mengecewakan. Walaupun kini bergelar Pengarang Kumpulan-Kreatif dan Pengarang majalah Arena Bola Sepak, ia sekalipun tidak menghalang beliau daripada menggunakan kreativitinya. Malah bakatnya itu digunakan sepenuhnya bagi menampilkan keunikan pada majalah berkenaan. Lebih menarik, Richie yang pernah tampil dengan novel Skandal dan Ratu, kini mencurahkan bakat penulisan kreatifnya dengan menghasilkan novel terbarunya, Noda.

    Selain bergelar pengacara radio Wanita, Richie juga sering diundang memberikan ceramah mengenai ketrampilan diri kepada pelbagai persatuan wanita dan pelajar pusat pengajian tinggi. Mengenali lebih dekat insan kreatif ini, ikuti temu bual Citra bersamanya.

    Citra: Bagi mereka yang mengikuti perkembangan majalah fesyen sekitar pertengahan 80 an dan 90 an, nama Richie Rachman pasti cukup dikenali sebagai pengarah gaya yang begitu kreatif. Ramai tertanya-tanya, siapakah Richie sebenarnya dan apakah anda mempunyai latar belakang dalam bidang seni khususnya fesyen?

    Sebelum menyertai bidang penulisan, saya belajar di Institut of Art di Paris sekitar 1980 an. Bagaimanapun, oleh kerana kejutan budaya di sana, saya tidak dapat menyempurnakan kursus itu. Visa untuk belajar selama setahun itu lebih banyak saya gunakan untuk melawat ke pelbagai butik dan muzium fesyen sekitar Eropah. Semuanya kerana minat yang begitu mendalam dalam bidang ini. Hasil pengalaman daripada pembelajaran mahupun pemerhatian itu, saya gunakan sepenuhnya apabila pulang ke tanah air dan bekerja di majalah untuk golongan muda terbitan Kumpulan Karangkraf sebagai pengarang. Di samping bertindak sebagai pengarang, saya juga menyelaraskan ruangan fesyen termasuk sudut fotografi serta teks.


    BERJAYA: Ramai nama besar dilahirkan menerusi pertandingan Dewi Remaja yang dikelolakan Richie.

    Citra: Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, anda adalah antara individu yang memperkenalkan penata gaya di negara ini yang ketika itu belum ada pihak yang memandang fungsinya secara serius. Bagaimana anda melihat kepentingan seorang penata gaya dan kesan yang dihasilkannya?

    Saya tidak pasti mengenai perkara itu (perintis penata gaya). Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang baru di kota fesyen ketika itu. Kebanyakan majalah fesyen terkenal pasti ada penata gaya yang menentukan gambar yang ingin dihasilkan. Misalnya, kesan pencahayaan dalam fotografi ke atas baju yang digayakan. Seorang penata gaya juga menentukan konsep baju, lokasi, mood dan latar belakang yang ingin diterapkan dalam gambar termasuk dandanan rambut serta mekap. Kemudian, barulah ditentukan apakah pakaian yang sesuai dengan semua itu. Saya lebih gemarkan kesan gambar lebih dramatik dalam menampilkan gaya fesyen. Misalnya berlatar belakangkan air terjun berbanding di studio yang agak kaku. Air terjun yang jatuh ke muka model menghasilkan kesan yang tidak dapat diceritakan dengan perkataan atau baju bermotif bunga mungkin lebih menarik perhatian jika peragawatinya memegang sesuatu di tangan seperti tembikai besar yang merah menyala.

    Seorang penata gaya melihat semua ini dari sudut lensa jurugambar dan emosi pembaca ke atas pakaian yang ingin diserlahkan. Kita tidak boleh mengharapkan semua hasil terbaik ini kepada jurugambar semata-mata. Mungkin mereka mahir dalam teknik foto tetapi tidak dalam beberapa hal membabitkan fesyen. Apabila segala-galanya terancang, gambar yang dihasilkan lebih unik serta mampu menceritakan segala-galanya.

    Citra: Apakah sesi fotografi yang paling anda tidak dapat lupakan sepanjang kerjaya anda?

    Setakat ini saya pernah diundang ke Singapura dan Jakarta untuk sesi penggambaran fesyen di sana yang ditaja oleh syarikat penerbangan tempatan. Bagaimanapun yang paling menarik dan tidak dapat dilupakan adalah sesi penggambaran di dalam kapal mewah bersama model, Shelly Ann Clark. Kapal berkenaan belayar dari Kuantan ke Kuching. Ia menarik sekali kerana merakamkan keindahan alam dan pakaian santai berkonsep percutian. Salah satu gaya yang menarik ialah Shelly terpaksa memanjat tiang layar untuk memberikan mood percutian.

    Citra: Sejauh mana anda melihat kepentingan peranan penata gaya di negara ini terutama majalah tempatan?

    Tidak semua majalah tempatan menggunakan sepenuhnya penata gaya. Apa yang berlaku hari ini, kebanyakannya sekadar melepaskan batuk di tangga dalam menghasilkan ruangan fesyen mereka. Mungkin ada beberapa halangan seperti masa dan wang atau kurangnya kesedaran mengenainya. Hasilnya, fesyen yang dipaparkan lebih banyak berlatar belakangkan studio yang pastinya kelihatan kaku. Tidak dinafikan ada majalah tempatan yang menghasilkan gambar fesyen yang menarik dan dramatik.

    Citra: Anda seorang yang mempunyai cita rasa tersendiri terhadap bidang fesyen mahupun segala yang berkaitan dengannya. Mengapa tidak menggunakan kreativiti yang anda untuk menghasilkan rekaan sendiri?

    Sebaik kembali ke Malaysia, saya memang menyimpan cita-cita itu. Sasaran ketika itu, ingin bergelar penulis fesyen dan kecantikan yang unggul serta mengeluarkan koleksi sendiri. Bagaimanapun, hakikatnya, ingin bergelar pereka fesyen mesti ada modal. Jika tidak, sukar untuk menghasilkan pakaian berkualiti. Modal menjadi penghalang, apatah lagi ketika itu saya masih baru membina kerjaya. Walaupun tidak bergelar pereka fesyen, sebagai pengarang, saya banyak berkawan dengan pereka terkenal seperti Bill Keith, Datuk Bernard Chandran dan Albert King. Bergaul dengan mereka membolehkan saya mendapat maklumat terkini mengenai aliran fesyen seperti potongan terbaru, warna dan sebagainya. Disamping itu, saya juga banyak membaca untuk menambahkan pengetahuan. Bagaimanapun, hari ini saya berpuas hati walaupun mungkin tidak sepenuhnya kerana mampu berkarya melalui cara tersendiri.

    Citra: Bagaimana anda melihat perkembangan fesyen hari ini? Apakah rekaan yang anda gemari?

    Dulu kalau dikatakan glamour mesti berbentuk kembang meleret tetapi hari ini, lebih kepada ringkas sama ada dari segi potongan mahupun butiran hiasan yang menampilkan kesan mewah. Secara peribadi, saya lebih gemarkan rekaan penuh dramatik yang dihasilkan Dior dan Vivienne Westwood yang potongannya unik dan banyak menggunakan ropol. Saya juga memilih Escada untuk potongan mewah dan moden.

    Saya juga turut mengagumi pereka tempatan seperti Datuk Bernard Chandran yang menghasilkan rekaan mewah manakala Bil Keith untuk gaya ringkas tetapi menarik sekali. Rekaan Izal dan Amin Jauhary juga tidak kurang menarik perhatian.

    Citra: Anda banyak melahirkan bakat besar dalam pelbagai bidang sama ada lakonan, peragaan dan nyanyian juga. Secara peribadi, siapakah yang boleh anda banggakan dan apakah kriteria penting untuk bergelar peragawati?

    Mereka semua adalah kebanggaan saya seperti Aleeza Kassim, Sofia Jane, Nasha, Irene Santiago, Umi Aida, Kuza dan ramai lagi. Sememangnya cita-cita saya untuk melahirkan model tanah air yang berjaya. Daripada gadis biasa, mereka bergelar ‘somebody’. Bagi saya, Aleeza Kassim paling berjaya dan berpotensi tinggi sebagai model. Susuk tubuhnya yang langsing memang sesuai untuk menggayakan apa juga jenis potongan. Dia juga memiliki bahasa tubuh yang bijak apabila berdepan kamera. Seorang model bagaikan penyangkut baju, selain tinggi, cantik dan ramping, mereka perlu bijak bergaya depan kamera. Aleeza juga kini mempunyai akademi model tersendiri. Nasha Aziz juga tidak kurang hebatnya. Bermula daripada model, dia kini bergelar pelakon berjaya. Tidak dinafikan hari ini, Tengku Azura menjadi model yang paling digemari hari ini. Seorang model perlu tinggi dan kurus iaitu perlu ada pinggang selain bijak memberikan mood tersendiri dan sesuai dengan konsep baju digayakan. Mereka perlu berusaha ke arah itu untuk berjaya.

    Citra: Apa pandangan anda mengenai kemasukan model asing ke negara ini. Adakah ia baik untuk industri ini?

    Terus terang saya katakan, amat kasihan dengan gadis tempatan terutama gadis Melayu kerana peluang mereka seolah-olah terus tertutup dengan kehadiran model berdarah ‘mat salleh’ hari ini. Bukannya kita hendak menutup rezeki mereka tetapi sebaiknya ia dikawal agar tidak menghalang peluang gadis tempatan dalam industri ini. Kerajaan perlu melihatnya secara lebih serius kerana ia langsung tidak mencerminkan imej negara. Saya sedar usaha ini pernah dilakukan tetapi ia sekadar hangat-hangat tahi ayam dan tidak begitu menjadi.

    Mungkin ketinggian menjadi halangan bagi gadis tempatan tetapi ini boleh diatasi dengan mencari lebih ramai bakat di luar sana. Dalam perkara ini, kita boleh mencontohi Aleeza Kassim yang menubuhkan akademi modelnya sendiri. Lebih banyak akademi sebegini perlu diwujudkan jika mahukan lebih ramai gadis tempatan menyertai bidang ini.

    Citra: Dikalangan selebriti lelaki, pada pandangan anda, siapakah yang bijak bergaya? Apakah pilihan anda sendiri?

    Saya boleh bahagikan kepada kategori usia iaitu 40 an, 30 an dan 20 an. Lelaki 40 an yang bijak bergaya adalah Hattan. Gayanya santai tetapi menampilkan gaya macho dan seksi. Pemilihan fabrik linen aadlah yang terbaik untuknya dan digayakan dengan jeans serta jaket. Ia membuatkan penyanyi ini kelihatan ‘smart’ dan lasak. Manakala Anuar Zain mewakili mereka yang berusia 30 an. Dia adalah ikon bagi gaya rasmi kerana kelihatan begitu segak apabila menggayakan sut. Jeans juga membuatkan Anuar kelihatan santai dan kemas. Setakat ini belum ada personaliti berusia 20 an yang boleh dicontohi. Bagi golongan muda kini, gaya Gothic menjadi pilihan tetapi tidak ada yang menonjol.

    Secara peribadi, saya lebih gemar tampil santai dan lasak seperti jeans bersama baju t. Gaya rasmi, saya lebih gemarkan pakaian daripada linen dengan menggayakan koleksi Malique Fusion atau William Liu. Di konti radio pula saya lebih senang bergaya muda bagi menghayati muzik dalam semua genre.

    Powered by Berita Harian

    3
    Apr

    Nada Kecewa Ziana Zain

    Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA (liza.zakaria@utusan.com.my)

    PADA usia yang bakal mencecah 40 tahun, Ziana masih lagi anggun seperti anak dara.

    BEGINILAH nasib kalau sudah bergelar anak seni, tidak semuanya indah dipandang. Biarpun luaran nampak tenang tetapi realitinya hanya yang empunya diri lebih mengetahui sehinggakan ada yang sanggup menelan segala kepahitan demi meneruskan kerjaya yang amat diminati mereka.

    Siapa tidak kenal dengan penyanyi bermata cantik, Ziana Zain yang memulakan karier seninya sekitar tahun 1990.

    Seperti artis lain, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Mohd. Zain juga tidak terkecuali dihambat kontroversi dan baru-baru ini, Ziana khabarnya sudah pandai ‘meminta-minta’ atau demanding.

    Tidak dapat lari daripada segala tohmahan negatif, Ziana lebih gemar mengambil sikap berfikiran terbuka.

    Malah, Ziana ketika ditemui pada majlis sidang media Rafflesia’s Secretaries’ Week Luncheon di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia terpaksa ‘makan hati’ dan menerima saja segala tohmahan yang dilemparkan padanya.

    “Sebenarnya bukanlah demanding. Saya pun susah nak cakap pasal hal ini, contohlah dalam penyiaran sesuatu lagu atau ulang tayang, artis tersebut sepatutnya menerima royalti mereka.

    “Tapi sedihnya, kadang-kadang, ada juga ulang tayang lagu yang saya nyanyikan tidak dibayar royalti. Jadi, bila kita mula bersuara dan minta bayaran, orang dah mula label kita sebagai demanding,” kata penyanyi yang kini popular dengan lagu Dingin.

    Kesal dengan sikap sesetengah pihak penyiar dan penganjur, Ziana terpaksa membenamkan segala kesukaran yang dialami jauh di lubuk hati demi minatnya yang mendalam terhadap kerjaya seni.

    Memang tidak dinafikan, ada sesetengah penganjur dan pihak penyiar tempatan sanggup berbelanja besar untuk membawa masuk artis luar ke negara ini.

    Malangnya, hak dan kepentingan penyanyi tempatan seperti royalti, bayaran persembahan dan konsert langsung tidak diendahkan.

    Bagaimanapun, Ziana tidak menafikan bahawa adakalanya permintaan itu datang daripada agensi yang bertanggungjawab membawa artis untuk membuat persembahan.

    “Memang benar, kadang-kadang agensi yang demand bukannya artis. Artis cuma dapat sikit saja selebihnya dapat kepada pihak agensi,” kata penyanyi yang bakal mencecah usia 40 tahun pada 2 Mei ini.

    Album baru Mei atau Jun

    Seperti yang semua ketahui, populariti Ziana yang juga duta kepada produk tilam Vono dan pelangsingan Slim World kini semakin meningkat apatah lagi selepas single Dingin ciptaan Azlan Abu Hassan mendapat perhatian ramai.

    Bagaimanapun, ramai pihak yang berteka-teki berhubung motif sebenar Ziana mengeluarkan single tersebut sedangkan albumnya sudah lama terperap.

    “Single ini bukan sahaja bertujuan sebagai prapromosi album saya yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi, tetapi juga sebagai tujuan nak dapatkan pulangan (duit), sebab ia boleh dimuat turun.

    “Sebelum ini ada juga artis lain pernah buat, dan sekarang dah jadi macam trend terkini. Ini merupakan cubaan pertama saya sebagai strategi baru mempromosikan album saya kelak,” kata ibu kepada dua anak iaitu Muhammad Aiman Armin, 8 dan Muhammad Ammar Armin, 5, itu lagi.

    Kata Ziana, album terbarunya kini sudah siap sehingga 70 peratus pembikinan dan kini hanya menunggu rakaman empat lagi lagu, antaranya ciptaan komposer Julfekar dan bakal dipasarkan selewat-lewatnya Jun depan.

    Album single Ziana yang memuatkan dua terbarunya iaitu Dingin dan Melara Jiwa edaran EMI Music (M) Sdn. Bhd., telah pun berada di pasaran tempatan dan dijual dengan harga RM9.90 sebuah. Turut dimuatkan ialah minus one kedua-dua single tersebut.

    Menurut Ziana, kelainan dan kekuatan untuk album terbarunya itu adalah dari segi pemilihan lagu dan turut menyelitkan muzik dan melodi Indonesia dalam beberapa buah lagu.

    “Ini juga merupakan salah satu cara untuk menambat hati peminat, sebab peminat sekarang ini lebih suka kepada muzik Indonesia. Cara nyanyian juga terpaksa tukar sikit untuk beri kelainan dari yang lama.

    “Bagaimanapun, adalah dalam tiga atau empat lagu bernada tinggi yang saya akan kekalkan. Selagi peminat suka saya akan cuba yang terbaik,” kata anak sulung daripada lima beradik itu lagi.

    Bercerita tentang imej, menurut Ziana, dia tidak menetapkan kepada sesuatu imej pada setiap tahun.

    Namun, semua itu bergantung pada kerjasama seseorang artis dengan jurumekap ataupun perunding imej dalam menentukan apa yang terbaik dan sesuai digayakan.

    Minggu Setiausaha

    Empat tahun sepi tanpa album memberikan lebih kepuasan kepada bekas pramugari Penerbangan Malaysia ini.

    Apa tidaknya, dalam tempoh tersebut, selain sibuk mengurus keluarga, aktiviti harian Ziana terisi dengan pelbagai aktiviti seni termasuklah persembahan pentas, lakonan dan menjadi jurucakap produk.

    Terbaru, Ziana bakal menjayakan majlis meraikan para setiausaha yang dianjurkan oleh Hotel Istana Kuala Lumpur dengan kerjasama syarikat mutiara ternama, Rafflesia dan juga Suria FM pada 16 April ini pukul 11.30 pagi hingga 3 petang di Grand Mahkota Ballroom, Hotel Istana.

    Dengan mengenakan tema hitam dan putih, sambil makan tengah hari, para hadirin bakal dihidangkan dengan persembahan dari barisan artis ternama negara antaranya Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Ning Baizura, Fauziah Latiff dan Erra Fazira.

    Menariknya, Ziana dan barisan artis yang hadir juga bakal menggayakan pakaian yang dicipta khas untuk majlis tersebut oleh 13 pereka fesyen muda berbakat besar termasuklah Hatta Dolmat.

    “Tahun ini saya hanya terlibat dengan Minggu Setiausaha Rafflesia. Saya ada terima tawaran dari banyak pihak, tapi saya tolak sebab tahun ini saya nak lebih rileks dalam kerja,” jelas Ziana mengakhiri perbualan.

    Kepada yang berminat menyaksikan persembahan Ziana dan beberapa lagi artis terkenal pada sambutan Minggu Setiausaha Rafflesia sila hubungi 03-2141 9988 atau 03-2149 5629.

    Powered by Utusan Malaysia

    6
    Jan

    Umie Aida – Ya, Dah Berpunya

    Oleh: WANDA IDRIS

    UMIE AIDA.

    GAYANYA semakin meyakinkan. Penuh sifat kewanitaan. Malah sudah pandai mengenakan kasut bertumit tinggi kala keluar bersiar.

    Dulu sifatnya lain. Mengenali Umie Aida sejak beberapa tahun lalu, orangnya sukakan gaya yang serba-serbinya ringkas.

    Paling tidak shirt dan jean sahaja. Kasut tinggi? Tiada dalam kamus harian kecuali menghadiri majlis formal. Beg yang dijinjing pun kelihatannya biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana pengaruh gaya yang begitu ringkas. Ia juga sekadar tempat menyimpan segala barangan.

    Hari ini dalam usia kematangan 33 tahun, Umi Kalsom Rahmad ini semakin selesa dengan tubuhnya.

    Menyarung pakaian lebih bersifat kewanitaan – blaus dengan legging – yang menjadi pilihan gaya masa kini, Umie juga sudah pandai menjinjit beg tangan berjenama mewah.

    Pilihannya pada hari penggambaran ialah Dior gaucho dengan sepatu wedges daripada himpunan Escada. Dia tidak lagi ragu-ragu dengan pilihannya seperti dahulu. Dulu dia pernah bertukar ganti pakaian semata-mata kerana tidak selesa.

    Malah pada satu ketika, saat mahu melangkah keluar rumah dengan gaya yang menyerlah, dia akhirnya kembali ke kamar dan sanggup bertukar pakaian lain. Dia kemudiannya keluar dengan gaya ringkas berseluar jean.

    Namun mungkin itulah perubahan usia yang meningkatkan kematangan gadis yang pernah bergelar wanita penuh kemelayuan ini lantaran watak-watak klasik yang dibawa dalam filem.

    Aktres yang pernah menggondol Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun ini juga mengakui hakikat ini.

    Katanya, memang ada perubahan pada imej dan penampilannya hari ini berbanding suatu ketika dahulu.

    Lebih bergaya, Umie Aida juga hadir dengan wajah dan tubuh yang lebih segar. Mungkinkah ada sesuatu yang membuatkan wanita ini beralih arah dalam berpenampilan? Malah saat diajukan dengan soalan apakah kini dia sedang bercinta lantaran gayanya yang penuh feminin, Umie hanya tertawa.

    Namun dia mengakui antara sebab perubahan dirinya kerana menerima teguran daripada kawannya.

    “Memang dulu saya lebih senang berkasut sneaker berbanding kasut tinggi. Juga suka tampil dengan t-shirt. Pergi ke mana-mana macam tomboi pula rasanya.

    “Makin dewasa saya ikut juga aliran dan mula hadir dengan helaian yang lebih kewanitaan apabila ada kawan yang bising. Mula-mula itu memanglah terasa janggal kena dress up selalu tetapi akhirnya saya selesa. Memang ada seseorang yang begitu mempengaruhi, tak perlulah saya nyatakan sesiapa tetapi dia antara insan yang rapat dalam hidup saya.

    “Memang dia pernah menegur saya, kenapa tak pernah pakai kasut tumit tinggi. Bila dia tanya begitu, saya terus terkesima,” Umie ada membuka cerita.

    Memang wanita yang ini sukar benar menelah apa yang ada dalam jiwanya. Jadi untuk membuka mulut berbicara soal hati, memang selalunya dia akan mengelak.

    Tetapi apabila dia berbicara soal kawan? Siapakah yang dimaksudkan? Apakah hati wanita yang satu ini sudah dipunyai? Siapakah yang bertuah berjaya memupuk kasih dan sayang bersamanya?

    Tanpa mahu mengulas pertanyaan-pertanyaan nakal itu, Umie bagaimanapun tidak pula melenting sebaliknya hanya tertawa.

    Jadi bila mahu merasa nasi minyak? Sementelah kawan baiknya sendiri, Erra Fazira sudah mendirikan rumah tangga.

    Umie sendiri sudah merasai pengalaman menjaga anak angkat. Jadi bila mahu menimang anak sendiri pula?

    Saat ditanya bila mahu mengakhiri zaman bujangnya, dia hanya menjawab: “Ala klise… Kalau ditanya soalan itu maka jawapannya akan terus sama,” kata Umie.

    Pun begitu kemudiannya, ibu kepada dua anak angkat yang masing-masing berusia 14 dan 13 tahun, Mohd. Daniel Firdaus dan Mohd. Dzulhelmy mengakui hatinya sudah dipunya.

    “Terus terang saya cakap, saya sudah berpunya,” katanya sambil tersenyum manja. Namun saat cuba menyelongkar siapakah yang bertuah yang bertakhta di hatinya, Umie tanpa mahu memberikan penjelasan lanjut hanya memberitahu bahawa ia terlalu peribadi untuk diperkatakan apalagi untuk dikongsi bersama.

    Lalu benarlah kerana hati sedang berbunga bahagia maka tempiasnya hadir pada penampilannya kini yang lebih indah seindah bunga yang sedang mekar.

    “Sudah tentu, ditambah dengan kematangan saya untuk tampil bergaya. Dalam usia begini yang kita juga sudah selesa dengan tubuh sendiri, pasti kita semakin yakin untuk bergaya apa sahaja yang tentunya lebih berunsurkan kewanitaan,” tambahnya yang turut gemar bersenam membuatkan dia berasa lebih berkeyakinan dengan penampilan kewanitaannya.

    * Penuhi rohani

    Tahun 2008 sudah pun hampir seminggu dijejaki dan tentunya setiap daripada kita menjadikan resolusi tahun baru sebagai satu landasan menempuh satu kehidupan yang lebih cemerlang.

    Sedang berbahagia dengan dunianya, Umie yang sudah 16 tahun bergelar anak seni juga tidak melupakan aspek kerohanian malah mahu memperkukuhkannya.

    “Kalau boleh saya mahu lebih bertanggungjawab dan memperbaiki dalaman diri. Maksud saya dalam soal-soal fardu. Kalau boleh biarlah saya tidak lagi lalai melakukannya,” kata Umie.

    Di samping itu, aktres ini juga mahu mengubah sikapnya kepada satu sikap yang lebih terbuka dan tidak bermain dengan teka-teki seperti sebelum ini.

    “kalau dulu bila ditanya saya selalu bagi jawapan samar tapi sekarang saya mahu bersikap terbuka dan terus jawab straight to the point.

    “Tak mahu rahsia-rahsia dan misteri lagi. Saya nak perbaiki diri supaya lebih berani menyuarakan apa yang difikirkan,” tegasnya.

    Bakal muncul dengan dua buah filem sebagai pembuka tirai 2008, Umie bergandingan dengan Rosyam Nor untuk filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid dan filem Cuci, arahan Hans Isaac.

    Kala Malam Bulan Mengambang yang bakal ditayangkan kepada umum pada 10 Januari ini, Umie menjayakan watak Che Putih, seorang wanita misteri.

    Sementara Cuci, lakonannya sebagai setiausaha kepada Erra Fazira akan ditayangkan kepada khalayak pada 23 Januari ini.

    Turut menanti ialah filem Dukun yang masih belum dapat dipastikan bilakah akan ditayangkan namun Umie mengakui amat teruja untuk menanti reaksi daripada para peminatnya. Menjelang akhir bulan ini, Umie akan sibuk kembali di lokasi penggambaran untuk projek terbaru Aziz M. Osman.

    Slot baru untuk tayangan TV3 berjudul Vice Verse itu bakal dijayakan bersama Hans Isaac, Nor Aliah Lee, Abby Abadi dan Bront. Ia sebuah drama ringan tentang kehidupan tiga perempuan dengan tiga lelaki.

    Jika tiada aral, Umie juga bakal digandingkan sekali lagi bersama Rosyam Nor untuk slot Samarinda.

    “Umie suka ceritanya. Tentang seorang wanita berkerjaya yang berdepan dengan suka duka kehidupannya,” jelas Umie yang terakhir muncul untuk drama Samarinda Kerana Cintaku Saerah pada Ramadan lalu.

    * Keinginan Umie

    Apalagi yang dimahukan oleh seorang Umie Aida kerana segala-galanya sudah dicapai. Bergelar aktres, dia sudah diangkat sebagai yang terbaik tidak sahaja filem tetapi juga drama. Lalu apa lagi yang diingininya?

    “Saya idamkan watak yang mampu berdiri. Kita sebagai pelakon hanya membawa dan menghalakannya sahaja untuk menyerlahkan lagi watak itu.

    “Saya tidak kisah watak kecil atau besar. Yang penting mampu memberi impak. Pun begitu watak begini sukar diperoleh,” katanya.

    Lalu mengapa tidak sahaja dia menerbitkan sendiri drama atau filem yang punya karakter yang kuat kerana dia sendiri punya rumah produksi, Amazon Entertainment Production Sdn. Bhd. dan pernah pula berpengalaman menerbit sebuah filem komedi, Diva Popular, arahan kakaknya, Erma Fatima.

    Umie ada alasannya. Bukan kerana kutipan tiket yang kurang memberangsangkan yang menyebabkan Umie tidak mahu menghasilkan filem lagi.

    Sebaliknya dia masih belum mahu menanggung risiko seandainya hanya menerbitkan sebuah filem setahun berbanding jika dia berkeupayaan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya tiga projek setahun.

    “Tidak mahu menjalankan perniagaan ini. Risikonya besar. Lagi pula kita tidak tahu apa keinginan khalayak. Jadi lebih baik saya ‘rehatkan diri’ dahulu.

    “Biarlah saya terus berlakon. Bila saya sudah bersedia untuk kembali ke arena penerbitan, saya akan kembali dengan produk yang menjanjikan pulangan yang memberangsangkan,” katanya.

    Powered by Utusan Malaysia

    30
    Oct

    Yusry KRU Damai Di Banglo Idaman

    Oleh KHADIJAH IBRAHIM

    MESKIPUN Erra Fazira sudah menamatkan zaman jandanya dengan Engku Emran Engku Zainal pada 25 Oktober lalu, bekas suaminya, Yusry Abd. Halim masih memilih untuk menyendiri.

    Yusry yang turut mendapat undangan tetapi tidak dapat hadir pada hari bersejarah Erra dan Emran kerana berada di Pulau Pinang untuk penggambaran filem Cicak-Man 2, berharap pasangan itu akan berbahagia hingga ke anak cucu.

    “Saya tidak rasa apa. Biarlah dia kahwin kerana jodohnya sudah sampai. Saya memang ada niat untuk berkahwin tapi bukan dalam waktu terdekat.

    “Lagipun saya belum temui teman istimewa. Sekarang ini saya tidak ada masa untuk memikirkan hal lain kerana sibuk dengan kerja,” kata Yusry yang lebih dikenali Yusry KRU ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya baru-baru ini.

    Jika Yusry sudah temui calon wanita idaman pasti dia akan membawa bakal isteri menetap bersamanya di banglo mewah tujuh bilik yang tersergam indah di Jalan Semarak itu.

    Yusry yang berada di Pulau Pinang bersama 50 krew untuk penggambaran Cicak-Man 2 sejak 26 Oktober lalu berkata, rumah tersebut dibeli hasil daripada wang pendapatan yang dikumpul sejak awal pembabitan dalam bidang seni.

    Yusry yang enggan memberitahu kos pengubahsuaian rumah tersebut hanya memberitahu bahawa itu semua adalah duit titik peluhnya selama ini.

    “Rumah ini ada tujuh bilik di mana saya jadikan bilik bacaan, bilik TV, bilik tetamu dan di bahagian atas adalah bilik tidur utama. Dalam bilik tidur utama itulah saya tempatkan ruang untuk saya bekerja,” katanya.

    Oleh kerana hidup seorang diri, apabila terasa lapar, Yusry akan singgah rumah ibu bapanya di Keramat dan kembali ke ‘istananya’ untuk bekerja atau tidur.

    Cicak-Man 2 lebih menarik

    Kejayaan Cicak-Man yang merupakan filem pertama arahannya secara tidak langsung menjadi pendorong kepada Yusry untuk membuat sekuel.

    Katanya, untuk filem Cicak-Man 2, dia lebih yakin dan mengaku tidak berkira tentang bajet untuk filem tersebut.

    “Untuk filem pertama, saya terikat dengan bajet. Tapi untuk Cicak-Man 2, kami akan guna kos yang lebih dan setakat ini saya tidak tahu berapa yang akan dibelanjakan kerana semuanya bergantung kepada keadaan.

    “Lagipun filem ini perlu dibuat lebih baik daripada yang pertama. Malah untuk filem ini pun lebih banyak kesan imej janaan komputer (CGI) yang digunakan. Setiap adegan yang bakal dirakam bergantung kepada storyboard yang saya hasilkan,” katanya tentang perjalanan filem Cicak-Man 2.

    Filem Cicak-Man 2 yang turut menampilkan pelakon Tamara Bleszynski dari Indonesia sebagai Rrama, kemungkinan menemui penonton pada hujung 2008.

    “Selain daripada menampilkan beberapa wajah baru, kami juga membuat perubahan pada pakaian Cicak-Man,” katanya.

    Powered by Utusan Malaysia

    30
    Oct

    Project Runway Malaysia Debaran Tiga Pereka Fesyen

    Oleh Norliza Mohamad Zakaria

    TIADA apa yang dapat diungkapkan dengan kata-kata oleh finalis Project Runway Malaysia selain debaran menanti keputusan bagi meraih gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000.

    Peringkat akhir pertandingan yang mengiktiraf daya kreativiti pereka fesyen tempatan itu akan disiarkan pada 9 November ini pukul 9.30 malam di 8TV atau saluran 708 Astro.

    Program TV realiti yang menampilkan 15 pereka fesyen muda berbakat besar itu mula disiarkan setiap Jumaat pukul 9.30 malam di 8TV sejak Ogos lalu.

    Bagaimanapun setelah penyingkiran demi penyingkiran dibuat, hanya tiga peserta yang berjaya ke peringkat akhir. Mereka ialah Hatta Dolmat, 24, Felix Tan, 34, dan Alexandrea Yeo Mei Quin, 21.

    Sebanyak RM8,000 diberikan kepada setiap finalis untuk merealisasikan idea kreatif mereka pada 12 rekaan eksklusif dengan tema bebas pilihan masing-masing.

    Hatta, berasal dari Melaka dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen dari UiTM ketika ditemui berkata; “Saya sangat teruja dengan rancangan ini kerana ia memberi saingan yang sihat kepada setiap peserta.

    “Saya mempertaruhkan 12 rekaan yang bertemakan romantik dengan latar warna merah jambu dan emas untuk peringkat akhir itu nanti.”

    walaupun pertama kali menyertai pertandingan, Hatta telah pun menempa nama dalam industri fesyen negara dan pernah menghasilkan rekaan untuk beberapa artis ternama negara termasuklah Erra Fazira, Fasha Sandha dan Ning Baizura.

    Sementara itu, bekas penuntut Sekolah Fesyen Antarabangsa La Salle Kuala Lumpur, Felix berkata; “Sehingga kini perasaan saya tidak menentu dan saya sangat berdebar menantikan keputusan juri pada peringkat akhir nanti.

    “Sekiranya gagal menempa kejayaan, saya tetap bersyukur kerana pengalaman yang saya peroleh sepanjang penglibatan dalam rancangan ini benar-benar membantu saya untuk terus berusaha lebih kuat.”

    Felix yang berasal dari Sabah, mempertaruhkan tema Nutation Of Style pada peringkat akhir nanti.

    Finalis termuda iaitu, Alaxendrea, yang berasal dari Kuala Lumpur, merupakan bekas penuntut Raffles Design Institute, Kuala Lumpur.

    “Saya tidak sabar menantikan keputusan, bagaimanapun saya harus terima hakikat bahawa antara kami bertiga hanya seorang yang akan dipilih menjadi juara.

    “Jika saya tidak berjaya merebut gelaran juara, saya tak akan patah semangat sebaliknya menganggap itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus berjaya,” katanya yang mengetengahkan tema Mutilation Of The Flesh pada 12 rekaan akhirnya.

    Kesemua 12 rekaan setiap finalis akan diperagakan oleh model-model di hadapan barisan juri yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam rekaan fesyen iaitu, Datuk Bernard Chandran selaku ketua juri, Gillian Hung, Bernie Chan dan Asiah Mion. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Project Runway Malaysia yang pertama? Mungkinkah Hatta, Felix ataupun Alexandrea? Kita tunggu keputusannya.

    Powered by Utusan Malaysia